“Saya sudah menyampaikan taklimat (kepada Majlis Raja-Raja) mengenai gagasan yang dipersetujui bersama oleh MKI dan banyak soalan telah diajukan tadi. Alhamdulillah, selalunya selepas sesi pendengaran perkara ini akan dibawa ke ‘full-council’ sebelum disahkan mengenai pentadbiran yang akan mengikut acuan Gagasan Negara Rahmah ke seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) dengan enam institusi awam dan swasta di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Tokoh Akademik Negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Ketua Pegawai Eksekutif KPBKL, Prof. Datuk Dr. Noor Inayah Yaakub.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, selain isu gagasan negara tersebut, Majlis Raja-Raja turut disembah maklum mengenai keputusan fatwa yang sudah diputuskan oleh MKI dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Antaranya seperti keputusan fatwa mengenai pemindahan organ serta isu kelompok yang membahayakan kepada negara dengan mempergunakan Islam sebagai perjuangan.

 “Kita telah sembah maklum untuk tindakan dan semua ini terletak di bawah bidang kuasa Majlis Raja-Raja,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE