LBGT PERLU DIDEKATI SECARA MESRA DAN MENDIDIK

KHUTBAH JUMAAT (13 Julai 2018) Masjid Matrikulasi Jengka, Pahang mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Ketua Hakim Negara berkemungkinan akan membuka ruang kepada tuntutan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LBGT) hanya berdasarkan petikan yang tidak lengkap dari satu wawancara yang lakukan oleh portal Malaysiakini.

Malaysiakini pada 6 Julai 2018, iaitu empat hari selepas Datuk Dr Mujahid Yusuf mengangkat sumpah sebagai Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) dalam kabinet Malaysia Baharu menyiarkan laporan wawancara tersebut. Dalam wawancara itu, Datuk Dr Mujahid antara lain menjelaskan bahawa “Perbuatan LGBT haram. Kalau buat sembunyi-sembunyi pun tetap haram tetapi itu antara dia dan Allah. Allah akan membalas di atas perbuatan mereka. Tetapi kalau mereka secara terang-terangan beritahu dan kata seronok dengan perbuatan itu, kita boleh ambil tindakan”.

Oleh kerana sebahagian warga media sosial (netizen) mempunyai keinginan untuk mengeskploitasi apa sahaja kenyataan yang dibuat oleh seseorang menteri dan stigma itu menjadi tular dengan cepatnya. Sebahagian warga media sosial mengambil hanya sebahagian daripada kenyataan itu sehingga menimbulkan ‘rasa marah’ dan dilihat ‘bakal mengiktiraf LBGT dan aktiviti’ mereka.

Sebelum ini, setiap aktiviti LBGT ditentang kuat oleh pelbagai pihak, dari orang perseorangan hinggalah pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atas alasan ia bertentangan dengan susila kehidupan bermasyarakat dan beragama. Secara jelasnya, semua agama samawi mengharamkan LBGT, kerana ia bertentangan dengan fitrah manusia. Agama, yang pada pengertian literalnya, membawa maksud ‘tidak kacau’, iaitu suatu kaedah moral yang menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh setiap manusia dalam kehidupannya.

Bagi agama Kristian, dalam New International Version Bible, Deuteronomy 22:5 (halaman 296) menyebut : A woman must not wear men’s clothing, nor a man wear women’s clothing, for the Lord of God detest anyone who does this” Terjemahannya, “ Orang perempuan tidak boleh berpakaian saperti laki-laki dan orang laki-laku tidak boleh berpakaian saperti perempuan, sebab orang yang berbuat begitu dibenci Tuhan

Agama Islam, Rasullullah SAW besabda: Daripada Ibn Anas R.A berkata: Rasullullah SAW melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Agama Yahudi, dalam kitab Torah, surah Leviticus 18:22 menyebut: ” Thou shall not lie with mankind as with womankind; it is abomination”. Terjemahannya, “Dilarang bagimu berhubungan saperti suami isteri dengan sesama lelaki sebagaimana kamu melakukannya dengan wanita; sesungguhnya perbuatan itu adalah perbuatan berdosa”.

Dalam surah yang sama 20:13 pula dijelaskan: “And if a man lie with mankind, as with womankind, both of them have committed abomination: they shall surely be put to death; their blood shall be upon them.” Terjemahannya, “Dan jika seorang lelaki berhubungan suami istri dengan sesamanya seperti dia berhubungan dengan wanita: Mereka harus dibunuh: dan disimbah dengan darah mereka sendiri.

Jelaslah dari tiga agama samawi, LBGT yang dikaitkan dengan aktiviti homoseksual amat dilarang dan perbuatan itu tetap berdosa. Bahkan daripada cebisan sejarah, ada tafsiran terhadap pelakuan homoseksual sebagai tindakan yang mengakibatkan pelbagai kerosakan besar, bukan sahaja kepada nilai kehidupan bahkan kemegahan kotaraya Pompei turut terbakar hangus.

Pada tahun 1594, sekumpulan pekerja telah menggali sebuah terowong di kaki gunung berapi Vesuvius bagi tujuan mendapatkan sumber air bersih untuk kegunaan penduduk setempat. Bagaimanapun, kerja-kerja tersebut terpaksa dihentikan apabila pasukan tersebut menemui beberapa artifak aneh ketika melakukan penggalian. Setelah berita penemuan artifak aneh itu tersebar luas, ia membuka kepada proses penggalian yang lebih besar dan luas.

Pada tahun 1631, Gunung Vesuvius kembali meletus sebanyak tujuh kali dengan memusnahkan apa sahaja yang berada di situ, termasuklan kawasan penemuan artifak aneh berkenaan. Tujuh puluh enam tahun kemudian (1707), kerja-kerja penggalian dimulakan sekali lagi dan kali ini ia diketuai leh Putera d’Elboeuf. Akhirnya mereka menemui kehidupan yang tertimbus di kota purba itu.

Mereka menemukan sekumpulan jasad manusia yang telah menjadi batu ketika sedang menjamu selera.  Penemuan itu turut memperlihatkan wajah sebenar kehidupan di kota purba  dengan puluhan jasad manusia sedang mengadakan hubungan seks luar tabie bertukar menjadi batu.

Bagaimanapun,  kota Pompei yang didirikan pada tahun 6 Sebelum Masihi oleh etnik OSCI atau OSCAN di Itali merupakan sebuah kota seni bina yang begitu cemerlang dan memukau. Kota itu juga membangun sebagai sebuah pusat pelacuran pada mulanya telah bertukar menjadi kota yang dipenuhi dengan kegiatan melampaui batas kemanusiaan, iaitu homoseksual.

Amukan Gunung Vesuvius telah menyebabkan kota Pompei dibanjiri oleh lumpur gunung berapi sehingga tidak ada seorang pun yang terselamar. Kebanyakan jasad yang ditemui bertukar menjadi batu dan diselimuti debu gunung berapi.

Peristiwa sedemikian tidak menakutkan manusia kemudian apabila mereka semakin lantang memperjuangkan prinsip kebebasan dan hak asasi. Mereka mentafsirkan ‘kebebasan dan hak asasi’ yang dijamin oleh undang-undang antarabangsa dan juga terkandung dalam Perlembagaan Malaysia sebagai ‘kebebasan mutlak’ yang tidak boleh dipertikaikan. Mereka mahukan aktiviti LBGT diiktiraf manakala keputusan untuk berkahwin sesama jantina, bebas menukarkan alat kelamin diberikan taraf sebagai ‘perkahwinan yang sah’.

Di Malaysia, dai segi undang-undang LBGT diharamkan manakala perkahwinan sejenis tetap tidak dibenarkan. Bagaimanapun, atas tuntutan kebebasan dan hak asasi mereka berusaha mencabar larangan tersebut sehingga sering berlaku penganjuran pelbagai bentuk aktiviti perhimpunan, jamuan makan malam, majlis berbuka puasa (iftar) dan pelbagai bentuk pertandingan dan perjumpaan dalam kalangan mereka.

Desakan itu menjadi semakin ‘liar’ apabila terdapat sekumpulan pengamal undang-undang menyebelahi mereka dengan memberikan alasan bahawa, undang-undang yang ada tidak menyekat hak dan kebebasan setiap orang untuk memilih sama ada mengekalkan fizikal dan sahsiahnya sebagai lelaki ataupun menukarkan ‘kejadian asal’nya menjadi perempuan atau di sebaliknya.

Perjuangan itu dikatakan bermula di Barat. Proses globalisasi telah ikut membawa budaya berkenaan sehingga kini dianggarkan lebih 70,000 orang rakyat Malaysia mengamalkan kehidupan bercirikan LBGT. Dianggarkan juga, daripada jumlah tersebut, 80 peratus adalah dari kalangan anak-anak muda Melayu. Atas kehendak komersialisasi, pelbagai produk yang pada awalnya dicipta untuk perempuan, turut dicipta untuk kegunaan lelaki. Dan, kerana itulah semakin ramai lelaki menggunakan kosmetik sehingga ada yang sanggup berhias dan melakukan pembedahan untuk menjadi seorang wanita.

Dr Mujahid, sebelum dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam adalah Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar, Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN). Ketika mengemukakan laporan tersebut pada tahun 2014, Dr Mujahid menjelaskan “Rang Undang-undang Keharmonian Nasional dan Rekonsiliasi perlu diadakan bagi mengelakkan antara lainnya, kebencian terhadap lain-lain agama dan tidak ada diskriminasi terhadap LBGT di tempat kerja.

Dalam kenyataan terbaharunya di Dewan Rakyat, Dr Mujahid terus mengulangi pendiriannya bahawa ‘golongan mak nyah tidak wajar didiskriminasikan’ di tempat kerja kerana apabila berlaku diskriminasi akan mendorong mereka membabitkan diri dalam ‘industri seks’. Industri seks dilarang dalam undang-undang negara.

Menurut Dr Mujahid, berdasarkan data kajian, 80 peratus mak nyah atau pondan melibatkan diri dalam industri seks. Pembabitan itu disebabkan oleh stigma buruk masyarakat yang melihat mak nyah sebagai sekumpulan manusia yang jijik, jelek dan negatif. Mereka bukan sahaja dicela dan dicerca, bahkan tidak diterima hidup secara ‘manusiawi’ dalam masyarakat sedangkan mereka adalah manusia.

Atas sebab itulah bagi Dr Mujahid, kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan agawan wajar  melakukan ‘pendekatan mesra’ untuk mengajak setiap orang yang ‘menggemari dan mengamalkan kehidupan sebagai LBGT’ kembali ke pangkal jalan.

Memang sukar untuk mengajak mereka kembali ke pangkal jalan, tetapi menerusi pendekatan mesra, Dr Mujahid yakin masyarakat boleh ‘mendidik pengamal LBGT’ kembali ke fitrah asalnya. Ada beberapa cerita kejayaan yang perlu dikongsikan secara berhemah, bagaimana akhirnya pengamal LBGT berjaya membuang tabiatnya dan menjalani kehidupan normal.

Mungkin bagi Dr Mujahid, walaupun perbuatan mereka itu menyalahi prinsip agama dan undang-undang, mereka perlu diberikan peluang kedua untuk menjalani kehidupan normal sebagaimana yang dilakukan oleh banyak pihak untuk membantu ‘penagih dadah’ kembali ke pangkuan masyarakat.

LBGT juga adalah manusia, dengan cara kita melakukan diskriminasi ke atas mereka, secara psikologinya mereka akan menunjukkan sikap menentang dengan lebih keras. Itulah natijahnya kenapa Dr Mujahid mahukan golongan LBGT diberikan layanan yang baik agar mereka tertarik untuk ‘meninggalkan kehidupan songsang’ yang bukan sahaja menyalahi agama bahkan peraturan negara.

Walaupun ada pemimpin politik dan agama mengambil tindakan mengkritik pandangannya, Dr Mujahid tetap merasakan menerusi pendekatan mesra, LBGT dapat dikurangkan. Tentunya, untuk menghapuskan LBGT kita memerlukan undang-undang, tetapi, undang-undang yang keras akan menyebabkan tindak balas yang lebih besar.

Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Rozali Ismail mendakwa, peletakan jawatan aktivis LGBT tersebut oleh kerana aktivisme LGBT atau orientasi seksual beliau, adalah “sangat mengganggu”. Ini kerana Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan memberikan kesamarataan untuk semua negara.  Ramai yang melihat, kesamarataan untuk semua sebenarnya tidak berkaitan dengan perubahan orientasi seks, kesamarataan adalah dari segi hak untuk mengamalkan kehidupan normal. LBGT adalah kehidupan abnormal.

Menurut Datuk Dr Mujahid Bin Yusof dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Seksyen 377A Kanun Keseksaan dengan jelas membuktikan LBGT tidak dibenarkan di negara ini, Gaya hidup tersebut adalah ‘haram’ dan perlakuannya adalah tetap haram di sisi Allah SWT. Ia tetap berdosa walaupun dilakukan secara sulit dan sembunyi-sembunyi. Undang-undang hanya boleh dikuatkuasakan apabila perbuatan itu dilakukan dengan bukti, termasuklah pengamalnya mengakui secara terbuka dan menceritakan keseronokannya terang-terangan.

Saperti ditegaskan oleh agama Islam, sekiranya perbuatan itu dilakukan secara tertutup dan bersembunyi, tidak menjadi kewajiban bagi setiap orang untuk ‘mencari apa yang tersembunyi’ itu kecualilah mempunyai asas yang kukuh. Pihak penguatkuasaan boleh bertindak sekiranya ‘ada aduan’ dan boleh diambil tindakan selepas adanya bukti yang kukuh. Kalau sekadar ‘hearsay’ ia belum cukup untuk dijadikan bukti dan diambil tindakan. Prinsip undang-undang perlu dihormati.

Itulah kenyataan Dr Mujahid yang telah dimanipulasikan menjadi satu bentuk pemberitaan negative. Pemberitaan negatif sedemikian dipanggil churnalism oleh seorang wartawan veteran dari United Kingdom, iaitu Nick Davies. Pemberitaan sedemikian muncul kerana ‘wartawan yang muncul kemudiannya’ tidak mendekatkan dirinya dengan sumber, sebaliknya lebih gemar memetik petikan tertentu daripada orang lain. Petikan itu kemudiannya diambil sebahagiannya sahaja, yakni bahagian yang boleh menyokong stigma negatif yang ingin disampaikan.

Tindakan sedemikian bukanlah perkara baharu. Ia berlaku sejak sekian lama apabila manusia menjarakkan dirinya dengan kebenaran dan menggunakan generalisasi tergesa-gesa untuk memburuk-burukkan seseorang. Prinsip propaganda sedemikian sudah terbentuk sejak sekian lama, dan kini, ia menjadi lebih mudah apabila berkembangnya media sosial kerana setiap orang boleh menulis apa pun tanpa ‘menyemak sesuatu kenyataan secara tepat dari sumber asal’.

Dalam isu ini, Dr Mujahid menjadi sasaran kumpulan tertentu bagi melebarkan pelabelan bahawa dirinya termasuk dalam kumpulan ahli politik berfikiran liberal sedangkan pada asasnya, mereka yang membuat dakwaan itu sendiri belum cukup mendalami erti toleransi dan Islam tanpa eksteremisme. Inilah yang sedang dimajukan oleh Dr Mujahid untuk menjadikan Islam benar-benar difahami sebagai rahmatan lil alamin, Islam yang mendatangkan kerahmatan dan faedah untuk seluruh manusia, bukannya Islam yang bertengkar dan berbalah sesama sendiri hanya atas alasan berbeza ideologi politik.

LBGT misalnya boleh dikurangkan menerusi pendekatan mesra, kerana Islam itu adalah agama yang menganjurkan pembudayaan kasih sayang. LBGT perlu diberikan layanan yang baik, bukan dikategorikan sebagai musuh, kerana mereka adalah manusia yang melakukukan sedikit kesilapan. Mereka perlu dipulihkan menerusi pendekatan mesra dan pendidikan kasih sayang, dan ini tidak bermakna, kita mengiktiraf mereka dan mengubah larangan agama. Ia hanya suatu bentuk pendekatan untuk memulih dan mendorong mereka kembali ke kehidupan yang normal dan beriman.

Mahanor Saleha

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply