LGBT BUKAN HAK UNDANG-UNDANG DAN HUKUMNYA JELAS

Hak golongan lesbian, gay, bisexual, transgender (LGBT) menjadi isu hangat di Malaysia sedikit masa ini. LGBT ini seolah semakin lantang diperjuang dan didengari. Atas dasar hak asasi dan hak kebebasan, penyokong kepada segmen LGBT mahukan masyarakat menerima dan memberi pengiktirafan kepada mereka; sama dengan menghilangkan stigma atau membenarkannya melalui perundangan. Dengan kata lain kumpulan ini bukan sahaja mahukan pengeculian daripada amalan diskriminasi, tetapi mereka mahukan pengkiktirafan dari sudut undang-undang negara dan sekiranya boleh undang-undang jenayah terhadap kumpulan ini mahu dimansuhkan.

Bagi golongan ini hak kebebasan dan hak asasi haruslah diberikan dan seterusnya dijamin ke atas kepada semua golongan tanpa mengambil kira orientasi jantina atau identiti gender (sexual orientation or gender identity) mereka.

Walaupun perkara ini bukanlah sesuatu yang baharu di negara ini, ia menjadi isu kerana sesetengah pihak membuat tuntutan penerimaan dan pengiktirafan dibuat secara terbuka.

Di peringkat antarabangsa pula pada Disember 2008 Belanda dan Perancis membuat cadangan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk meluluskan satu deklarasi pengiktirafan orientasi jantina dan identiti gender. Usaha ini mendapat sokongan Eropah dan telah ditentang oleh negara-negara liga Arab. Sebelum itu, pada tahun 2006, The Yogyakarta Principles telah diisytiharkan, antara bagi menjadikan LGBT sebagai satu aspek pengecualian daripada diskriminasi.

Cadangan tersebut antara lain, mengutuk sebarang bentuk kekejaman, gangguan, diskriminasi, penyisihan, pencelaan dan prejudis terhadap golongan LGBT. Cadangan itu juga mengutuk sebarang pembunuhan, pendakwaaan, penganiayaan, tangkapan secara melulu dan juga halangan atau pelucutan hak ekonomi, sosial dan kebudayaan terhadap golongan ini. Cadangan ini mendapat pujian banyak pihak kerana ia dikatakan sebagai pembuka tirai kepada perbincangan mengenai hak-hak golongan LGBT yang dianggap taboo oleh masyarakat PBB. Mereka yang menentang mengkritik cadangan ini menggunakan hujah agama dan sekatan terhadap hak kebebasan peribadi. Sehingga kini cadangan tersebut belum lagi mendapat pengiktirafan PBB.

Bagi negara kita Malaysia, persoalan yang perlu kita sama-sama jawab ialah, adakah kemodenan, hak kebebasan dan hak asasi memberi kita tiket untuk menerima idea hak asasi liberal Barat seperti LGBT ini? Adakah Malaysia patut mengutamakan dasar internationalization hak asasi dan hak kebebasan sebagaimana acuan Barat? Adakah masyarakat Malaysia harus mengorbankan nilai moral, budaya dan agama yang telah sekian lama berakar umbi di tanah ini?

Sekiranya kita rujuk kepada salasilah undang-undang yang menjenayahkan perlakuan hubungan sejenis ia bukan sahaja berasal daripada agama Islam, malah ajaran agama lain juga pada asalnya tidak mengiktiraf hubungan sejenis. Lihat saja debat Hart and Devlin berkaitan Laporan Wolfendon. Cendikiawan Barat pada masa itu bertelagah sesama sendiri mengenai sama ada mereka harus menolak atau menerima saja nilai-nilai moral di dalam masyarakat mereka.

Hakikatnya, walaupun ada negara-negara di dunia yang membenarkan atau mengiktiraf LGBT, masih ada golongan tertentu yang tidak berasa senang dengan keadaan tersebut. Ia tidak disokong sepenuhnya oleh semua ahli masyarakat.

Kanun Keseksaan dan Kesalahan Luar Tabii

Dalam perundangan Malaysia, melalui peruntukan dalam Kanun Keseksaan, kita lihat pada Bab XVI, dalam peruntukan berkaitan Kesalahan-Kesalahan Luar Tabii, bermula dari seksyen 377 sehingga 377E menyenaraikan beberapa kesalahan dan hukuman berkaitan perbuatan seksual luar tabii. Berkaitan di sini, antara lain, seksyen 377A dan 377B yang dimasukkan ke dalam Kanun Keseksaan ini melalui pindaan pada tahun 1989 menyatakan bahawa perbuatan melakukan hubungan seks melalui cara luar tabii boleh dihukum sehingga 20 tahun penjara dan juga boleh dihukum sebat. Seksyen 377C pula menyatakan bahawa sekiranya perbuatan tersebut dilakukan tanpa kerelaan, sekiranya seseorang itu didapati bersalah, hukuman yang boleh dikenakan oleh mahkamah ialah antara 5 sehingga 20 tahun; tidak boleh kurang daripada 5 tahun dan tidak boleh melebihi 20 tahun.

Pindaan pada tahun 1989 ini menunjukkan keseriusan perundangan kita dalam menanganai gejala perlakuan seksual yang bercanggah dengan ajaran agama walaupun ia tidak semestinya dibuat dengan berhujahkan agama. Fitrah kemanusiaan boleh juga menjadi asas kepada peruntukan undang-undang kerana fitrah manusia tidak dapat dinafikan.

Mungkin ada yang berhujah bahawa undang-undang kita harus berubah. Undang-undang harus menjadi dinamik dan mengikut peredaran global. Oleh itu undang-undang harus mengiktiraf LGBT, sebagaimana negara-negara lain. Hujah sebegini tidak tepat di dalam konteks negara ini.

Kita mempunyai Islam sebagai agama negara. Kita juga mempunyai institusi-institusi agama yang tidak dipisahkan daripada negara. Undang-undang kita berasaskan agama. Falsafah negara kita juga mengutamakan kesopanan dan kesusilaan. Wawasan negara, antara lain, ialah untuk membina masyarakat yang bermoral dan berpegang teguh dalam nilai agama dan rohani yang paling tinggi.

Negara kita tidak seperti negara-negara barat yang memisahkan antara agama dan negara. Sekiranya mereka meletakkan agama sebagai perkara peribadi, itu tidak benar di dalam Islam dan ia tidak benar di negara ini. Islam bukan sahaja menjelaskan hubungan peribadi seorang manusia dengan Pencipta, Islam juga menggariskan cara hidup tertentu kepada penganutnya. Perbuatan menolak agama dan menutup telinga terhadap hujah agama menjadi masalah utama.

Perundangan Negara tidak boleh Mengiktiraf LGBT
Saya tidak fikir ini harus diterima di Malaysia kerana ia amat bertentangan dengan nilai moral, budaya dan agama negara ini. Walaupun LGBT sebenarnya wujud dan merebak di sini, ia tidak bermakna Malaysia harus mengiktirafnya secara terbuka atau juga mengesahkannya melalui perundangan negara.

Kita perlu megekalkan nilai moral, budaya dan agama dalam alam sosial masyarakat kerana ia memainkan peranan penting dalam menyediakan satu tanda aras kepada kualiti dan kredibiliti masyarakat. Prinsip moral, budaya dan agama hendaklah dijadikan penanda aras atau piawaian kepada prinsip-prinsip hak asasi. Kita juga hendaklah menegaskan bahawa prinsip hak asasi di Malaysia ini amat berbeza dengan falsafah hak asasi yang dibawa dari Barat. Apa yang dipentingkan di dalam falsafah hak asasi tajaan barat ialah kehendak manusia yang disandarkan kepada logik akal atas tiket kebebasan tanpa sempadan. Di Malaysia, prinsip-prinsip moral, budaya dan agama bukan sahaja mendapat perhatian undang-undang, termasuk undang-undang tertinggi negara, malah juga ciri-ciri hidup asal masyarakat negara ini.

Semua pihak, terutama pihak-pihak yang terlibat secara langsung mengenai isu LGBT di negara ini harus mengambil perhatian terhadap banyak perkara selain daripada aspek moral, budaya dan agama.

Sensitiviti masyarakat secara keseluruhan harus diambil kira. Ini kerana apa jua tindakan pihak-pihak berkenaan, sama ada mahu atau pun tidak, akan secara terus melibatkan masyarakat keseluruhannya, bukan sahaja golongan LGBT. Ini kerana ia lumrah kehidupan yang setiap individu di dalam satu masyarakat tidak dapat lari daripada terlibat dan berurusan dengan individu yang lain di dalam masyarakat tersebut. Ia adalah sifat egois sekiranya seseorang itu menolak kehidupan bermasyarakat kerana manusia secara semulajadi perlu hidup bermasyarakat.

Pihak-pihak berkenaan juga harus mengambil perhatian terhadap kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tidak keterlaluan jika saya katakan masyarakat Islam yang mempercayai dan beramal dengan cara hidup Islam sepenuhnya tidak akan merelakan perkara seperti ini diiktiraf oleh undang-undang negara. Cukuplah sudah dengan masalah-masalah sosial lain yang sedang dihadapi umat Islam dan masyarakat Malaysia.

Selain daripada itu, ideologi negara juga perlu direalisasikan. Begitu juga dengan prinsip-prinsip kepercayaan kepada Tuhan dan kesopanan dan kesusilaan yang ada di dalam rukun negara harus juga diambil peringatan yang sewajarnya walaupun ia bukanlah dasar perundangan negara.

Perspektif Perundangan Islam – Dalil-Dalil Berkaitan Hukuman Homoseksual
Sesungguhnya tiada perbezaan dalam kalangan ulamak Islam mengenai pengharaman perbuatan homoseksual. Homoseksual ini dimaksudkan sebagai orang yang tertarik nafsu syahwatnya kepada orang yang sejenis dengannya, terutamanya antara dengan lelaki. Saya dapati tafsiran ini daripada Kamus Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka. Sekiranya di lihat kepada tafsiran ini, homoseksual bukan bermaksud hubungan seksual antara lelaki dan lelaki, tetapi, ia hanya merujuk kepada tarikan seksual. Sekiranya mahu dihujahkan, sekiranya tertarik nafsu syahwat adalah sesuatu yang diharamkan, maka perbuatan seksual itu juga adalah diharamkan.

Ulamak menggunakan istilah liwat untuk hubungan seksual antara lelaki dan lelaki dan musahaqah untuk hubungan antara perempuan dan perempuan. Kedua-dua hukumnya adalah haram.

Walaupun berbeza mengenai hukumannya, ulamak mencapai kata sepakat tentang haramnya homoseksual secara ijma; iaitu secara persetujuan sebulat suara dalam kalangan ulamak Islam. Sebagai sumber hukum Islam, ijma adalah antara sumber ketiga yang paling tinggi dalam sistem perundangan Islam selepas al-Quran dan Sunnah.

Sekiranya berlaku liwat majoriti ulamak Islam meletakkan hukumannya sama seperti hukuman kepada penzina, kecuali pandangan Imam Abu Hanifah. Asas kepada hukum pengharaman ini ialah al-Quran dan hadith. Antara ayat-ayat al-Quran yang berkaitan ialah, surah al-Araf (7) ayat-ayat 80 hingga 84; surah ash-Shuara (26), ayat-ayat 165 hingga 174, surah Hudd (11) ayat-ayat 80 hingga 81, surah al-Hijr (15), ayat-ayat 51 hingga 60. Ayat-ayat suci ini menceritakan mengenai kaum Nabi Lut yang telah dihukum Allah dengan seksaan yang dahsyat sehingga mereka dihapuskan dari dunia ini.

Antara ayat-ayat suci al-Quran ini menggunakan istilah mujrimin kepada mereka yang tertarik kepada kaum sejenis. Perkataan mujrimin ini ditafsirkan sebagai orang-orang yang berdosa. Dalam konteks undang-undang jenayah perkataan ini boleh ditafsirkan sebagai yang melakukan jenayah kerana kata asal kepada perkataan mujrimin ini alah jurm iaitu antara perkataan yang ditafsirkan sebagai jenayah dan boleh dihukum melalui proses perundangan.

Ada antara ayat-ayat suci ini yang menyebut mengenai status homoseksual sebagai orang-orang yang melampaui batas.

Selain daripada ayat-ayat suci al-Quran, terdapat juga hadith-hadith Rasulullah berkaitan homoseksual dan perbuatan liwat. Antaranya, terdapat hadis yang menyatakan mereka yang melakukan perbuatan ini dalam kemurkaan Allah.

Walaupun kedudukan ini jelas, banyak perbahasan semasa cuba membawa pandangan baharu dalam hal ini.

Terdapat pendapat yang menyatakan homoseksual tidak disebut secara harfiah dalam al-Quran. Ini benar kerana perkataan homoseksual itu hanya diperkenalkan pada akhir-akhir kurun ke-18. Walaupun perkataan homoseksual itu tidak disebut dengan nyata di dalam al-Quran, ini tidak bermakna al-Quran tidak mempunyai hukum mengenainya. Ayat-ayat suci al-Quran dengan jelas memberikan penerangan tentang perlakuan tersebut. Perlu diingat bahawa, adakalanya dalam konteks undang-undang jenayah, sesuatu perbuatan jenayah tidak semestinya mempunyai nama tertentu adakalanya memadai sekiranya perbuatan itu diperjelaskan menerusi perbuatan.

Sekiranya berlaku pertuduhan, adakalanya nama yang diberikan kepada sesuatu kesalahan tidak dapat memberi faham kepada tertuduh, maka cara perlakuan jenayah adalah lebih penting daripada nama kesalahan itu.

Ada juga kalangan penyokong homoseksual yang menyatakan tentang hukuman homoseksual adalah hanya kecenderungan para alim ulamak.

Sesungguhnya pendapat ini tidak benar. Sekiranya dilihat kepada ayat-ayat al-Quran di atas, sangat jelas, hukuman yang dinyatakan dalam al-Quran itu begitu terperinci. Ia bukan kecenderungan ulamak. Ia adalah peringatan yang jelas.

Dengan perincian mengenai seksaan yang dihadapi oleh kaum Lut itu, ia menjadikan perbuatan mereka (kaum Lut) itu boleh dijadikan satu jenayah yang dihukum di dunia ini sebagi peringatan dan pengajaran.

Sesungguhnya, seksaan Allah itu benar; seksaan Allah itu menyakitkan. Sama-samalah kita berpesan-pesan tentang seksaan Allah, semoga dengan berpesan-pesan begini, kita dapat menegakkan hukum Allah dan seterusnya dapat menyelamatkan orang-orang Islam daripada seksaan Allah yang benar dan dahsyat itu.

Dari sudut agama, ia amat terang kemungkarannya. Masalah akan timbul sekiranya ajaran agama diketepikan.

LGBT dalam konteks agama bukan sesuatu yang moden, ia adalah perbuatan kuno dan mereka merupakan kaum-kaum yang telah dipupuskan Allah, The Perished Nation. Kita lihat ayat-ayat suci al-Quran berkaitan ini.

Dari sudut budaya dan amalan masyarakat, ia juga begitu terserlah terpesong. Ia songsang. Begitu juga dari sudut undang-undang. Terdapat pelbagai peruntukan yang menjadikan perbuatan LGBT sebagai kesalahan. Mungkin mendedahkan diri sebagai pengamal seks songsang ini juga adalah kesalahan.

Jadi, mungkin ada yang ingin memberi pandangan, apakah alasan yang paling jitu untuk kita mengiktiraf LGBT di sini? Mungkin tiada jawapan lain, kecuali kebebasan peribadi tanpa sempadan.

Bukan Semata Menghukum, Tapi Mengubati.

Sebagai manusia, saya percaya, perasaan simpati kepada mereka yang benar-benar mengalami masalah psikologi dalam menentukan status seksualiti tidak dapat dinafikan. Mereka ini adalah pesakit yang memerlukan bantuan. Mereka berhak untuk mendapat perkhidmatan kesihatan bagi memulihkan penyakit tersebut. Kita harus berbuat sesuatu untuk golongan ini.

Namun begitu, ini tidak bermakna kita harus mengiktiraf keadaan ini dan ia tidak harus dijadikan alasan untuk membenarkan perbuatan tersebut dengan memberi pengiktirafan melalui pendekatan perundagan dan memaksa prinsip agama diubah.

Bagi mereka yang semata-mata memperjuangkan LGBT atas dasar hak kebebasan, mungkin mekanisme undang-undang perlu mengambil tempat; tetapu bukan dengan semata-mata menghukum dalam bentuk punitive, tetapi pendekatan takdib atau pendekatan pendidikan dalam penghukuman; dan lebih utama, mengubati.

Oleh
Shamrahayu A. Aziz
Pensyarah
Kulliyyah Undnag-Undang Ahmad Ibrahim
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

 

No Comments

    Leave a reply