Makanlah Apa Yang Halal dan Suci

Kita pernah dengar dan percaya, sebahagian besar daripada musibah adalah kerana tidak cermat dan berhemat ketika mengambil makanan.

Penyakit tidak berjangkit, diabetes, hipertensi dan kardiovaskular mahupun kanser disebabkan kesilapan kita mengambil makanan yang bergaram, manis melampau dan mengandungi bahan pengawit. Bahan pengawit dikatakan cepat menumbuhkan sel-sel kanser sehingga hampir semua organ boleh dikaitkan. Ada kanser payudara dan servik yang paling ditakuti oleh wanita. Ada kanser hati, paru-paru, usus, pankerias, hidung, tekak, kulit, tulang dan otak. Semuanya berkaitan dengan cara pemakanan kita dan gaya hidup yang kita jalani setiap hari.

Bagi penyakit yang berjangkit, penularan wabak penyakit atau virus boleh datang secara langsung antara manusia, manusia dengan binatang atau manusia-binatang-manusia. Hubungan itu telah menyebabkan banyak penyakit yang dikenali sebagai influenza. Antaranya, selesema burung (spesies unggas), selesema babi, SARS (ternakan seperti unta) dan juga penyakit kuku dan mulut, rabies (gigitan anjing) serta lembu gila. Kini muncul pula sejenis virus yang cepat berjangkit, iaitu virus corona yang telah menyebabkan 56 orang rakyat China daripada bandar Wuhan meninggal dunia manakala lebih 20 juta orang telah dikuarantinkan. Wabak ini telah merebak ke beberapa buah bandar lain termasuk Beijing dan Shanghai.

Ekoran jangkitan yang diisytiharkan sebagai epidemik itu, bandar Wuhan dilaporkan seperti berhantu. Perhubungan keluar masuk dari dan ke Wuhan telah disekat manakala China telah mengerahkan pakar-pakar perubatan untuk menanganinya.

Virus corona berasal daripada binatang eksotik seperti kelelawar, ular dan sebagainya. Virus yang membiak dalam binatang eksotik itu kemudian dimakan oleh manusia dan sebagaimana kebiasaannya, masyarakat China lebih gemar memakan makanan separa masak, maka virus berkenaan membiak dalam organ manusia. Akibatnya, virus berkenaan akan menyebabkan penyakit yang dikaitkan dengan selesema. Ia kemudiannya merebak apabila manusia bersin, batuk atau terbelahak. Udara menjadi agen penyebaran yang amat cepat penularannya.

Ekoran ketakutan tersebut, beberapa negara yang asalnya terdedah dengan ekonomi pelancongan dan perdagangan sudah mula mengambil langkah ketat penyaringan kedatangan pelancong dari negara China. Taiwan dan Korea Utara menyekat kemasukan pelancong daripada China manakala Filipina bersiap sedia untuk menghantar pulang pelancong berkenaan.

Malangnya Malaysia masih mengalu-alukan kedatangan pelancong daripada China hanya kerana khuatir Visit Malaysia Year 2020 tidak akan mencapai matlamatnya. Bahkan belum ada tindakan tegas untuk mengawal selain menyediakan proses saringan di pintu masuk dengan meletakkan mesin pengimbas double thermal. Malaysia mungkin akan berbuat demikian sekiranya Pertubuhan Kesihatan Bangsa-Bangsa Bersatu mengeluarkan arahan atau mengisytiharkan penularan wabak berkenaan pada peringkat epidemik dan memerlukan kawalan ketat. Setakat ini, WHO belum melakukannya.

Ketika ini, sudah terdapat lima kes berlaku di Johor Bahru di mana kesemuanya adalah pelancong dari China.  Dikhabarkan beberapa ratus orang pelancong dari China sudah mendarat di Langkawi dan Kota Kinabalu. Kerajaan Sabah sedang bersiap sedia untuk menghantar mereka pulang.

Daripada perspektif Islam, larangan amat jelas bahawa setiap orang dikehendaki mengambil makanan yang suci dan halal. Makanan yang suci bukan sahaja bersih dari segi prosesnya, ia juga tidak mengandungi bahan-bahan terlarang seperti najis, darah dan pengawet. Halal pula bermaksud tidak mengandungi bahan-bahan yang boleh merosakkan kesihatan termasuk agen pembiakan virus jahat.

Islam mengharamkan binatang ternakan yang disahkan mati terkena penyakit, mati sebagai bangkai (tidak disembelih secara sah kecuali hidupan di air seperti ketam, ikan sotong dan siput asalkan tidak berbau busuk), binatang-binatang tertentu (seperti tupai, kelelawar, babi, ular, biawak, musang, anjing, kucing, kura-kura, tenggiling, beruang, daging harimau dan buaya).

Bagi masyarakat keturunan China, apa sahaja boleh dimakan bahkan binatang yang diharamkan oleh Islam itulah yang dianggap paling bernilai dan berkhasiat. Babi pada awalnya dipelihara untuk memakan bahan-bahan buangan yang sukar dibersihkan oleh para pekerja di lorong-lorong gelap. Akhirnya, babi dikomersialkan sebagai ternakan untuk daging dan kegunaan bahan farmaseutikal berasaskan gelatin yang dihasilkan.

Allah SWT berfirman (maksudnya): Hai sekalian manusia! Makanlah yang halal lagi baik dari apa-apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan.” (al-Baqarah:168). Lain-lain pedoman tentang makanan boleh kita peroleh daripada surah al-Baqarah:172 -173; an-Nahl:114; al-Mukminum:51; al-A’raaf: 31; al-Anam: 145; dan an-Nahl: 115.

Rasullullah SAW pernah bersabda, maksudnya: Seorang hamba Allah tidak akan berpindah dua kakipun pada hari kiamat, sampai dia mampu menjawab empat hal: umurnya bagaimana dihabiskan; pengetahuan bagaimana diamalkan; hartanya, bagaimana dinafkahkan; tubuhnya, bagaimana digunakan atau diboroskan” (Riwayat at-Tirmidzi).

Tubuh manusia umpama sebuah mesin yang rumit dan paling canggih ciptaan-Nya. Tubuh memiliki pelbagai komponen dan sentiasa dalam keadaan ‘cascading’, yakni saling bergerak untuk menghasilkan tenaga bagi keperluan hidup. Mesin perlu dijaga dan dirawat agar bersih daripada pelbagai kekotoran, termasuklah ‘minyak yang diambil untuk menghasilkan tenaga’. Makanan merupakan sumber tenaga untuk tubuh manakala bersenam pula diibaratkan sebagai perawatan untuk tubuh.

Umpama enjin, jika peraturannya ialah minyak petrol, ia tidak boleh dicampurkan dengan diesel. Jika bahan bakarnya adalah etanol, digantikan dengan petrol boleh merosakkan sistem cascading komponen enjin.

Itulah Islam mengharamkan pengambilan makanan yang salah dah tidak halal. Islam memberikan panduan yang lengkap, apa-apa bahan yang tidak suci (walaupun bersih pada kasat mata) tetap haram. Kaedah pemakanan juga perlu dimasak sempurna manakala memakannya adalah secara sederhana. Makan ketika lapar dan tidak sampai kekenyangan atau sengkak.

Virus corona menunjukkan sikap gelojoh manusia untuk mencabar ketentuan lazim tentang pemakanan. Kelelawar mengandungi pelbagai virus dan pembawa pelbagai jenis penyakit termasuk penyakit hawar dan sebagainya. Ular merupakan pemangsa kelelawar dan kerana itulah Allah SWT mengharamkan umat Islam memakannya, kecuali dalam situasi benar-benar darurat. Di Wuhan, ia dijual sebagai sumber makanan eksotik.

Mungkin dengan terzahirnya ular dan kelelawar sebagai agen pembiakan dan penyebaran virus corona kepada manusia, akan menyedarkan lebih ramai manusia untuk mencari bahan makanan halal dan suci. Dan, ketika inilah Islam telah menampakkan kebenarannya melarang memakan bangkai, binatang-binatang yang diharamkan dan pola pemakanan yang sehat dan berkhasiat.

Kanser ada kaitan dengan pengambilan makanan yang mengandungi bahan kimia (sintetik atau semulajadi) dan bahan pengawet. Agen kanser lebih cepat membiak sekiranya manusia mengambil gula secara berlebihan. Penyakit berkaitan dengan jantung dikaitkan dengan makanan yang berlemak. Kalestrol yang terkandung dalam bahan lelemak boleh menyebabkan saluran artileri tersumbat. Kesannya menjadi lebih parah apabila gemar mengambil minuman beralkohol dan diproses semula sebagai makanan ringan (junk food). Gula berlebihan menyebabkan diabetes manakala garam berlebihan menyebabkan hipertensi.

Kesederhanaan menjadi budaya yang menyihatkan tubuh badan dengan amalan bersenam secara tidak berlebihan. Bahan-bahan yang tidak perlu untuk menjanakan tenaga bagi kegunaan tubuh akan dapat dikeluarkan menerusi peluh dan penyingkiran toksik secara semulajadi dengan bersenam seperti berjalan sepuluh ribu langkah sehari atau jogging selama setengah jam setiap hari. Jika kita dapat melakukan rutin tersebut secara berterusan, kita sebenarnya tidak memerlukan makanan tambahan.

Itulah sebabnya Islam menggalakkan umatnya mengambil makanan yang suci dan halal. Untuk menghilangkan dahaga, hanya diperlukan minum air suam bukannya minuman berkarbonet yang disaluti bahan pengawet dan gula berlebihan. Pola pemakanan pula hendaklah dilaksanakan secara tertib dan berjadual, bukan makan sepanjang masa termasuklah saat-saat terakhir sebelum tidur.

 

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply