MAHMUD SYALTUT

Antara ulama dan pemikir Islam yang terkemuka dan berkaliber di peringkat antarabangsa dari Universiti al-Azhar, Kaherah ialah Mahmud Syaltut. Beliau yakin bahawa ijtihad tetap terbuka dan gigih memperjuangkan cita-cita pembaharuan Islam secara umumnya dan pembaikan al-Azhar secara khususnya.

Syaltut lahir pada 23 April 1893 di Maniyah Bani Mansur, Itai al-Bairud, Bukhairah, Mesir. Semasa berusia 13 tahun, beliau telah menghafal al-Quran dan  pada usia 25 tahun, beliau tamat sebagai lulusan terbaik dalam bidang ilmu keislaman di al-Azhar.

Beliau seterusnya mengajar di sana. Beliau juga menulis karya dalam bidang syariat, tafsir, hadis dan bahasa Arab yang  menjadikan namanya terkenal di seluruh dunia Islam.

Mahmud Syaltut mengahabiskan banyak waktunya untuk berbakti kepada al-Azhar. Pada 1927, beliau dilantik sebagai pengajar peringkat takhasus (pakar). Rektor pada waktu itu ialah Syeikh Mustafar al-Maraghi. Beliau kerap kali menulis risalah yang menyokong program al-Maraghi bagi memajukan al-Azhar. Namun ramai ulama di kalangan al-Azhar tidak dapat menerima pandagannya.

Akibatnya, pada 1931 beliau disingkirkan dari al-Azhar. Meskipun demikian, beliau terus melontarkan kritikan, baik secara lisan mahupun tulisan, demi kebaikan al-Azhar. Kemudian beliau dilantik semula sebagai pengajar al-Azhar, bahkan sebagai Timbalan Dekan Fakulti Syariah.

Pada 1958 beliau terpilih sebagai rektor ke-41. Pada 1961, Syaltut mengeluarkan undang-undang baru (nombor 103) tentang pembaharuan al-Azhar, terutama dari segi organisasi dan kurikulumnya.

Hal ini juga berkaitan dengan penubuhan fakulti baru (Pertanian,Kejuruteraan dan Perubatan) untuk melengkapi fakulti yang sedia ada: Syariah, Usuluddin dan Sastera. Melalui usaha ini, beliau berhasrat melaksanakan cita-citanya untuk melahirkan ulama yang bukan sahaja menguasai ilmu agama, tetapi juga ilmu perubatan, matematik dan sebagainya.

Pada 1937, Syaltut mewakili al-Azhar dalam Kongres Antarabangsa tentang Undang-Undang di The Hague, Belanda. Pada masa itu beliau menyajikan risalah ilmiah tentang undang-undang Islam. Berkat penyertaannya itu, kongres membuat kesimpulan bahawa syariat islam ialah hukum yang berdiri sendiri dan layak dijadikan sumber perundangan bagi manusia untuk setiap zaman dan tempat.

Sejak itu, namanya semakin terkenal di dunia antarabangsa. Nama Mahmud Syaltut sering dikaitkan dengan dengan al-Azhar. Beliau menghabiskan banyak masa untuk institusi pendidikan itu.

Sebagai ulama dan pemikir yang berpandangan jauh, Mahmud Syaltut berusaha menentang kejumudan dan berfikir dan fanatisme bermazhab yang membawa perpecahan di kalangan umat Islam. Beliau juga menetang pendapat bahawa ijtihad sudah tertutup.

Beliau menyeru ulama supaya  bersedia melakukan ijtihad berdasarkan al-Quran. Menurutnya, berbagai-bagai pentafsiran yang wujud di kalangan umat Islam merupakan sesuatu yang wajar, kerana banyak ayat al-Quran yang tidak menetapkan hukum dengan tegas sehingga ijtihad selalu terbuka.

Pada 1958, Mahmud Syaltut terpilih sebagai rektor ke-41 Universiti al-Azhar. Sebagai rektor, beliau berpeluang melaksanakan cita-cita dan pemikirannya.

Pada 1960, beliau memindahkan Institut Pembacaan al-Quran ke Masjid al-Azhar untuk mengembalikan fungsi al-Azhar kepada kajian al-Quran.

Susunan Maznah Ahmad

No Comments

    Leave a reply