#MaluApaBossku! Ijazah Palsu atau Ijazah Tak Laku?

 

Ketika ini masyarakat begitu heboh memperkatakan mengenai ijazah palsu manakala seseorang yang menyokong Timbalan Menteri Luar mengatakan mereka bukan memiliki ijazah palsu tetapi ijazah yang tidak diiktiraf oleh mana-mana institusi pendidikan di seluruh dunia.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Senator Datuk Marzuki Yahya pada awalnya dikatakan memiliki ijazah sarjana muda dari Universiti Cambridge, London melalui pengajian jarak jauh. Bila ada pihak membuat sedikit pencarian menerusi internet, terjumpa kenyataan yang mengejutkan bahawa Universiti Cambridge tidak pernah mempunyai program pengajian jarak jauh sejak ianya mula beroperasi sejak tahun 1209, lebih lapan ratus tahun lalu.

Ceritanya tidak berakhir di situ, University Cambridge bukanlah alma maternya. Sebaliknya satu nama lain diberitahu, iaitu Cambridge International University (CIU). Sebuah university atau pusat pengajian yang terletak di Amerika Syarikat. Terkenalkan university berkenaan? Sebelum ini tidak ramai yang mengetahui nama itu, dan sejak CIU dijadikan bukti bahawa dirinya tidak ‘menipu’, ia menjadi sedikit terkenal sehinggalah ramai yang berminat untuk mengetahui mengenainya.

Berdasarkan laporan yang disiarkan oleh akhbar The Star, “The ‘other Cambridge’ has ‘model’ faculty members, dead email addresses” terbitan 7 Februari 2019, banyak perkara yang tidak jelas mengenainya. CIU didakwa menawarkan 150 program pengajian dan mula beroperasi pada tahun 1990.

Apabila disemak secara lebih mendalam, tidak banyak yang boleh disahkan. Termasuklah senarai tenaga pengajar atau kaki tangan akademik dan juga bahan-bahan penerbitan saperti kertas kajian yang dijalankan bagi memperlengkapkan kedudukannya sebagai sebuah universiti atau pusat pengajian tinggi.

Begitupun, kalau dilihat dari perspektif ini, pusat-pusat tiusyen berdaftar tetap memberikan pengesahan dari segi tenaga pengajarnya, walaupun dikendalikan oleh guru pencen atau pengajar sambilan. Mereka boleh menyenaraikan sebahagian besar tenaga pengajar dan sekiranya telah lama beroperasi, turut memuatkan profil para pelajar yang peroleh keputusan cemerlang. Hal yang sama tidak berlaku kepada CIU.

Menariknya, walaupun tidak mempunyai alamat tetap, CIU menerima para pelajar melalui pengambilan dalam talian dan mempunyai kad kredit yang sah. Seorang yang pernah mengikuti kursus seumpamanya mengakui, terpaksa belajar selama empat tahun dan membayar yuran sebanyak RM 12,000. Selepas dikhabarkan lulus, mereka yang lulus menerima sijil dalam satu majlis konvokesyen, saperti diakui oleh M Pathma, 65 tahun yang kesal dengan dakwaan CIU merupakan “kilang diploma”.

M Pathma menamatkan pengajian pada tahun 2009 dan menghadiri konvokeseyen yang diadakan di Universiti Malaysia, dan sijil-sijilnya disampaikan oleh Timbalan Meneri di Jabatan Perdana Menteri (ketika itu), Datuk T Murugiah. (Rujuk: Ijazah kami mungkin tak diiktiraf tapi bukan palsu, kata graduan CIU”, Free Malaysia Today, 8 Februari 2019).

Kes berkenaan mengingatkan kita kepada beberapa orang yang pernah memakai singkatan Dr bagi menggambarkan tahap pendidikan yang membawa kepada prestij dan tahap keintelektualannya. Sekitar tahun 1980-an, tersebar berita bahawa seorang pegawai kanan tadbir dan diplomatik memakai gelaran Dr secara tidak sah, kerana tidak lulus. Setelah dibuktikan, pegawai berkenaan telah menggugurkan singkatan tersebut pada pangkal namanya. Nasib baik ketika itu, pegawai berkenaan sudahpun bergelar datuk, maka tidaklah ramai yang perasaan pelupusan singkatan Dr.

Seorang lagi selebriti pernah menggunakan singkatan Dr di hadapan namanya, termasuklah sebagai pengenalan sebuah kolej swasta yang dipimpinnya. Selebriti itu kemudiannya dimalukan apabila gelaran berkenaan tidak dapat dibuktikan kebenarannya dan salah sebuah pusat pengajian luar negara yang berkolaborasi dengan kolej yang dipimpinnya telah membatalkan kerjasama. Ia tidak kurang gemparnya, tetapi isu itu tidak lagi hangat kerana selebriti berkenaan juga mempunyai gelaran datuk. Boleh cover sedikit sebanyak kelompongan akibat tidak lagi menggunakan singkatan Dr.

Singkatan Dr mempunyai dua pengertian. Satu ialah mereka yang lulus dalam bidang perubatan dan memperoleh ijazah yang sah sebagai Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan, termasuk dalam bidang perubatan pergigian. Kedua, Dr digunakan oleh mereka yang mencapai tahap kelulusan akademik di peringkat Ijazah Doktor Falsafah atau singkatnya PhD.

Ada juga yang tidak sampai ke tahap PhD tetapi menggunakan Dr yang diterima dari sesebuah pusat pengajian tinggi berdasarkan sumbangan dan pembabitannya dalam banyak perkara, dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan atau lain-lain bidang saperti pengurusan, perniagaan, undang-undang dan sebagainya. Ia tidak boleh digunakan sembarangan, kerana boleh disemak untuk disahkan kebenarannya.

Sekitar tahun 2000 muncul pula sindiket menjual ijazah palsu dan mereka boleh mencetak apa sahaja nama universiti yang terdapat di seluruh dunia. Dikhabarkan sindiket itu ada beroperasi hanya di bawah tangga sesebuah gedung perniagaan ataupun dari rumah yang hanya boleh dihubungi melalui telefon dan mesin faksimili ataupun surat elektronik (e-mel).

Beberapa tahun lalu, Kemenerian Pendidikan melancarkan e-Scroll bagi membolehkan orang ramai menyemak atau mengesahkan ijazah yang dikeluarkan kepada seseorang. e-Scroll akan mengesahkan berdasarkan rekod yang dikumpulkan daripada bank data universiti dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dikatakan universiti awam pertama yang mengambil peluang tersebut.

Sebelum itu heboh juga mengenai dua orang yang menggunakan Dr di pangkal namanya. Seorang terkenal dalam bidang khidmat rundingan pemasaran manakala seorang lagi dikaitkan dengan industri perumahan dan pengambilan deposit pelaburan.

Jika dalam perkhidmatan awam, seseorang yang menggunakan sijil pendidikan palsu, apabila berjaya dibuktikan palsu, terpaksa diberikan penamatan. Ia berlaku di peringkat syarat asas kemasukan, tetapi bukan sijil-sijil yang melangkaui syarat asas. Misalnya, jika SPM dijadikan syarat asas, ia adalah tulen maka penjawat awam yang cuba menipu menggunakan ‘Ijazah’ atau ‘diploma’ palsu tidak diberikan surat penamatan.

Itulah yang berlaku kepada bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur. Walaupun menggunakan Dr secara salah, beliau tetap diberikan tanggungjawab sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur hampir 10 tahun (1983-1992) melepasi umur persaraan wajib (ketika itu 55 tahun).

Menariknya isu yang dikaitkan dengan Timbalan Menteri Luar Negeri ialah pembelaan dua orang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mempertahankan beliau yang merupakan Pengerusi PPBM Pulau Pinang dan Setiausaha PPBM, juga Timbalan Pengerusi PH Pulau Pinang.

Bagi Timbalan Presiden PPBM, yang juga Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir pelantikan sebagai Timbalan Menteri bukan berasaskan kelulusan akademik. Ia berasaskan kebolehan dan kemampuannya, dan kenyataan Mukhriz itu hanyalah sekadar untuk mempertahankan Timbalan Menteri Luar Negeri kerana menerima serangan bertalu-talu oleh warganet dan juga dalam kalangan pemimpin politik, termasuklah dari PPBM yang tidak berpuas hati apabila dipilih untuk menguruskan parti di peringkat Pulau Pinang.

Marzuki sebenarnya saperti dicabar dari segi integriti apabila beliau berjaya dalam perjuangannya untuk mengira semula keputusan pengundian di Parlimen Tasek Gelugor yang ditandingi dalam PRU ke-14. Marzuki tewas dengan majoriti 81 undi kepada calon BN, Datuk Shahbudin Yahya. Shahbudin pada bulan Disember lalu telah mengisytiharkan diri sebagai wakil bebas bersama-sama lima lagi wakil rakyat UMNO.

Petisyen tersebut bakal dibicarakan pada mulai 25 Februari hingga 1 Mac dan disambung 12 hingga 15 Mac ini melibatkan perbicaraan selama sembilan hari.

Pertikaian yang membabitkan Marzuki bukanlah dari aspek akademik, tetapi integrity seorang pemimpin. Itulah yang tidak difahami atau cuba dipertahankan oleh Mukhriz. Orang ramai mempersoalkan jika Marzuki boleh ‘menipu’ mengenai kelulusan akademiknya, maka kemungkinan penipuan lebih besar tetap ada kerana dalam politik semuanya boleh berlaku. Apa yang dipersoalkan ialah erti kejujuran, kerana #ApaNakMaluBossku.

Rakyat boleh menerima seorang pemimpin yang tidak mempunyai kelulusan tinggi sebagaimana dibuktikan oleh bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Ahmad Bashah yang hanya belajar sehingga SPM. Rakyat tidak mempersoalkan kelulusannya, kecualilah ketika namanya pertama kali disebut untuk menggantikan Mukhriz ketika krisis. Ia hanya diterima secara sinis tetapi selepas itu ia tidak lagi berbangkit. Rakyat Kedah menghormatinya sebagai Menteri Besar walaupun berkelulusan SPM.

Tariq Ismail, Ahli MPT PPBM yang juga cucu bekas Timbalan Perdana Menteri semasa kabinet Tun Haji Abdul Razak menjadi tokoh kedua yang mempertahankan Marzuki Yahya walaupun penjelasannya mengundang lebih banyak kontroversi berbanding Mukhriz.

Bagi Tariq, kelayakan akademik bukanlah isu besar kerana Marzuki tidak melakukan kesalahan jenayah yang besar. Marzuki tidak mencuri atau merogol orang. Tidak ada pun warganet yang mendakwa bahawa Marzuki sebagai seorang ‘pencuri’ atau ‘perogol’. Warganet mempersoalkan integriti seorang pemimpin bukannya kelayakan akademik yang dianggap sebagai “sekeping kertas” yang cuba dipertahankan oleh Tariq. Tariq sepatutnya menasihati Marzuki agar berhati-hati dalam mempertahankan kelulusannya dari CIU, dan cuba berlaku jujur sama ada benar-benar memilikinya secara sah atau tidak.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut mengambil bahagian dalam kontroversi tersebut apabila menyifatkan kelayakan akademik bukanlah penentu keberkesanan seseorang kerana ramai usahawan terkenal tidak memiliki ijazah atau tidak tamat pengajian universiti. Dengan menyebut nama-nama saperti Bill Gates, Mark Zukerberg dan Steve Jobs, Dr Ong Kian Ming berusaha mempertahankan Marzuki walaupun dalam nada sinis mahukan PH mengambil tindakan selanjutnya bagi mengelakkan lebih banyak kontroversi timbul.

Memang rakyat Malaysia tahu mengenai latar belakang seorang bilioner terkenal dari Pulau Pinang yang meninggalkan pelbagai legasi hingga sekarang sebagai seorang yang buta huruf. Mendiang Tan Sri Loh Boon Siew, hingga kini namanya dikaitkan dengan jenama Honda tidak boleh membaca dan setiap pagi beliau akan mendengar bacaan rakan-rakannya di sebuah kedai kopi tentang apa yang berlaku dalam negara dan luar negara.

Kenyataannya walaupun ‘buta huruf’, Boon Siew dapat menempatkan dirinya sebagai seorang peniaga yang amat berjaya. Boon Siew tidak pernah menipu kelulusan akademiknya dan malu mengakui dirinya tidak boleh membaca. Sebagai seorang yang pintar dan cerdas, Boon Siew tidak lokek berkongsi ilmu perniagaan apabila menasihatkan pengurusan akhbar The Star agar berpindah ke Kuala Lumpur jika mahu jadikan akhbar itu maju.

Boon Siew mungkin memahami bahawa kegagalan akhbar Straits Echo yang berpengkalankan di Pulau Pinang tidak dapat berdaya maju kerana edaran dan khalayak pembacanya sekitar Pulau Pinang. Pengurusan akhbar The Star menyahut cabaran tersebut sehinggalan berjaya menjadi kumpulan media yang mempunyai jumlah edaran terbesar dan mengalahkan pesaingnya yang lebih lama berada dalam pasaran, iaitu akhbar The New Straits Times.

Walaupun apa alasannya, mempertahankan perbuatan salah adalah sesuatu tidak boleh diterima oleh masyarakat walaupun penipuan itu hanyalah berupa ‘sekeping kertas’ yang tidak bernyawa. Tetapi, walaupun ‘sekeping kertas’ itu tidak bernyawa, ia tetap menjadi bahan bukti dan asas pertikaian.

Ia menjadi sesuatu amat besar jika penipuan itu dilakukan oleh seorang pemimpin ataupun diistilahkan sebagai ‘public figure’. Marzuki sekarang adalah ‘public figure’ bukannya orang biasa yang juga pernah menipu ketika menjual ‘ubat kuat’ di lorong-lorong tertentu atau pada suatu ketika selepas selesainya sembahyang Jumaat.

Menipu tetap merupakan satu kesalahan bahkan jika seorang pemimpin menipu kelulusan akademiknya ia adalah sesuatu yang dianggap kesalahan moral yang besar. Ia akan dikaitkan dengan kepercayaan dan kejujuran. Rakyat memerlukan seorang pemimpin yang jujur dan tidak menipu, dan itulah sebahagian daripada kenyataan awal kenapa seseorang boleh kalah dalam satu persaingan. Ia mungkin dikalahkan kerana tidak pandai menipu ataupun ada kecenderungan menipu yang dapat dikesan oleh orang-orang yang diberikan peluang memilih.

Saya tidak mengatakan bahawa Marzuki kalah dengan 81 undi kerana ‘kecenderungan menipu’ ataupun ‘tidak pandai menipu’. Apa yang saya maksudkan untuk persaingan selanjutnya, penipuan akademik itu akan terus menjerat Marzuki selagi beliau malu untuk mengakui apa yang sebenarnya terjadi. Sekiranya ‘sekeping kertas’ itu adalah ijazah yang tidak diiktiraf, ia tidak menjadi masalah besar kerana Marzuki bukannya memerlukan pengiktirafan akademik bagi melayakkannya memasuki dunia politik.

Apa yang diperlukan kesahihan bahawa dirinya benar-benar belajar sehingga lulus di CIU. Itu sahaja yang diperlukan untuk membersihkan diri ketika ini, bukannya menukarkan pengakuan dari CU kepada CIU. Beliau mesti bangkit mempertahankan ijazah CIU itu dengan memberikan bukti yang boleh diterima, bukannya terus membiarkan warganet ‘menghukum’ dengan emosi marah dan benci.

Terserahlah kepada Marzuki untuk memberikan penjelasan sebaik-baiknya. Sebab, yang akan menanggung aib ialah beliau sendiri dan sejarah itu tidak terpadam dalam ingatan rakyat Malaysia walaupun beliau tidak lagi memegang jawatan Timbalan Menteri Luar Negeri. Ia akan terus tersimpan dalam lebuh raya maklumat yang semakin sehari semakin ‘menggila’ dengan kemarahan sosial dan kejelekan kata-kata.

Itulah sisi gelap dunia media sosial; apa pun yang dilakukan oleh seseorang pemimpin tidak lagi dapat disembunyikan. Semakin disembunyikan, maka semakin hebatlah tekanan yang akan dihadapi sehingga menukarkan ‘wajah manis’ menjadi ‘hantu yang menakutkan’. Ketika itulah mungkin akan dimasukkan ke ‘pusat jagaan rapi’ dan sekarang Marzuki belum lagi terpaksa melangkah ke dalamnya.

Masih ada masa untuk memperbetulkannya.

#MaluApaBossku.

 

Monosin Sobri

 

 

No Comments

    Leave a reply