Bagai yang dinyatakan, al-Quran bukanlah sebuah buku biasa. Ia adalah kalam Tuhan yang mampu meruntuhkan gunung:

 “Sekiranya Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk dan pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya,” (al-Hasyr 59:21).

Al-Quran juga bukan berasal dari Mekah atau Madinah, tetapi menempuh perjalanan yang sangat jauh dari langit ketujuh.

Setakat ini teknologi manusia belum mampu menempuh perjalanan sejauh itu. Bukan hanya itu, ketika al-Quran turun seluruh makhluk langit tunduk memberi hormat. Malam penurunan al-Quran langsung dinobatkan Allah sebagai malam yang jauh lebih bernilai daripada 1,000 bulan:

“Malam al-Qadar lebih baik daripada 1,000 bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut),” (al-Qadar 97:3-4).

KAITAN DENGAN JIN

Menyedari kehebatan ini, para sahabat nabi SAW sanggup menggadaikan tubuh dan nyawa kerana memperjuang al-Quran. Bayangkan apa kata para malaikat dan sahabat Nabi SAW jika mereka melihat manusia Muslim pada zaman ini bersikap biadab mengabaikan bacaan al-Quran tanpa perhatian?

Jika demikian nilai al-Quran, mengapa pula kita perlu berasa malu kepada jin? Apa kaitan isu bacaan al-Quran dengan jin?

Ayuh telusuri sejarah Islam yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW sebagaimana firman Allah ini:

“Dan (ingatlah peristiwa) semasa Kami halakan satu rombongan jin kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (sesetengahnya kepada yang lain): Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!”

“Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran. Mereka berkata: Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah dengar Kitab (al-Quran) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran Kitab Suci yang terdahulu daripadanya, lagi, memandu kepada kebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (ugama Islam).

“Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian daripada dosa kamu, dan menyelamatkan kamu daripada azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

“Dan sesiapa tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka dia tidak akan dapat melepaskan diri (daripada balasan azab walau ke mana sahaja dia melarikan diri) di bumi, dan dia tidak akan beroleh sesiapapun – selain Allah – sebagai pelindung yang membelanya; mereka (yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata,” (al-Ahqaf 46:29-32).

Firman Allah SWT ini menyebut kisah rombongan jin yang tertarik hati dengan bacaan al-Quran yang Nabi SAW baca. Mereka kenal bacaan Baginda itu adalah kalam Tuhan yang wajib diberi perhatian.

Pemusatan perhatian pula perlu terlebih dahulu dilakukan dengan mengunci lidah daripada bicara, biar fokus hanya dipusatkan pada al-Quran. Tatkala ada antara mereka yang cuba berbicara dan teralih tumpuannya daripada mendengar kalam Tuhan itu, segera teman mereka yang lain mengingatkan.

FOKUS, HAYATI

Arahan diam dan tumpu perhatian ini sebenarnya sangat logik dengan mesej al-Quran. Masakan seseorang itu mampu mengutip mutiara daripada kalam Tuhan jika telinganya tidak dikurung khusus atau lidahnya sibuk menutur perkara lain.

Cubalah buat kajian mudah bagi menyokong isu ini.

  • Letak dua lelaki dalam sebuah bilik dan berikan arahan kepada kedua-duanya agar mendengar ucapan seorang tokoh.
  • Arahkan seorang lelaki agar diam dan memberi tumpuan dan ajaklah yang seorang lagi berbual kosong.
  • Keputusan akhir antara kedua-duanya pasti berbeza.
  • Lelaki yang diam dan dengar dengan penuh perhatian akan jadi lebih alim berbanding lelaki yang diajak berbual itu.

Dalam sebuah hadis kita dapati Baginda SAW pernah memuji para jin yang memusatkan perhatian mereka ketika mendengar bacaan Surah al-Rahman.

Sabda Rasulullah SAW:

“Rasulullah keluar membaca surah al-Rahman kepada para sahabatnya dari awal sehingga akhir surah. Mereka (para sahabat) hanya diam tanpa respon. Baginda lalu bersabda: Aku pernah membacanya (surah al-Rahman) kepada para jin pada malam jin (malam Baginda bertemu dan berdakwah kepada para jin). Reaksi mereka jauh lebih baik berbanding kamu semua. Setiap kali aku membaca:

“Maka yang mana satukah antara nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan – wahai umat manusia dan jin?”, mereka akan berkata: Tiada satupun antara nikmat-Mu wahai Tuhan kami yang kami dustai, maka bagi-Mu sahajalah segala pujian,” – Sunan Tirmizi dan Tafsir Ibn Kathir.

Aspek penumpuan berkait rapat dengan peranan telinga dan lidah. Allah sebagai pencipta manusia tahu benar kedua-dua anggota ini perlu berperanan dengan betul apabila mendengar bacaan al-Quran:

“Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya) supaya kamu beroleh rahmat,” (al-A’raf 7:204).

PEDOMAN

1. Hormatilah al-Quran dengan meletakkannya pada tempat yang sepatutnya.

2. Jaga adab bersama al-Quran dan jadikannya kompas 
iman yang dipegang erat 
seumur hidup.

3. Jangan hanya ingat al-Quran ketika mahu menghalau hantu atau dibaca kepada orang mati, sebaliknya buanglah sifat ‘hantu’ yang ada dalam diri dan hidupkan jiwa yang mati 
dengan dampingan al-Quran.

4. Jika begini sikap kita dengan al-Quran, pastinya kita turut dipandang mulia bersama para sahabat nabi dalam kalangan manusia atau jin yang disebut sirah Baginda SAW itu.