Makanan bersifat syubhah atau tidak halal dilihat boleh mempengaruhi diri seseorang sama ada daripada sudut sahsiah diri, emosi serta kerohanian, sekali gus menyebabkan kebinasaan terhadap individu tersebut di dunia dan akhirat jika masih tidak bertaubat.

Dalam institusi kekeluargaan, ibu bapa merupakan perantara utama yang membawa masuk rezeki Allah SWT kepada anak-anak. Jasa ibu bapa mencari rezeki buat ahli keluarga tercinta merupakan pengorbanan besar yang tidak boleh dinafikan.

Namun begitu, terdapat segelintir golongan ibu bapa yang tidak mengendahkan sumber rezeki diperoleh. Bukan sahaja sumber rezeki diperoleh bersifat syubhah, malah ada juga yang sanggup memberi makan kepada anak-anak daripada sumber rezeki haram dan menyalahi syarak.

Berdasarkan pemerhatian, menurut Ketua Akademi Halal Antarabangsa Malaysia (MIHA), Majlis Halal Malaysia (MHM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd. Amri Abdullah, pemakanan yang bersifat syubhah atau diperoleh daripada sumber haram diyakini boleh mempengaruhi keperibadian dan karakter seseorang Muslim.

Katanya, Islam mengajar umatnya untuk mencari rezeki halal untuk diri sendiri dan diberikan kepada ahli keluarga, bukan sahaja demi mendapat keberkatan malah menjauhkan daripada azab api neraka.

Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, Ayat:172 yang bermaksud: “Hai orang beriman makanlah rezeki baik-baik yang kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika benar-benar hanya kepada Allah kamu menyembah.”

Begitu juga sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Perkara halal adalah jelas dan yang haram juga jelas. Bagaimanapun antara keduanya terdapat perkara tidak jelas (syubhah), yang ramai orang tidak mengetahuinya. Maka sesiapa memelihara dirinya daripada perkara syubhah, maka dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya.” – Riwayat Bukhari dan Muslim

“Maka menjadi kewajipan umat Islam untuk mengambil makanan halal. Produk atau makanan yang syubhah pun perlu kita tinggalkan apatah lagi jelas haram hukumnya, seterusnya menjauhkan memberi makan makanan yang syubhah apatah lagi haram kepada ahli keluarga,” katanya kepada Mega Mimbar, Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mengulas lanjut Mohd. Amri berkata, perkara itu turut ditekankan oleh tokoh Islam, Imam al-Ghazali dengan menasihatkan umat Islam bahawa; “jika kita ingin anak-anak menjadi soleh, bijaksana dan berguna, berilah mereka makan daripada rezeki yang halal sejak dilahirkan.”

Generasi ‘strawberi’

Berikutan masalah keruntuhan akhlak pada masa kini, ada pihak melabelkan generasi Islam sekarang sebagai ‘generasi strawberi’ iaitu mereka yang cepat lembik, masam, tidak boleh diusik dan ditegur.

Malah Mohd Amri berkata, tidak keterlaluan generasi strawberi juga tidak mampu bersaing di peringkat arus perdana dan akhirnya tidak mampu memperjuangkan dakwah halal yang sangat penting.

“Semuanya ini kerana hati telah dialiri dengan darah daripada sumber syubhah dan haram.

Malah, perkara ini menjadikan umat Islam tidak lagi sensitif berhubung perkara haram. Semua ini banyak bergantung kepada ibu bapa yang menyuapkan rezeki ke dalam mulut anak-anak,” katanya.

Beliau berkata, setiap anak yang dilahirkan dalam keadaan fitrah maka menjadi satu tanggungjawab besar buat ibu bapa untuk mencorakkan zuriat masing-masing.

Jelasnya, bermula daripada susu ibu yang mengalir ke mulut anak, ibu bapa perlu memastikan dengan jelas status sumber rezeki tersebut diberikan kepada zuriat mereka.

Malah menurutnya, anak-anak yang sedang membesar juga perlu sering diperingatkan untuk memilih makanan yang benar-benar halal dan produk mempunyai logo halal disahkan pihak berkuasa.

Apa yang menyedihkan katanya, ada ibu bapa sanggup membelikan maka­nan yang bersifat syubhah dan tiada logo halal hanya kerana tidak tahan melihat anak mere­ka menangis kerana berkehendakkan sesuatu barang yang dikhuatiri status halalnya.

“Biarlah anak-anak menangis di dunia, jangan kita menangis di akhirat. Justeru kita tutuplah ruang-ruang ke arah perkara yang haram. Sebagaimana hadis riwayat Tirmizi, Rasulullah bersabda maksudnya: “Tidak akan masuk syurga daging tumbuh daripada yang haram, maka api neraka adalah lebih utama baginya,” katanya.

Ikut panduan islam

Mohd. Amri berkata, Islam bukan agama ‘keras’ yang mengharamkan segala-galanyanya, tetapi memberi garis panduan demi kebaikan umatnya.

Justeru katanya, umat Islam perlu mencari ilmu untuk membawa ke syurga Allah biar sebanyak mana pun kesalahan dilakukan.

Atas sebab itu menurutnya, umat Islam perlu mempelajari ilmu berhubung halal haram kerana pra-syarat doa dimakbulkan adalah melibatkan makanan, minuman dan pakaian halal.

Rasulullah bersabda maksudnya: “Ada seorang melakukan perjalanan jauh dalam keadaan kusut dan berdebu. Dia memanjatkan kedua tangannya ke langit dan berkata: Ya Tuhanku, pada hal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan semuanya dipenuhi dari sesuatu yang haram, maka bagaimana doanya akan dimakbulkan,” – Riwayat Muslim.

“Jika direnungi hadis tersebut, maka ada kaitan dengan akhlak kita. Semuanya berpunca daripada 3F iaitu Food (makanan), Fashion (pakaian) dan Fun (hiburan) yang diramalkan oleh John Naisbit dan Patricia Aburdene dalam bukunya Megatrends 2000.

“Adakah anak-anak kita tergolong dalam 3 F ini?” ujarnya.
Di Malaysia katanya, pensijilan halal tidak diwajibkan, tetapi sebagai umat Islam wajib makan dan manfaatkan produk halal, namun tidak semestinya produk yang tiada logo halal itu haram.

Dalam hal ini menurutnya, ibu bapa perlu mempunyai asas ilmu halal haram, selain berusaha memantau pemakanan setiap ahli keluarga agar tidak terjebak dengan makanan bersifat syubhah, apatah lagi haram.

Jelasnya, semua ini disebabkan transformasi bahan-bahan ramuan yang diguna pakai pada hari ini apabila industri makanan menggunakan bahan tambahan makanan (food additives) seperti bahan pemekat, penstabil, perasa serta pewarna.

Contohnya seperti gelatin, emulsifier, tallow, enzim, perasa, alcohol antioxidant, animal shortening, renin/renet/polysorbate, gliserin dan kolagen.

Jelasnya, semua ramuan itu boleh datang daripada sumber yang halal dan haram selain adakah selamat digunakan atau sebaliknya. Sama juga  seperti gelatin dalam kek, kapsul dan mashmallow serta renet dalam keju.

“Tidak semua orang ada ilmu berkaitan bahan-bahan ini. Maka Allah memerintahkan kita supaya mencari sumber yang halal dan bertanya kepada ahlinya.

“Contoh paling mudah adalah dengan menggunakan produk mempunyai logo halal Malaysia yang pasti telah diperakui status halal produk tersebut,” katanya.