MAMPUKAH UMNO KEMBALI CEMERLANG?

 

TIGA hari selepas UMNO selesai mengumumkan keputusan Pemilihan 2018, negara dikejutkan dengan penahanan bekas Perdana Menteri oleh Jawatankuasa Penyiasatan 1MDB. Penangkapan tersebut dilihat saperti mengulangi apa yang pernah berlaku dua puluh tahun lalu ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kekalahan UMNO dan BN turut dikaitkan dengan 1MDB terutamanya kemasukan akuan peribadi bekas Presiden UMNO. Ia dikatakan diselewengkan dari wang SRC International, iaitu sebuah syarikat pelaburan yang ditubuhkan oleh 1MDB. Bayangan salah laku kuasa membawa kepada pembekuan akuan UMNO Pusat dan beberapa akaun UMNO Negeri serta mereka yang ada kaitannya.

Kemenangan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO kelapan menjadikan proses pemulihan UMNO menjadi sedikit sukar. Atas kesukaran itulah ada segelintir pemimpin UMNO saperti merajuk, tawar hati dan hilang keyakinan bahawa parti itu dapat dipulihkan dalam tempoh terdekat.

Selain faktor kewangan, UMNO terpaksa berhadapan dengan ‘perang persepsi’ yang lebih teruk berbanding ketika tiga daripada lima orang calon presiden berkempen sebaik sahaja pencalonan mereka diterima pada pertengahan bulan lalu. Usaha UMNO untuk menarik sokongan lebih ramai orang Melayu menjadi semakin berhalangan apabila calon yang disahkan menang turut dikaitkan dengan ‘salah guna’ wang Yayasan Akalbudi untuk membayar hutang kad kredit berjumlah RM 800,000.

Walaupun Zahid telah memberikan jawapan kepada SPRM di hari kedua ‘pertemuan’, ia adalah berpunca kesilapan pegawainya menggunakan cek Yayasan Akalbudi dan bukannya cek akaun peribadi, kesilapan itu akan tetap dieksploitasi. Menurut Zahid, kesilapan itu sebenarnya telah diperbetulkan pada tahun 2016, iaitu beliau telah membayarnya.

Di tengah kemelut itulah Zahid terpaksa mengerahkan jentera UMNO yang semakin lesu akibat sumber kewangan yang terhad. Semasa beliau diisytiharkan menang, ramai melihat kemenangan tersebut merupakan sikap yang diperlukan oleh sebahagian besar para perwakilan, tidak mahu memutuskan ‘hubungan iltizam’ antara pemimpin sebelumnya dengan masa depan UMNO.

Mereka memilih Zahid kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu membawa simbol kesinambungan dan kesederhanaan politik yang dilaluinya. Tengku Razaleigh Hamzah dilihat sebagai ‘era lama’ manakala Khairy Jamaludin Abu Bakar mewakili ‘era baharu’. Ia diukur berdasarkan umur calon dan juga pengalaman mereka dalam aktiviti berpolitik.

Atas keinginan menolak ‘era lama’, Tengku Razaleigh hanya mampu meraih undi kolej atau perwakilan sejumlah  30, iaitu kurang  separuh daripada jumlah undi yang diperoleh Khairy (60). Kalau dilihat dari perspektif tersebut jelaslah bahawa kecenderungan perwakilan menolak Tengku Razaleigh teramat besar. Golongan muda UMNO menolak Tengku Razaleigh atas sebab ‘pengalaman lama’ tidak mampu mengatasi cabaran semasa. Ia dapat diteliti ketika berlangsungnya Debat Calon Presiden yang disiarkan selama sejam oleh Astro Awani pada malam sebelum pemilihan.

Walaupun Khairy melakukan kesilapan, tidak bersedia melaporkan apa sebenarnya disuarakan oleh akar umbi terhadap pemimpin parti, rata-rata ahli perwakilan boleh menerima. Sebab itulah Khairy berjaya memperoleh undi yang lebih besar berbanding Tengku Razaleigh. Dalam perkiraan sebenar, Khairy peroleh 32,592 undi manakala Teng Razaleigh terpaksa berpuas hati dengan 20,462 undi, perbezaan sebanyak 12,130 undi.

Zahid berjaya memperoleh 99 undi bahagian. Dari segi jumlah undi sebenar, perbezaan yang diperoleh Zahid hanyalah sekitar 6,605 undi dari apa yang diperoleh Khairy. Dari segi undi popular, jika jumlah undi yang diraih oleh Khairu dan Tengku Razaleigh disatukan (53,054), bermakna Zahid ‘kalah’ dengan perbezaan 13,857 undi. Menerusi kaedah undi perwakilan, Zahid menang dengan perbezaan 8 undi bahagian. Satu lagi undi bahagian belum ditentukan bepihak kepada siapa dan menurut laporan, ia mungkin akan dilakukan pengundian semula.

Secara keseluruhannya, hanya 92,251 undi dikira. Ini bererti sekitar 60,000 perwakilan dari 191 Bahagian UMNO tidak mengundi. Bagi dua lagi calon presiden, mereka hanya sekadar ‘memeriahkan pertandingan’ kerana tidak memperoleh sebarang sokongan sebagaimana dilaporkan oleh media.

Kalau dikira daripada jumlah undi popular, nyatalah perwakilan mengharapkan UMNO berubah walaupun daripada ‘manifesto’ Zahid, beliau lebih berusaha untuk meneruskan warisan kepimpinan Najib. Kekalahan BN bagi Zahid bukan bermakna UMNO gagal kerana kegagalan itu sebenarnya berlaku dalam kalangan parti komponen BN. Apa yang perlu dilakukan, menurut Zahid, UMNO tidak sepatutnya terikat dengan nostalgia tetapi perlu mengingati sejarah dan menjadikannya sebagai panduan untuk berubah.

Seruan perubahan yang dibawa oleh Tengku Razaleigh lebih bersifat nostalgia. Beliau sentiasa mengingatkan kepada ‘kecemerlangan’ diri ketika membawa amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Almarhum Tungku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Razak (dalam pembinaan institusi ekonomi Bumiputra) dan Allahyarham Tun Hussein Onn. Tetapi, ketika era Tun Dr Mahathir keupayaan sebenar Tengku Razaleigh lebih terhalang oleh ‘sikap politik Dr Mahathir’.

Tengku Razaleigh diperlengkapkan dengan imej ‘tokoh yang mampu berhadapan dengan gelagat politik Dr Mahathir’ dan boleh diberikan tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat. Ini berdasarkan ‘keberanian’ Tengku Razaleigh yang pernah mencabar Dr Mahathir ketika Pemilihan UMNO 1987 untuk jawatan presiden.

Akibat perebutan jawatan tersebut, keupayaan Dr Mahathir sedikit tergugat apabila sebahagian besar menteri dan timbalan menteri menyokong Tengku Razaleigh. Tetapi, atas inisiatif Daim Zainudin yang memegang jawatan Menteri Kewangan dan Bendahari UMNO serta Sanusi Junid selaku Setiausaha Agung UMNO yang hebat melancarkan propaganda, Tengku Razalegih menerima ‘kekalahan dalam pertempuran tetapi bukan kalah perang.’

Dari segi ‘peperangan’, Dr Mahathir gagal mengalahkan Tengku Razaleigh kerana selepas itu UMNO berpecah dan diharamkan. Pengharaman UMNO dikaitkan dengan ‘kedegilan Dr Mahathir’ untuk mengisytiharkan pemilihan semula kerana pemilihan turut dilakukan oleh beberapa orang perwakilan daripada cawangan yang belum disahkan penubuhannya.

Begitu juga dengan kekalahan UMNO pada PRU ke-14, ia dikaitkan dengan keenggaan pemimpin untuk mendengar pandangan akar umbi. Bagi bekas Menteri Besar Johor, prestasi terburuk UMNO itu disebabkan “UMNO memilih untuk tidak mempedulikan keluh kesah rakyat, kita tahuncukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) membebankan, kita tahu kos sara hidup meningkat dan kehidupan rakyar semakin terdesak.”

Walaupun mempunyai data dan petunjuk sokongan rakyat semakin berkurangan, jelas Khaleed Nordin “ kita memilih untuk tidak ambil pusing dan akur dengan keputusan Perdana Menteri. Sebaliknya, UMNO mencaci, mengungkit dan mempersendakan keturunan bekas Presiden dan Perdana Menteri (Dr Mahathir) menyebabkan rakyat tidak menyokong kerajaan.”

Razaleigh dan Khairy berusaha memaparkan perubahan yang mereka akan lakukan untuk memulihkan parti. Tetapi, apa yang cuba diketengahkan sebagai langkah pemulihan dan pembaharuan telah ditolak oleh lebih 39,000 perwakilan. Mereka lebih selesa kepada Zahid. Mereka masih menerima Najib dan legasi politiknya yang dianggap ‘suci’ dan lebih peduli rakyat dengan pelbagai inisiatif yang agak mustahil dilaksanakan oleh pada zaman pentadbiran Dr Mahathir selama 22 tahun (1981-2003).

Sebahagian ‘kemurahan Najib’ walaupun pada awalnya dipersoalkan oleh PH sebagai ‘dedak atau rasuah politik’ tidak lagi menjadi sesuatu yang bakal dihapuskan. Selepas beberapa hari mengambil alih pentadbiran, Dr Mahathir yang kembali diangkat sebagai Perdana Menteri ketika berusia 92 tahun mengambil langkah melaksanakannya dengan perubahan nama. Bantuan Rakyat 1Malaysia diteruskan manakala Klinik 1 Malaysia dijenamakan sebagai Klinik Komuniti.

GST hanya dikadarkan kepada sifar selama tiga bulan (Jun hingga September) sebelum dihidupkan semula Sales and Service Tax (SST). Harga minyak yang awalnya dicadangkan diturunkan kepada RM 1.50 seliter tidak dilaksanakan, sebaliknya untuk minggu lalu (27 Jun hingga 4 Julai 2018) hanya diapungkan petrol RON 97 (turun 9 sen kepada RM 2.50) manakala diesel dan RON 95 kekal. Harga diesel dan RON 97 telah pun dikekalkan oleh kerajaan terdahulu dan pengekalan tersebut bermakna PH masih belum menunaikan janji-janjinya.

Berdasarkan keputusan pemilihan terbaharu, UMNO telah berjaya menyeimbangkan gandingan lama dan baharu walaupun masih mengekalkan pemimpin-pemimpin yang pernah berada dalam lingkungan kuasa pada era Najib.  Timbalan Presiden dimenangi oleh bekas Menteri Besar Negeri Sembilan manakala tiga Naib Presiden kesemuanya adalah bekas menteri era Najib, iaitu Datuk Ismail Sabri Yaacob, Datuk Mahadzir Khalid dan Khaleed Nordin.

Cuma dalam kerusi Ahli Majlis Tertinggi dilihat mempunyai gabungan antara yang lama dan baharu. Walaupun Ketua Pergerakan UMNO adalah bukan wakil rakyat, pemilihannya juga dianggap masih ‘terikat dengan legasi Najib’ kerana beliau dibawa semula ke dalam gelanggang politik oleh Najib. Beliau dilantik sebagai senator, Timbalan Menteri dan Ahli Majlis Tertinggi.

Hanya Ketua Pergerakan Wanita dilihat ‘tidak dikaitkan dengan Najib’. Datuk Dr Noraini Ahmad hampir dilupakan apabila digugurkan oleh Najib selepas mengambilalih pentadbiran kerajaan dari Tun Abdullah Ahmad Badawi. Noraini ialah bekas Ketua Pergerakan Puteri selepas Datuk Azalina Othman melepaskan jawatan itu atas faktor usia. Bagaimanapun, Noraini tetap bepengaruh dan belum lagi tewas di Parit Sulong sejak PRU ke-12.

Melihat semula apa yang diperkatakan oleh Zahid jelaslah beliau akan tetap mempertahankan kepentingan Melayu, merakyatkan UMNO, mewujudkan Majlis Penasihat UMNO dan menetapkan tempoh presiden parti tidak lebih dua penggal berturut-turut. Ini bererti, perwakilan memilih Zahid kerana beliau diharapkan dapat membawa UMNO kembali cemerlang untuk berhadapan dengan PRU ke-15.

Tentunya, tempoh tiga tahun permulaan ini Zahid akan berhadapan dengan pelbagai cabaran besar termasuklah beberapa tindakan untuk ‘membunuh karakter’ menerusi pembingkaian minda dan teknik propaganda oleh PH. PH akan mencari dan melancarkan serangan lebih hebat terhadapnya, kerana tujuan sebenar PH ialah untuk ‘membunuh UMNO’.

Sehari selepas menang, Zahid diminta memberikan keterangan kepada SPRM. Dan, selepas ini, Zahid mungkin pula akan dipanggil sebagai saksi untuk mengesahkan apa yang diucapkannya, iatu dua kali pernah berjumpa dengan  ‘penderma’ yang memindahkan sejumlah wang kepada akaun peribadi Najib. Kesemuanya ini akan dimanipulasi dan dieksploitasi oleh musuh-musuh politiknya dan juga UMNO.

Ketika ini, BN terlalu ‘sakit’ dan hampir tersungkur. Ertinya, di samping memulihkan UMNO. Zahid juga perlu ‘menyegarkan semula BN’ yang hanya tinggal tiga buah parti komponen (UMNO, MCA dan MIC) daripada gabungan 13 buah parti. Sabah, walaupun masih ada lagi UMNO, keadaannya semakin lemah dan BN semakin kerdil. Sarawak sudah ada penolakan terhadap BN di mana parti-parti komponen menubuhkan Gabungan Parti Sawarak (GPS) dan sedang berunding untuk bekerjasama dengan PH.

Sebagai presiden yang bukan sahaja perlu memulihkan UMNO dan BN, Zahid juga berhadapan dengan cabaran politik peribadi perlu tegas dalam setiap tindakannya. Bagi menjaga 51 orang wakil rakyat (UMNO) bukanlah satu perkara mudah, kerana setiap daripada mereka masih belum dapat menghapuskan budaya warlords yang turut ‘menjejaskan’ imej parti, kecenderungan untuk melompat parti tetap ada, terutamanya dalam kalangan mereka merasakan adalah sukar untuk berkhidmat kepada pengundi setempat jika berada di pihak pembangkang.

UMNO masih tebal dengan budaya politik penaungan. UMNO perlu membebaskan dirinya daripada sistem politik yang telah sekian lama dipupuk oleh UMNO sendiri. Proses meminta dari wakil rakyat UMNO oleh para pengundi sukar untuk dihapuskan kerana selama lebih 60 tahun berlaku.

Pemimpin UMNO perlu menterjemahkannya secara bijaksana kepada sebahagian pengundi yang masih setia memberikan undi pada PRU ke-14 yang lalu. Dalam kesusahan untuk bangkit itulah UMNO akan menguji keseluruhan jenteranya yang dipilih dari pelbagai peringkat sama ada untuk berjaya bangkit semula saperti parti Liberal Demokratik (LDP) dari Jepun.

Presiden baru perlu belajar bagaimana LDP yang pernah kalah berjaya bangkit semula pada tahun 2013. LDP berjaya melakukan pemulihannya dalam tempoh empat selepas kekalahannya pada tahun 2009. UMNO perlu segera membedah kelemahannya dan membina strateginya secara berkesan untuk dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun pertama.

Penggal kedua kepresidenan digunakan sebagai tahun-tahun pengukuhan dan kerana itulah UMNO wajib mengelakkan program dan aktivitinya yang bersifat syok sendiri, termasuklah kaedah pengkaderan yang bakal dilaksanakan oleh Ketua Pergerakan Pemuda.

No Comments

    Leave a reply