Mampukah UMNO tewaskan PAS di Kelantan?

Menu utama ‘cakap-cakap politik’ sambil menikmati jamuan hari raya pada tahun ini ialah ‘mampukah UMNO tewaskan PAS di Kelantan’ selepas kempunan besar sejak Pilihan Raya Umum ke-11 (2004). Keputusan Pilihan Raya Umum ke-11, kedudukan PAS ibarat ‘telur dihujung tanduk’ apabila hanya mempunyai kelebihan tiga kerusi DUN, yang disifatkan ‘mudah terlingkup’ sekiranya tiga wakil rakyat ‘berpaling tadah’.

Ia tidak menjadi. Sebaliknya, Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan ketika itu, Datuk Mustapha Mohamed disebut-sebut bakal dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan. Ketika itu juga, menurut laporan dan ‘cakap-cakap politik’ Datuk Mustapha Mohamed telahpun bersedia untuk mengambil tanggungjawab tersebut di mana Perdana Menteri, telah pun menyerahkan surat kuasa sebagai ‘stand-by’.

Sejak ‘kemenangan besar UMNO’ yang menjadi legasi Pak Lah (PRU 2004), Husam Musa bersama Syed Azidi Syed Abdul Aziz (dikenali dengan nama pena Kickdefella) menyusun pelbagai strategi ‘menyerang’. Husam yang berperanan sebagai perancang ekonomi Kelantan memaksimumkan kepakaran ‘herotan penulisan’ Kickdefella sehingga menampakkan sisi ‘negatif’ Pak Lah secara bertubi-tubi. Akhirnya, UMNO berhadapan dengan situasi yang lebih lemah dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (2008) dan pada tahun 2009, Pak Lah meletakkan jawatan akibat ‘hilang dalam transisi’.

Pilihan Raya Umum ke-13, meskipun UMNO mengalami peningkatan jumlah kerusi Parlimen, keputusan DUN Kelantan masih belum membawa kejayaan untuk menukarkan kerajaan walaupun banyak ‘pembangunan’ telah dilaksanakan. Kelemahan ketara  dalam kepimpinan UMNO Kelantan ialah ‘solidariti’ pemimpin dan kesanggupan mereka untuk tidak hanya ‘mempertahankan kubu masing-masing’. Pemimpin UMNO Kelantan hanyalah menyusun tindakan dalam kawasan masing-masing manakala kawasan-kawasan yang dianggap sebagai kubu PAS tidak banyak disentuh.

Senario yang sama masih berlaku menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (yang sekarang disifatkan ‘around the corner’) dan masyarakat masih memperkatakan bahawa UMNO sebenarnya masih belum menemui formula terbaik untuk menewaskan PAS. PAS walaupun mengalami perpecahan dalaman dan ketiadaan pemimpin yang ‘berwibawa’ dilihat masih kental di Kelantan, sekurang-kurangnya untuk tempoh sepenggal lagi.

PAS dilihat ‘penuh berhati-hati’ untuk menyerang UMNO kerana dalam ‘masa kecedaraan’ ini tidak boleh bertindak secara gasar dan terburu-buru. PAS mempunyai pengundi tegarnya yang tersendiri, manakala penyokong UMNO sedikit sebanyak mulai condong untuk menukar arah sama ada membantu PAN ataupun PPBM.

Beberapa orang veteran politik UMNO secara diam-diam mula menunjukkan simpati kepada PPBM apabila Tun Dr Mahathir berusaha memujuk mereka. Bahkan, salah seorang bekas calon UMNO secara terbuka menyatakan telah dilamar untuk bertanding atas tiket PPBM oleh Dr Mahathir. Seorang lagi bekas penjawat awam yang kecewa di atas sikap pemimpin UMNO peringkat Bahagian mula mengisytiharkan prinsip perjuangannya untuk menyokong PPBM dan bersedia bertanding dalam PRU ke-14 menentang UMNO.

Selepas perpecahan UMNO pada tahun 1988, perebutan jawatan dalam parti dan pengharaman UMNO, menjadi punca kekalahan dalam Pilihan Raya Umum 1990 di mana Kelantan membentuk pentadbiran politik menerusi Angkatan Perpaduan Ummah (PAS dan Semangat 46). Dengan mengambil kira tarikh tersebut, kini PAS mendominasi politik Kelantan (selepas UMNO Baru tewas 1990) selama 27 tahun dengan berketuakan Datuk Nik Aziz Nik Mat selama 23 tahun (22 Oktober 1990 – 6 Mei 2013) .

Hampir sepenggal Datuk Ahmad Yaakob menerajui Kelantan sebagai Menteri Besar. Tetapi Kelantan masih ketandusan ‘perancang ekonomi’ sejak Husam Musa disingkirkan sebagai barisan EXCO, belum mampu merancang projek pembangunan untuk rakyat Kelantan. Kelantan sedang mewarisi ‘liabiliti ekonomi’ hasil muslihat Ladang Rakyat, Lembah Sireh dan ‘minyak atas darat’ seolah-olah sedang menyiksa batinnya dengan hanya berusaha mengemaskinikan dilemma rakyat dan politiknya.

Kini, Kelantan dilanda kontroversi Kredit Karbon yang pada andaian Husam Musa pemberian tanah hutan dara  sejumlah 1 juta ekar kepada syarikat pengendali Kredit Karbon saperti ‘skim pelaburan cepat kaya’ yang akhirnya merugikan kerajaan negeri. Kenyataan Datuk Takiyudin Hassan mengenai perjanjian tersebut masih tidak dapat menghapuskan keraguan ke atas konsesi hutan dara yang mempunyai hasil balak. Sebelum itu, kerajaan Kelantan pimpinan PAS terpaksa bergelut dengan tuntutan ‘tanah adat’ oleh masyarakat Orang Asal di Gua Musang.

Kekalahan anak lelaki harapan arwah Almarhum Nik Aziz dalam pemilihan PAS Bahagian Pengakalan Chepa menyebabkan Nik Abduh mengambil keputusan tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda PAS. Ada laporan melihat kekalahan itu berpunca daripada sikap mesra Nik Abduh terhadap UMNO, yang pada anggapan ahli PAS Pengkalan Chepa tidak menepati perjuangan akar umbi.

Akar umbi masih ‘tertekan’ dengan ‘ancaman’ bahawa musuh sebenar PAS ialah UMNO, yang didakwa ‘sentiasa mendera PAS’ apabila tidak membayar royalti minyak kepada kerajaan negeri. Sebaliknya, peruntukan disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan, yang dipengerusikan oleh Datuk Mustapha Mohamed, Pengerusi UMNO Kelantan.

Ertinya, peruntukan yang disalurkan oleh JPP dikawalselia oleh UMNO. Formula ini pernah dilakukan di Terengganu (2000-2004) apabila PAS memerintah. Ia dikembalikan dalam bentuk royalti kepada kerajaan negeri apabila UMNO menang Pilihan Raya Umum 2004, yang memotivasikan kepimpinan negeri untuk memulakan idealisme “Tamadun Baru Bermula di sini” sehingga negeri tersebut dilihat terlalu banyak projek dilaksanakan dalam tempoh yang singkat –Taman Tamadun Islam, Stadium Gong Badak, pembesaran lapangan terbang sebagai hab penerbangan bagi Pantai Timur, penubuhan Universiti Darul Iman, menaik taraf KUSZA kepada UniZa dan KUSTEM kepada Universiti Malaysia Terengganu, bandar pesisir pantai, Taman Ilmu dan sebagainya—masih tidak mampu untuk menjadikan Terengganu kubu kuat UMNO. Meskipun UMNO berkuasa, kedudukan kerusi DUN turut ‘tidak kuat’ kerana UMNO terus bergolak dari dalam.

Secara luarannya, PAN menginginkan kemenangan untuk memerintah Kelantan menerusi kepimpinan Husam Musa yang menentang arus kepimpinan PAS ekoran ‘penyingkiran’ daripada pelantikan jawatan EXCO walaupun menang kerusi DUN Salor. Ketika Kelantan dilanda ‘bah kuning’, Husam yang masih bersama PAS dilihat lebih baik daripada Menteri Besar sendiri dalam menemui mangsa banjir atas lakonan istimewanya, kini tidak lagi dilihat berpengaruh besar, kecualilah dalam kumpulan tertentu yang tidak berminat dengan idealisme kepimpinan ulamak.

Husam terus mengkritik kepimpinan PAS Kelantan. Terbaru Husam mengkritik pengurusan perjawatan guru-guru Yayasan Islam Kelantan yang tidak mempunyai peluang kenaikan pangkat dan sebahagiannya masih tidak diserapkan ke jawatan tetap. Akhirnya, guru-guru yang berpengalaman dan dedikasi membuat keputusan menyertai Kementerian Pendidikan Malaysia yang menawarkan kaedah perjawatan yang lebih baik, termasuk proses kenaikan pangkat yang lebih terjamin.

Husam menyertai PAN hampir setahun lalu. Husam hanya mampu mengajak ahli-ahli PAS yang kecewa dengan kekalahan kumpulan liberal dalam parti namun, setakat ini tidak mampu mengheret sama penyokong UMNO. PPBM secara ‘atas permukaan’ tidaklah begitu menyerlah, hanya didokongi oleh ahli-ahli UMNO yang kecewa akibat pembabitannya dalam parti tidak mendapat ruang apabila UMNO lebih cenderung memilih calon-calon tertentu untuk bertanding, termasuklah calon luaran seperti sedang berlaku di Pasir Puteh.

Sekurang-kurangnya percaturan terbaharu ini telah menggelonsorkan minat dalam kalangan UMNO yang sekian lama aktif dalam bahagian untuk meninggalkan parti. Kegelisahan itu diisi oleh Dr Mahathir dengan menemui mereka yang kecewa dan menawarkan kemungkinan dipilih sebagai calon mewakili Pakatan Harapan untuk melumpuhkan sokongan UMNO. Pakatan Harapan, walaupun diterajui oleh Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim (secara remote control dari Penjara Sungai Buloh) masih disangsikan oleh orang Melayu atas alasan ‘big dog’ adalah DAP, yang dalam kekuatan pengaruhnya adalah lebih dominan sama ada di peringkat Parlimen mahun Dewan Undangan Negeri.

DAP menguasai Pulau Pinang dan menjadi pencatur utama dalam pentadbiran Selangor yang diterajui oleh PKR. DAP terus ‘mencengkam’ parti-parti yang bersahabat untuk ‘menolak kepimpinan UMNO/BN’ dengan melebarkan sayap Melayunya. Dengan cara bergabung dengan parti-parti yang diterajui pemimpin Melayu, DAP berjaya membina kekuatan dan dominasi politiknya, kerana DAP sedar, selagi orang Melayu menolak cita-citanya untuk memerintah tidak akan berjaya.

Realiti politik DAP yang masih dicurigai oleh orang Melayu tidak memungkinkan PPBM dan PAN menguasai Kelantan. Sebaliknya, pertarungan sebenar di Kelantan adalah antara PAS dan UMNO. Seandainya, UMNO dan PAS bersedia memuktamadkan kerjasama atas kepentingan Melayu-Islam, harapan Pakatan Harapan akan tinggal harapan.

Bagaimanapun, setakat ini UMNO Kelantan belum dilihat begitu teguh penyatuan pemimpinnya, masing-masing kekal dengan tradisi ‘jaga kubu masing-masing’ kerana takut kecundang dalam pemilihan bahagian dan lebih bersedia kalah dalam pilihan raya umum. Pemimpinnya tetap ‘mencari kemenangan’ lain, kerana kemenangan sebagai Ketua Bahagian adalah lebih penting dan dihormati, sekurang-kurangnya boleh melobi projek yang dirancang oleh kerajaan pusat. Inilah ‘wabak penyakit’ yang masih belum dapat dihapuskan dan UMNO hanya cergas bekerja untuk menentukan kawasan Parlimen tertentu menang, terutamanya mengekalkan kemenangan sebelumnya.

Saperti termaktub ‘perjanjian dan persefahaman’, peringkat Parlimen perlukan kemenangan UMNO/BN manakala peringkat DUN, PAS terus menang. Apabila PAS kekal memerintah Kelantan, pemimpin UMNO beroleh ‘keuntungan’ projek, sebaliknya, apabila UMNO/BN menang dan memerintah negeri, pengurusan projek menjadi lebih besar persaingannya.

Inilah sebahagian dilema politik yang turut menjadi ‘cakap-cakap’ ketika menikmati jamuan hari raya yang masih berlangsung dalam bulan Syawal ini. Hakikatnya, reaksi umum masih menunjukkan kepimpinan UMNO/BN Kelantan masih ‘belum boleh menang’ bukan kerana PAS teramat kuat, tetapi kerana UMNO/BN sendiri ‘tidak mahu menang’.

 

Monosin Sobri

 

No Comments

    Leave a reply