MAHATHIR YANG HEBAT

 

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Mungkin itulah yang berlaku. Tanpa diduga, Dr Mahathir yang memasuki usi 93 tahun ketika itu diejek dan dicerca. Apa pun yang dikaitkan dengan beliau ditonjolkan sehingga ramai percaya, parti kecil pimpinannya tidak mampu memberikan impak yang besar.

Segala bentuk mahatirisme yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri keempat dipasarkan secara negatif. Dr Mahathir tidak banyak melatah, hanya sesekali berdehem, saperti kata Allahyarham Nik Aziz, sudah menjadi sejarah. Sesuatu yang menjadi sejarah, tidak perlu lagi dijadikan asas yang kukuh. Apa yang lebih penting ialah masa depan, dan untuk membangunkan masa depan, kita mencipta sejarah.

Sejarah memang tercipta. Dr Mahathir walaupun cuba didiskreditkan dengan sikapnya yang menentang idealisme politik DAP dan memenjarakan Anwar, bukan lagi jadi halangan untuk membentuk kerjasama politik yang lebih kuat. Beliau berani bertindak untuk menyatukan semula gabungan parti politik selepas imej Anwar kembali pudar kerana tidak berjaya dalam Langkah ke-Putraja dan Langkah Kajang. Anwar belum dibebaskan dan jika dibebaskan sekalipun, tidak dibenarkan menyertai politik untuk tempoh tertentu, kecuali mendapat pengampunan.

Pakatan Rakyat yang  pernah mencetuskan rasa gerun BN sejak tahun 2008, sudah terbelah akibat pertelagahan antara PAS dan DAP. Pakatan Rakyat seolah-olah kehilangan watak yang boleh mengembalikan ikatan kerjasama yang lebih kuat, kali ini saperti mendapat semula momentum apabila Dr Mahathir bersedia melakukannya.

Permulaannya dihalang secara psikologi dan fizikal. Secara fizikalnya, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14, parti yang ditubuhkan pada tahun 2016 hampir dibubarkan. Ia ditangguhkan sementara, sebab Parti Pribumi Bersatu Malaysia tidak mengadakan mesyuarat agong untuk melantik barisan kepimpinan, kepimpinan yang ada ketika itu hanyalah masih di peringkat jawatankuasa penaja.

Dr Mahathir mempunyai pilihan yang lain. Jika PPBM tidak dapat menggunakan logonya sendiri, dan pendaftaran Pakatan Harapan terhalang, perlu ada kesepakatan untuk menggunakan salah satu logo parti komponen. Jika logo DAP digunakan, sokongan orang Melayu mungkin tidak memadai. Akhirnya, logo PKR diputuskan untuk digunakan dalam PRU ke-14 untuk Semenanjung.

Pada awalnya ia ditentang oleh sebilangan kecil penyokong DAP. Pada mereka, tanpa logo DAP, mungkin penyokong parti komponen tertua dalam PH akan keliru. Akhirnya, diputuskan bahawa logo PKR digunakan untuk Semenanjung makala di Sabah dan Sabah, parti komponen boleh menggunakan logonya sendiri. Percubaan itu berjaya dan penguasaan BN selama 61 tahun berakhir.

Kejayaan itu disambut dengan perasaan yang berbelah bahagi. Penyokong-penyokong PH gembira dengan kemenangan itu dan menganggap hayat BN mungkin akan berakhir. Untuk memendekkan hayat BN, UMNO terlebih dahulu perlu dilumpuhkan.

Sarawak memulakan tindakan, hubungannya dengan kerajaan persekutuan tidak lagi dalam bentuk naungan politik. Parti-parti komponen BN Sarawak menubuhkan Gabungan Parti Sarawak manakala beberapa orang pemimpin BN Sabah mengambil tindakan keluar daripada gabungan.

Tindakan itu kemudiannya menjadi epidemik kepada UMNO. Dua wakil rakyatnya, Bukit Gantang dan Padang Serai memutuskan untuk keluar parti dan kekal sebagai wakil rakyat bebas. Ia kemudian diikuti oleh beberapa orang lagi sehinggalah kerusi UMNO di Dewan Rakyat tinggal 37 daripada 54. Setakat ini, sudah 17 wakil rakyat UMNO menjadi wakil rakyat bebas dan memohon keanggotaan dalam PPBM.

Semakin sehari, semakin rancak pemimpin UMNO membuat keputusan meninggalkan parti. Keadaan ini merunsingkan UMNO manakala DAP mula merasa tempiasnya. Sekiranya semua wakil rakyat UMNO yang mengisytiharkan keluar parti diterima menganggotai PPBM, kedudukan parti itu akan dapat menyaingi DAP.

Kebimbangan tersebut menyebabkan veteran DAP yang juga merupakan pengerusinya memberi kata dua saperti ugutan. DAP tidak akan teragak-agak keluar PH sekiranya Malaysia Baru tidak dilaksanakan. Dr Mahathir tidak juga membalas ‘ugutan’ itu tetapi memberitahu, kemasukan pemimpin UMNO ke dalam PPBM terpaksa melalui proses tapisan yang ketat, atau setelah dipastikan tidak ada dakwaan kes salah laku, jenayah, rasuah ataupun mengutuk keras dirinya semasa masih dalam UMNO.

Sebagai seorang tokoh politik berpengalaman, Dr Mahathir tidak mudah melenting walaupun beberapa orang pemimpin parti politik dalam komponen PH melihat situasi tersebut sebagai kaedah memperkuatkan PPBM melalui pintu belakang.

Kini, bertiup pula berita Dr Mahathir sedang mengatur untuk memecahkan PKR. PKR yang masih ‘terbelah’ akibat pergeseran dalaman dikatakan tidak akan membenarkan Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan selepas Dr Mahathir mengotakan janjinya. Dr Mahathir saperti ‘lempar batu sembunyikan tangan’ bila kumpulan Azmin Ali lebih memihak kepadanya. Kumpulan Azmin Ali bimbang kedudukan mereka terancam apabila Anwar mengambil alih kuasa.

Walaupun dinafikan oleh Ketua Wanitanya, Zuraidah Kamarudin, kemungkinan itu tetap ada bersandarkan apa yang sedang diprogramkan oleh Anwar Ibrahim. Mereka yang dikaitkan dengan Azmin Ali tidak dipilih menduduki posisi Pengerusi PKR Negeri. Anwar sedang mengatur orang-orangnya. Latheefa Koya bimbang dengan langkah tersebut dan akhirnya bersuara.

Mungkin suara itulah juga menyebabkan Nurul Izzah Anwar meletakkan semua jawatan dalam parti dan kerajaan. Nurul Izzah hanya kekal sebagai wakil rakyat Permatang Pauh atas tiket PKR. Nurul Izzah juga dikatakan sedang mempertimbangkan suatu idea yang lebih besar, mendaftarkan sebuah parti politik baharu yang ada kaitan dengan orang muda.

Rafizi kemudiannya menafikan berita tersebut. Perjumpaan mereka bertiga –Khairy Jamaludin, Rafizi Ramli dan Nurul Izzah—tidak ada kaitan dengan penubuhan parti orang muda, mereka hanya bersembang perkara biasa sambil minum teh.

Khairy Jamaludin sejak tewas jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan terbaharu, menunjukkan sikap dan pendirian berbeza dengan kepimpinan UMNO. Khairy turut meminta agar Zahid Hamidi melepaskan jawatan Presiden UMNO ekoran 46 kes yang sedang dihadapinya. Zahid bagaimanapun pada mulanya berkeras, beberapa hari lalu mula berlembut, mengambil cuti dan menyerahkan tugas Presiden UMNO kepada Datuk Mohamad Hassan, Timbalan Presiden. Jawatan Timbalan Presiden UMNO dipertanggungjawabkan kepada Datuk Ismail Sabri Yaacob, salah seorang Naib Presiden.

Perkembangan dalam UMNO, dakwaan pembabitan pemimpin-pemimpin tertinggi dalam kleptokrasi menyebabkan UMNO begitu payah untuk bangkit semula. Bila isu rasuah disebut, sebahagian besar rakyat percaya itulah budaya yang berjaya dibentuk oleh UMNO sejak menduduki tampok pemerintahan.

Dr Mahathir turut memberikan gambaran buruk terhadap UMNO walaupun sebahagian pelakunya dikaitkan dengan peluang yang dibuka oleh Presiden UMNO ketika berusaha mempertahankan kuasa. Dr Mahathir telah membawa masuk lebih ramai tokoh korporat dalam UMNO, akhirnya UMNO saperti tidak dapat dielakkan daripada politik wang.

Pemilihan UMNO sejak tahun 1987 dicemari oleh politik wang. Politik wang tidak sahaja berlaku di peringkat pusat, ia turut berlaku di peringkat bahagian dan cawangan. Itulah setiap kali UMNO membuat pemilihan pucuk pimpinan, ada ‘kemewahan’ berlaku, dari perhitungan ‘membeli undi’ hinggalah kepada penajaan penginapan mewah kepada perwakilan. UMNO semakin membesar dengan budaya warlords, dan budaya ini tidak mudah dihapuskan.

Walaupun UMNO sedang berhadapan dengan krisis keyakinan dan kesukaran untuk melakukan perubahan, PPBM pada hakikatnya masih dianggap sebuah parti kecil dalam komponen PH, tapi amat berkuasa. Ini kerana Dr Mahathir boleh membuat lebih banyak percaturan untuk mengekalkan kedudukannya, sekurang-kurangnya untuk tempoh sepenggal.

Sekiranya percaturan politik Dr Mahathir ini berjaya, ia mungkin akan menyebabkan Anwar bukan sahaja tidak layak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan. Anwar akan berhadapan dengan perpecahan dalam PKR manakala Dr Mahathir semakin berjaya memperkukuhkan kedudukannya. Ini bermakna, pada satu tahap jumlah kerusi PPBM dan wakil rakyat yang menyokong Dr Mahathir akan lebih besar, boleh mengalahkan jumlah kerusi yang dimiliki oleh DAP.

Saperti kata Nurul Izzah, sekiranya berlaku kemasukan besar wakil rakyat UMNO ke dalam PPBM, kedudukan kerusi milik PKR akan jadi seimbang. Itupun jika semua wakil rakyat PKR kekal dengan keputusan sedia ada. Sekiranya benar sejumlah 20 orang wakil rakyat PKR bersedia menyokong Dr Mahathir, kekuatan PPBM melangkaui kekuatan gabungan DAP dan PAN. PPBM akan menjadi parti dominan dalam PH.

Agaknya inilah yang dibimbangkan oleh Lim Kit Siang dan salah seorang wakil rakyat DAP akan menggunakan Undang-Undang Persendirian untuk mencadangkan sebuah Akta Anti Lompat Parti dalam sidang Dewan Rakyat pada tahun hadapan. Ini bermakna, PH akan terus kekal mungkin akan kehilangan sentuhan Dr Mahathir.

Dr Mahathir tidak setuju dengan Akta Anti Lompat Parti. Jika menyokong pendirian DAP, bermakna hasratnya untuk mendapat kuasa dua pertiga di Dewan Rakyat tidak akan berjaya. PPBM akan kekal dengan 13 orang wakil rakyat, tetap kerdil posisinya dalam PH jika dibandingkan dengan DAP.

Keputusan kajian INVOKE tentang kemerosotan imej Dr Mahathir dalam persepsi umum, walaupun dikaitkan dengan kelemahan menteri kabinet Malaysia Baru dan kegagalan menunaikan manifesto sebenarnya alasan yang tersurat. Mungkin Rafizi boleh menggunakan indikator tersebut untuk menekan Dr Mahathir agar melepaskan jawatan lebih awal, semakin lama memegang kuasa, imej pemimpin berusia 93 tahun mungkin boleh melepasi tahap minus atau kritikal.

Tekanan masyarakat awam kepada Dr Mahathir untuk melucutkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy akan lihat sebagai salah satu faktor penentu. Euforia kepada PH semakin mengecewakan, dan menurut analisis Rafizi, ia boleh menyebabkan PH boleh kalah dalam PRU ke-15.

Sebelum keadaan menjadi lebih parah, Dr Mahathir perlu melepaskan jawatan itu kepada Anwar Ibrahim, mungkin dalam tempoh kurang setahun memerintah. Pada awalnya, Dr Mahathir akan menjadi Perdana Menteri untuk tempoh enam bulan, kemudiannya dipanjangkan kepada dua tahun.

Anwar sedar, jika beliau begitu ketara mendesak, Dr Mahathir akan memperoleh kekuatan menerusi simpati. Tetapi Rafizi sebenarnya terlupa, Dr Mahathir adalah tokoh yang cepat bangkit dan bertindak tegas apabila kedudukannya terjejas.

Rafizi mungkin terlupa, ketika imej Dr Mahathir begitu merosot selepas menang 43 undi pada tahun 1987, beliau bangkit dengan begitu cepat dengan UMNO (Baru). Kekuatan pencabarnya, Tengku Razaleigh dan beberapa orang bekas menteri kabinet yang membentuk Semangat 46 tidak kekal lama. Pada tahun 1995, Semangat 46 dibubarkan dan kembali ke pangkuan UMNO.

Kekuatan itulah juga menjadikan rempohan reformasi akibat penyingkiran Anwar pada tahun 1998 tidak begitu menjadi. Dalam piilihan raya umum 1999, walaupun dianggap oleh segelintir penganalisis politik saperti bulan sabit buat BN, Dr Mahathir berjaya mengekalkan kuasa politik UMNO. BN masih mampu dengan kekuatan dua pertiga di Dewan Rakyat walaupun terpaksa melepaskan Terengganu.

Apakah ‘kemahiran’ yang sama tidak akan berlaku sekiranya Rafizi yang menjadi pendokong kuat Anwar terus memberikan tekanan kepada Dr Mahathir? Apakah Rafizi dapat pastikan bahawa kelompok pro Azmin Ali tidak akan meninggalkan PKR dan menyokong Dr Mahathir?  Mungkin juga Azmin Ali akan bergabung dalam PPBM berdasarkan situasi semasa di mana saperti ada kerengangan hubungan Azmin-Anwar.

Teori bahawa Anwar akan mempastikan Nurul Izzah sebagai penggantinya adalah sama dengan teori Dr Mahathir terhadap Mukhriz. Tetapi, nepotisme Anwar terhadap Nurul Izzah akan menyebabkan peluang untuk Azmin pergi lebih jauh akan tersekat. Sekiranya Azmin berada dalam kem Dr Mahathir, peluangnya akan lebih cerah dan terbuka, kerana Azmin semakin dipercayai.  Azmin tidak mempunyai apa-apa masalah dengan anak Dr Mahathir ataupun dengan Dr Siti Hasmah, tetapi isteri Azmin ada ‘benang basah’ dengan Dr Wan Azizah.

Apa pun, masa akan menentukan sama ada DAP akan ‘meninggalkan PH’ atau UMNO akan diharamkan sekali lagi. Kalau tahun 1988, UMNO diharamkan kerana Dr Mahathir enggan membuat pemilihan semula, maka pengharaman UMNO untuk kali kedua bukan kerana campur tangan Dr Mahathir, UMNO diharamkan kerana masalah dalamanya sendiri.

Jika PH berpecah kerana DAP membuat keputusan keluar daripada gagasan, Dr Mahathir tidak akan melihat dirinya sebagai faktor ‘pemusnah’. DAP ‘memusnahkan’ PH kerana parti itu tetap dengan perjuangan idealismenya, iaitu Malaysian Malaysia. Tetapi, sebagai membendung tekanan Malaysian Malaysia yang sedang diterjemahkan secara halus oleh DAP, Dr Mahathir saperti perlahan-lahan melakukan pusingan u untuk kembali ke Malaysia Lama dengan imej baharu yang lebih segar dan boleh diterima oleh Orang Melayu.

Itulah kekuatan sebenar Dr Mahathir, walaupun PPBM hanya mempunyai 13 kerusi, PPBM boleh menentukan apa sebenarnya Malaysia Baru itu, bukan DAP ataupun PKR. PAN hanya sekadar pelakon yang belum tentu mampu menterjemahkan Rahmatal Lil’alamin dalam Malaysia Baru.

Dr Mahathir sedar, jika tersilap langkah ia memberikan keuntungan terlalu banyak kepada bukan Melayu. Orang Melayu bukan sahaja menyumpah, bahkan akan mengutuk Dr Mahathir kerana gagal dalam misinya untuk menjadikan Islam lebih baik dan dihormati.

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply