MAKAN RASUAH LEBIH HINA DARIPADA MAKAN BABI

Kalau dahulu kita selalu mendengar rasuah rata-rata berlaku dalam perniagaan dan perdagangan, kini kita dikejutkan pula dengan satu lagi bentuk rasuah iaitu rasuah dalam bidang sukan terutamanya rasuah bolasepak. Dilaporkan ada beberapa pemain bole sepak dikatakan menerima rasuah diantara RM 1000 dan RM 15,000. Sementara itu, di Singapura, pernah seorang pemain import dihadapkan ke mahkamah kerana menerima rasuah sebanyak RM 637,500.

Walaupun rasuah bolasepak boleh dianggap kecil tetapi sekiranya terus dibiarkan ia akan menjadi barah kepada masyarakat dan negara. Kalau dalam sukanpun berlaku rasuah apatah lagi dalam bidang yang terlibat secara langsung dalam perniagaan dan perdagangan. Dengan sebab itulah langkah kerajaan untuk membanteras rasuah perlu diberi sokongan sepenuhnya oleh semua pihak supaya ianya dapat dibanteras hingga ke akar umbi.

Ini kerana, rasuah merupakan salah satu nilai buruk yang bertentangan dengan agama dan moral masyarakat. Ia adalah satu jenayah kolar putih yang mengancam keselamatan negara sekiranya tidak dibendung. Banyak pemimpin Asia, menyifatkan rasuah sebagai satu penyakit barah yang jikalau tidak diubati pada peringkat awal akan menyebabkan sesebuah kerajaan itu hancur.

Secara umumnya, terdapat tiga bentuk rasuah iaitu bribery, extortion dan nepotism.

i) Bribery adalah merujuk kepada perbuatan seorang pegawai awam yang menerima hadiah-hadiah tertentu sebagai balasan bagi sesuatu perbuatan. Rasuah perniagaan, perdagangan, rasuah bolasepak dan sebagainya termasuk dalam katogeri ini.

ii) Extortion adalah meminta sesuatu pemberian hasil daripada khidmat yang telah diberikan. Ia juga merangkumi perbuatan pegawai-pegawai yang menggunakan tabung-tabung amanah awam bagi kepentingan diri sendiri. Dalam konteks biasa, perbuatan ini juga kenali sebagai pecah amanah (criminal breach of trust).

iii) Nepotisme pula dilihat sebagai aktiviti melantik saudara-mara, rakan-rakan politik ke jawatan-jawatan tinggi tanpa mengambil kira kelulusan, merit dan kelayakan mereka.

Menurut seorang pemikir agung Islam, Ibn Khaldun, punca utama berlakunya amalan rasuah ini adalah kerana naluri manusia itu sendiri. Keinginan manusia untuk menjadi cepat kaya dan minat untuk meletakkan diri dengan golongan kelas atasan (elit) bagi menjaga status membuatkan mereka cenderung untuk melakukan rasuah.

Di samping itu, faktor ketiadaan undang-undang yang keras dalam menghukum pesalah-pesalah telah mendorong mereka untuk kembali melakukan rasuah apabila sudah menjalani sesuatu hukuman. Dalam pada itu, ketiadaan persekitaran yang peka terhadap kempen anti-rasuah menjadikan amalan rasuah ini susah dikikis.

Selain itu, kurangnya pegangan hidup terhadap agama dan etika hidup turut menyumbangkan ke arah berlakunya rasuah. Pegangan agama merupakan faktor penting kepada setiap individu untuk mengenal yang mana baik dan buruk. Sekiranya masyarakat telah dididik bahawa rasuah itu adalah perbuatan yang keji sudah tentu tidak ada pemberi rasuah dan tidak ada penerima rasuah.

Amalan rasuah secara berleluasa berkeupayaan menjatuhkan kerajaan negara kita. Pemimpin-pemimpin negara ini haruslah belajar daripada sejarah. Kejatuhan kerajaan Nasionalis Chiang Kai-Shek di China dan Marcos di Filipina serta beberapa negara yang lain adalah kerana berlakunya amalan rasuah secara berleluasa.

Akibat langsung amalan rasuah ini adalah berlakunya kelemahan dan hancurnya keadilan di negara ini.

Islam memandangkan budaya rasuah ini sebagai perkara yang amat keji. Ia bukan hanya boleh meruntuhkan negara malahan juga agama itu sendiri. Maruah agama, bangsa dan negara akan tergadai sekiranya rasuah tidak dibendung. Dengan sebab itu Allah memberikan peringatan yang keras dalam firmanNya yang bermaksud:

Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahui. (Al-Baqarah: 188)

Rasulullah s.a.w. turut bersabda yang bermaksud:

Allah melaknat pemberi dan penerima rasuah dalam hukum

Ibn Taimiyyah dalam soal rasuah memberikan pandangan yang tegas. Katanya, sesiapa yang menyeleweng daripada amanah yang diberikan seperti rasuah, maka mereka telah mengkhianati Allah, RasulNya dan kaum muslimin dan beerti melanggar ayat berikut:

“Wahai orang-orang Mukminm janganlah kamu khianati Allah dan RasulNya dan jangan pula kamu khianati amanah” (Al-Anfal: 27)

Dalam kitabnya yang masyhur, As-Siasah As-Syariyah, Ibn. Taimiyyah menegaskan sesiapa yang bertindak memberikan jawatan tertentu kepada seseorang atas dasar cintanya kepada mereka bukan berdasarkan kelayakan dan keperibadian yang unggul bererti dia juga telah mengkhianati Allah, RasulNya dan kaum Muslimin. Begitu juga dengan pemberian harta yang bukan miliknya maka telah telah mengkhianati amanah. Demikian juga sekiranya dia mengkorupsikan harta bukan haknya atau mengangkat orang yang mengampu atau yang menyokongnya.

Makan rasuah lebih berat daripada makan babi

Hari ini, rata-rata penerima rasuah dari kalangan orang Melayu yang beragama Islam. Ini kerana, majoriti mereka yang terlibat sektor perkhidmatan awam adalah orang Melayu Islam. Maka, kita dapat katakan bahawa, pemberi rasuah rata-rata orang bukan Islam, sebab mereka banyak terlibat dalam bidang perniagaan. Tidak ketinggalan segelintir orang Islam yang bergiat aktif dalam politik. Dalam kata lain, penerimanya adalah orang Islam dan pemberinya adalah bukan Islam.

Persoalannya, manakah yang lebih haram, walaupun kedua-duanya haram dan balasannya masuk neraka? Yang memberi atau yang menerima? Sudah tentu dalam hal ini yang lebih haram adalah yang menerima. Sebab, tidak ada yang akan memberi, jika tidak ada penerima. Yang menerima tidak perlu bekerja keras untuk mendapatkan wang, sedangkan yang memberi, terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan wang bagi tujuan haram tersebut.

Walaupun kedua-dua perbuatan memberi dan menerima itu haram, umat Islam mesti boleh membezakan bilamana haram bertemu dengan haram, yang mana lebih haram. Atau antara dosa dengan dosa, amalan mana lebih banyak dosa. Atau contoh lebih ekstrim lagi, antara neraka dengan neraka, neraka manakah yang paling azab sekali siksaannya.

Dalam Islam, setiap perbuatan atau amalan, akan dibalas mengikut keseriusan tahap sesuatu amalan itu. Dengan sebab itu, nikmat syurga dan siksaan neraka ada tahap-tahap atau tingkatan-tingkatannya. Jika semua orang masuk syurga, maka rugilah jadi orang Islam. Tidak perlu juga kita berdakwah kepada orang bukan Islam. Begitu juga jika semua amalan baik masuk syurga yang sama, maka rugilah mereka yang beramal mencapai tahap paling baik atau terbaik dan penuh keikhlasan.

Sama halnya jika semua orang jahat masuk neraka yang sama, maka rugi mereka yang buat jahat sekadar ala kadar sahaja, kerana balasannya adalah sama dengan mereka yang buat amalan paling jahat. Maka, logiknya kita akan berfikir, lebih baik buat perkara yang paling jahat sebab balasannya sama dengan mereka yang jahat sikit-sikit.

Islam tidaklah sedemikian sifat. Amalan kita dinilai berasaskan sejauhmanakah tahap keseriusan atau tingkatan yang dicapai sama ada baik atau buruk. Dengan sebab itu, syurga, neraka dan azab ada tahap-tahap tingkatannya. Sama juga hukuman di dunia ini, kesalahan ringan, hukuman lebih ringan. Kesalahan berat, sudah tentu hukumannya lebih berat sehinggalah sampai tahap paling serius iaitu hukuman mati.

Begitu dengan juga dengan pemberi dan penerima rasuah. Kedua-dua perbuatan ini haram dan masuk neraka. Yang manakah antara kedua-dua ini yang lebih haram, lebih berdosa dan masuk ke dalam neraka yang paling azab. Pada hemat saya, sudah tentu yang yang lebih azab adalah mereka yang menerima rasuah berbanding pemberi rasuah.

Contoh lain, adalah antara makan rasuah dengan makan daging babi. Yang manakah lebih haram, lebih berdosa dan lebih teruk siksaannya dalam neraka? Sudah tentu makan rasuah lebih haram, lebih berdosa dan lebih teruk siksaan neraka daripada perbuatan makan babi, walaupun kedua-duanya haram dan berdosa.

Perlu diingatkan bahawa dosa makan makan babi hanya melibatkan individu yang makan babi, tidak melibatkan ahli keluarga, masyarakat, negara dan agama. Dosa individu lebih mudah diampunkan oleh Allah s.w.t sebab pelakunya antara individu tersebut dengan Allah s.w.t. Yang Maha Pengampun.

Berbeza dengan dosa mengambil dan memakan rasuah. Terdapat beberapa tahap serius di sini iaitu mengambil (melibatkan yang memberi), kemudian menggunakannya untuk diri, keluarga dan masyarakat, sehingga boleh meruntuhkan agama dan negara.

Menggunakan hasil haram rasuah akan masuk ke perut. Jika dibelanja kepada orang lain, masuk ke perut orang lain seperti anak-anak, ahli keluarga dan rakan taulan yang tidak berdosa. Perut menerima hasil haram, walaupun bukan daging babi yang masuk ke perut.

Hasil haram yang masuk ke perut akan menjadi darah daging penerima rasuah dan keturunannya serta orang lain. Bermakna, dosa rasuah melibat orang ramai. Sedangkan yang memberi rasuah, mungkin hanya memberikan sekali sahaja kepada yang menerima dan tidak menggunakan wang rasuah tersebut.

Pendek kata, dosa menerima rasuah melibat orang ramai yang tidak berdosa. Bermakna dosa rasuah bertali-temali. Dosa kepada orang ramai perlu kepada permohonan maaf. Selagi permohonan maaf itu tidak diterima, selagi itulah dosa itu akan berada di situ. Allah s.w.t. tidak mudah mengampunkan dosa melibatkan orang ramai, selagi tidak dimaafkan. Sedangkan dosa makan babi hanya melibat seorang individu sahaja.

Perkara ini perlu disedari oleh pemimpin dan penjawat awam hari ini. Menjadi pemimpin dalam organisasi (awam) dan politik bukanlah satu perkara yang boleh dibuat main-main, tetapi ia adalah satu tanggungjawab dan amanah. Ia perlu dijaga, sebab pemimpin dahulu yang akan dipersoalkan oleh Allah s.w.t. di akhirat nanti dan bukannya rakyat yang dipimpin.

Sama juga seperti dosa ibubapa yang menyuapkan rezeki yang haram ke mulut anak-anak. Ibubapa yang akan dipertanggungjawab. Mereka akan adalah yang disoal oleh Allah s.w.t. berbanding anak-anak. Dalam kata lain, pemimpin dalam semua kategori awam, swasta, politik dan bukan politik bertanggungjawab terhadap mereka yang dipimpin.

Justeru itu, memandang rasuah ini adalah begitu keji sekali bukan hanya dari segi sosial, ekonomi dan politik apatah lagi kalau dinilai dari sudut agama, maka sudah seharusnya langkah-langkah sewajarnya perlu diambil untuk membenteras gejala ini.

Kepimpinan Melalui Teladan

“Kepimpinan Melalui Teladan” dan “Bersih, Cekap dan Amanah” adalah di antara kempen yang pernah dilancarkan oleh kerajaan satu ketika dahulu perlu dipraktikkan dan dihidupkan kembali semangatnya. Kerajaan mesti menunjukkan contoh kepada rakyat sebelum mengingatkan mereka bahaya rasuah kerana pepatah Melayu ada mengatakan “bapa borek anak rintik”. Kalau rasuah berlaku di kalangan pucuk pimpinan, tidak mustahil ia boleh berlaku kepada rakyat jelata.

Justeru itu, kementerian atau jabatan kerajaan yang banyak terlibat dengan urusan perkhidmatan tender perniagaan, perlesenan, imigresen, keselamatan (saman), pengangkutan dan sebagainya hendaklah dikawal dengan rapi supaya tidak berlaku penyelewengan. Hukuman yang berat hendaklah dijatuh sekiranya terbukti individu itu terlibat dengan rasuah sama ada pemberi atau penerima dan orang-orang yang bersubahat dengannya.

Hukuman

Selain daripada itu, pemimpin-pemimpin yang disyaki mengamalkan amalan-amalan kotor dalam organisasi mereka untuk mendapatkan kuasa haruslah disingkirkan. Misalnya, kadangkala ada pemimpin-pemimpin politik yang mengetuai kementerian atau jabatan tertentu menggunakan kuasanya yang adanya untuk meluluskan tender dan projek kepada orang-orang tertentu sahaja sama ada kaum kerabatnya ataupun mungkin kepada mereka yang telah memberi `wang kopi’ kepadanya.

iii) Personaliti Jujur dan Ikhlas

Pemimpin-pemimpin yang dipilih atau diangkat mestilah mempunyai personaliti yang jujur dan ikhlas kerana kedudukan dan jawatan mereka mempunyai otoriti dan kuasa yang dapat digunakan untuk membentuk sikap dan tingkahlaku orang-orang bawahan serta masyarakat.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail pernah berkata, alangkah bagusnya kalau rakyat Malaysia satu hari nanti dapat lebih dahulu memantapkan kedudukan dalam profesion dan dunia perniagaan, kemudian baru masuk politik seperti di Britian. Pesan saya kepada kaum pemuda kita kangan masuk politik selagi belum terjamin kedudukan kewangan atau pekerjaan.

Kenyataan ini dari satu segi memang ada kebenarannya. Namun, tidak semestinya mereka yang tidak kukuh kedudukannya dalam profesion dan perniagaan, tidak boleh menjadi pemimpin. Cuma yang perlu dititikberatkan adalah apakah tujuan untuk menjadi pemimpin. Sekadar untuk memenuhkan kocek? Atau memikulkan amanah Allah SWT terhadap agama, bangsa dan negara. Jika amanah Allah SWT itu dijaga, maka kita akan dapat lihat betapa indahnya hidup ini tanpa rasuah, tetapi jika sebaliknya, maka tunggulah kehancurannya.

iv) Menggunakan Kuasa

Masyarakat juga tidak harus mengujudkan suasana yang dapat mempertingkatkan amalan rasuah ini. Mereka harus sedar bahawa kuasa yang ada pada mereka, misalnya sebagai pengundi adalah amat banyak dan penting. Nilai `kuasa’ dalam masyarakat adalah sama dengan nilai `wang’ dalam ekonomi. Jikalau terdapat terlalu banyak wang dalam pasaran maka akan terjadi `inflasi’. Begitu juga, jika terdapat banyak kuasa pada masyarakat maka ia cenderung untuk menjadi `corrupt’ sepertimana menurut Lord Acton iaitu:

“Power tends to corrupt and absolute power corrupts absolutely”.

Kata-kata ini memang ada kebenarannya. Misalnya, dalam senario politik yang mengamalkan sistem demokrasi, selain dari menjadi wakil rakyat, ahli politik juga turut terlibat dalam perniagaan. Mereka menjadi pengarah bermacam-macam syarikat. Mereka mempunyai kuasa politik dan kuasa wang. Kedua-dua kuasa ini jika tidak digunakan dengan betul, pastinya akan menjerumuskan seseorang itu ke kancah rasuah kerana mereka yang membuat keputusan dalam satu-satu jabatan atau kementerian. Kuasa politik digunakan untuk meluluskan tender-tender perniagaan dan lain-lain perkhidmatan. Sementara kuasa wang pula digunakan untuk `membeli undi dan menutup penyelewengannya yang dilakukan’. Di samping itu, ada yang melakukan rasuah yang bersifat nepotisme yang hanya memberikan jawatan-jawatan tertentu kepada kaum kerabatnya tanpa menilai akan prestasi dan kelayakan seseorang itu.

v) Politik dan Perniagaan

Memandangkan politik dan perniagaan telah menjadi `satu budaya’ maka adalah perlu penglibatan ahli politik dalam perniagaan dikurangkan. Sama seperti larangan berniaga terhadap kakitangan awam. Al-Mawardi membawa sepotong hadis Rasulullah s.a.w.

Apabila pemimpin berniaga maka binasalah rakyat

Ibnu Khaldun mengukuhkan lagi syarat ini. Pada pandangan beliau, apabila seorang menteri terlibat dalam perniagaan, ia mungkin cuai dalam menjalankan tugasnya dan kemungkinan berlakuya penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa amat besar sekali.

Sekiranya ada di kalangan ahli politik yang ingin melibatkan diri dalam perniagaan, biarlah hanya mereka yang mempunyai personaliti yang baik yang tidak mempunyai rekod rasuah diberikan peluang untuk melibatkan diri.

vi) Kefahaman agama

Kefahaman terhadap asas-asas hidup beragama amat penting dalam membenteras rasuah. Pemimpin dan rakyat mesti mengisi diri mereka dengan nilai-nilai agama. Jiwa yang takut kepada Tuhan. Menjalankan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar. Pendidikan mengenai berdosanya mengambil dan mengamalkan rasuah mesti dimulakan sejak bangku sekolah lagi. Tidak cukup sekadar mengatakan babi dan anjing itu haram dimakan, tetapi lebih daripada itu, pendidikan Islam juga hendaklah menekankan bahawa mengambil rasuah itu lebih hina daripada memakan babi dan anjing. Maaf, saya bukan bertujuan mahu meringankan hukum, tetapi itulah hakikat sebenarnya.

Kesimpulannya, kerajaan negara kita haruslah berhati-hati dalam menjalankan segala aktiviti supaya tidak tersilap langkah dan terjerumus ke dalam krisis yang boleh menghancurkan keutuhan dan keharmonian negara yang telah dibina setakat ini. Pucuk pimpinan negara ini harus sedar bahawa sejarah telah membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin yang menyeleweng di negara-negara lain tidak akan kekal lama. Misalnya kejatuhan Richard Nixon, Presiden Amerika Syarikat dan sebagainya adalah kerana penglibatan mereka dalam kancah rasuah yang keji ini.

Peristiwa Qarun yang dimusnahkan oleh Allah s.w.t. akibat sikapnya yang terlalu mementingkan diri sendiri sehingga menyebabkan ramai rakyat yang menjadi mangsa patut dijadikan pengajaran kepada kita hari ini. Dalam peristiwa yang dijelaskan dalam al-Quran, surah Al-Qasas ayat 76-82, Qarun, telah membolot segala kekayaan negara dan mengamalkan rasuah. Wang rakyat digunakan pada jalan yang salah. Kebajikan rakyat diabaikan. Qarun menggunakan kekayaan yang ada dengan menunjukkan sikap yang angkuh dan sombong sehingga akhirnya dimusnahkan oleh Allah s.w.t.

Sumber : Majalah Dakwah

No Comments

    Leave a reply