LUPAKAN DENDAM MARI KITA BERMAAFAN

Kehadiran Aidilfitri setiap tahun seringkali membawa kepada kegembiraan sebagai tanda berakhirnya ibadah puasa selama sebulan, mahupun saat-saat ketika berkumpulnya keluarga besar untuk saling memaafkan.

Namun Aidilfitri pada tahun 2018 ini sangat bersejarah kerana hadir setelah beberapa bulan lalu Parti Pakatan Harapan diumumkan sebagai pemenang PRU14.Satu catatan sejarah yang cukup mendebarkan dan saya yakin apa yang berlaku ini tidak luput dari campur tangan tuhan saat dan ketika bersamaan kehadiran bulan suci Ramadhan yang kemudian disusuli kehadiran Aidilfitri.

Sekali lagi Aidilfitri ini sangat istimewa bagi kita, satu hari kemenangan setelah umat Islam berpuasa selama sebulan untuk menemukan dan menjernihkan fitrahnya sebagai makhluk ilahi yang senantiasa menginginkan kebaikan, kebenaran, keindahan dan kedamaian.

Aidilfitri ini juga memberi makna menzahirkan rasa syukur kepada Allah setelah berhasil melaksanakan pesta demokrasi sebuah manifestasi kedaulatan rakyat untuk memilih pemimpinya. Dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.

Bagi umat Islam Hari Raya Aidilfitri yang telah sama-sama kita rayakan itu adalah saat saat penting untuk bersilaturrahim dan saling memaafkan. Seluruh kesalahan yang pernah dilakukan terhadap sesama manusia, selama tahun ini, seolah ingin dilebur di hari lebaran itu. Ada perasaan lega ketika tangan kita dijabat oleh teman dan handai taulan, atau ketika kita berpelukan dengan anggota keluarga serta sama-sama mengucapkan “minal aidin wal faizin”.
Memaafkan kesalahan orang orang lain adalah sebahagian dari perbuatan baik yang disukai oleh Allah kerana perbuatan demikian akan melahirkan rasa aman dan damai di tengah-tengah kehidupan masyarakat. Bahkan masyarakat merasa tidak dididik dalam suasana dendam dan permusuhan melainkan saling memohon ampun dan memaafkan, saling menolong dan mendukung untuk kebaikansebagaimana tersirat dalam ayat yang mengatakan:
Orang-orang yang menafkahkan hartanya baik di waktu lapang mahupun di waktu sempit dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain, sungguh Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.”(maksud AIquran Surah al Imran ayat 134)

Prinsip saling memaafkan adalah nilai-nilai moral agama yang cinta pada perdamaian dan keharmonian hidup.Bahkan dalam sejarah kehidupan nabi sering digambarkan bahawa betapa beliau sering dizalimi beliau tetap memaafkan pelakunya.

Lihat ketika terjadiFathul Makkah(pembebasan kota Mekah) rasullullah telah memaafkan kezaliman kaum Quraisy selama beberapa tahun kezaliman dilakukan keatasnya namun beliau tidak sedikitpun menyimpan dendam atas perbuatan zalim itu.Kemenaangan yang diperolehi oleh nabi bukan digunakan untuk menghukum musuh apalagi utk menbalas dendam.

Justeru dalam kita meraikan Aidilfitri dengan mengadakan rumah terbuka bukanlah konsep baru dalam usaha menjalin persefahaman antara agama. Masyarakat Malaysia sudah menerimanya sebagai satu kaedah mengeratkan hubungan sosial yang lebih luas sehingga melampaui sempadan kaum, agama dan budaya.

Meskipun demikian, kerana adanya desakan dalam kepentingan tertentu, tradisi sedemikian kadang-kadang bertukar menjadi medan politik yang akhirnya boleh membunuh semangat keintiman antara kelompok dan agama.Sepatutnya dengan semangat rumah terbuka ia dapat menjadi forum yang sangat efektif untuk memulai hubungan baik atau memperbaharui hubungan yang retak selama ini.

Konsep rumah terbuka di Aidilfitri sebenarnya melambangkan keindahan agama Islam itu sendiri, di samping dapat menarik rahmat dan keberkatan yang datang bersama dengan kunjungan tetamu, jiran tetangga (sekalipun bukan seagama). Kemuliaan dan kesuciannya tidak boleh dicemari dengan motif dan tujuan lain yang boleh menggugatkan keamanan dan kedamaian.

Sesungguhnya kejahatan dan kepalsuan itu pada dasarnya bertentangan dengan fitrah manusia. Oleh kerana Islam itu agama fitrah yang mudah, samhaa’ (harmoni), terbuka dan toleransi maka kita menerima gelagat-gelagat tidak sopan itu dengan penuh kesabaran.

Satu hadis daripada Ibnu Umar yang diriwayatkan oleh Bukhari, Tarmizi, Ahmad dan Ibnu Majah. “Seseorang mukmin yang bergaul dalam masyarakat dengan manusia lainnya dan dia sabar menahankan suka duka dalam masyarakat itu, adalah lebih baik daripada seorang mukmin yang tidak hidup bergaul dalam masyarakat umum dan tidak pula pernah menunjukkan kesabaran atas suka dukanya masyarakat itu.”

Di negara kita, agama menjadi faktor penyatuan kaum iaitu dengan menyederhanakan perasaan taksub dan fanatik agama, perkauman dan budaya serta adat resam melampau bagi sesuatu kaum dan bangsa. Perasaan yang melampau tentang perkauman dan agama diredakan oleh semangat tolak ansur, setia kawan ketika menyambut hari raya melalui rumah terbuka.

Agama yang kita warisi sebagai agama yang menyatupadukan umat manusia, agama yang menghormati sesama manusia dan memuliakan tetamu mula digugat peranannya oleh ketandusan ilmu pengetahuan yang sebenar tentang Islam. Kita hendaklah menjalinkan silaturrahim sekalipun dengan mereka yang berlainan agama kerana mereka juga ada beberapa haknya seperti hak kewarganegaraan, kejiranan dan kekeluargaan.

Emosi melampau mengenai keunggulan sesuatu kaum, atau dalam istilah sosiologi dikenali sebagai ethnocentrisme banyak membawa kemudaratan dalam hubungan antara kaum dalam masyarakat majmuk. Emosi itu membawa kepada pergaduhan dan konflik antara agama sedangkan Islam mementingkan semangat tolak ansur, yakni tidak menghina agama dan kepercayaan orang lain.

Sebagai agama yang membawa mesej perpaduan antara umat manusia, menghormati sesama manusia dan memuliakan tetamu adalah perkara utama. Tetapi, kehendak tersebut semakin tergugat oleh kerana kejanggalan ilmu yang hanya bersandarkan risikan ilmiah secara terpisah dalam tradisi rasionaliti barat, menyebabkan masyarakat Islam semakin melihat dirinya terlalu berpihak dan berkelompok.

Melalui silaturrahim, hubungan antara manusia semakin rapat dan tiada kebaikan yang lebih cepat mendapat pahala selain silaturrahim dan tiada kejahatan yang lebih cepat mendatangkan azab Allah selain memutuskan silaturrahim. Begitu juga, tiada yang dapat mengubah takdir selain doa dan tiada yang dapat menambah umur selain kebaikan menjalinkan hubungan silaturrahim. Di sinilah silaturrahim perlu dibudayakan.

Dalam kemeriahan kita mengadakan rumah terbuka Aidilfitri ini adalah sesuatu yang besar ertinya jika kita boleh menjadikan detik sejarah hitam negara sebagai iktibar. Kita jadikan ia sebagai sempadan nilai budaya yang bakal membangunkan semula semangat penyatuan antara masyarakat, kerana nilai budaya yang terkandung melalui perayaan Aidilfitri ialah kemenangan setiap Muslim dalam mengekang hawa nafsu.

Kita boleh jadikan ia sebagai teladan berguna, bagaimana hawa nafsu telah menyebabkan manusia sanggup membunuh, berlaku kejam dan seterusnya bertindak sesuka hati demi sebuah tujuan yang bertentangan dengan etika dan moral kemanusiaan.
Dalam suasana kemeriahan rumah terbuka Aidilfitri kita seharusnya dapat membuka pintu silaturrahim dengan penuh keakraban, kita jadikan momen-momen sejarah silam sebagai panduan dan bukannya cuba menghidupkan kembali budaya ganas dalam masyarakat.Jangan kita biarkan diri kita menjadi perosak, kerana kita akan dinilai nanti sumbangan sepanjang hidup untuk kepentingan pembangunan kemasyarakatan, keagamaan dan kesejahteraan negara.

Dengan memperbanyakkan rumah terbuka sempena menyambut perayaan Aidilfitri, tentunya akan membantu menghapuskan nilai-nilai negatif yang selama ini disandarkan kepada orang Islam.

Bukan Islam akan dapat melihat dan merasai sendiri bahawa Islam sebenarnya sebuah agama yang mementingkan kesejahteraan dan keharmonian setiap manusia, maka di sinilah peluang yang sentiasa terbuka asalkan platform itu tidak digunakan untuk menyuburkan dakyah dan menanamkan rasa kebencian terhadap ‘musuh politik’.

Oleh Mohd Shauki Majid

No Comments

    Leave a reply