LOMPATAN DAN LONJAKAN TERTINGGI SEPANJANG HIDUPNYA

Kareem Abdul Jabbar diakui oleh kebanyakan pemain bola keranjang (basket ball) sebagai salah satu pemain bola keranjang tersohor sepanjang masa. Shooting, slam dunk, rebound, block, mahupun aksi lainnya, begitu memukau. Seringkali lawannya mengalami kesukaran untuk menghalang keagresifan pemain yang memiliki ketinggian 2.18 meter ini.

Dengan sokongan sosok tubuhnya yang begitu tegapdan  tinggi, Kareem Abdul Jabbar sering menampilkan aksi yang memukau. Lompatan dan lonjakannya sering mengundang kekaguman sama ada di kalangan para penonton mahupun pasukan lawan. Dengan aksi dan kejayaannya membawa kelabnya meraih kejuaraan, Kareem Abdul Jabbar pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik dalam liga bola keranjang Amerika Syarikat (NBA  Most Valuable Player). Gelaran itu diraihnya sebanyak enam kali.

Selama bermain di arena NBA, beliau berjaya mencipta rekod sebagai penjaring dengan angka tertinggi sepanjang masa dengan 38.387 mata. Oleh sebab itu, beliau digelar ‘Raja Bola Keranjang’.

Karier lelaki kelahiran New York City, 16 April 1947, di arena bola keranjang Amerika Syarikat bermula ketika bermain untuk pasukan bola keranjang kampus, Universiti California, Los Angeles (UCLA). Aksi-aksinya dalam pasukan UCLA, mendapat perhatian serius para jurulatih bola keranjang Amerika Syarikat ketika itu.

Pada tahun 1969, beliau menerima tawaran bermain di peringkat tertinggi di Amerika Syarikat(NBA) dengan menyertai kelabMilwaukee Bucks. Di kelab barunya itu, beliau turut meninggalkan impak yang besar dan berpengaruh dengan meraiht gelaran juara NBA musim 1970-1971.

Pada 1975, beliau menyertai pasukan berprestij di Los Angeles, iaitu LA Lakers. Di kelab itulah karier Kareem semakin berkembang. Beliau berjaya membawa LA Lakers meraih sejumlah gelaran juara untuk kelabnya itu. Di samping itu, beliau juga berjaya meraih gelaran peribadi, iaitu sebagai pemain terbaik NBA. Di kelab tersebut, ia bermain dari tahun 1975 hingga 1989.

Memeluk Islam

Berdasarkan aksi-aksinya yang hebat itu, Kareem menjadi salah satu pemain handalan NBA All-Star dan Amerika Syarikat dalam sukan terbesar dunia, Olimpik. Beliau juga menjadi pemain kebanggaan negara Uncle Sam tersebut. Tidak hanya itu, beliau juga merupakan pemain kebanggaan umat Islam di seluruh dunia.

Ya, pemain yang memiliki nama lengkap Ferdinand Lewis Alcindor Junior (Jr) ini, adalah salah seorang atlet NBA yang memeluk Islam. Beliau mengisytiharkan dirinya sebagai seorang Muslim pada waktu kariernya sedang memuncak.

Ketika itu, selesai sahaja meraih gelaran juara NBA bersama kelab Milwaukee Bucks pada tahun 1971, dan pada saat yang sama meraih gelaran pemain terbaik (Most Valuable Player, MPV) dan ‘Rookie of the Year’ (Pendatang Baru Terbaik) dalam Liga NBA, Kareem menyatakan bahawa beliau telah memeluk Islam. Perpindahan kepercayaan daripada Katholik menjadi Muslim ini, dirasakannya sebagai suatu ‘lompatan dan lonjakan’ tertinggi sepanjang hidupnya.

Ayahnya, Ferdinand Lewis Alcindor Sr, dan ibunya, Cora Lilian, adalah seorang pemeluk Katholik. Oleh hal demikian itu, sejak kecil beliau mendapat pendidikan di sekolah Katholik. Beliau dimasukkan ke Saint Jude School. Ketika berada di di sekolah menengah atas, beliau membawa pasukan bola keranjang sekolahnya menjuarai New York City Catholic Championship.

Perkenalan Kareem dengan ajaran Islam belalu menerusi salah seorang kawannnya yang bernama Hamaas Abdul Khaalis. Beliau mengenali Hamaas melalui ayah lelaki itu. Seperti halnya si ayah yang merupakan seorang pemuzik jazz, Hamaas juga pernah menjadi pemuzik jazz. Hamass adalah bekas pemain dram bagi salah sebuah kumpulan muzik jazz. Daripada Hamaas inilah, Kareem kemudiannya belajar banyak mengenai Islam. Beliau juga juga sempat berkenalan dengan peninju lagenda, Muhammad Ali (Cassius Clay) yang sudah menjadi Muslim terlebih dahulu daripada dirinya.

Nama hamba

Setelah banyak belajar mengenai Islam daripada Hamaas, tekadnya untuk memeluk Islam pun semakin bulat. Atas ajakan Hamaas, beliau kemudiannya mengunjungi sebuah pusat kebudayaan Afrika di Harlem, di mana kaum Muslimin menghuni / menyewa tingkat lima bangunan itu.

”Saya pergi ke sana dengan mengenakan jubah Afrika yang berwarna-warni,” kata Kareem.

Kepada seorang pemuda yang ditemuinya di pusat kebudayaan Afrika ini, ia mengutarakan hasratnya untuk menjadi seorang Muslim. Di hadapan beberapa kaum Muslimin itu, beliau mengucapkan dua kalimah syahadah. Ketika pertama kali mengucapkan dua kalimah syahadah itu, mereka memanggilnya dengan nama Abdul Kareem.

Bagaimanapun, Hamaas berkata, ”Anda lebih tepat sebagai Abdul Jabbar.” Sejak itu, bertepatan dengan tarikh 1 Mei 1971 atau sehari setelah Milwaukee Bucks memenangi kejuaraan NBA, beliau memutuskan untuk menggantikan namanya daripada Ferdinand Lewis Alcindor Jr menjadi Kareem Abdul Jabbar. Keputusan untuk menggantikan nama tersebut, menurut Kareem, juga didorong keinginan untuk menguatkan identitinya sebagai orang Afro-Amerika dan sebagai seorang Muslim.

”Saya tidak akan menggunakan nama Alcindor. Secara literal itu adalah nama hamba. Ada seorang lelaki bernama Alcindor yang membawa keluarga saya dari Afrika Barat ke kepulauan Dominica. Dari sana mereka pergi ke kepulauan Trinidad, sebagai hamba, dan mereka mempertahankan nama mereka. Mereka adalah hamba-hamba Alcindor. Jadi, Alcindor adalah nama bagi ‘pembekal’ hamba. Ayah saya mendapat tahu hal ini di tempat tahanan,” terangnya.

Sebagai satu-satunya anak kepada orang tuanya, keputusan Kareem untuk memeluk Islam menimbulkan kekhuatiran kedua-dua orang tuanya itu. Namun, kekhuatiran tersebut berjaya ditepisnya.

”Mereka tahu saya bersungguh-sungguh. Saya berpindah agama bukan untuk kemasyhuran. Saya sudah menjadi diri saya sendiri, dan melakukan itu dengan cara saya sendiri, apa pun natijahnya,” ujar Kareem

Baginya, Islam adalah anugerah dan hidayah Allah yang tertinggi dalam menunjukkan jalan kebenaran bagi umat manusia.

Rajin dan tekun belajar

Di sela-sela kesibukannya bermain bola keranjang, Kareem masih sempat meluangkan waktu untuk mendalami Islam.

”Saya beralih kepada sumber segala ilmu. Saya mempelajari bahasa Arab. Saya mulai membaca al-Quran dalam bahasa Arab. Saya dapat menterjemahkannya dengan bantuan kamus. Untuk menerjemahkan tiga kalimat, saya memerlukan waktu 10 jam, tetapi saya saya memahami apa yang dimaksudkan secara gramatikal,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui amat sukar baginya untuk dapat menunaikan kewajiban solat lima waktu setiap hari. Kesukaran untuk melaksanakan solat lima waktu itu, terutama dirasakan ketika beliau sedang bermain bola keranjang.

”Saya terlalu letih untuk bangun mengerjakan solat Subuh. Saya perlu bermain bola keranjang pada waktu Maghrib dan Isyak. Saya akan tertidur sepanjang waktu siang di mana saya seharusnya mengerjakan solat Zuhur. Begitulah, saya tidak pernah dapat menegakkan disiplin itu,” katanya.

Begitu juga apabila bulan Ramadan tiba. Aktivitinya yang cukup padat di gelanggang, kadangkala memaksanya untuk membatalkan puasa.

”Kerana saya tidak dapat berpuasa di bulan Ramadan, saya selalu memberi makan sebuah keluarga. Saya memberi sedekah. Saya memberi wang kepada rakan sesama Muslim dan mengatakan kepadanya untuk apa wang itu.”

Pada tahun 1973, Kareem mengunjungi Mekah, dan menunaikan ibadah haji.

Pada 28 Juni 1989, setelah 20 tahun menjalani karier profesionalnya, Kareem memutuskan untuk bersara daripada arena NBA. Sejak berhenti bermain, menurut Kareem, dirinya menjadi semakin baik dan dapat menjalankan semua kewajipannya sebagai seorang Muslim.

”Saya rasa saya harus berubah untuk hidup di Amerika. Yang dapat saya harapkan hanyalah semoga pada Hari Akhir nanti Allah reda atas apa yang telah saya lakukan,” katanya.

Antara pelakon, penulis, dan jurulatih

Setelah bersara bermain bola keranjang, berbagai-bagai tawaran datang kepadanya. Namun, bukan tawaran untuk melatih sebuah pasukan bola keranjang, melainkan tawaran untuk beraksi di depan kamera. Dunia lakonan sebenarnya bukan merupakan hal yang baru bagi Kareem Abdul-Jabbar. Ketika masih bermain untuk kelab LA Lakers, beliau pernah berlakon dalam filem  Game of Death yang diterbitkan pada tahun 1978. Di dalam filem aksi itu, ia beradu aksi dengan Bruce Lee. Tawaran untuk berlakon bagi kedua kalinya dalam filem muncul pada tahun 1980. Ketika itu beliau memegang peranan juruterbang bernama Roger Murdork dalam filem komedi Airplane!

Penampilan Kareem di kaca televisyen dan layar filem terhenti di situ sahaja situ. Nama beliau sebagai pelakon tercatat dalam beberapa siri televisyen di Amerika Syarikat. Di antaranya adalah siri komedi situasi  Full House, Living Single, Amin, Everybody Loves Raymond, Martin, Different Strokes, The Fresh Prince of Bel-Air, Scrubs , dan  Emergency!. Beliau juga muncul dalam drama  Stepen King’s The Stand dan  Slam Dunk Ernest. Dalam siri  Full House, beliau berlakon bersama anaknya sendiri, Adam.

Pada tahun 1994, Kareem juga mengembangkan bakatnya di belakang tabir dengan menjadi  co-producer eksekutif bagi drama televisyen  The Vernon Johns Story. Kemudian pada 2006, beliau tampil dalam acara  The Colbert Report. Pada 2008, beliau berlakon sebagai pengurus panggung dalam Nazi Gold.

Di luar dunia lakonan, ternyata ayah kepada Habiba, Sultana, Kareem Jr, Amir, dan Adam ini memiliki bakat yang lain, iaitu dalam bidang penulisan. Selain dikenal sebagai pemain bola keranjang dan bintang filem, Kareem juga dikenal sebagai seorang penulis buku. Beliau menghasilkan lebih kurang tujuh buah buku yang kesemuanya best seller.

Buku-buku hasil karyanya, antara lain  Giant Steps yang ditulisnya bersama Peter Knobler (1987),  Kareem (1990),  Selected from Giant Steps (1999),  Black Profiles in Courage: A Legacy of African-American Achievement yang ditulisnya bersama Alan Steinberg (1996),  A Season on the Reservation: My Sojourn with the White Mountain Apaches yang ditulisnya bersama Stephen Singular (2000),  Brothers in Arms: The Epic Story of the 761st Tank Battalion dan  WWII’s Forgotten Heroes yang ditulisnya bersama Anthony Walton (2005), dan  On the Shoulders of Giants: My Journey Through the Harlem Renaissance yang ditulisnya Raymond Obstfeld (2007).

Bagaimanapun, sukan bola keranjang tidak dapat dipisahkan daripada diri Kareem. Salah satu keinginan terbesarnya ketika ini adalah dapat melatih salah satu kelab dalam liga NBA. Setelah memutuskan berhenti bermain, kedudukan tertinggi Kareem hanya sebagai penolong jurulatih bagi beberapa kelab dalam liga  NBA. Los Angeles Clippers dan Seattle SuperSonics menggunakan khidmatnya untuk melatih pemain muda, Michael Olowokandi dan Jerome James.

Pada tahun 2005, beliau kembali ke Lakers sebagai penolong jurulatih kepada Phil Jackson. Tugasnya mengasah kemampuan pemain muda Lakers, Andrew Bynum. Beliau dinilai berjaya melaksanakan tugas tersebut dengan semakin meningkatnya persembahan Bynum.

Beliau juga pernah menjadi ketua jurulatih, tetapi hanya bagi pasukan kurang ternama, iaitu Oklahoma Storm. Pasukan tersebut beraksi di United States Basketball League pada 2002, sebuah liga ‘kelas bawahan’, tempat para pemain mengasah kemampuan dan bakat sebelum berhijrah ke dalam liga NBA atau liga-liga lain.

Biodata:

Nama Asal      : Ferdinand Lewis Alcindor Jr
Nama Muslim  : Kareem Abdul Jabbar
Memeluk Islam: 1971
Lahir              : New York City, 16 April 1947
Ibu Bapa         : Ferdinand Lewis Alcindor Sr dan Cora Lilian
Kelab Pertama : Pasukan Basket UCLA

Kelab Profesional :
–  Milwaukee Bucks (1969-1975)
–  LA Lakers (1975-1989)

Penghargaan:

– Enam kali NBA MPV (1971-1972, 1974, 1976-1977, 1980)
– 19 kali menyertai pasukan NBA All Star (1970-1977 dan 1979-1989).
– Dua kali Finalis NBA MPV (1971, 1985)
– 10 kali All-NBA Team (1971-1973, 1974, 1976-1977, 1980-1981, 1984, 1986).
– Lima kali All-NBA Second Team (1970, 1978-1979, 1983, 1985).
– Lima kali NBA All-Defensive First Team (1974-1975, 1979-1981)
– Enam kali NBA All-Defensive Second Team (1970-1971, 1976-1978, 1984).
– NBA Rookie of The Year (1970)
– NBA All-Rookie Team (1970); dan banyak lagi

Pencapaian:

– Juara NBA (1971) bersama Milwaukee Bucks
– Juara NBA (1980, 1982, 1985, 1987, 1988) bersama LA Lakers

Catatan: Ibnu Khaldun

No Comments

    Leave a reply