KUKUHKAN PRINSIP TANGGUNGJAWAB BERSAMA DALAM BERNEGARA

Oleh: Dr. Alies Anor Abdul

Imam Al-Ghazali (1058-1111) mengingatkan legitimasi kuasa wajib dipertahankan selagi ketua negara melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik, yakni menjaga kemaslahatan rakyat dan tidak menimbulkan kerosakan kepada rakyat. Oleh sebab pemimpin itu adalah manusia, kelemahan dan kekuranganya hendaklah ditegur dengan nasihat yang baik dan ulama berperanan besar melakukannya bagi mengelakkan lebih banyak kerosakan.

Seorang pemimpin atau ketua negara secara idealnya merupakan seorang yang berjiwa besar dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai tanggungjawab yang wajib dipenuhi sepanjang masa. Dalam hal ini, mandat yang telah diberikan oleh rakyat tidak boleh ditarik oleh pihak  tertentu kecualilah rakyat bersepakat untuk tidak mempercayainya.

Usaha menjatuhkan pemimpin dengan cara anarki adalah satu tindakan kejam kerana akhirnya musibah akan menjadikan rakyat berantakan dan negara huru-hara. Meskipun konsep pemerintahan yang dibahas oleh al-Ghazali lebih berbentuk teokrasi manakala Malaysia mengamalkan corak pemerintahan demokrasi, etika politik yang dicadangkan itu tetap relevan dengan apa yang sedang berlaku dalam politik negara.

Memperhatikan carut-marutnya keadaan politik negara dewasa ini di mana perasaan ego dan prestij adalah segala-galanya, ada baiknya kita mengambil iktibar yang dicontohkan Sayyidina Ali pada masa menjadi khalifah. Suatu hari, Ali kehilangan baju perangnya dan setelah puas mencari ke merata tempat, akhirnya baju tersebut dijumpai dipakai oleh penduduk yang beragama Nasrani.

Ali segera memfailkan kes ini ke muka pengadilan dan menuntut orang Nasrani itu dihukum atas kesalahan mencuri baju. Dalam perbicaraan kes, Ali di hadapan hakim mengatakan “baju itu tidak pernah aku jual atau beri kepada sesiapa”. Hakim kemudian bertanya ke orang Nasrani “ Khalifah mendakwamu telah mencuri baju perang itu.” Orang Nasrani itu menjawab “baju ini kepunyaanku. Ini tidak bermakna aku mengingkari kekhalifahannya, tetapi tidak mustahil ia (Ali) melakukan kesalahan”.

Hakim berkata kepada Ali “ orang yang anda tuduh membantah dakwaan anda. Sesuai dengan ketentuan hukum, anda perlu mendatangkan saksi bagi membuktikan dakwaan anda”. Ali dengan tenang berkata, “malangnya, saya tidak mempunyai saksi”. Atas pengakuan jujur Ali itu, Hakim menolak dakwaan Ali dan memutuskan memenangkan orang Nasrani. Baju perang itupun dinyatakan milik orang Nasrani.

Dalam perjalanan balik setelah perbicaraan di mahkamah, orang Nasrani itu termenung dan hati nuraninya berkata bahawa baju perang itu bukan miliknya. Fitrah kemanusiaannya terusik sehingga ia memutuskan untuk menjumpai balik hakim dan mengakui bahawa baju perang itu bukan miliknya. Di hadapan hakim ia berkata “sikap khalifah Ali dalam menghadapi sesi perbicaraan dan cara hakim mengendalikan kes mahkamah ini bukanla cara pemerintahan manusia biasa. Ini pasti cara pemerintahan yang mendapatkan bimbingan Allah dan Nabi”.

Tidak lama setelah itu, tersebar berita bahawa beliau telah mengucapkan kalimat syahadat dengan penuh keyakinan. Orang Nasrani tersebut amat terkesan dengan kejujuran dan ketaatan Al terhadap undang-undang. Meskipun Ali merupakan seorang ketua negara, akan tetapi beliau tidak menyalahgunakan kekuasaannya. Sebaliknya, tunduk dan patuh kepada kedaulatan perundangan sehingga hati dan nuraninya mengakui kebenaran ajaran Islam yang dianut Ali. Si Nasrani akhirnya memutuskan masuk Islam dan menjadi rakyat yang taat bukan kerana takut kepada kekuasaan Ali, akan tetapi kerana kebenaran yang dibawa oleh khalifah.

Iktibar daripada peristiwa itu yang dapat kita petik ialah bahawa kejujuran dan integriti pemimpin sebagaimana yang dicontohkan Ali amat menentukan sikap dan pandangan masyarakat terhadap kewibawaan pemimpin kerajaan. Kesediaan pemimpin untuk mengakui kelemahan dirinya sendiri bermakna menunjukkan ia bertindak jujur. Kejujuran dan mengakui kelemahan seorang pemimpin dalam konteks ini akan memberi tindak balas yang positif daripada rakyat. Nurani masyarakat akan mengatakan ciri-ciri pemimpin seperti ini lah yang sepatutnya disokong. Bukan seorang pemimpin yang berani berbohong kerana takut sokongan akan terjejas.

Dalam hal ini, hujjatul Islam Imam al-Ghazali menegaskan bahawa kekuasaan dan kekuataan yang ada dalam diri seorang pemimpin mestilah berteraskan kepada kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Seorang pemimpin mestilah mengakhirkan kepentingan dirinya sendiri atau keluarganya dan mendahulukan keperluan rakyat. Apabila seorang pemimpin sanggup menipu rakyatnya demi kekuasaan atau jawatan yang digenggamnya, maka sesungguhnya ia mempertaruhkan institusi negara menuju kemusnahan dan kerosakan yang bakal menimpa.

Al Ghazali memberi amaran bahawa kerosakan sesebuah negara adalah disebabkan rosaknya pemimpin. Sehebat dan semaju manapun keadaan negara itu, bila dipimpin oleh seorang individu yang rosak, maka negara itu akan terdedah kepada kerosakan dan kehancuran. Begitu juga dengan rakyatnya yang meskipun mempunyai kepakaran dan kecemerlangan, akan mengalami kerosakan jiwa jika dipimpin oleh penguasa yang rosak. Punca pemimpin rosak ialah kerana dikuasai oleh duniawi (harta dan wang) yang membutakan mata hatinya sehingga tidak akan mampu melayan dan mendekati rakyat kecil.

Salah satu faktor penting dalam kejatuhan kuasa atau tamadun dunia ialah berpunca daripada harta (wang).  Ibnu Khaldun, bapa sosiologi dan sejarahwan tersohor berpendapat, kekuasaan berkait rapat dengan godaan, kemegahan, harta dan wanita. Makin tinggi pencapaian atau posisi seseorang, baik sebagai pemimpin di sektor pemerintahan mahupun pemimpin masyarakat, bertambah banyak godaan. Justeru, sejarah banyak merakam jatuh bangun pelbagai bangsa seiring dengan kemampuan dan ketidakmampuan pemimpin dalam menghadapi sebarang godaan kekuasaan.

Perkara ini turut disentuh oleh pakar sejarah Islam terkemuka Dr Raghib al-Sirjani dalam karyanya Qishatu al-Andalus min al Fath ila al Suquth yang menyatakan bahawa keruntuhan tamadun Andalusia disebabkan silau dengan harta. Para penguasa ini tenggelam dalam kemewahan, cintakan nafsu duniawi dan bergelimang dengan kemaksiatan. Akibatnya, mereka menjadi leka dan mula melupakan tugas. Mereka juga mula meninggalkan ruh jihad fi sabilillah yang sesungguhnya menjadi kekuatan pasukan tentera Islam dalam menaklukkan Andalusia.

Hakikatnya, menurut Dr Raghib kemenangan pasukan muslim yang kemudian berjaya menubuhkan tamadun Islam di bumi Eropah selama emat ratus tahun itu bukan terletak di dalam kekuatan ketenteraan, banyaknya jumlah tentera dan hebatnya senjata yang mereka miliki, akan tetapi kemenangan itu diperolehi kerana faktor  ketakwaan. Jika kaum muslim dan khasnya penguasa berani melanggar perintah agama, menjauh dari Tuhannya dan meninggalkan manhaj Rasulullah, maka mereka akan ditimpa kebinasaan, kehinaan dan kenistaan.

Apa yang diluahkan oleh Ibnu Khaldun ternyata berlaku dalam masyarakat hari ini. Ibnu Khaldun menyaran kepada penguasa atau pemimpin yang berkuasa agar berhati-hati ketika menjalankan tugas. Beliau yang juga pernah dilantik sebagai elit pemerintahan, memperhatikan fenomena ini berlaku sejak zaman-zaman sebelumnya, iaitu kekuasaan secara automatik mengandungi godaan.

Menurut Ibn Khaldun ada tiga jenis godaan; pertama, kekuasaan itu secara langsung boleh menimbulkan godaan terhadap kemegahan diri apabila sering disanjung dan dipuja. Ia sesuatu yang sukar untuk ditinggalkan. Justeru pemimpin seperti ini sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan kekuasaan yang ada padanya.

Kedua, godaan itu berkaitan dengan harta dan wang. Entah kenapa, jika seseorang itu memiliki kekuasaan, harta dan wang itu bagaikan datang ke rumahnya secara benar atau tidak benar. Soal agama bukan lagi menjadi sandaran, sebaliknya harta dan wang itu merupakan jaminan untuk dia mempertahankan kekuasaan itu.

Ketiga, kekuasaan itu menggoda seorang pemimpin dalam bentuk lain. Wanita turut serta menggoda dalam rangka kekuasaan itu. Apakah diberikan oleh orang lain ataupun dicari sendiri, namun ada saja wanita yang turut dalam godaan ini.

Ramai juga pemimpin jatuh angkara pembodek yang mempunyai hubungan dengan penguasa  tanpa sekatan dan kawalan. Para pembodek ini, tanpa memikirkan kesan dan akibat terhadap keselematan negara, memberi masukan dan makulmat yang salah kepada pemimpin. Malangnya, ramai pemimpin menerima bulat-bulat segala maklumat yang diberikan oleh pembodek tanpa proses pengesahan dan kaji selidik terlebih dahulu sehingga dasar dan keputusan yang dibuatpun belum tentu dilandasi oleh kebenaran.

Sikap kumpulan dan pihak tertentu yang mengadudombakan kuasa dengan memperlekehkan keupayaan orang lain merupakan satu hakikat sejarah politik yang diwarisi oleh peradaban manusia. Sejarawan pernah memberikan amaran, akibat fitnah dan dakyah oleh pihak tertentu boleh merosakkan keamanan sesebuah negara, bahkan dalam kebanyakan kes, runtuhnya sesebuah kerajaan mempunyai kaitan rapat dengan ikhtiar pihak asing.

Keruntuhan Irak yang dipimpin oleh Saddam Hussein mempunyai kaitan rapat dengan pembohongan sebuah negara yang mahu kekal sebagai kuasa hegemoni menerusi kempen pembasmian senjata pemusnah besar-besaran. Atas alasan itulah Irak diserang pada tahun 2003 dan selepas sepuluh tahun berlalu, permbohongan tersebut menjadi realiti, tidak terdapat senjata pemusnah yang didakwa.

Tindakan sedemikian amat bertentangan dengan kaedah politik sihat dan berhemah yang dikemukakan oleh Al-Ghazali dan lain-lain pemikir politik Islam. Proses penukaran seseorang pemimpin perlu dilaksanakan secara bertertib, dan jika bersetuju dengan prinsip demokrasi, maka rakyatlah yang berhak menentukan keputusannya. Keputusan rakyat bukan sahaja memberikan seseorang pemimpin itu kuasa, ia juga membawa tanggungjawab dan amanah.

Keputusan Perdana Menteri menyusun semula barisan kabinet tidak sepatutnya dilihat sebagai satu bentuk penyingkiran politik sebaliknya patut diterima sebagai satu bentuk perubahan untuk memperkuatkan keupayaan kerajaan memenuhi tanggungjawab kepada rakyat. Dalam konsep politik, prinsip tanggungjawab bersama (collective responsibility) wajib dijadikan asas membentuk keyakinan rakyat. Penggantian menteri kabinet bukanlah sesuatu yang di luar kelaziman, ia berlaku sepanjang masa bila mana Perdana Menteri merasakan seseorang menteri yang dilantik mengabaikan prinsip tanggungjawab bersama.

Dalam Islam sendiri mempunyai banyak contoh bagaimana di zaman Rasullullah SAW, seseorang yang menganggap dirinya layak dilantik tidak dilantik sebagai pemimpin. Misalnya, baginda pernah menolak permintaan Abu Zhar al-Ghafiri walaupun beliau berusaha melobi mendapatkan jawatan sebagai gabenor. Baginda memilih orang lain berdasarkan kelayakan dan keupayaannya melaksanakan prinsip tanggungjawab bersama membangunkan Islam.

Berdasarkan etika politik al-Ghazali, prinsip kemaslahatan rakyat merupakan asas pentadbiran yang utama, maka apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri adalah untuk meningkatkan keyakinan rakyat kepada kerajaan setelah mereka yang digugurkan melanggar prinsip tanggungjawab bersama. Dalam politik, tidak wajar   “sebuah kapal mempunyai banyak nakhoda” kerana perbezaan pendirian boleh membawa padah kepada rakyat dan negara.

Imam al-Ghazali pernah menegaskan,  kekuasaan dan kekuataan yang ada dalam diri seorang pemimpin mestilah berteraskan kepada kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Seorang pemimpin mestilah menumpukan seluruh kemampuannya untuk menjamin kepentingan rakyat. Apabila seorang pemimpin sanggup menipu rakyatnya demi kekuasaan atau jawatan yang digenggamnya atau mel0njak naik dengan menjatuhkan orang lain, maka sesungguhnya ia mempertaruhkan institusi negara menuju kemusnahan dan kerosakan.  Itulah sebabnya Al-Ghazali memberikan amaran, kerosakan sesebuah negara adalah disebabkan rosaknya pemimpin.

No Comments

    Leave a reply