Malaysia desak Myanmar dakwa pelaku kekejaman Rohingya

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Kennedy Jawan, berkata, masyarakat antarabangsa sewajarnya bekerjasama bagi mendesak kerajaan Myanmar mengutamakan hak asasi manusia sekali gus memberi peluang kepada masyarakat Rohingya untuk menjalani kehidupan tanpa ketakutan.

“Malaysia sekeras-kerasnya mengutuk keganasan dan pembunuhan kejam yang dilakukan oleh ekstremis terhadap kaum berkenaan, malah kita ingin ulangi bahawa akauntabiliti serta keadilan amat diperlukan sebagai langkah penyelesaian jangka masa panjang bagi menangani krisis ini.

“Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bertanggungjawab untuk mewujudkan mekanisme kehakiman antarabangsa bagi perbicaraan terhadap individu yang paling bertanggungjawab terhadap jenayah ini.

“Ini juga adalah pandangan majoriti ahli UNSC yang dinyatakan ketika taklimat terbuka yang diadakan pada 28 Ogos lalu di New York,” katanya dalam satu kenyataan yang dibacakannya sempena mesyuarat pertama menteri kumpulan kerja antarabangsa Myanmar, semalam.

Setakat ini, kerajaan Malaysia sudah membantu seramai 139,743 rakyat Myanmar dan 77,133 daripadanya adalah pelarian Rohingya.

Kennedy berkata, Laporan Misi Fakta Pencarian Antarabangsa Bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu jelas menggambarkan jenayah yang dilakukan terhadap etnik Rohingya selaras dengan apa yang digariskan dalam Konvensyen Pembunuhan Beramai-Ramai 1948 dan Myanmar adalah ahlinya.

“Justeru, kerajaan Myanmar bertanggungjawab untuk mengambil tindakan ke atas pelaku kekejaman di bawah undang-undang antarabangsa, terutamanya di Rakhine,” katanya.

Berdasarkan bukti yang dikumpulkan oleh Amerika Syarikat (AS), pasukan keselamatan Myanmar didapati melakukan kekejaman terhadap masyarakat Rohingya antaranya pembunuhan beramai-ramai dan merogol.

Laporan berkenaan dikeluarkan oleh Jabatan Negara selepas AS mengumumkan tambahan dana berjumlah AS$185 juta (RM764 juta) ke atas pelarian Islam Rohingya di Bangladesh dan Myanmar ketika mesyuarat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin.

Berdasarkan laporan terbabit, seramai 1,024 pelarian Rohingya yang berlindung di Bangladesh mengakui kekejaman yang berlaku selari dengan laporan yang dikeluarkan oleh kumpulan hak asasi manusia dalam temubual yang berlangsung pada April lalu.

Taktik pembunuhan yang dilakukan anggota tentera dan penduduk awam juga dilaksanakan secara terancang, antaranya mengurung penduduk di dalam rumah sebelum dibakar, melepaskan tembakan beramai-ramai dan menenggelamkan bot yang dinaiki ratusan pelarian.

Sumber : Berita Harian Online

Tags:

No Comments

    Leave a reply