MAMPUKAH PAKATAN PEMBANGKANG BUAT KEJUTAN BESAR

Oleh: Monosin Sobri

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekali lagi dianggap sebagai “ibu segala pilihan raya di Malaysia” terutama dalam kalangan pakatan pembangkang walaupun hakikatnya penyatuan parti-parti pembangkang semakin bersimpang-siur. Sebelumnya, (PRU 12 -2008 dan PRU 13- 2013) hampir menampakkah percubaan untuk membentuk sistem pilihan raya dua parti menjadi kenyataan apabila parti-parti pembangkang bergerak dalam satu nada untuk bertanding secara langsung bagi menghapuskan penguasaan Barisan Nasional (BN).

BN ditubuhkan pada tahun 1974 oleh Allahyarham Tun Abdul Razak setelah pilihan raya sebelumnya (PRU 4-1969) menampakkan sentimen perkauman semakin menebal. Kemenangan sebuah parti baharu, Democratic Action Party (DAP) di kawasan bandar yang dikuasai oleh pengundi bukan Melayu ditunjukkan menerusi perarakan meraikan kemenangan telah mencetuskan perbalahan kaum yang besar dan dikenali sebagai Tragedi 13 Mei 1969.

Berdasarkan laporan rasmi, Tragedi 13 Mei 1969 turut mempunyai kaitan dengan ideologi komunis walaupun Parti Komunis Malaya semakin sukar bergerak. Penguatkuasan peraturan darurat sejak tahun 1948 oleh Tentera British dan seterusnya oleh kerajaan Tanah Melayu berlangsung selama 12 tahun. Darurat diisytiharkan tamat pada tahun 1960, namun saki baki aktivis komunis mula melakukan beberapa tindakan dan serangan bersenjata sehingga tahun 1989. Mereka memindahkan pusat pergerakannya di bahagian selatan Thailand.

DAP merupakan sebuah parti yang ditubuhkan untuk melanjutkan kesinambungan politik People Action Party (PAP) yang pernah menang satu kerusi di Bangsar, Kuala Lumpur dalam PRU 3 -1964). PAP diasaskan oleh Lee Kuan Yew di Singapura dan dibenarkan bertanding di Tanah Melayu setelah negara itu diterima sebagai sebahagian daripada Malaysia. Malaysia dibentuk pada 16 September 1963 dengan penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura. Hampir dua tahun kemudian, Singapura tidak lagi menjadi sebahagian dari Malaysia akibat PAP yang sentiasa mendesak agar melaksanakan prinsip meritokrasi dan Malaysian Malaysia.

Pemisahan Singapura telah menyebabkan DAP terus memainkan sentiment perkauman dengan menuduh MCA, sebuah parti yang mewakili masyakat Cina di Malaysia sebagai sebuah parti yang lemah dan berada di bawah telunjuk UMNO. DAP berusaha untuk menjadi juara dalam memperjuangkan masyarakat Cina di Malaysia. Bagaimanapun, dalam masa yang sama, MCA berhadapan dengan reaksi bantahan dalam kalangan kaum muda di mana sebahagiannya telah keluar dari parti dan menubuhkan sebuah parti baharu, iaitu Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM).

PRU 3 (1969), PGRM menang di Pulau Pinang manakala DAP menang di kawasan bandar. Akibat pergaduhan kaum yang berlaku di beberapa tempat termasuk Kuala Lumpur akhirnya memaksa Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj meletakkan jawatan dan digantikan oleh Datuk Abdul Razak Hussein (Allahyarham Tun Razak). Bagi mengembalikan semula kestabilan politik, Tun Razak memperkenalkan beberapa program kemasyarakatan untuk membina perpaduan dalam kalangan rakyat, dengan memperkenalkan Rukun Negara pada tahun 1971. Bagi membantu mengatasi ketidakseimbangan kaum dari aspek ekonomi, Tun Razak memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan seterusnya penyatuan parti-parti politik.

Penyatuan parti-parti politik menjadi kenyataan tahun 1973 dengan penyertaan 11 buah parti termasuk Sabah dan Sarawak. Jun 1974, BN didaftarkan dan berjaya memenangi PRU 4 (1974) dengan penguasaan besar ke atas semua negeri di samping menguasai 135 daripada 154 kerusi Dewan Rakyat yang dipertandingkan. Parti-parti pembangkang hanya mampu menguasai 19 kerusi Dewan Rakyat dan dianggap sebagai suatu perncapaian terburuk, iaitu penurunan sebanyak 63.7 peratus.

Bagaimanapun, penyertaan PAS dalam BN terhenti apabila kelibat para pemimpinnya dibantah oleh pemimpin UMNO, terutama pelanggaran persetujuan bersama untuk tidak menubuhkan cawangan di kawasan pembangunan tanah tanpa merujuk terlebih dahulu kepada kepimpinan tertinggi BN. PAS disingkirkan pada tahun 1977, dan dalam PRU 5 (1978)  bertanding atas kapasiti parti pembangkang secara bersendirian. PAS kalah teruk dan hampir melenyapkan penguasaannya di Kelantan.

PAS kemudiannya menjadi semakin radikal dengan kemasukan Haji Hadi Awang dengan memperkenalkan beberapa fatwa yang bercanggah dengan prinsip Islam, termasuklah mendakwa haram bekerjasama dengan “orang kafir”, haram memakan sembelihan bukan daripada penyokong PAS walaupun daripada orang Islam, bersembahyang dua iman dan mendakwa budaya politik di bawah pemerintahan BN sebagai taghut. Sengketa sesama Islam menjadi suatu krisis sosial dan keagamaan.

PAS juga turut dipengaruhi oleh kejayaan  penyingkiran pemerintahan Iran oleh pemimpin agama dalam buangan, Ayatullah Rahullah Khomeini (1979) dan perjuangan jihad untuk membebaskan penguasaan Rusia ke atas Afghanistan. Ketika itu, arus kebangkitan semula Islam menjadi suatu fenomena di Malaysia, terutamanya dalam kalangan golongan muda dan penuntut pusat pengajian tinggi tempatan.       (Rujuk: http://www.rakyatnews.my/index.php/ar/headlines/politik/item/42132-hasan-ali-sejarah-penyingkiran-pas-daripada-bn)

Gabungan parti-parti pembangkang kemudian terilham daripada perpecahan dalam UMNO akibat perebutan jawatan pada tahun 1987. Dalam PRU 8 (1990), PAS bergabung dengan Parti Melayu Semangat 46 membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Selain PAS, APU turut disertai oleh Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (BERJASA), Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) dan Konggress India Muslim Malaysia (KIMMA). Dalam konteks di luar Kelantan, gabungan turut merangkumi DAP, Parti Bersatu Sabah (PBB), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) membentuk Gagasan Rakyat. Gabungan ini berlanjutan sehingga PRU 9 (1995) dan kemudiannya terbubar setelah ahli dan pemimpin Parti Melayu Semangat 46 kembali menyertai UMNO.

BN kekal sebagai sebuah gabungan parti politik yang besar, bagaimanapun gabungan parti-parti pembangkang menampakkan semakin bermasalah sehinggalah berlaku krisis politik yang besar akibat pemecatan Anwar Ibrahim daripada kabinet dan UMNO pada tahun 1997. PRU 10 (1999), parti-parti pembangkang masih belum menunjukkan penyatuan antara mereka dan kemunculan gerakan pembebasan Anwar Ibrahim menerusi Parti Keadilan Nasional (PKN), yang kemudiannya ditukar kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberikan kelebihan kepada PAS. PAS berjaya menguasi Terengganu dan kekal mentadbir Kelantan. PAS memiliki 27 kerusi Dewan Rakyat.

PRU 10 telah memunculkan konsep gabungan parti pembangkang dalam Barisan Alternatif sebagai penyatuan untuk mengurangkan penguasaan BN di Dewan Rakyat. Keputusannya, BA menguasai 42 kerusi Dewan Rakyat berbanding BN 148 kerusi. Bagaimanapun, BA masih belum mengamalkan konsep pertandingan atu lawan satu dengan BN kerana itu, kekuatan BA bukanlah sesuatu yang boleh dilihat sebagai besar kepada BN.

Keputusan PRU 11 (2004), aura kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi menyebabkan parti-parti pembangkang di bawah Barisan Alternatif terpaksa menyusun strategi politik dan persefahaman yang besar ekoran penguasaan BN yang seolah-olah hampir memusnahkan kekuatan pembangkang. BN menang 198 kerusi Dewan Rakyat daripada 219 kerusi yang dipertandingkan. DAP menang 12 kerusi manakala BA sebanyak 8 kerusi di mana PAS menguasai 7 dan PKR hanya mampu bertahan di Permatang Pauh (kubu Anwar Ibrahim).

Tahun 2004, kerajaan Terengganu kembali dikuasai oleh BN walaupun PRU 10, imej Tun Dr Mahathir tergelongsor teruk sehingga satu tinjauan pendapat awam beliau begitu dibenci oleh pengundi, terutama dalam kalangan orang Melayu di Terengganu, Kelantan dan Pulau Pinang. Bagaimanapun, BN masih mampu berkuasa di Dewan Rakyat dengan memenangi 148 kerusi manakala pembangkang menguasai 41 kerusi dan bebas satu kerusi. Bebas menang atas restu PAS di Kelantan, iaitu Parlimen Pasir Mas. PBS menang tiga kerusi (PBS ditubuhkan pada tahun 1985 selepas Datuk Pairin Kitingan dihalau daripada Berjaya pada tahun 1984. 1988 menyertai BN dan 1990 keluar BN. September 1996, Pairin melahirkan keinginan untuk menyertai semula BN dan 23 Januari 2003, PBS diterima semula menyertai BN)

Akibat kelemahan kepimpinan Tun Abdullah Badawi dan serangan politik oleh Tun Dr Mahathir, parti-parti pembangkang semakin berusaha untuk memperkemaskan kerjasama antara mereka sehingga membentuk Pakatan Rakyat. Ia bukan sahaja untuk menafikan kemenangan besar kepada BN, iaitu menafikan kuasa dua pertiga di Dewan Rakyat, bahkan untuk menukarkan kerajaan. Perspektif membawa kepada persetujuan lebih baik, iaitu tidak lagi bertanding sesama sendiri dan bersedia mengumpul kekuatan sokongan masing-masing menumpaskan calon BN. Mulai dari itulah kekuatan pakatan pembangkang menjadi semakin besar dan PRU 12 memenangi 82 kerusi Dewan Rakyat dan menguasai Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Perak dan kekal di Kelantan. Kerusi Dewan Rakyat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dikuasai oleh pakatan pembangkang, kecuali di Setiawangsa.

Peningkatan sokongan kepada gabungan parti pembangkang ini kemudiannya dianggap sebagai berlakunya tsunami politik di Malaysia dan ramai pemerhati meramalkan bahawa konsep pertandingan dua parti semakin menghampiri matlamatnya. Matlamat pertama untuk menafikan penguasaan dua pertiga di Dewan Rakyat sudah berjaya, namun gerakan untuk “menukarkan kerajaan” selepas pembebasan Anwar Ibrahim bulan April 2008, menyaksikan momentum pilihan raya kecil semakin memuncak. Pilihan Raya Kecil pertama diadakan bulan Ogos 2008 di Permatang Pauh sebagai percubaan untuk membawa Anwar Ibrahim kembali berpolitik dan merancang secara aktif “Road to Putrajaya”.

Akibat momentum yang dilakukan, keyakinan dan persepsi masyarakat umum kepada BN menjadi persoalan besar sehinggalah berlaku penggantian kepimpinan UMNO dan BN. Prestasi buruk MCA dan MIC menyebabkan kedua parti itu tidak bercadang untuk menerima pelantikan menduduki kabinet secara ex officio. Mereka berpandangan, pelantikan tersebut sebagai “tidak bermaruah.” Berlaku kekosongan dalam beberapa jawatan kabinet ekoran kekalahan besar MCA dan MIC.

Situasi menjadi semakin berubah dalam PRU 13 di mana keputusan BN semakin merudum, dan hanya berjaya memenangi 133 kerusi Dewan Rakyat walaupun berlaku perubahan kepimpinan. Kebiasaannya, pilihan raya umum pertama pemimpin yang dilantik sebagai Perdana Menteri mencapai perolehan yang besar, tetapi Datuk Seri Najib telah mengurangkan tujuh kerusi milik BN sebelumnya. (PRU 12 BN menang 140 kerusi dan PRU 13 hanya menang 133 kerusi Dewan Rakyat).

Buat pertama kali dalam sejarah, penguasaan undi popular dikuasai oleh pakatan pembangkang dengan 52 peratus dan BN 48 peratus. Hal ini menyebabkan di awal keputusan PRU 13, Najib diserang sebagai pemimpin yang lemah kerana tidak mempunyai kekuatan undi popular. Akibatnya, kepimpinan Najib terus dipersoalkan dengan beberapa isu, termasuk isu peribadi dari luar dan dalam parti sendiri. Akhirnya, pemecatan seorang Timbalan Presiden dan seorang Naib Presiden pada tahun 2015 menjadikan UMNO terpaksa mengemaskan kesetiaan ahlinya untuk memenangi PRU 14.

PRU 14 dijangka berlangsung seawal-awalnya pertengahan tahun 2017 atau selewat-lewatnya pertengahan tahun 2018. Tun Musa Hitam meramalkan, PRU 14 akan diadakan dalam tempoh terdekat, menyebabkan ramai yang beranggapan ia mungkin berlaku pada bulan Mac 2017 atau bulan Ogos 2017.

Perkembangan politik, terutama dalam kalangan parti-parti pembangkang tidak menunjukkan solidariti perjuangan sebagaimana berlaku pada PRU 12 dan 13. PRU 14, sekurang-kurangnya mempunyai tiga gabungan parti pembangkang, iaitu DAP, PKR dan PAN dikenali Pakatan Harapan; PAS dan PKR untuk mempertahankan Selangor; dan PAS bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan). Mungkin kerjasama parti pembangkang akan berlaku juga di Sabah dengan diketuai oleh Datuk Shafei Afdal apabila Parti Warisan Sabah disahkan pendaftaranya pada 18 Oktober 2016.

PAS bertekad memutuskan tahaluf siyasinya dengan DAP manakala bersengketa besar dengan Parti Amanah Nasional (PAN) yang ditubuhkan oleh ahli-ahlinya sendiri selepas kecewa tidak terpilih dalam Muktamar PAS ke-61 (Jun 2015). Kumpulan professional yang menubuhkan PAN dianggap sebagai “pengkhianat” oleh PAS kerana sanggup berjuang bersama DAP yang menentang keras syariat Islam dan prinsip perjuangan PAS. PAS menuduh DAP tidak menghormati perjuangan PAS dan memaksakan PAS untuk tunduk kepada DAP. DAP terpaksa mengakui, kemenangan besarnya dalam PRU 13 adalah sokongan PAS, terutama kawasan majoriti pengundi Melayu atau undi Melayu sebagai penentu. Kerjasama politik dengan DAP sudah dipertikaikan oleh akar umbi sebelum PRU 13, iaitu ketika mereka bermuktamar di Kota Bahru pada tahun 2013, iaitu sebelum kematian Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat (1931-2015) dan masih menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan (1990-2013).

UMNO juga mengalami perpecahan selepas pemecatan Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau kemudiannya menyertai Tun Dr Mahathir dan anaknya, Datuk Mukhriz untuk menubuhkan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), untuk menarik sebanyak mungkin penyertaan ahli UMNO yang tidak berpuashati dengan kepimpinan Najib. Bagaimanapun, sehingga kini, PPBM belum mampu menunjukkan kekuatan sokongannya, sebaliknya gemar mencari usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Tan Sri Muhyiddin hanya dianggap mempunyai kekuatan peribadi di Pagoh, tidak merentasi lain-lain negeri akibat perwatakannya yang sukar senyum. Tun Dr Mahathir juga mengalami nasib yang buruk atas tindakannya mendedahkan kelemahan kepimpinan Najib, dan kini semakin ramai mengkritik legasi beliau selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri. Percubaan Dr Mahathir untuk menjatuhkan Najib dibalas dengan serangan bertubi-tubi netizen sehingga dianggap sebagai “orang tua nyayuk” akibat beberapa pandangannya bercanggah dengan apa yang pernah dilakukan semasa berkuasa.

Perkahwinan politik antara parti pembangkang bagi berhadapan dengan BN dalam PRU 14 bukan lagi atas kepentingan “menghapuskan penguasaan BN” tetapi dilihat mirip kepada rejaman dendam lama untuk mengekalkan legasi masing-masing. Penubuhan PPBM dianggap sebagai usaha Dr Mahathir untuk meneruskan kesinambungan penguasaan keluarga, begitu juga kelahiran PKR, mempastikan keluarga Anwar Ibrahim semakin mendominasi parti. Sebab itulah Anwar akan tetap mempertahankan kedudukan anaknya, Nurul Izzah dan isterinya sendiri, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail. Bakal muncul ialah adik Nurul Izzah.

Mahathir sedar, jika Mukriz tidak ditonjolkan ke depan, legasinya akan mengalami lebih banyak “pendedahan” dan kerana itu, Muhyiddin tetap dianggap sebagai Perdana Menteri sementara, berdasarkan faktor umur dan pengaruh. Mahathir mungkin merasai kejayaan Lee Kuan Yew memprojekkan anaknya, Lee Hsein Long sebagai Perdana Menteri selepas tamat tempoh perkhidmatan Goh Chock Tong (1990-2004). DAP juga mempunyai sistem penguasaan keluarga, di mana Lim Kit Siang berusaha untuk menjadikan anaknya, Lim Guan Eng sebagai pemimpin parti. Hasilnya, Lim Guan Eng berjaya menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, dan merupakan pemimpin paling berkuasa dalam parti walaupun jawatannya adalah Setiausaha. Setiausaha lebih berkuasa daripada Pengerusi, dan ini tidak berlaku dalam UMNO. Presiden lebih berkuasa daripada Setiausaha.

Dalam PKR, penasihat parti lebih berkuasa daripada Presiden ataupun Setiausaha. Begitu juga dalam PPBM, sebagai penasihat, Tun Dr Mahathir berhak menentukan perancangan dan tindakan berbanding Tan Sri Muhyiddin yang dilantik sebagai Pengerusi. Inilah kroniknya politik pembangkang, yang menjadi persoalan besar yang tidak memungkinkan mereka kuat dan berpengaruh. Kronik politik itu membuatkan penyertaan ahli adalah sekadar “melukut di tepi gantang”, semakin menipis bila kekecewaan dapat dilupakan.

Ramai pemimpin DAP menunjukkan kemarahan kepada penguasaan politik keluarga Lim Kit Siang dan Karpal Singh; ramai juga pengagum Anwar Ibrahim kecewa dengan pengekalan tampok kepimpinan PKR kepada ahli keluarga; dan mungkin selepas ini, pengagum Dr Mahathir akan kembali mencari asas politik yang lain sebagaimana Tengku Razaleigh membawa penyokongnya menyertai semula UMNO. Setakat ini, UMNO masih merupakan parti yang dominan dan mendapat sokongan terbesar orang Melayu; dan PAS mempunyai penyokong yang kental. Sebab itu, penyingkiran Tan Sri Muhyiddin tidak memberikan kesan yang besar kepada UMNO manakala penghijrahan kumpulan professional tidak menyumbang kepada kemusnahan PAS.

PAS masih kuat di Kelantan, dan UMNO masih berjaya mendapat sokongan orang Melayu. Tetapi, pemimpin UMNO perlu membuktikan komitmennya untuk memperjuangkan kepentingan Bumiputera, ketika semuanya dianggap mahal dan semakin tidak mampu dimiliki. UMNO perlu memberikan perhatian serius untuk mengurangkan kos sara hidup, menurunkan harga rumah dan lebih penting, tidak menyombong diri ketika berkuasa. Perangai sebahagian besar wakil rakyat UMNO perlu berubah, dan jadikan bagaimana pada tahun 2008, pengundi menolak calon-calon UMNO yang dianggap sombong dan “gila projek.”

Tamparan hebat kepada UMNO ialah untuk menentukan tidak berlaku ketirisan pengurusan wang, dan membuat pengakuan untuk menghukum setiap pemimpinnya yang terbabit dengan rasuah. Rasuah menjadi isu besar, kerana rasuah itu menyebabkan segelintir rakyat menjauhkan diri daripada UMNO.

Formula kemenangan BN dalam PRU 14; kelemahan parti pembangkang saling memberikan sumbangan kesinambungan politik dan kestabilan. Tentunya, UMNO perlu berubah dengan tangkas dan lebih cepat, kerana rakyat sedang memerhatikan secara serius, apa yang akan berlaku dalam tempoh beberapa bulan ini sebelum proses pilihan raya umum diadakan.

No Comments

    Leave a reply