MASA DEPAN DUNIA ISLAM

Dua tahun lalu (5 Jun 2017), empat negara Timur Tengah memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar. Arab Saudi memberikan tempoh selama 48 jam kepada diplomat Qatar untuk meninggalkan negaranya. Ia kemudian disusuli UAE dan Bahrain. Warga Qatar yang ada di negara-negara berkenaan diarahkan ‘angkat kaki’ dalam tempoh dua minggu. Peristiwa itu berlaku selepas Presiden Donald J Trump melawat Arab Saudi.

Stesen TV al-Jazeera yang dimiliki oleh Qatar, dan Qatar Airways disekat manakala  penerbangan pesawat negara-negara Teluk tidak dibenarkan menggunakan ruang udara Qatar.  Qatar yang membeli barang makanan daripada beberapa negara Teluk semakin tersinggung dengan tindakan yang diketuai oleh Arab Saudi itu.

Sebagai sebuah negara yang kaya dengan hasil minyak dan sedang berlumba-lumba menjadi sebuah negara moden di Teluk, Qatar  perlu cepat bertindak untuk mengatasinya. Dalam hal itu, Turki sedia membantu.

Krisis negara-negara Arab tidak pernah selesai. Sebab itulah seorang pemikir dan peneliti masalah keummatan dari Indonesia, Prof Dr Ahmad Syafii Maarif sentiasa berpandangan kritis perihal geopolitik yang tidak memungkinkan lahirnya sebuah penyatuan yang hebat.

Buku terbaharu tulisannya diterbitkan (2018) dengan tajuk Krisis Arab dan Masa Depan Dunia Islam menyeruak makna perkelahian dalam negara-negara Arab. Perkelahian itu menyebabkan Islam dipandang tidak baik dan kurang dihormati oleh negara-negara barat. Negara-negara Arab mempunyai ideologinya masing-masing dan kerana itulah sanggup bermusuh sesama sendiri atas kepentingan material dan kuasa.

Buku tersebut merupakan kumpulan esei, catatan dan pemikiran  Ahmad Syafii Maarif  diterbitkan ketika usianya mencecah 83 tahun. Esei-esei yang dikumpulkan itu cukup menarik untuk  kita memahami apa sebenarnya yang berlaku di Timur Tengah.

Sebahagian dari perjalanan sejarahnya turut mempengaruhi Malaysia dan Indonesia. Dalam konteks pengaruh itu, Ahmad Syafii menamakannya sebagai arabisme. Ia berbeza dengan Islamisme. Akibat giat mencontohi budaya Arab, banyak umat Islam seperti dilanda misguided arabisme, sehingga melihat Arabisme itu menyamai Islam.

Selepas dikeronyokkan oleh Amerika Syarikat akibat insiden Pusat Dagangan Dunia (World Trade Center), negara-negara Arab dan Afrika Utara menjadi sasaran percaturan ‘pertembungan peradaban’ atas alasan ‘memerangi keganasan’.

Bush Jr yang mengecewakan dunia Islam dengan tindakan ‘suka berperang’ itu menjadi lebih tidak berperikemanusiaan, menuduh Iran dan Irak menaja aktiviti keganasan (al-Qaeda pimpinan Osama Laden). Selepas menuduh Iran dan Irak sebagai ‘paksi setan’, Bush bertindak lebih keras dengan melakukan perburuan membunuh Osama dan Al-Qaeda.

Misi perburuan itu dimulai dengan menjarah Iraq di mana Saddam Hussein dilihat sebagai pemimpin yang sangat berpengaruh di Timur Tengah sedangkan hakikatnya, Bush sedang giat untuk ‘membalas budi’ pengusaha-pengusaha minyak yang membantu kemenangannya sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke 43.

Negara-negara Arab dan Afrika Utara memiliki simpanan minyak yang besar selepas Arab Saudi. Arab Saudi sudah lama berada dalam ‘naungan Amerika Syarikat’ begitu juga Mesir.

Irak sejak pemerintahan Saddam Hussein, tidak mesra dengan Amerika Syarikat bahkah pernah mencetuskan peperangan dengan Kuwait yang dilindungi Amerika Syarikat. (Sejarah perlakuan politik itu dapat dibaca dalam buku, Riza Shihbudi, Menyandera Timur Tengah, 2007 )

sandera timur tengah

Iran begitu juga.Selepas terkuburnya monarki Redza Pahlavi, Amerika Syarikat tidak lagi menjadi ‘penaung politik’ dan dikenakan sekatan ekonomi. Tapi, Revolusi Islam terus berkembang dan berpengaruh sehingga berjaya mengeksport ideologi politiknya ke serata pelosok dunia Islam.

Iran dan Irak telah dilihat sebagai ancaman besar kepada kipatalisme Barat dan bakal mempengaruhi proses damai dengan Israel. Israel mula mencari jalan untuk menghancurkan dua negara berkenaan, maka maklumat-maklumat perisikan dikongsikan dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Akhirnya, Amerika Syarikat percaya bahawa Al-Qaeda adalah kumpulan militan yang sedang menggugat dan menjadi penghalang proses damai yang melibatkan Israel-Palestin.

Iran dan Irak merupakan dua buah negara yang konsisten menolak pembentukan negara Israel manakala Mesir dan Arab Saudi, masing-masing mula mengendurkan penentangannya disebabkan berhutang budi dengan peranan Amerika Syarikat. Mesir mendapat bantuan kewangan dari Amerika Syarikat manakala Arab Saudi mendapat perlindungan politik melalui hubungan istimewa (rahsia) antara keluarga Bush dan Saudi. (Graig Ungher, House of Bush, House of Saud, 2007).

HOUSE

Negara-negara Arab dan Afrika Utara semakin cenderung kepada sekterianisme. Pertikaian antara sekte inilah menyebabkan dunia Arab sentiasa berada dalam ‘limbo krisis’. Selepas selesai menjajahan Irak, Amerika Syarikat mengancam Iran dengan isu pengupayaan nuklear untuk dijadikan senjata.  Dunia Arab dan Afrika Utara terus dilanda ketegangan baharu,  Arab Spring di akhir tahun 2010.

Arab Spring telah menyebabkan tersingkirnya pemerintahan Zine Abidin ben Ali (Tunisia), Muammar Gadafi (Libya), Hosni Mubarak (Mesir) dan masih berlanjutan hingga kini menentang Hafiz al-Assad (Syria), Recep Tayyib Erdogan (Turki).

Yemen turut mengalami ketidakstabilan politik walaupun pemimpinnya Ali Abdullah Salleh telah menyerahkan kuasa kepada Abdurabuh Mansor Hadi.

Keadaan tidak stabil itulah menyebabkan muncul kumpulan pemberontak Houthi semakin berusaha untuk melibatkan peperangan yang lebih besar. Arab Saudi bimbang dengan situasi tersebut, akhirnya menubuhkan ketumbukan tentera untuk menyekat kemaraan pemberontak Houthi.

Jeneral Abdul Fatah al-Sisi yang didokong oleh Amerika Syarikat merampas kuasa dari Dr Mohamad Morsi. Morsi menang pilihan raya presiden Mesir selepas Hosni Mubarak disingkirkan, menjadikan pengaruh tentera kembali menguasai politik negara yang pernah diberikan penghargaan di atas kesudiannya mengawal aktiviti rakyat Palestin menerusi perjanjian yang diusahakan oleh Amerika Syarikat. (Hadiah Nobel Keamanan (1979) kepada Anwar Sadat dan Menachin Begin kerana bersetuju menandatangani Perjanjian Kem David pada tahun 1978).

Mesir didakwa pro Israel dan Israel menggunakan Amerika Syarikat untuk menekan Mesir, dengan ancaman menghentikan bantuan sekiranya menunjukkan sokongan kepada Palestin. Morsi berhadapan dengan masalah kewangan semasa menguruskan Mesir dan gerakan Ikhwanul Muslimin yang memenangi pilihan raya tersebut mempunyai sikap yang kritikal terhadap Israel.

Situasi itu menyebabkan Amerika Syarikat mencari helah lain untuk melenyapkan pengaruh Ikhawanul Muslim dan menyingkirkan Morsi. Abdul Fatah al-Sisi ketika itu adalah Menteri Pertahanan Mesir, secara rahsianya menjadi harapan Amerika Syarikat untuk menamatkan penguasaan pemerintahan awam pertama di Mesir dengan mengarahkan penyingkiran Morsi.

Barat memang tidak ingin melihat berkembangnya politik Islam dan sentiasa berusaha memaparkan imej buruk mengenai Islam. Fenomena tersebut dikupas dengan menarik dan penuh minat oleh Ahmad Syafii Maarif, yang dilihatnya sebagai krisis moral yang sedang melanda negara-negara Arab dan dunia Islam.

Pemimpin-pemimpin negara Islam semakin tidak mempedulikan nasib rakyat, da nada kecenderungan di antaranya mula membina kehidupan mewah di beberapa buah negara luar, terutama Eropah. Dengan mengambil contoh krisis Syria, Ahmad Syafii menjelaskan Bashar al-Assad tidak lagi mempedulikan rakyatnya, peperangan tidak pernah berhenti dan masing-masing dengan pendiriannya sehingga menyebabkan jutaan rakyat Syria menjadi pelarian. Pemberontak dan tentera pemerintah saling menghancurkan sehingga dikatakan tidak ada lagu bandar yang selamat didiami.

Dalam kesibukan berperang inilah Amerika Syarikat dan Rusia memperluaskan pengaruhnya, Rusia menyokong rejim Bashar manakala Amerika Syarikat membantu membekalkan senjata dan kewangan kepada kumpulan pemberontak. Ia mungkin seumpama ingin mengulangi episod yang melahirkan Perang Dingin, walaupun pesekitarannya adalah terhad di Timur Tengah.

Sikap beberapa negara Arab yang kaya dengan hasil minyak juga dilihat menyepi dalam usahanya untuk menangani krisis politik di Syria.

Negara-negara tersebut bukan sahaja tidak mendesak Bashar agar menamatkan perang saudara, bahkan tidak membantu untuk memberikan perlindungan kepada pelarian Syria.

Hanya Turki dan Lebanon menampakkan simpati mereka terhadap pelarian Syria selain Bahrain yang menurut Ahmad Syafii mengambil sekitar 5000 orang

Apa yang berlaku di Timur Tengah, menurut Ahmad Syafii sudah pun berlaku sejak zaman awal Islam, iaitu selepas wafatnya Nabi Muhammad SAW.

Politik sekteranisme atau berpihak kepada fraksi masing-masing sudah pun muncul dalam Islam sehingga terjadinya konflik Sunni-Syiah. Selepas munculnya politik Islam berbentuk empayar, ia semakin dilanjutkan oleh para pemimpin mereka walaupun mereka memanggilnya sebagai khalifah.

Sistem kuasa bertukar menjadi autokrtatik dan monarki. Ia dimulai oleh Muawiyah bin Abi Sufyan dengan melantik anaknya sebagai khalifah sebagai penggantinya.

Sebab itu, Ahmad Syafii cuba menyoroti sejarah untuk memberikan solusi terbaik agar politik Islam boleh berubah dan mengukir masa hadapan dengan lebih baik menerusi pemuafakatan dan penyatuan yang diungkapkan oleh al-Qur’an bahawa umat Islam adalah bersaudara.

Sebagai umat yang bersaudara, tolong menolong dan saling bekerjasama, tolak ansur adalah penting selagi ia tidak melanggar akidah. Umat Islam perlu meletakkan keutamaan menjaga dan mensejahterakan sesama sendiri daripada kepentingan material dan perebutan kuasa.

Sorotan peristiwa dan konflik dalam kalangan negara-negara Islam sedemikianlah menjadikan Ahamd Syafii Maarif merasa sedih. Hampir semua elit politik mempertahankan konflik atas kepentingan tertentu.

Dan, ini turut mengingatkan saya tentang konflik politik yang sedang berlaku di Malaysia. Akibat konflik kuasa, berlaku saling tuduh menuduh, memperlekehkan sumbangan pemimpin-pemimpin terdahulu dengan menamakan bahawa puncanya adalah ‘kerajaan terdahulu’ atau ‘pemimpin terdahulu’. Harga komoditi jatuh kerana ‘salah orang itu’; nilai ringgit merosot, kerana ‘kerajaan lama’; pengangguran sebab ‘orang itu’, sedangkan penuduh itulah yang sedang berkuasa. Sindrom menyalahkan orang lain di atas kegagalan sendiri.

Sekiranya negara-negara Islam tidak mengamalkan sindrom menuding jari, mereka sepatutnya bersatu hati untuk mendesak Bashar al-Assad menamatkan segera perang saudara. Rakyatnya yang menjadi pelarian dibawa balik dan diberikan peluang untuk kembali menyumbang untuk kemakmuran Syria.

Negara-negara Arab yang lain tidak wajar mengutuk Iran yang berada di belakang Bashar, kerana Bashar sebenarnya mempertahankan kedudukannya sebagai pemerintah yang sah.

Iran turut berperanan memusnahkan ISIS dan kaum pemberontak. Siapa pun yang memerintah, tidak wajar diperlekehkan kerana alasan sekterian, Assad dengan Baathismenya dan Iran dengan Syiahnya.

Sekteranianisme inilah yang menjadi senjata ampuh barat untuk mengkhianati Islam. Dengan propaganda buruknya, Barat dapat menguasai negara-negara Islam tanpa perlu membabitkan diri secara terbuka dengan peperangan, hanya menerusi sokongan dari orang dalam.

Bagi Ahmad Syafii, umat Islam sepatutnya melihat permasalahan tersebut dengan sudut pandangan yang lebih jelas dan menolak asas-asas yang boleh menguntungkan musuh-musuh Islam, yakni Israel.

Umat Islam wajib meluruskan perspektif dan pemikiran mereka untuk menolak apa sahaja asas yang boleh menyebabkan konflik sesama sendiri, termasuklah hal-hal yang remeh dan mengarut.

Dengan jumlah populasi 1.6 bilion, umat Islam yang dilaporkan meningkat lebih besar daripada mana-mana pemeluk agama lain, dalam tempoh kurang 50 tahun lagi bakal menandingi penganut Kristian, menyebabkan lebih banyak terobosan moral terpaksa dihadapi.

Penganut Kristian tidak akan membiarkan umat Islam mengatasi mereka, maka tindakan yang mereka akan terus lakukan ialah menggalakkan konflik antara umat Islam dan menghancurkan peradaban moral.

Umat Islam akan terus dilihat sebagai ‘gelembong buih’ dan amat mudah diperkotakkatikkan. Media sosial misalnya sudah menunjukkan keburukannya, mencetuskan Arab Spring dan meningkatkan rasa marah rakyat kepada pemerintah. Ertinya, walaupun umat Islam adalah umat yang terbaik di sisi Allah SWT, sikap dan tindakan umat Islam sendiri semakin buruk kerana mengetepikan bingkai moral dalam menentukan kehidupan harian. Inilah yang cuba dibahas secara menarik dan mendalam oleh Ahmad Syafii Maarif dalam kumpulan 25 esei ini yang dicerakinkan menerusi 5 bahagian: Belenggu Masa Lalu; Pertemuan di Batas-Batas Agama, Politik dan Kekuasaan; Problematika Internal Umat, Mau Dibawa Ke mana Umat Islam?; Narsisisme Agama dan Politik; dan Kemiskinan Spritual Kefakiran Akal Sehat.

Ahmad Syafii menyarankan agar umat Islam wajib kembali kepada semangat al-Qur’an sekiranya tidak ingin diperkotak-katikkan. Seruan penyatuan hendaklah menjadi kerangka yang mendasar dan mengambil pengajaran daripada hasil daripada pengalaman sejarah agar tidak menjadi pembunuh masa depan.  Pertikaian wajib diselesaikan segera.

Timur Tengah sekarang harus digantikan dengan rejim  meletakkan moral dan penyatuan umat Islam dan elit politik yang kemabukan kuasa wajar ditamatkan.

Menariknya apabila di perenggan terakhir esei ‘Buta Di sini, Buta Di sana’, Ahmad Syafii Maarif mengagaskan:

  “…agar ‘tidak buta di sini dan buta di sana’, bangunan keislaman dan keimanan kita perlu dikoreksi dan dipertanyakan kembali, apakah sudah benar dan autentik diukur dengan benang merah al-Qur’an dan misi kenabian? Dan, sentana sia-sia keikhlasan dalam beragama masih terpelihara dalam diri kita, mestinya mengapa sulit amat mengikat kembali ‘dedaunan yang berserakan?’(ungkapan Muhammad Iqbal).(hal. 195)

Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply