Sepanjang tempoh 73 tahun UMNO mampu bertahan sebagai sebuah parti yang meraikan kepelbagaian, menyantuni dan memberikan keadilan kepada rakyat berlandaskan kepada perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan negara.

Semalam (9 Mei) sempena genap setahun pemerintahan kerajaan baharu, kita dapat saksikan pelbagaikan analisis, penilaian prestasi dan ranking yang diberikan kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di atas kegagalan mereka membuktikan bahawa mereka jauh lebih baik daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Dalam keghairahan kita mengkritik, membuat penilaian, mencari dan mendedahkan kelemahan kerajaan baharu kepada rakyat dan massa, jangan dilupai UMNO dan BN juga perlu kita perteguhkan dan perkukuhkan. Jangan sampai kita dibuai dengan isu dan menjawab isu sehingga melupai agenda perjuangan UMNO.

Marhaban Ya Ramadan, sebaik-baik bulan untuk kita sebagai pejuang UMNO menjadikan Ramadan sebagai madrasah bagi menyemarakkan kembali spiritual diri dan memperbaharui roh perjuangan. Ramadan juga seharusnya menjadi masa yang paling sesuai untuk kita bermuhasabah sejauh mana keikhlasan dan kekentalan kita bersama perjuangan UMNO.

Rasulullah SAW dan para sahabat telah menjadikan Ramadan sebagai madrasah perjuangan menyebarkan dan menegakkan syiar Islam. Ghazwah Badar al-Kubra yang berlaku pada 17 Ramadan tahun ke-2 Hijrah adalah teras kepada perjuangan Nabi SAW dan para sahabat.

Dengan kekuatan seramai 313 orang tentera, Baginda SAW keluar ke medan perjuangan untuk menyekat kafilah dagang Quraisy yang pulang dari Syam ke Makkah dengan kekuatan kira-kira 1,000 orang tentera.

Menginsafi peristiwa Ghazwah Badar menjadi muntalaq (titik tolak), Rasulullah SAW dan para sahabat melakarkan kejayaan dalam dakwah dan perjuangan menyebar Islam. Marilah kita cuba menelusuri beberapa Ibrah dari Ghazwah Badar al-Kubra yang boleh dijadikan sebagai panduan dan muhasabah perjuangan kita:

Perjuangan pasti diuji. Rasulullah SAW dan tentera Islam keluar ke Badar hanya untuk menyekat kafilah perniagaan yang membawa barang dagangan sahaja, bukan hendak berperang.

Tetapi apabila mereka diasak untuk berperang, maka Rasulullah SAW dan para sahabat menyahut asakan itu demi maruah Islam. Selamanya UMNO menjadi kustodian Melayu dan Bumiputera yang akan bangkit mempertahan maruah bangsa, agama dan tanah air apabila dicabar dan tercabar.

Di bulan Ramadan ini kita ambil kesempatan memohon dan bermunajat kepada Allah supaya segala agenda dan muslihat halus musuh digagalkan oleh Allah SWT.

Melazimi Syura. Walaupun Baginda seorang Rasul, namun Baginda melazimi Syura apabila melibatkan keputusan besar dan mesti diputuskan secara bersama. Dengan syura, Insya-Allah ada keberkatannya.

Ia berbeza dengan keputusan diputus bersendirian. Saya yakin apabila UMNO dan kepimpinannya mampu melazimi Syura sebagai kaedah membuat sesuatu keputusan, pastinya dapat mengurangkan permasalahan dalaman kepemimpinan semua peringkat. Mentaati pemimpin. Sikap sahabat daripada kalangan Ansar dan Muhajirin adalah contoh terbaik perlu diikut, terutama saat getir yang memerlukan keputusan padu daripada semua pihak. Mereka mentaati apa sahaja arahan dan keputusan Rasulullah SAW bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.

Di dalam berorganisasi, kita tidak akan mampu menjadi kuat dan teguh sekiranya ahli merasakan mereka lebih pandai daripada pimpinan dan segelintir pimpinan merasakan dirinya lebih pandai daripada ketuanya, yang akhirnya akan membentuk kabilah.

Husnu Thiqah Billah (bersangka baik dengan Allah). Rasulullah SAW bersangka baik dengan Allah yang akan menurunkan bantuan dalam peperangan Badar. Sebagai pejuang Islam apabila usaha telah dilakukan, strategi telah dirancang, persiapan sudah lengkap, doa telah dipanjatkan akhirnya bersangka baiklah dengan Allah yang pasti membantu setiap hamba-Nya.

Kita jadikan madrasah Ramadan kali ini sebagai muntalaq (titik tolak) kepada pembaharuan tekad perjuangan kita bersama UMNO. Kita berusaha memenuhi tiga piawaian dan syarat kemenangan Rasulullah SAW dalam Ghazwah Badar iaitu doa dan munajat hanya kepada Allah, kesatuan yang kukuh dan Perjuangan demi Islam dan Ummah bukan agenda peribadi.

Semoga Allah menjadikan Ramadan kali ini sebagai madrasah muhasabah perjuangan yang terbaik untuk kita meninggikan syiar Islam dan memakmurkan negara.

Oleh DATUK SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI