MASA DEPAN HUBUNGAN ISLAM-YAHUDI

Dimana-mana belahan dunia sekarang ini kita dapat saksikan pembunuhan demi pembunuhan berlaku antara sesama islam dan  juga bukan islam. Ini menggambarkan betapa tegang situasi dunia hari ini dengan aksi kekerasan dan pembunuhan atas nama agama.Keadaan hubungan Islam dengan Yahudi sentasa tegang.

Mungkin kerana meluasnya tindakan kekerasan yang dilakukan oleh mereka yang menamakan dirinya orang yang memegang teguh ajaran agama, beberapa pakar kemudian menganalisis hubungan antara agama sebagai sesuatu yang diliputi oleh kekerasan.

Fenomena ini mengimbau umat Islam dan Yahudi untuk berfikir bahawa mereka harus mampu untuk hidup bersama di masa akan datang, bukan hanya dalam keadaan aman tetapi juga dalam kerjasama yang positif.

Dari segi agama, tingginya kedudukan yang diberikan al-Quran kepada Nabi Ibrahim, Musa a.s. dan nabi-nabi lainnya dari kalangan Yahudi boleh menjadi asas yang memadai untuk saling memahami, hormat dan bekerjasama. Kerjasama dan sikap saling menghormati antara agama Abrahamik itu dianjurkan oleh al-Quran sebagaimana dinyatakan ; “wahai ahli kitab, marilah kita menuju satu titik persamaan di antara kita.”Adalah tugas kita sebagai sebuah komuniti kaum beriman untuk menciptakan syurga di bumi dengan mewujudkan hubungan yang harmoni dan saling hormat-menghormati satu sama lain.

Sejarah pernah mencatat hubungan harmoni ketiga-tiga agama iaitu Islam, Yahudi dan Kristian ketika kecemerlangan “Andalusia” Sepanyol Islam. Sebenarnya kejayaan Sepanyol Islam adalah kejayaan Sepanyol tiga agama. Yang berkuasa adalah Islam tetapi mereka bekerjasama dan menyokong pola-pola kebudayaan Sepanyol Islam dengan hak yang sama.

Sejak awal sejarah Islam, hubungan sosial budaya antara Yahudi dengan Islam dapat dikatakan cukup baik. Rosaknya hubungan mereka hampir sepenuhnya disebabkan politik, apabila terusirnya semua kaum Yahudi dari wilayah Madinah yang dikuasai Islam. Ketika kekuasaan Islam berjaya di zaman pertengahan, hubungan mereka bukan hanya baik, malahan menghasilkan banyak kerjasama positif di bidang kebudayaan.

Rosaknya hubungan Islam-Yahudi disebabkan faktor politik yang berkaitan dengan pembentukan Negara Israel dan daerah-daerah penduduk Tebing Barat dan Gaza. Keadaan ini mendapat tindak balas dengan munculnya fundamentalisme Islam, yang kemungkinan semakin mempersuram hubungan kedua-dua komuniti itu.

Ketika Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah dari Makkah ke Madinah pada tahun 622 Hijrah, orang Yahudi turut sama menyambut Nabi s.a.w. dengan perhitungan kedatangan mereka akan dapat menjadi faktor penting  dalam membendung sikap agresif golongan Kristian yang telah mengusir mereka dari Palestin.

Dalam Piagam Madinah tercatat kerjasama antara kumpulan Yahudi dan bukan Islam yang lain dan bersepakat bahawa, “Barang siapa dari kalangan Yahudi yang menjadi pengikut kami (Muslim), berhak mendapat pertolongan dan persamaan; tidak menganiaya atau melawan mereka.” Diikrarkan pula, orang Yahudi hendaknya berpegang pada agama mereka pula, termasuk pengikut-pengikut mereka dan diri mereka sendiri, kecuali orang yang melakukan perbauatn aniaya dan derhaka; bahawa orang-orang Yahudi berkewajipan menanggung nafkah mereka sendiri dan kaum Muslim pun berkewajipan menanggung nafkah mereka sendiri. Antara mereka yang harus ada tolong-menolong dalam menghadapi pihak yang hendak menyerang pihak yang mengadakan piagam perjanjian ini.

Mereka hidup aman dan damai di bawah pemerintahan Islam. Nabi s.a.w. ikut berpuasa ketika umat Yahudi berpuasa dan melantik setiausaha dari kalangan Yahudi bagi keperluan hubungan luar negeri.

Bahkan Nabi s.a.w. pernah mempertimbangkan untuk mengguna kan trompet bagi menandakan waktu solat sebagaimana umat Yahudi memakainya bagi keperluan yang serupa. Namun Nabi tidak menyukai bunyi trompet itu, lalu ia membatalkannya dan menerima usul Umar al-Khatab iaitu azan (sumber lain menyebut bahawa azan adalah daripada perintah wahyu).

Namun apabila pengaruh Nabi s.a.w. dan pengikutnya semakin kuat, para pembesar Yahudi mula mengabaikan perjanjian damai itu. Mereka mula melancarkan serangan teologi terhadap Nabi s.a.w. dengan banyak bertanya dan mempersoalkan hal-hal pokok dalam ajaran Islam seperti mana yang dirakamkan dalam sejumlah ayat al-Quran (lihat surah al-Maidah ayat 41 – 42, juga ayat 64). Serangan teologi itu dilayani dengan  pertahanan teologi pula oleh Nabi s.a.w.

Melihat kekuasaan Islam yang semakin berkembang, orang Yahudi mula mengalih serangan teologinya ke kancah politik yang ada pada pendapat mereka boleh menghancurkan kekuatan politik Islam. Demikian juga apa yang berlaku ke atas Yahudi Bani Qainuqa, Bani Quraizah dan Bani Nazir dengan sikapnya yang berpaling tadah dan batu api, akhirnya Nabi s.a.w. terpaksa bertindak ke atas mereka demi menjaga keutuhan politik umat Islam ketika itu.

Dengan jelas terlihat, pertikaian antara kaum Muslim dan kaum Yahudi disebabkan masalah politik, bukan agama. Meskipun al-Quran sering mengecam pedas penyimpangan agama kaum Yahudi, juga banyak mengingatkan agar mereka berpegang teguh pada apa yang telah diturunkan kepada mereka (Taurat), sebagaimana disepakati dengan Nabi s.a.w. pada awal kedatangan rombongan Muslim di Madinah.

Dengan kata lain, bertolak daripada penegasan al-Quran, kaum Muslim menganggap tidak ada masalah jika umat Yahudi teguh memeluk agama mereka.

Pada masa kekhalifahan Muslim di Baghdad, mereka dihimpun dalam Bayt al-Hikmah- lembaga Ilmu Pengetahuan, antara lain menterjemahkan secara besar-besaran karya-karya berbahasa Yunani Latin, Parsi, Qibti,, Sanskrit dan Syria di bidang kedoktoran, falsafah, sains Barat dan Timur. Melalui perantaraan merekalah, Barat misalnya memperoleh kembali khazanah intelektual Yunani yang hampir lenyap. Ahli falsafah Yahudi, Abu al-Bakarat mencapai puncak kemasyurannya dan memperoleh kedudukan tertinggi di istana, sebelum memeluk Islam.

Umat Islam, Yahudi dan Kristian bersama-sama menghasilkan satu peradaban yang kemudian terbukti sangat mempengaruhi semangat Renaissence Eropah. Ibn Gabirol (abad ke- 11) dan Moses bin Maimon @ Mainonedes (abad ke- 12) mencapai puncak kemasyurannnya. Kedua-dua ahli falsafah Yahudi ini menulis karya dalam bahasa Arab dan pengaruhnya bukan hanya kuat terhadap alam fikiran kaum Yahudi, bahkan falsafah Kristian Barat abad pertengahan. Maimonides akhirnya menetap di Mesir dan menjadi tabib di istana Salahuddin al-Ayubi, dengan tetap menganut agama Yahudi hingga akhir hayat. Dia menolak tawaran Richard The Lion of Heart, musuh utama al-Ayubi untuk pindah ke England. England pada abad ke – 12 memang tidak memungkinkan pengembangan intelektual bagi pemikir sehebat Maimonides.

Surah al-Maidah ayat 48 telah menjelaskan tentang penganjuran agar setiap komuniti bekerjasama dalam melaksanakan hal-hal yang baik bagi kemanusiaan.

Bagaimanakah prospeks hubungan Muslim-Yahudi pada amsa depan? Seperti yang dikemukakan pada awal tulisan ini, rosaknya hubungan mereka pada awal sejarah Islam adalah kerana masalah politik. Namun kecacatan ini tidak sampai menjadi trauma bagi kedua-dua belah pihak kerana terbukti daripada produktifnya kerjasama mereka di bidang kebudayaan pada zaman kegemilangan Islam. Pada masa sesudahnya pun hubungan mereka tetap harmoni. Hubungan mereka hancur dan memasuki dimensi yang sepenuhnya berbeza sejak berdirinya Negara Israel (1948), yang dianggap suatu anakronisme yang ditengah-tengah wilayah Arab dan merupakan gejala imperialisme Barat.

Catatan: Ibnu Majid

No Comments

    Leave a reply