MAMPUKAH UMNO KEMBALI MEMERINTAH KELANTAN?

Setahun lalu, Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yakin Barisan Nasional (BN) mampu kembali memerintah Kelantan ekoran konflik dalam pakatan pembangkang dan ketiadaan pemimpin ikonik PAS, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat. Hujung minggu lalu (16 Oktober 2016), UMNO Kelantan memberikan keyakinan sama bagi menamatkan penguasaan 26 tahun PAS di Kelantan (1990-2016). Ertinya, PRU ke-14 mungkin berlangsung pada tahun hadapan, kerana itulah UMNO Kelantan merumuskan tujuh formula bagi menentukan kejayaannya.

Tujuh resolusi itu ialah: (1) mengukuhkan  solidariti dalam kalangan parti; (2) setia dalam perjuangan; (3) perihatin kepada rakyat dan mendekati pengundi muda; (4) rejuvenasi atau pengislahan UMNO; (5) memperkukuhkan jentera parti khususnya di peringkat peti daerah mengundi; dan (7) membawa agenda pembangunan lestari dengan tidak menggadaikan nilai-nilai Islam.

Resolusi tersebut memerlukan kesungguhan dan penghayatan kepada tindakan yang besar, kerana tanpanya, UMNO akan sekali lagi kecundang walaupun pada tahun 2008, mengharapkan kejayaan mengalahkan PAS atas perkiraan atas kertas, hanya perlukan kelebihan dua kerusi untuk menang tipis menggunakan data keputusan pilihan raya sebelumnya (2004). PRU ke-11, BN memperoleh undi popular iaitu 269,492 di peringkat DUN tetapi tidak mampu memerintah. Gabungan PAS, PKR dan DAP hanya peroleh 261,402 undi. PAS menguasai 24 kerusi manakala BN hanya mampu meraih 21 kerusi menyebabkan ada pemerhati politik memandangnya sebagai “kerajaan yang kalut”.

Dengan majoriti 3 kerusi DUN pelbagai teori dikemukakan, kononnya, ada wakil rakyat PAS sanggup “berhijrah kepada UMNO” manakala Mustapa Mohamed disebut-sebuat bakal diberikan tanggungjawab sebagai Menteri Besar Kelantan. Keadaan itu tidak menjadi kenyataan, walaupun BN mencapai prestasi terbaik sejak membabitkan diri dalam pilihan raya di Kelantan selepas kecundang pada tahun 1990 kepada gabungan PAS dan Semangat ’46.

PRU ke-14 yang bakal berlangsung sama ada pada tahun 2017 atau 2018, UMNO begitu yakin beroleh kecemerlangannya berdasarkan senario politik semasa yang sedang melanda pakatan pembangkang, termasuklah PAS yang mahu dikeronyokkan oleh bekas ahlinya yang menyertai PAN. Walaupun UMNO juga turut mengalami kecelaruannya, kekuatan UMNO di Kelantan dianggap tidak banyak terjejas biarpun ada segelintirnya menyertai PBBM yang sedang mempersiapkan jenteranya.

Konflik dalam pakatan pembangkang menyebabkan PAS yang berkuasa semula sejak tahun 1990 menerima tekanan besar apabila keputusan Muktamar ke-61 parti itu berjaya menyingkirkan kelompok professional yang dianggap sebagai “duri dalam daging” dan kemudiannya berlaku kemusnahan “tahaluf siyasi” dengan DAP pada tahun lalu.

Semasa bermuktamar di Kota Bahru sebelum PRU ke-13, akar umbi PAS mahukan “tahaluf siyasi” dalam pakatan pembangkang dikaji semula apabila merasakan kerjasama itu lebih menguntungkan DAP berbanding PAS sendiri. Akibatnya, selepas PRU ke-13, Muktamar PAS ke-61, akar umbi PAS berjaya menyingkirkan kumpulan professional yang pernah dianggap sebagai “duri dalam daging”, yang mana kumpulan ini kemudiannya menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN).

PAN diterajui oleh Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad @ Mat Sabu dan menjelang sambutan kemerdekaan negara pada tahun ini, Datuk Husam Musa yang pernah menjadi perancang dan penggerak ekonomi PAS Kelantan menyerahkan borang keahliannya. Penghijrahan Husam Musa itu dianggap oleh Mat Sabu sebagai lambang kemerdekaan sebenar manakala Husam Musa bertekad untuk menggempur PAS dalam PRU ke-14 bagi menghapuskan kekecewaannya, tewas dalam persaingan dalam muktamar dan tidak dilantik semula dalam barisan kepimpinan kerajaan Kelantan di akhir pentadbiran Allahyarham Datuk Nik Aziz dan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Mohamad Yaakub.

Kekecewaan Husam Musa membawanya kepada perpecahan dalam PAS di mana kumpulan yang pernah diberikan teguran oleh Datuk Nik Aziz dan Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang terpaksa mencari tapak baharu untuk bernafas dalam politik. Di antaranya ialah Salehudin Ayub (tewas di Johor dalam PRU ke-13), Dr Hatta Ramli dan  Datuk Wan Rahim Abdullah (bekas Speaker DUN Kelantan) menyertai PAN lebih awal daripada Husam Musa.

PAN dijangka akan meletakkan calonnya di kawasan-kawasan “boleh menang” berhadapan dengan PAS dan bakal menyebabkan PRU ke-14 menyaksikan pertandingan tiga penjuru. Pertandingan tiga penjuru dijangka memberikan kemenangan kepada UMNO, terutamanya di kawasan-kawasan yang dimenangi oleh calon PAS kurang dari 1,000 undi majoriti.

Bagaimanapun, UMNO juga berhadapan dengan situasi perpecahan ekoran pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan pertengahan tahun 2015. Pemecatan itu kemudiannya membawa kepada penubuhan Parti Bumiputra Bersatu Malaysia (PBBM) di mana bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed menjadi penasihatnya. PBBM dan PAN dianggotai oleh kumpulan yang kecewa. PBBM oleh penyokong Tan Sri Muhyiddin dan Tun Dr Mahathir dari UMNO manakala PAN dari kelompok professional PAS.

PBBM dan PAN dijangka tidak mempunyai sokongan besar di Kelantan atas beberapa perkara, termasuklah ketiadaan pemimpin-pemimpin yang benar-benar berwibawa dan berpengaruh. Kekuatan Mat Sabu di Kelantan dianggap “suam-suam kuku” dan pernah tidak diberikan peluang untuk berkempen semasa PRK Manek Urai oleh Allahyarham Datuk Nik Aziz atas alasan, “orang luar tidak memahami kehendak pengundi Kelantan” walaupun Mat Sabu pernah memenangi salah satu kerusi Parlimen di Kelantan.

Mat Sabu kemudiannya disingkirkan dalam senarai calon PAS untuk PRU ke-10 (1995) ekoran isu ditangkap berkhalwat di sebuah hotel terkemuka di Kelantan dengan seorang wanita yang masih bersuami, yang juga aktivis PAS. Skandal Mat Sabu itu pada awalnya mendapat pembelaan daripada kepimpinan PAS, akhirnya digunakan semula ketika beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS dengan menjadikan perbualan telefonnya sebagai bahan viral di media sosial.

Walaupun diserang dengan perbualan telefon tersebut, Mat Sabu tetap menang jawatan Timbalan Presiden PAS yang ketika itu sedang berusaha untuk menggantikan Nasharudin Mat Isa yang berhadapan dengan “amaran keras” Allahyarham Datuk Nik Aziz ekoran cadangan “kerajaan perpaduan dengan UMNO/BN.” Nasharudin diminta untuk mengosongkan kerusi Parlimen Bachuk dan seterusnya mendapat amaran keras di mana Mursyidul Am PAS akan meneliti semula bukan anak Kelantan yang bakal dipilih mewakili parti itu dalam pilihan raya seterusnya.

Selama dua penggal Mat Sabu berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden PAS sehinggalah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berjaya menyainginya ekoran kebangkitan semula semangat “memperkukuhkan kepimpinan ulama”. Mat Sabu bukanlah dari kumpulan ulama, maka sebab itulah dalam muktamar 2013, kumpulan professional tewas sepenuhnya.

Tun Dr Mahathir tidak mempunyai pengaruh yang besar di Kelantan kerana beliau dianggap sebagai manipulator politik dan melakukan banyak kezaliman terhadap rakyat Kelantan. Percaturan imej Tun Dr Mahathir dikatakan bermula apabila beliau berjaya menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah dalam perebutan jawatan Presiden UMNO pada tahun 1987 setelah mendapat sokongan besar kepimpinan Allahyarham Tan Sri Mohamad Yaacob, Menteri Besar Kelantan sehingga menyebabkan sokongan dari Kelantan tidak sepenuhnya. Tun Dr Mahathir menang dengan kelebihan 43 undi, yakni  ekoran tiada sokongan Mohamad Yaacob.

Berdasarkan “kemarahan” yang berpanjangan rakyat Kelantan kepada Tun Dr Mahathir, dan ditambah dengan serangan PAS atas kegagalannya untuk membayar royalti hasil minyak yang diperoleh di Laut China Selantan (yang didakwa masih dalam wilayah Kelantan), imej sebagai pentadbir baik dan hubungannya dengan Kelantan tidaklah memadai untuk menarik sokongan kepada PBBM.

Situasi itulah memberikan harapan yang jelas kepada UMNO bahawa kemunculan PAN dan PBBM di Kelantan dianggap sebagai satu kelebihan manakala bagi PAS bakal menjejaskan sedikit sebanyak sokongan pengundi. Bukan sahaja bakal berlaku pertembungan tiga penjuru antara BN, PAS dan PAN, malah beberapa kawasan dianggap bakal berlakunya empat atau lebih penjuru dengan kemasukan PBBM.

PAS sudah bertekad untuk tidak bersama dalam pakatan yang dianggotai oleh DAP dan PAN. PAS telah menjalinkan kerjasama dengan sebuah parti kecil pimpinan Tan Sri Abdul Kader Sheikh Fadhir, yang juga muncul akibat kekecewaan. PAS melihat kerjasama parti pembangkang yang dianggotai oleh PAS sebagai kerjasama yang bakal menguntungkan DAP.

DAP sebagai sebuah parti yang diterajui oleh bukan Melayu memperoleh keuntungan besar di atas kerjasama politik dengan PAS di mana beberapa kemenangannya adalah atas sokongan orang Melayu yang bersimpati dengan PAS. Kemenangan itu bagaimanapun tidak mungkin dapat diulangi dalam PRU ke-14, kerana PAS sudah berkerat rotan untuk tidak bekerjasama dengan DAP, yang sentiasa membuli PAS untuk mengorbankan prinsip perjuangan.

Senario politik Kelantan pada masa ini banyak memberikan kelebihan kepada UMNO di mana kepimpinan PAS dianggap telah gagal untuk menjadikan Kelantan sebagai pusat pertumbuhan ekonomi yang besar akibat kegagalan merancang. Beberapa projek yang diusahakan sebelum ini dianggap tidak menguntungkan rakyat, sebaliknya memberikan keuntungan besar kepada orang luar, termasuklah pemimpin DAP yang diberikan konsesi penanaman semula hutan.

Kegagalan kerajaan Kelantan mengatasi masalah air bersih sejak lebih dua puluhan tahun menggambarkan betapa tidak kreatifnya kepimpinan PAS dalam menangani masalah rakyat. Walaupun pinjaman hampir setengah billion ringgit pernah diberikan oleh kerajaan Persekutuan, masalah air terus menjadi persoalan besar sehinggalah dimeteraikan satu kerjasama baharu beberapa bulan lalu.

Krisis bantuan kepada mangsa banjir 2014/2015 terus menjadi isu besar bagi kerajaan Kelantan kerana lembangan Sungai Kelantan turut dibebani dengan hanyutan balak. Beberapa hari lalu, penduduk Orang Asal Kelantan di Gua Musang terus mengadakan “blocked” kerana lebih hampir dua ribu ekar tanah yang menjadi medan rezeki mereka telah diberikan konsesi penebangan balak. Orang Asal merasakan, pembalakan akan menjejaskan punca rezeki dan yang lebih memeritkan ialah potensi berlaku banjir air kuning sekali lagi, yang bukan sahaja meranapkan perkampungan mereka, bahkan sebahagian besar penduduk Lembangan Sungai Kelantan.

Di akhir Konvesnyen UMNO Kelantan terbaharu, UMNO sekali lagi memberikan keyakinan bakal memperoleh kejayaan cemerlang dalam PRU ke-14, kerana sokongan PAS semakin lemah sehingga menyebabkan berlakunya perpecahan. Bagaimanapun, UMNO perlu menunjukkan bukti kesungguhan untuk membantu Kelantan daripada kedudukan mempunyai rakyat termiskin terbanyak kepada rakyat berpendapatan menengah yang besar menerusi kerangka pembangunan ekonomi yang komprehensif, yakni tidak terlalu drastik inginkan perubahan sebagaimana pernah dilakukan sebaik sahaja memerintah Kelantan pada tahun 1974, menerusi kemenangan BN setelah PAS ikut menyertainya.

Kelantan mesti dibangunkan berdasarkan wajah tempatan, dan ketika permulaan pembangunan Kelantan tahun 1980-an, banyak membawa model dari luar Kelantan, termasuklah kontraktor bukan Melayu dari Pulau Pinang dan Selangor. Akhirnya, rakyat Kelantan terpaksa juga berhijrah ke negeri-negeri lain untuk meraih rezeki. Kelantan mesti dibangunkan dengan cara yang menguntungkan rakyat Kelantan sendiri, bukannya sekadar meningkatkan harga tanah sebagaimana berlaku di kawasan pesisir pantai Tok Bali, dan lagun Sungai Semerak, yang sempadannya termasuk dalam air.

Keadaan ini menyebabkan ratusan penternak ikan dalam sangkar berhadapan dengan ancaman gulong tikar, usaha menggali semula Kuala Semerak (asal) tidak dapat dilakukan. Air Sungai Semerak dikhuatiri tercemar oleh virus e-coli, kerana sudah lama tidak mengalir sebaik sahaja Terusan Semerak dibuka. Pembinaan pelabuhan Tok Bali juga bakal menyebabkan lebih ramai penduduk tempatan akan berhijrah, kesan pengambilan tanah dan seterusnya tekanan perniagaan pihak-pihak tertentu yang mempunyai sumber kewangan besar, sebahagiannya adalah pemodal bukan Melayu.

UMNO Kelantan boleh berjaya kembali sekiranya solidariti antara pemimpin cawangan dan bahagian menunjukkan kemajuan besar dengan mengetepikan ikatan parochial (jumud), yang tidak boleh menerima calon lain selain daripada anak tempatan. Tentunya, dalam pemilihan calon bagi mewakili UMNO, pilihan turut mengambil kira potensi seseorang calon, termasuk membawa masuk calon bukan anak tempatan.

Calon bukan anak tempatan, yang pernah disifatkan sebagai calon payung terjun dan masuk ikut jalan belakang, dalam PRU ke-12 menjadi faktor sabotaj dari dalam sehingga menyebabkan ramai pemimpin tempatan merajuk, tidak memberikan kerjasama dan bertanding sebagai calon bebas. Meskipun begitu, perpecahan dalam UMNO akan terus berlaku, menyebabkan sebahagian pengikut ketua bahagian atau calon yang diharapkan mengambil keputusan keluar parti atau menjadi ahli parti lawan.

UMNO Kelantan perlu melakukan proses perundingan yang bermakna dengan mana-mana ketua bahagian jika bercadang untuk meletakkan calon bukan anak tempatan dan bukan pilihan bahagian. Proses ini perlu dilaksanakan pada masa sekarang bukannya ketika menjelang hari penamaan calon. UMNO perlu menetapkan calonnya, dan harus memilih bukan sahaja berasaskan kelulusan akademik, ia perlu mengambil kira kemahiran komunikasi dan hubungan interpersonal dengan pengundi. Inilah sepatutnya UMNO lakukan sekarang kalau mahu menang PRU ke-14.

Perspektif politik Kelantan berbeza kerana psikologi aktivisnya yang sentiasa segar dengan semangat “bertewah” dan mereka ini begitu kreatif untuk “cah keting”. Dalam situasi sebenarnya, sabotaj mereka lebih besar kerana “daripada tak dapat” lebih baik “sama-sama saja (melepas)”. Itulah sebabnya, jika ditinjau daripada perspektif yang lain, kekuatan PAS sebenarnya tidaklah membuktikan kelebihan, kerana UMNO sendiri “tidak mahu menang.”

Membangunkan solidariti dalam kalangan pemimpin dan penyokong UMNO bukanlah mudah apatah lagi budaya politik pemimpin tempatan masih bersifat sebagai penaung kepada ahli-ahlinya. Mereka bukan sahaja sudah lama mendekati akar umbi dan tumbuh bersamanya, tetapi sudah mempunyai “jiwa wakil rakyat” dan bersedia untuk dipilih. Apabila digugurkan, bukan sahaja menyebabkan kecewa dan merasakan pengorbanan selama ini tidak dihargai.

Pemimpin UMNO perlu mengelakkan diri daripada menjadi “broker projek” kerana selama ini mereka mempunyai hubungan yang kuat dengan projek-projek tertentu. Disebabkan dana pembangunan kerajaan Persekutuan dikawal selia oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan, mereka lebih dilihat mempunyai peluang berbanding kawalan kerajaan negeri. Situasi ini menyebabkan lebih banyak pemimpin politik UMNO lebih suka Kelantan terus ditadbirkan oleh PAS, kerana UMNO akan lebih menumpukan kepada projek mega yang tidak ramai disertai oleh kontraktor Melayu dan anak tempatan.

Resolusi UMNO Kelantan untuk mendampingi pengundi muda wajar dipuji, tetapi hakikatnya, pengundi muda yang berpendidikan berada di luar Kelantan. Pengundi muda yang ada di Kelantan kebanyakan adalah mereka yang bekerja sendiri, yang sebahagiannya masih mencari peluang pekerjaan di Kelantan. Di sinilah UMNO perlukan penjanaan ekonomi yang lebih besar, bukannya projek raksaksa yang besar termasuk membina bangunan-bangunan ikonik.

Kota Bahru sudah dilihat kurang mampu untuk menampung lebih banyak pembangunan, maka kawasan-kawasan lain perlu dijadikan pusat pertumbuhan ekonomi, dan Datuk Mustapa Mohamed sebagai pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan tidak mengehadkannya di kawasan Jeli. Bachok juga mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai kawasan pembangunan pesisir pantai, dengan menggerakkan lebih banyak industri kecil dan sederhana, termasuklah ekonomi berasaskan produk laut. Tidak hanya tertumpu kepada pembangunan sektor minyak dan gas, kerana bahan tersebut semakin menunjukkan kelemahannya sebagai penentu pendapatan yang besar.

Kelantan mempunyai sumber biomass yang banyak, tetapi kelebihan itu belum dibangunkan sepenuhnya. Sektor pertanian di Kelantan, perlukan kepada kelebihan memproses produk hiliran, bukan sekadar menjual hasilnya sahaja. Terbukti, ramai jutawan daripada Kelantan berjaya di luar Kelantan kerana menghasilkan produk berasaskan herba, namun, pengilangan produk herba di Kelantan masih berkurangan sedangkan tanaman tersebut boleh didapati dengan mudah.

Jika sektor biomass dan bioperubatan boleh dibangunkan secara komersial di Kelantan, dengan sokongan kerajaan Persekutuan, lebih ramai rakyat Kelantan akan kembali untuk menyumbang dan menjadi pengundi BN. Sayangnya, sebahagian besar anak-anak Kelantan yang berpendidikan tidak berpeluang untuk menabur bakti di negeri kelahirannya, disebabkan Kelantan sentiasa bergelumang dengan isu-isu kemiskinan dan ketumpulan tindakan pemimpin politik.

Ahli politik semakin bersifat retorik, setiap tahun akan diulangi resolusi yang sama dan diberikan nafas baharu. Itulah yang mungkin boleh dijadikan asas kepada UMNO, sekiranya tidak mampu menang dalam PRU ke-14, psikik politik wajar dinilai semula dengan secara bijaksana. UMNO perlukan kepimpinan politik yang lebih besar dan berani, di mana setiap tindakannya bukan sekadar “di bawah tempurung” dan hendaklah melangkaui batasan sempadan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Proses kesejagatan perlu ada, bukannya mahu bertahan dan dilihat jaguh di halaman sendiri. Seorang pemimpin yang berwibawa dan berjiwa kental sanggup bertindak dan menyumbang di luar kawasannya. Ketika ini, cirri-ciri pemimpin sedemikian masih belum muncul, kerana masing-masing sibuk membina kubu sendiri. Bagaimanapun, sebahagian kubu semakin mengalami kereputan kerana bahan yang digunakan semakin “dawah” dan kehilangan unsur-unsur perekatnya.

UMNO boleh menang, syaratnya UMNO sendiri membuktikan kebolehannya meyakinkan pengundi, boleh bekerja dalam satu pasukan yang kuat dan tidak melihat kedudukannya begitu eksklusif. Seorang pemimpin, bukan sahaja mudah didampingi, tetapi sentiasa hadir dalam jiwa masyarakat, bukannya tenggelam selepas pilihan raya dan muncul ketika menjelang pilihan raya. Seorang pemimpin hebat sentiasa mengambil tahu masalah rakyat dan berusaha mengatasinya, bukan berusaha mengelak daripada tanggungjawab sebagai “hamba rakyat yang sedia berkhidmat untuk rakyat.” Budaya inilah sebenarnya resepi kejayaan mana-mana pemimpin, dan UMNO yang mahukan kemenangan di Kelantan mestilah sanggup melakukannya, bukan sekadar berkata-kata “perjuangan demi rakyat dan membela rakyat”.

Tujuh resolusi terbaharu perlukan tindakan, bukan hanya dokumen dan angan-angan. Ingatlah, resolusi tanpa tindakan akan “membunuh impian” dan harapan besar kerana ia dicetuskan hasil pemikiran dan persetujuan mereka yang mengambil bahagian dalam Konvensyen UMNO Kelantan yang berlangsung pada 16 Oktober 2016, iaitu setahun selepas Datuk Mustapa Mohamed yakin UMNO berjaya merampas Kelantan dalam PRU ke-14 nanti.

Potensi untuk UMNO berkuasa tetap ada; PAS semakin kehilangan arah kepimpinan tetapi UMNO perlulah meresap masuk ke dalam jiwa pengundi dengan menepis pelbagai kemungkaran yang dikaitkan dengan para pemimpinnya. Jika itu mampu dilaksanakan oleh UMNO, Kelantan boleh dimenangi oleh BN dalam PRU ke-14 nanti.

 

Oleh Monosin Sobri

Tags: ,

1 Comment
  1. Reply mohd khairi wan ali October 19, 2016 at 5:29 pm

    Peluang nak menang tu ada sokmo, macam puok cah keting la, ada sokmo. Bagi rakyat itu semua tak penting, yang mereka pentingkan ialah adakah Tok Pa kan jadi MB? Kalau ni pun tak pasti, orang ramai, puok atas pagar, akan tengok2 je.

Leave a reply