KUAT, SIHAT FIZIKAL DAN MENTAL

Menurut Islam hidup dan kehidupan ini adalah takdir Tuhan. Namun, ini tidak bererti bahawa manusia tidak dapat berusaha untuk mencapai kesejahteraan hidup itu, kerana dalam bahasa al-Quran takdir adalah ukuran-ukuran yang ditetapkan Tuhan atas segala sesuatu. Manusia bebas memilih perjalanan hidup dalam kerangka takdir tersebut. Ia tidak dapat keluar darinya, namun manusia memiliki banyak pilihan.

Kehidupan manusia di pengaruhi oleh banyak faktor, kerana itu sudah menjadi kewajipannya untuk mengendalikan dan mengarahkan faktor-faktor tersebut sehingga makna yang diharapkan dari kehidupan tercapai. Dan salah satu faktor tersebut adalah kesihatan.

Sihat dalam pandangan agama bukan hanya bebas daripada penyakit atau cacat jasmani, tetapi juga rohani. Islam memperkenalkan istilah afiat yang pada hakikatnya menggambarkan berfungsinya seluruh potensi jasmani dan rohani manusia sehingga mampu mencapai tujuan kehadirannya di pentas bumi ini.

Manusia yang sihat adalah manusia yang sejahtera dan seimbang jasmani dan rohaninya. Dengan kesihatan, manusia dapat meningkatkan kualiti hidupnya semaksimum yang mungkin, dan dapat meningkatkan pengabdiannya kepada Tuhan serta sesama manusia.

Betapa agama menekankan peri pentingnya menjaga kesihatan serta pencegahan sesuatu penyakit. Malah kita diberi petunjuk oleh Nabi, apabila ditimpa penyakit segera berubat kerana Allah tidak menurunkan penyakit kecuali diturunkan pula ubatnya.

Dalam usaha mengekalkan dan menjaga kesihatan ia bukan hanya dilihat sebagai urusan perseorangan atau keluarga tetapi menekankan pentingnya pencegahan.

Contohnya apabila kita mendengar wabak penyakit di suatu tempat maka elaklah diri dari menuju ke tempat itu dan jika kita berada di sana maka jangan keluar. Demikian juga Nabi menegur beberapa sahabatnya yang bermaksud melampaui batas beribadah, sehingga keperluan jasmaniahnya terabai dan kesihatannya terganggu.

Pembicaraan keagamaan tentang kesihatan fizikal dimulai dengan diletakkan prinsip: Pencegahan lebih baik dari pengubatan.

Salah satu sifat manusia secara tegas dicintai Allah adalah orang yang menjaga kebersihan. Kebersihan digandingkan dengan taubat, contohnya dalam surah Al-Baqarah ayat 222 yang bermaksud: Sesungguhnya Allah senang kepada orang yang bertaubat dan senang kepada orang yang membersihkan diri.

Taubat membawa kepada kesihatan mental, manakala kebersihan lahiriah membawa kepada kesihatan fizikal.

Islam menyarankan umatnya mengambil makanan yang halal dan baik sahaja. Adalah kewajipan setiap orang untuk memelihara kesihatannya seperti terungkap dalam sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: Sesungguhnya badanmu mempunyai hak atas dirimu.

Susunan Ibnu Majid

No Comments

    Leave a reply