Majlis Raja-Raja ada hak dalam hal ehwal imigresen

Saya memilih tajuk ini untuk dikongsi kerana isu berkaitan visa antara perkara besar mendapat perhatian masyarakat Malaysia, lebih-lebih lagi dalam kes penularan coronavirus ketika ini.

Ia bukan baharu, malah sebelum ini beberapa perubahan kepada dasar imigresen diperkenalkan kerajaan, termasuk visa ketika ketibaan (VOA) diberikan kepada warga sesetengah negara.

Hal ehwal imigresen antara perkara amat berkaitan keselamatan atau kesihatan awam dalam negara. Bahkan lebih daripada itu, hal ehwal imigresen membabitkan kedaulatan negara.

Namun, hingga kini kita tidak pernah mendengar suara Majlis Raja-Raja mengenai hal ehwal imigresen, walaupun ia ada disebut dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai bolehnya Majlis Raja-Raja membincangkan bersama-sama dengan wakil kerajaan, Perdana Menteri dan Menteri Besar atau Ketua Menteri, menyentuh dasar berkaitan imigresen.

Dasar berkaitan imigresen satu-satunya contoh disebut dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai dasar boleh dibincangkan oleh Majlis Raja-Raja.

Perkara ini dinyatakan dalam Perkara 38(2) Perlembagaan Persekutuan seperti dipetik di bawah:

38(2) Majlis Raja-Raja hendaklah menjalankan fungsinya bagi:

(a) memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Jadual Ketiga;

(b) mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh;

(c) memperkenankan atau tidak memperkenankan apa-apa undang-undang dan membuat atau memberikan nasihat mengenai apa-apa pelantikan di bawah Perlembagaan ini dikehendaki diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja atau dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja;

(d) melantik anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182;

(e) memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42, dan boleh menimbang teliti soal mengenai dasar negara (misalnya perubahan tentang dasar imigresen) dan apa-apa perkara lain yang difikirkannya patut.

Pada mula-mula saya membaca dan mempelajari Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang Perlembagaan, saya tertanya-tanya, kenapa peruntukan Perkara 38, yang menjadi peruntukan asas berkenaan Majlis Raja-Raja meletakkan dasar berkaitan imigresen sebagai contoh dasar yang boleh dibincangkan oleh Majlis Raja-Raja?

Persoalan yang timbul apakah kaitan antara Majlis Raja-Raja dan dasar imigresen? Selepas beberapa lama mencari jawapan, saya menemui beberapa dokumen sejarah yang menjawab persoalan ini.

Bagi tujuan tulisan ini saya merujuk beberapa dokumen, antara lain, termasuk Laporan Suruhanjaya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Report of the Federation of Malaya Constitutional Commission) 1957; Verbatim Report of Hearing of Counsel on Behalf Their Highnesses the Rulers, 14-15 Sept. 1956, CO 889/1 (32) dan Minit Mesyuarat Jawatankuasa Kerja 941/85; CO 941/87.

Analisis kandungan dokumen terbabit secara umum menunjukkan konsep Raja Berperlembagaan di negara ini mempunyai prinsip tersendiri seperti dihasratkan Raja-Raja.

Walaupun Raja-Raja bersedia menjadi Raja Berperlembagaan, kedaulatan baginda tetap dijamin Perlembagaan. Dasar imigresen amat berkaitan dengan kedaulatan.

Hal ehwal imigresen antara beberapa perkara utama dicadangkan Raja-Raja untuk dimasukkan di bawah peruntukan mengenai fungsi Majlis Raja-Raja ketika proses penggubalan Perlembagaan.

Raja-Raja menyuarakan rasa tidak puas hati kepada draf pertama Perlembagaan Persekutuan yang dicadangkan Suruhanjaya Reid, berikutan tidak memenuhi hasrat Raja-Raja seperti dikehendaki atau sebagaimana dimaksudkan dalam terma lantikan Suruhanjaya Reid yang diperkenan Raja-Raja.

Terma berkenaan ialah, “The safeguarding of the position and prestige of Their Highnesses as constitutional Rulers of their respective States.”

Oleh itu, ketika proses kemerdekaan, Raja-Raja menuntut peruntukan khusus berkaitan fungsi Majlis Raja-Raja dimasukkan dalam Perlembagaan. Raja-Raja mencadangkan supaya Majlis Raja-Raja dirujuk dalam apa-apa perubahan undang-undang berkaitan imigresen.

Hujahan dikemukakan wakil Raja-Raja dalam mesyuarat bersama Jawatankuasa Kerja ialah, hal ehwal imigresen membabitkan kedaulatan Raja-Raja di negeri.

Undang-undang dan dasar imigresen secara langsung terkesan ke atas negeri kerana kemasukan warga asing, sekali gus membabitkan kedaulatan negeri.

Mereka yang masuk ke negara ini boleh bergerak bebas merentas sempadan negeri tanpa apa-apa dokumen tambahan. Jelasnya, apa jua membabitkan persempadanan negeri secara langsung membabitkan kedaulatan Raja di negeri.

Oleh itu, pada masa menggubal Perlembagaan merdeka pada 1957, hal berkaitan imigresen diambil perhatian khusus Raja-Raja sehingga dasar berkaitan imigresen disebut sebagai contoh dalam peruntukan berkaitan fungsi Majlis Raja-Raja untuk berbincang mengenai dasar negara.

Justeru, Majlis Raja-Raja berhak membincangkan hal ehwal imigresen dan memberikan pandangan atau pesanan.

Dalam konteks Raja Berperlembagaan berasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja dibenarkan berbuat demikian dan ia dipersetujui ketika proses penggubalan Perlembagaan Persekutuan pada 1957.

Oleh Dr. Shamrahayu Aziz Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sumber : bharian.com

No Comments

    Leave a reply