LOMPAT DAN MELOMPAT

Keluarnya pemimpin UMNO sama ada menjadi wakil rakyat Bebas atau menyertai Parti Warisan dan sekutu PH tidak bermakna parti yang mula bertapak di Sabah pada tahun 1994 tidak boleh dianggap bakal berkubur. Ia boleh berkubur apabila pemimpin membawa bersama pengikutnya. Politik penaungan masih lagi merupakan ciri dan bentuk sebahagian besar parti politik di Malaysia.

Budaya tukar parti kerana parti naungan tidak lagi berkuasa bukanlah fenomena baharu dalam sejarah politik Malaysia. Kesetiaan kepada parti boleh dianggap baik dan bagus ketika parti dilihat kuat dan boleh menawarkan pelbagai peluang. Inilah makna politik sebagaimana dirumuskan oleh Harold Lasswell lebih 60 tahun lalu, politik ialah siapa, mendapat apa dan bagaimana.

Hukum politik itu memberikan kita penjelasan bahawa politik bukanlah semata-mata perjuangan membela prinsip kesatuan dan espirit de corp. Pembabitan dalam politik ialah untuk mencari penghormatan dan memenuhi naluri kendiri, termasuklah menguasai kekayaan.

Ada satu tafsiran, politik adalah saperti sumber makanan bagi kumpulan serigala. Ketika makanan banyak, kumpulan serigala boleh hidup dengan rukun. Sebaliknya apabila sumber makanan semakin sukar, serigala akan berkelahi sesama sendiri dan seterusnya lari meninggalkan kumpulan asalnya.

Serigala-serigala itu akan membentuk kumpulan kecil untuk bergabung dengan kawanan baru yang sedang ghairah mendapat kawanan baru bagi perkuatkan kedudukan atau koloninya yang baru muncul.

Benar atau tidak gambaran itu sangat tergantung kepada bagaimana politik itu difahami. Sekurang-kurangnya dapat difahami bahawa dalam politik, oportunis adalah kumpulan yang bukan kecil dan mereka sentiasa mencari peluang untuk memenuhi tuntutan kendiri.

Ketika peluang itu muncul, oportunis akan mencari alasan untuk mewajarkan tindakan termasuklah menjaga kepentingan pengundi dan melondehkan kepimpinan parti asal.

Tindakan itu menghasilkan sekurang-kurangnya tiga tanda tanya besar. Ketika merancang membuat keputusan, adakah pengundi yang memberikan mandat telah dirundingkan secara meluas dan mendapat keputusan yang direstui?

Pertanyaan kedua ialah, di manakah moral seorang ahli politik yang sudah mendapat faedah dari parti lama? Adakah hasrat itu diberitahu kepada kepimpinan parti? Kalau ada, apa reaksinya? Kalau tidak, ia amat jelas bertentangan prinsip politik bermoral. Ia seolah-olah “lari dari rumah” atau “keluar ikut tingkap”.

Pertanyaan ketiga, setelah sekian lama ‘menuai buah’ apakah di ladang baharu itu akan peroleh buah yang lebih manis? Tentunya dalam keadaan ia mungkin, dan kemungkinan itu bukanlah diraih semua orang. Juga tidak mungkin mendapat buah yang lebih manis, sebab sebahagian ladang sudah dimiliki atau ada penjaganya.

Politik menjadi kotor kerana di dalamnya memang ramai oportunis. Sebab itulah dalam parti ada kabilah dan juga ada antagonis. Mereka akan taat kepada pemimpin apabila pemimpin dapat memenuhi ‘bargaining’.

Orang politik tidak akan setia dengan parti tanpa ada imbalannya. Itulah hukum politik yang tidak dilafazkan secara nyata, tetapi dapat difahami secara tersirat. Ia membawa kepada falsafah yang lain, matlamat menghalalkan cara.

Medan Tuanku, KL..10 mlm

Sumber : Facebook Abdul Kahar Harun

Tags: , , ,

No Comments

    Leave a reply