MAHATHIR ‘MUDAH LUPA’, MELAYU INGAT SAMPAI MATI!!!

 

Keptusan Dr Mahathir mempertahankan kaedah pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang baharu, Latheefa Koya bagi menggantikan Datuk Shukri Abdull yang meletakkan jawatan selepas setahun ‘misinya tercapai’ menimbulkan persoalan besar mengenai proses pemuafakatan politik dalam Kerajaan Pakatan Harapan.

Akibat pelanggaran ‘pemuafakatan politik’ atau Perkara 14 dalam janji manifesto Pakatan Harapan masyarakat awam seterusnya menaruh keyakinan bahawa Dr Mahathir akan tetap tidak berubah sikap dan keputusan politik secara unilateral kerana beliau sedar dan akan terus menggunakan kuasa prerogatifnya sebagai Perdana Menteri.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang misalnya, ketika mengulas keputusan pelantikan Latheefa Koya berkata dari segi undang-undang Dr Mahathir tidak melakukan apa-apa kesalahan, ia adalah salah daripada perspektif politik. Dr Mahathir telah melanggar ‘janji PH’ dan juga apa pernah dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri berhubung dengan pendirian untuk meletakkan SPRM sebagai sebuah badan bebas, yang bukan lagi di bawah Jabatan Perdana Menteri. SPRM diletakkan di bawah kuasa Parlimen.

siaran akhbar Dr M

Kenyataan Akhbar

Kenyataan Akhbar yang dikeluarkan pada 13 Ogos 2018, hari ke-96 PH sebagai kerajaan Malaysia Baharu menjelaskan: Hari ini adalah “ Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang ketiga. JKKMAR telah membincangkan enam kertas, iaitu berkenaan (a) Usaha memperkasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM): mekanisme pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang lebih telus: –hendaklah atas pertimbangan Parliamentary Select Comitte (PSC), dan prestasi/kompetensi penyandang Ketua Pesuruhjaya dinilai oleh pihak stakeholder luar; mewujudkan polisi bajet yang khusus dan berasingan bagi SPRM; Parliamentary Select Committee (PSC) mengambilalih peranan bebas memantau SPRM peringkat Parlimen pada masa sekarang.”

ANWAR

Kenyataan tersebut dibuat menjelang 100 hari pertama pentadbiran PH sebagai kerajaan selepas berjaya menumbangkan penguasaan BN selama 63 tahun, iaitu Perikatan antara 1957-1974 (17 tahun) dan Barisan Nasional (44 tahun) antara 1974-2018). Kenyataan itu dikeluarkan ketika kerajaan PH sedang dipersoalkan mengenai 10 Janji 100 hari pertama yang dilihat tidak berjaya dilaksanakan, kecualilah pemansuhan GST (good and service tax) untuk tempoh selama tiga bulan (Jun hingga Ogos) dan menggantikannya dengan SST (sales and service tax) mulai 1 September 2018.

Lebih menyedihkan apabila rakyat bertanya mengenai kos sara hidup mereka yang terus meningkat walaupun ‘tiada GST’ dalam tempoh ‘bulan madu selama tiga bulan’ sebelum dibebankan semula dengan sistem cukai lama yang boleh dimanipulasikan oleh peniaga. Ketika itu juga kerajaan PH dikritik kerana tidak menurunkan harga minyak ke paras yang pernah diperkatakan sebagai ‘bagus untuk rakyat’ sehingga menyebabkan warga maya mengulang kembali kata-kata pemimpin yang berkempen sama ada sepanjang tempoh PRU ke-14 atau sebelumnya.

kutipan tol

Wajah-wajah Rafizi Ramli yang hebat dengan perkiraan penetapan harga minyak, janji Anwar Ibrahim beberapa tahun lalu ‘hari ini kita menang, esok kita turun harga minyak’ di samping perdebatan mengenai kaedah untuk menghapuskan kutipan tol di semua lebuh raya yang diswastakan pembinaannya.

Kisah penswastaan pembinaan lebuhraya ketika era Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-4 dibincangkan begitu hangat dan dibandingkan dengan percakapan pemimpin PH, termasuk Dr Mazlee Malik yang berjanji ‘membayar balik’ bayaran tol oleh kerajaan PH.  Bagi golongan muda pula, mereka mempersoalkan keputusan Kementerian Pendidikan yang mengendalikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN) kerana janji untuk menyediakan ‘pendidikan percuma sehingga ke peringkat universiti’ tidak banyak berubah, peminjam terus dibebankan dengan bayaran balik pinjaman tersebut.

wan azizah female issue

Menurut manifesto Buku Harapan, peminjam yang tidak mencapai pendapatan bulanan RM 4,000 diberikan penangguhan bayaran balik, tetapi akhirnya pengurusan PTPTN mengeluarkan arahan agar majikan membuat potongan bulanan untuk bayaran balik walaupun pendapatan bulanan peminjam tidak mencecah angka tersebut.

‘pendidikan percuma’

Apa yang dilakukan oleh PTPTN ialah ‘membebaskan’ peminjam daripada senarai hitam yang menghalang mereka daripada larangan ke luar negara dan meminjam dengan institusi kewangan bagi tujuan-tujuan membeli kenderaan, membeli rumah dan juga membuat pinjaman peribadi. Lebih menyedihkan apabila Menteri Pendidikan melihat mereka yang menuntut janji agar pinjaman tersebut dihapuskan berdasarkan janji ‘pendidikan percuma’ yang pernah dibuat oleh Pakatan Rakyat sebelumnya sebagai ‘tidak bermoral’ kerana mereka yang bermoral akan tetap membayar ‘hutang’ walaupun sedikit.

Sebelum akhir tahun 2018, Rafizi kembali bersuara agar kerajaan mengapung semula harga petrol secara mingguan sebagaimana dilakukan oleh BN  kerana harga petrol tidak berubah sejak sebelum PH memerintah sedangkan harga global mengalami proses penurunan. Situasi tersebut menyebabkan ada warga net mendakwa PH tidak melakukannya kerana ingin mendapat perolehan pendapatan daripada harga minyak global yang rendah bagi menampung keperluan perbelanjaan akibat kehilangan ‘cukai GST selama tiga bulan’, kerugian akibat penurunan nilai matawang dan harga komoditi yang rendah.

malam ini menang, subuh esok turun harga’

Kaedah pengapungan itu kemudiannya dilaksanakan semula pada minggu pertama bulan Januari 2019 dengan menetapkan harga siling RON 95 sebanyak RM 2.08 berbanding harga siling sebelumnya ialah RM 2.20 seliter. Bagaimanapun, warga maya terus mempersoalkannya kerana tidak mencapai tahap harga saperti diperkatakan iaitu pada RM 1.50 seliter. Dari perspektif tersebut, kerajaan PH terus dicap ‘berbohong’ walaupun dinafikan tidak pernah dijanjikan pada harga RM 1.50 seliter, ia dijanjikan oleh pemimpin PKR ketika mereka mempersoalkan kenaikan harga petrol pada tahun 2007, yang kemudiannya digunakan untuk berkempen PRU ke-12 sebagai ‘malam ini kita menang, subuh nanti kita turunkan harga petrol. Bukan 24 hari, bukan 24 bulan, tetapi dalam tempoh 24 jam.”

BUKU HARAPAN

Pembohongan-pembohongan tersebut terus membawa kepada level keyakinan masyarakat terhadap kerajaan PH terus merosot sehingga sebahagian pengundi dalam PRU ke-14 mula menunjukkan pendirian yang berbeza. Keseronokan yang mereka alami ketika PH menang PRU ke-14 berubah kepada kekecewaan, dan dalam percaturan PRK di tiga kawasan pada tahun ini, calon PH ditolak oleh pengundi. Mereka mula kembali menyokong calon BN walaupun dari segi kuasa, kemenangan BN tidak akan mengubah kerajaan yang memerintah. Kemenangan di Cameron Highlands (26 Januari 2019), Semenyih (2 Mac 2019) dan kemudiannya di Rantau (13 April 2019) menjadi bukti awal mengenai kemerosotan sokongan kepada PH.

Apabila Dr Mahathir membelakangkan PSC dan anggota kabinet dengan membuat keputusan unilateral melantik Latheefa Koya menggantikan Datuk Shukri Abdull, muafakat dalam PH mula menunjukkan bahawa kerjasama politik antara parti-parti di dalamnya semakin bermasalah, biarpun Dr Mahathir tidak melakukan apa-apa kesalahan daripada perspektif undang-undang. PSC yang dianggotai oleh wakil rakyat pembangkang telah dibentuk pada penghujung tahun lalu, tetapi fungsinya tidak lebih sebagai pemerhati. Ini turut mencerminkan kelemahan PSC itu sendiri. Sebaik sahaja ianya ditubuhkan, peranan dan tanggungjawabnya tidak ditentukan secara jelas, menyebabkan kuasa undang-undang tidak ada padanya, dan kuasa Perdana Menteri tidak dapat dikurangkan.

lantikan secara kontrak

PSC tidak cuba mengkaji wewenangnya sebagai sebuah jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam Pelantikan Jawatan Awam, termasuklah melihat semula kedudukan Datuk Shukri Abdull yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 18 Mei 2019, kerana ketika itu beliau adalah seorang pesara (bersara tahun 2016 secara pilihan).  Beliau dilantik secara kontrak untuk tempoh selama dua tahun (sehingga 17 Mei 2020). Cukup setahun beliau mengemukakan permohonan meletakkan jawatan, yang menurutnya, telah dipersetujui lebih awal oleh Perdana Menteri.

PH Logo

PSC juga tidak mempunyai apa-apa peranan dalam pelantikan Ketua Polis Negara bagi menggantikan Tan Sri Muhammad Fuzi Harun yang bersara wajib pada 3 Mei 2019. Datuk Seri Abdul Hamid Badur ialah pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, yang dipanggil semula berkhidmat sebagai pegawai kanan polis oleh Dr Mahathir selepas beliau ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri (18 Ogos 2015) dari Timbalan Pengarah 1,  Cawangan Khas Bukit Aman berhubung penyiasatannya mengenai 1MDB. Beliau kembali ke Bukit Aman sebagai Pengarah Cawangan Khas selepas PH menang PRU ke-14. Beliau dilantik sebagai Ketua Polis Negara mulai 4 Mei 2019 untuk tempoh dua tahun secara kontrak, setelah mencapai umur 60 tahun pada 7 Ogos 2018.

Pada 5 Februari 2016, Hamid Badur membuat satu pendedahan yang menggemparkan mengenai pembabitan Najib Tun Razak mengenai ‘derma sebanyak RM 2.6 bilion’ dari SRC International, anak syarikat 1MDB. Pendedahan ‘berani mati’ itu dilihat suatu tindakan yang menyebabkan pemindahannya ke Jabatan Perdana Menteri, dan antara ungkapan pedas beliau ialah “Saya tidak tahu di mana beliau [Najib] belajar undang-undang tetapi bagi orang seperti saya hasil siasatan SPRM itu amat jelas menunjukkan wujud salahlaku jenayah.” (Baca: https://partiamanahmalaysia.wordpress.com/category/abdul-hamid-bador-timbalan-ketua-polis-negara-malaysia/)

Datuk Tengku Maimun Tuan Mat  dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 2 Mei 2019 bagi menggantikan Tan Sri Richard Malanjum yang telah mencapai umur persaraan (66 tahun) pada 12 April 2019. Ketiga-tiga pelantikan tersebut dikatakan tidak dibuat berdasarkan ‘persetujuan politik’ yang terkandung dalam Janji 14 Buku Harapan. Akibatnya, PSC dilihat sebagai sebuah organisasi ‘pemerhati’ dan ini membazirkan masa dan wang. Atas pendirian tersebut ada pihak mencadangkan PSC dibubarkan atau digantung kerana fungsinya tidak ada.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob yang dilantik menganggotai PSC mengeluarkan kenyataan ‘akan menarik diri’ manakala Timbalan Presiden PAS mendesak, PSC digantung. William Leong yang mengetuai PSC berhasrat untuk bertemu Dr Mahathir dan telah menulis surat berhubung pelantikan tersebut manakala Anwar Ibrahim mencari jalan selamat dengan meminta rakyat memberikan masa dan peluang Perdana Menteri menjelaskannya.

tiada u-turn

Perdana Menteri sudah pun membuat tiga penjelasan muktamad: pelantikan Latheefa Koya adalah muktamad, tiada u-turn kerana beliau sedar dengan berbuat demikian, dirinya akan dipersoalkan lebih hebat; sebagai Perdana Menteri dirinya tidak ‘perlu terikat’ dengan mana-mana keputusan, kerana itulah tidak perlu berbincang dalam kabinet dan mendapat persetujuan PSC; dan, keputusan melantik Latheefa Koya adalah keputusannya sendiri, maka saya tidak perlu bertanya kepada kabinet mengenai siapa yang saya pilih. Tiga alasan ini membuktikan sikap sebenar Dr Mahathir, sikap yang dianggap sebahagian daripada Mahathirisme dan juga amalan autokratik pentadbirannya.

Mungkin Dr Mahathir mempunyai ‘pertimbangan politik’ di luar pemikiran politik orang lain. Ini bukan pertama kali Dr Mahathir berbuat demikian mengenai ‘orang yang disukainya’ kerana pada tahun 1983, beliau tetap melantik Tengku Razaleigh menganggotai kabinet walaupun tewas dalam pemilihan UMNO pusat kepada Tun Musa Hitam. Musa hitam bukan sahaja berkecil hati, bahkan membuat keputusan berundur daripada politik, termasuk meninggalkan jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1986. Dua kali Tengku Razaleigh kalah kepada Tun Musa Hitam, tetapi bekas Naib Presiden UMNO yang pernah dijanjikan secara lisan akan diberikan peluang sebagai ‘timbalan presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri’ sebelum Tun Hussein Onn didesak meletakkan jawatan (1981).

10 bulan yanggagal

Musa Hitam pada akhir tahun 1986 membuat kejutan, merangka perancangan untuk bergabung dengan Tengku Razaleigh menentang Dr Mahathir.  PAU 1987, situasi itu benar-benar berlaku, dan Dr Mahathir mempertahankan jawatan tersebut dengan kelebihan 43 undi, yang kemudiannya memaksa Kumpulan 11 membawa  cabarannya ke mahkamah selepas rayuan kepada Dr Mahathir untuk ‘diadakan pemilihan semula’ tidak diendahkan. Akibatnya, UMNO diharamkan, maka berpecahlah UMNO menjadi dua, satu di bawah kepimpinan Dr Mahathir lahirlah UMNO (Baru) dan di bawah kepimpinan Tengku Razaleih, tertubuhnya PArti Melayu Semangat 46 (akibat usaha menghidupkan UMNO berdasarkan semangat asal penubuhannya (1946) ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

kronisme dan nepotisme

Keengganan Dr Mahathir berganjak daripada keputusannya akan menyebabkan PH semakin retak, termasuklah boleh melemahkan kedudukan kepimpinan Anwar dalam PKR. Latheefa Koya bukan sekali mengkritik apa yang dilakukan oleh Anwar untuk memperkemaskan kedudukan setelah bebas memimpin PKR, termasuklah mengamalkan kronisme dan nepotisme dalam pelantikan Jawatankuasa Perhubungan Negeri, termasuklah melantik Nurul Izzah sebagai Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Pulau Pinang. Kontroversi itu kemudiannya tenggelam apabila Nurul Izzah membuat ketetapan menarik diri dan meletakkan jawatan dalam politik dan kerajaan, kecuali sebagai wakil rakyat Permatang Pauh.

Ketika berada di Jepun beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri, Dr Mahathir menambahkan lagi stereotaipnya terhadap subsidi, dengan mengatakan pemberian ‘wang tunai’ akan melemahkan pembinaan sesebuah negara, menyebabkan Anwar terpanggil untuk menyeru keengganan tersebut dipertimbangkan semula. Dua hari selepas itu, Azmin sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi mengeluarkan kenyataan, pemberian ‘wang tunai sebanyak RM 300’ kepada peneroka akan diagihkan sebelum Aidilfitri. Ini membuktikan bahawa ‘pertimbangan cadangan semula’ adalah senjata yang memungkinkan Dr Mahathir ditolak oleh rakyat, sedangkan sebelum ini, sudah ada desakan agar proses peralihan kuasa dinyatakan secara jelas.

Salah seorang pemimpin PKR meminta supaya tarikh yang tetap ditetapkan manakala beberapa orang lain menyindir, jika peralihan kuasa itu dilaksanakan, masalah yang berlaku di Kedah akan dapat diselesaikan. Ia adalah sindiran kepada Dr Mahathir disebabkan Mukhriz sebagai Menteri Besar tidak mampu menguruskan politik Kedah menjadi lebih berkesan dan bersepadu dalam PH. Mungkinkah Mukhriz akan mengulangi ‘tragedi politik’ sekali lagi selepas Anwar benar-benar berkuasa? Khabarnya, pelantikan Latheefa Koya juga ada muslihat untuk mengurangkan tekanan kumpulan Anwar agar ‘menjaga penyokong’ untuk tidak mendesak Dr Mahathir berundur lebih awal.

EX MP UMNO

Pada tahun lalu, PKR dan DAP mengkritik langkah Dr Mahathir menerima kemasukan wakil rakyat UMNO ke dalam PPBM. Penerimaan Dr Mahathir itu dianggap membelakangi hasrat politik PH dan bertujuan untuk menjadikan PPBM dominan dengan segera. Dr Mahathir pernah mengatakan bahawa PPBM merupakan parti yang dapat menggantikan UMNO, kerana semangat dan perjuangannya adalah untuk memperkasakan orang Melayu. Selepas berlalu hampir setahun, orang Melayu-Islam terasa kedudukan mereka semakin terancam, sebagaimana orang Melayu-Islam diancam oleh kebangkitan golongan korporat dalam UMNO dan seterusnya dasar penswastaan dan pensyarikatan Malaysia pada sepuluh tahun kedua pemerintahan Perdana Menteri ke-4.

jiwa kerdil

Semasa mengambil alih pentadbiran negara, Dr Mahathir bukan sahaja menghina orang Melayu dengan psikologi ‘jiwa kerdil’ dan sentiasa mengharapkan ‘tongkat’, kali ini psikologi yang sama turut dikumandangkan kerana orang Melayu ‘tidak cukup kuat berusaha’, sebab itulah perubahan besar tidak berlaku. Orang Melayu perlu bergantung kepada kaum lain, maka untaian tersebut membangkitkan lebih besar rasa ego bukan Melayu, sehingga ada di antara pemimpin Melayu dan bukan Melayu mencabar, mendesak agar nilai ‘kebersamaan’ dilaksanakan secara menyeluruh. Semua program atau dasar yang menampakkan ada keistimewaan kepada orang Melayu-Islam dimansuhkan, termasuklah kouta kemasukan ke Program Matrikulasi.

Secara halusnya, DAP dilihat semakin menguasai politik Malaysia asalkan DAP tidak mengkhianati Dr Mahathir. DAP, tidak akan ‘menyerang Dr Mahathir’, begitu juga Anwar secara terbuka, kerana mereka amat faham, semakin dicabar semakin kuatlah Dr Mahathir. Bila Anwar mencabar Dr Mahathir melepaskan jawatan secara terbuka, PAS dan UMNO sedia mempertahankan kedudukan itu, kecualilah selepas tamat tempoh kuasa PRU ke-14. Janji itu sudah dibuat. DAP dan PKR perlu ‘berhati-hati’ kerana sikap terburu-buru akan menyebabkan Anwar tersingkir dalam penantiannya.

Kem yang menyokong Azmin akan menjadi lebih berpengaruh, kerana mereka adalah kumpulan yang berkuasa dalam kerajaan, sedangkan Anwar hanya bergantung kepada pengaruh isterinya, Dr Wan Azizah. Wan Azizah sebenarnya seorang pemimpin yang lemah, sebab itulah Anwar sentiasa ‘melindungi isteri’nya ketika Azmin bercadang untuk bertanding jawatan Presiden PKR pada suatu ketika.

Road to Putrajaya

Anwar berusaha menyekatnya dengan memungkinkan dirinya akan bertanding jawatan tersebut. Dalam pemilihan terbaharu, Anwar secara terang-terangan tidak dicabar, kerana Wan Azizah sedia memberikan laluan sebagaimana pernah mengosongkan kerusi Permatang Pauh untuk membolehkan Anwar merancang Road to Putrajaya dan kembali ke Dewan Rakyat.

Senario  politik seterusnya sedang diperkatakan oleh orang awam; apakah dengan pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM akan membuka semula kes-kes yang membabitkan Lim Guan Eng? Rakyat akan memuji Latheefa Koya jika beliau menjalankan tugasnya yang baik, dan berterima kasih kepada Dr Mahathir, sekiranya kes pembelian bangla di bawah harga pasaran (sebab tiada kolam mandi), pemberian tender pembinaan terowong dasar laut secara tertangguh, pembayaran kerja-kerja kajian yang tinggi dan pembabitan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dalam sebuah syarikat bernama Zennith Construction Sdn Bhd. Lim Guan Eng didakwa mempunyai kepentingan peribadi dalam syarikat terbabit.

Mahathir-Cameron3-250119

Kesemua isu yang belum terjawab sepenuhnya walaupun masa telah berlalu, menuntut tanggungjawab Dr Mahathir untuk membebaskan Malaysia daripada klepktokrasi. Sayangnya, Dr Mahathir tidak sedia membenarkan dirinya disiasat secara telus mengenai tindakannya menyebabkan negara kerugian lebih RM 100 bilion akibat perniagaan mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia, bail-out projek-projek penswastaan kepada kroni, penjualan aset-aset milik GLS dan UMNO pada suatu ketika (sepanjang 22 tahun sebagai Perdana Menteri) dan hubungan istemewanya dengan Tan Sri Eric Chia dalam projek PERWAJA Steel, serta kekayaan yang dimiliki oleh anak-anaknya sendiri (Mukhriz, Mirzan, Marina dan Mokhzani).

sindrom penafian

Orang Melayu tidak ‘Mudah Lupa’ dengan kejadian-kejadian tersebut, walaupun Dr Mahathir segera membalas, ‘saya sudah tua. Saya tidak ingat.” Sindrom penafian itu belum muncul ketika ini, tetapi ia mungkin ada benarnya pandangan bekas Presiden PAS, Almarhum Fadhil Noor, rakyat akan mengetahui dengan lebih banyak ‘kerosakan’ yang berlaku apabila Dr Mahathir diberikan umur yang panjang. Dan, ternyata, usaha membaiki ‘kerosakan’ yang diperjuangkan dalam kempen PRU ke-14 sebenarnya adalah retorik semata-mata sebab Dr Mahathir akan tetap dengan ego dan Mahathirismenya. Tidak ada sesiapa pun yang boleh menyekatnya selagi dirinya berkuasa, kerana Dr Mahathir cekap memberikan alasan dan pandangan bagi mempertahankan keputusannya.

Itulah yang tidak akan dilupakan oleh orang Melayu, walaupun Dr Mahathir berkata, Melayu Mudah Lupa. Ketika Dr Mahathir keluar daripada UMNO, Musa Hitam merasakan UMNO telah berjaya menyingkirkan ‘duri dalam daging’ maka ketika Dr Mahathir memimpin PH, apakah ‘duri dalam daging’ akan menyucuk-nyucuk ‘kebebasan’ dan impian Malaysia Baru? Setakat ini, Lim Kit Siang belum ‘menghentak’ dengan keras Dr Mahathir, walaupun pernah memberikan amaran, sekiranya matlamat Malaysia Baru ‘tidak dilaksanakan’, DAP bersedia meninggalkan PH.

Apakah tiga senario yang dinodai oleh Dr Mahathir itu tidak membuatkan DAP merasakan matlamat Malaysia Baru diabaikan? Jawapan itu hanya ada dalam pemikiran pemimpin DAP sendiri, walaupun sedar, dengan memekik dan membuka mulut, DAP akan kembali dipersepsikan ‘duri dalam daging’ politik Malaysia kerana dasar Malaysian Malaysianya. Dasar Malaysian Malaysia inilah yang mengikat DAP sebagai parti dominasi bukan Melayu walaupun ada orang Melayu menyertainya. Orang Melayu yang menyertai DAP tetap dipanggil DAPigs. Suatu gelaran yang teramat ‘mengikat’ dan sukar untuk dihapuskan.

Mahanor Saleha

 

No Comments

    Leave a reply