MASALAH PENDEKATAN ANTI-REALIS TERHADAP ISLAM, MELAYU DAN RAJA DALAM PEMBENTUKAN NARATIF NASIONAL MALAYSIA BARU

Ketika ini kita sedang mengalami zaman kehidupan Pascamoden yang mana emosi dan sentimen lebih menguasai intelek dan rasionaliti. Antara ciri penting Pascamoden yang sedang tersebar luas dalam masyarakat ialah idea Pascakebenaran iaitu hakikat sesuatu benda tidak lagi tetap kebenarannya tetapi boleh diubah-ubah mengikut kepentingan individu dan kelompok. Pendekatan Pascakebenaran atau Pascafakta ini juga disebut sebagai pendekatan Anti-Realis iaitu pemahaman yang menafikan hakikat, kebenaran dan fakta yang wujud di luar diri manusia dan menyangka semua hakikat, kebenaran dan fakta itu tidak lain dari apa yang boleh dibina atau “dikonstruksi” dalam akal-pemikiran subjektif mereka semata-mata. Manakala pendekatan Realis berpegang bahawa terdapat kewujudan yang objektif, hakiki, sebenar dan bersifat fakta di luar akal-pemikiran subjektif diri manusia yang tidak boleh dinafikan kewujudannya, kemandiriannya serta ketekalannya dalam kehidupan zaman dan lingkungan semasa dan setempat mereka berada.

Antara perkara yang sedang dipermasalahkan dalam Malaysia Baru ketika ini ialah hakikat, kebenaran dan fakta Islam, Melayu dan Raja dalam sebuah negara moden bernama Malaysia yang lahir dari satu proses evolusi sejarah, geografi, budaya, bahasa dan agama sejak lebih 500-600 yang lalu. Semua negara berdaulat kecil dan besar yang melalui proses evolusi sejarah, geografi, budaya, bahasa dan agama ini berusaha mengekalkan identiti dan tradisi negara mereka disamping terus meneroka ruang dan peluang baru untuk kreativiti dan inovasi. Proses evolusi pembinaan negara yang memakan masa 500-600 tahun ini tidak mungkin boleh diubah semudah-mudah khayalan dan imaginasi kita melainkan kita menginginkan perubahan yang sangat drastik, radikal dan revolusiner! Saya tidak fikir rakyat Malaysia yang waras bersedia untuk membayar kos yang sangat mahal bagi merubah hakikat, kebenaran dan fakta yang telah terbina secara beransur-ansur selama 500-600 tahun semata-mata kerana ada kelompok yang menyangka negara Malaysia hanya berusia 50-60 tahun sahaja.

Inilah yang saya maksudkan dengan pendekatan Anti-Realis dalam mempermasalahkan Islam, Melayu dan Raja dalam Malaysia Baru ketika ini iaitu kemunculan segelintir minoriti vokal atau minoriti dominan yang sedang bersungguh-sungguh mempermasalahkan Islam, Melayu dan Raja di negara ini. Latarbelakang aktivisme dan ideologi sama ada dikalangan Islamis ataupun Sosialis minoriti dominan lagi vokal yang sedang berada dikoridor kuasa kerajaan ini sangat membimbangkan majoriti arus perdana rakyat Malaysia yang menginginkan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara terus dikekalkan seperti sebelum ini. Berbekalkan pengalaman propaganda aktivisme dan ideologi mereka yang idealistik ditambah dengan pendekatan Anti-Realis yang mereka pegang ketika ini, hakikat, kebenaran dan fakta kewujudan, kemandirian dan ketekalan Islam, Melayu dan Raja di Malaysia ini sedang cuba mereka nafikan sedaya-upaya.

Dari kelompok aktivis dan ideolog Islamis dan Sosialis ini juga kita sering mendengar cakap-cakap Naratif Malaysia Baru perlu diungkapkan sebagai Naratif Nasional Era Perubahan yang malangnya sehingga kini tidak pernah diungkap secara jelas dan tuntas apa yang dimaksudkan dengan Naratif Malaysia Baru ini! Kita hanya mendengar disana-sini cakap-cakap diforum pelbagai tentang permasalahan Islam, Melayu dan Raja tanpa mereka berupaya memberikan alternatif yang lebih baik dan disepakati mengenai Naratif Malaysia Baru ini. Golongan Anti-Realis ini sebenarnya tidak menyedari betapa sukarnya untuk manusia secara individu mahupun kelompok yang cuba nenafikan keberadaan hakikat, kebenaran dan fakta Islam, Melayu dan Raja ini kerana Islam, Melayu dan Raja ini bukanlah sekadar ciptaan atau “konstruksi” minda subjektif mereka semata-mata. Islam, Melayu dan Raja ini telah lebih lama wujud dari umur hayat para aktivis dan ideolog Islamis dan Sosialis itu sendiri yang menjadikan Islam, Melayu dan Raja itu sebagai mandiri dan tekal dek kerana daya-tahan, daya-saing dan daya-juang yang dibina dan miliki selama ini.

Oleh kerana kewujudan, kemandirian dan ketekalan Islam, Melayu dan Raja itu jelas sebagai hakikat, kebenaran dan fakta yang tidak boleh dinafikan tentang kedudukan dan peranan mereka dalam pembinaan dan kesinambungan negara Malaysia, maka pendekatan Anti-Realis ini perlulah diubah kepada pendekatan Realis. Islam, Melayu dan Raja bukanlah “konstruksi” minda yang subjektif yang sekadar berusia 50-60 tahun tetapi “evolusi” hakikat yang objektif yang melebihi 500-600 tahun. Daripada kita bersikap “denial” terhadap hakikat Islam, Melayu dan Raja, lebih bijak jika kita bersikap “realistic” malah “pragmatic” dalam mendepani apa yang kita anggap bermasalah atau sememangnya ada masalah tentang Islam, Melayu dan Raja ini. Malah sebarang usaha pembentukan gagasan Naratif Malaysia Baru tanpa Islam, Melayu dan Raja hanyalah angan-angan kosong yang sekadar menepati semangat aktivisme dan khayalan ideologi utopia para Islamis dan Sosialis yang berada dalam dunia sempit mereka semata-mata tanpa berpijak dalam wilayah zaman semasa dan lingkungan setempat.

Perlengahan serta ketidakjelasan bagi pihak Kerajaan pula ketika ini untuk mengemukakan Naratif Malaysia Baru ini membuktikan bahawa suara-suara yang kelihatan vokal dan dominan dari minoriti aktivis dan ideolog Islamis dan Sosialis ini masih tidak pasti apa yang mereka sebenarnya ingin lakukan bagi mengganti Naratif Sedia Ada bagi Negara Malaysia yang mana Islam, Melayu dan Raja ini adalah tonggak bagi keberadaan Negara Berdaulat dan Merdeka. Naratif Nasional Malaysia yang berakar-kuat dari Naratif Nusantara yang mana Islam, Melayu dan Raja itu menjadi teras Negara masih lagi relevan malah akan terus penting sebagai penjamin kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara menghadapi cabaran geo-politik anarki pascaliberalisme yang dimanifestasikan dengan kebangkitan Ketuanan Kulit Putih, Rasisme dan Fasisme di Eropah dan Amerika Syarikat.

Mengapa tidak kita semua menjadi Realis yang praktikal dan pragmatik dalam menghadapi Islam, Melayu dan Raja? Mengapa tidak kita menjadikan negosiasi sebagai wahana penambahbaikan dari berharapkan suatu revolusi akan terjadi dalam sekelip waktu? Sedarkah kita hakikat, kebenaran dan fakta Islam, Melayu dan Raja ini memiliki objektiviti, kekuatan, ketahanan dan keupayaan mereka sendiri bagi menghadapi subjektiviti, imaginasi, utopia yang diidamkan oleh para aktivis dan ideolog dikalangan Islamis dan Sosialis yang minoriti tetapi dominan dan vokal tersebut. Sudah tentu disebabkan Islam, Melayu dan Raja ini terjalin antara hakikat, kebenaran dan fakta yang bersifat sosial atau kemanusiaan pasti wujud kelemahan yang perlu diperbaiki mengenai tafsiran dan amalannya. Golongan yang Realis ialah golongan yang bersikap proaktif mempengaruhi hakikat, kebenaran dan fakta yang wujud dengan menyelami hakikat, kebenaran dan fakta tersebut terlebih dahulu tanpa tergesa-gesa memaksakan perubahan dengan sesuatu yang asing malah bertentangan dengan tapak pembentukan baru Naratif yang mereka inginkan.

Oleh Dr Amran Muhammad
Ketua Eksekutif ISSI

No Comments

    Leave a reply