Keesokannya, cuaca buruk dengan hujan lebat, ribut serta petir dan hujan ais melanda Shah Alam, Selangor pada kira-kira pukul 5 petang.

Kejadian itu turut mengakibatkan satu kematian dan mencederakan tiga yang lain apabila kesemua mangsa disambar petir ketika perlawanan bola sepak di padang bola milik Setia Badminton Academy di Setia Alam.

Sama ada ia kebetulan atau tidak, kejadian itu boleh dilihat sebagai amaran Allah kepada golongan yang suka melanggar perintah Allah termasuklah penyokong LGBT ini. Pandangan Islam mengenainya sudah jelas.

Ini ditegaskan oleh sabda Rasulullah SAW yang melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita. (Riwayat Bukhari)

Laknat dalam hadis di atas adalah celaan yang sangat berat kepada pelaku. Ini menunjukkan betapa kerasnya larangan Rasulullah SAW terhadap perbuatan itu.

Dalam kitab Fath al-Bari, al-Tabari menjelaskan laknat bermakna tidak harus iaitu haram. Adapun Syeikh Abu Muhammad bin Abi Hamzah berkata, laknat itu menunjukkan perbuatan tersebut adalah sebahagian daripada dosa-dosa besar.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-25 yang bersidang pada 13 Disember 1989 membincangkan Kedudukan Maknyah Dalam Islam. Muzakarah memutuskan seperti berikut:

i. Pertukaran jantina daripada lelaki kepada perempuan atau sebaliknya melalui pembedahan adalah haram dari segi syarak,

ii. Seseorang yang dilahirkan khunsa musykil iaitu manusia yang dilahirkan dengan dua alat kemaluan lelaki dan perempuan diharuskan pembedahan bagi mengekalkan salah satu alat jantina yang benar-benar berfungsi supaya dapat digunakan mengikut keadaan yang sesuai.

Malah, semua negeri di Malaysia mempunyai peruntukan undang-undang jenayah Islam tentang pondan/lelaki berpakaian wanita.

Bagaimanapun, peruntukan undang-undang ini seolah-olah dilanggar secara terang-terangan oleh segelintir individu sehinggakan ada yang mempromosikan cara hidup mereka di media sosial.

Sesungguhnya Allah SWT menjadikan makhluk itu berpasang-pasangan dan fitrahnya akan tertarik kepada jantina yang berlainan. Peraturan dan fitrah ini tidak hanya ditentukan kepada manusia tetapi juga kepada binatang dan tumbuhan.

Namun, sejarah manusia semasa zaman Nabi Luth telah melanggar fitrah ini sehingga Allah menurunkan bala yang dahsyat natijah perbuatan homoseks mereka ketika itu.

Hikmah pengharaman ini, sebagaimana dinyatakan dalam kitab Fath al-Bari, adalah kerana larangan meng­ubah ciptaan Allah sebagaimana hadis di atas.

Selain itu, ia diharamkan untuk mengelak perbuatan homoseks dan lesbian sebagaimana berlaku kepada kaum Nabi Luth a.s. (rujuk ayat 54-55 surah al-Naml)

Dalam hal ini, Utusan Malaysia pada 2 Ogos 2018 melaporkan golongan LGBT adalah kumpulan tertinggi kes baharu dijangkiti HIV iaitu melebihi 50 % daripada 3,347 individu yang menjadi penghidap virus berkenaan.

Pedulikan sesetengah negara yang membenarkan perbuatan ini secara sah di sisi undang-undang dan pasangan sejenis diberi kebenaran untuk berkahwin.

Sebabnya, jika Allah turunkan bala, bukan sahaja golongan LGBT yang kena tetapi turut menimpa kita semua. Sesungguhnya Allah SWT telah memberi peringatan dan menjanjikan azab yang pedih kepada manusia bukan hanya pada yang zalim, malah yang beriman juga.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan peliharalah dirimu daripada azab yang bukan hanya menimpa orang zalim di kalangan kamu sahaja dan ketahuilah Allah amat keras azab seksa-Nya” (al-Anfal: 25)

Imam Ahmad bin Hanbal juga meriwayatkan hadis daripada Ummu Salamah, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika timbul maksiat pada umatku, maka Allah akan menyebarkan azab (siksa) kepada mereka. Aku berkata: “Wahai Rasulullah, apakah tidak ada pada waktu itu orang-orang soleh?” Baginda menjawab: “ada”. Aku bertanya lagi: “Apa yang akan Allah perbuat kepada mereka?” Jawab Baginda: “Allah akan menimpakan kepada mereka azab sebagaimana yang ditimpakan kepada orang-orang yang melakukan maksiat, kemudian mereka akan mendapat ampunan dan keredaan dari Tuhannya”. (Riwayat Ahmad)