Malemo Canaqua

 

 

Beliau dikatakan berasal daripada keturunan ahli pelayaran di mana bapa dan datuknya adalah guru ilmu pelayaran dan mahir mengenai Laut Merah.

Ibnu Majid atau Shahib al-Din Ahmad bin Majid al-Najdi  merupakan seorang ahli pelayaran Arab yang terkemuka pada abad ke-9 Hijrah. Bagaimanapun, tarikh lahir dan tarikh kematiannya tidak begitu jelas dinyatakan. Beliau mahsyur dengan kemahirannya belayar di Lautan Hindi sehingga beliau dikenali sebagai “Singa Laut”.

Beliau telah menghasilkan sebanyak 25 karya tentang pelayaran dalam bentuk prosa dan puisi. Antara hasil karyanya ialah kitab Al-Fawa’id fi Usul ‘Ilm al-Bahr wa al-Qawa’id, iaitu sebuah kitab tentang kaedah-kaedah dan faedah-faedah ilmu laut yang bertarikh 895 Masihi. Hasil karya dalam bentuk prosa ini dibahagikan pada 12 bab.

Pengisian awal karya ini berkisar tentang permulaan pelayaran dan jarum magnet. Setelah itu, penulis menyentuh mengenai 28 monsion bulan, bintang berkaitan dengan 32 rumb kompas, laluan laut di Lautan Hindi, garis lintang bagi sebilangan pelabuhan di Lautan Hindi dan Laut China Selatan, sempadan tanah yang dibentuk burung, dan garis kasar pinggir di pantai barat India, dan 10 buah pulau yang paling terkenal.

Kitab ini juga menyentuh tentang monsun yang sesuai bagi pelayaran dengan tarikh dalam perkiraan berkisar tentang Laut Merah dan maklumat terperinci tentang tambatan, tempat yang cetek, tebing dan terumbu.

Kitab beliau yang kedua ialah Hawiyat al-Ikhtisar fi Usul ‘Ilm al-Bahar. Buku ini juga tentang ilmu laut bertarikh 866 Hijrah.

Antara kandungan buku ini tentang tanda hampirnya darat yang perlu diketahui oleh ahli pelayaran, ilmu tahun, ilmu bahasa, ilmu bintang, laluan laut di pantai Laut Arab, Hijaz, Syam dan Afrika, garis lintang serta ilmu astronomi.

Kitab ketiga ialah Al-Urjuzah al-Mu’arrabah yang membicarakan tentang pelayaran dan Teluk Aden. Kitab keempat, kitab Qailal al-Islamfi Jami’ al-Dunya yang mengandungi penghuraian tentang penentuan arah kiblat dari mana-mana bahagian darat dan laut.

Kitab kelima ialah Urjuzah Bir al-Arab yang menghuraikan tentang pelayaran di sepanjang pantai Laut Arab dan Teluk Parsi. Kitab keenam bertajuk Kanz al- Mu’alimah yang mengandungi khazanah ahli pelayaran dan sains laut, bintang, planet dan kutubnya yang belum diketahui.

Kitab ketujuh ialah Urjuzah, iaitu ikhtisar tentang tanah di pinggir pantai barat India dan pantai Semenanjung Arab. Kitab kelapan, kitab Urjuzah Maimiyah tentang bintang-bintang di kutub utara.

Kitab kesembilan, kitab Urjuzah Mukhmsah juga mengenai bintang-bintang di kutub utara. Manakala kitab kesepuluh, iaitu kitab Qadidah Makkiyah merupakan huraian lengkap tentang laluan di Laut Merah dari Jeddah ke Tanjung Fartak, Calicut, Daibul, Konkan, Gujerat dan Hormuz

Selain itu, terdapat lebih daripada 15 buah kitab karangan Ibnu Majid yang menyentuh tentang pelayaran, perjalanan bintang, angin, ombak dan lain-lain. Ibnu Majid telah mempelajari ilmu pelayaran menerusi Muhammad bin Shadan, Sahi bin Aban dan Layth bin Kahlah yang merupakan ahli-ahli pelayaran pada zaman Abbasiyah.

Beliau juga telah memandu Vasco da Gama dalam pelayarannya dari Malindi di pantai timur Afrika hingga ke Calicut. Sumber Portugis telah menggelarkan Ibnu Majid sebagai ‘Malemo Canaqua”.

No Comments

    Leave a reply