MASIH ADAKAH LAGI POLITIK ‘SENGAT MENYENGAT’ (I)

KEDENGARANnya seperti diserang tebuan. Paling menyedihkan apabila ada orang Melayu-Islam rasa curiga dan ‘was-was’ dengan penyatuan politik antara PAS dan UMNO. Ada yang meringkaskan dua buah parti Melayu-Islam terbesar dengan singkatan UMPAS. Nasib baik tidak ditokohtambahkan atau dikeronyokkan menjadi “UMPAN’ iaitu UMNO-PAS-BN.

Mereka yang was-was terngiang-ngiang dengan amanat Mursyidul Am PAS yang heboh untuk ‘membuang buah buruk’ yang melanda organ parti ekoran merintis ‘kerajaan perpaduan’ selepas BN kecewa di atas kekalahannya, di Kedah, Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan. PRU ke-12 turut menyaksikan kekecewaan Datuk Mustapha Mohamed untuk dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan walaupun pada tahun 2004 sudah menerima surat daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi ekoran kedudukan PAS umpama ‘telur di hujung tanduk’.

Allahyarham Datuk Nik Aziz amat kecewa dengan percubaan Presiden dan Timbalan Presiden PAS yang membelakangkan beliau mengenai ‘kerajaan perpaduan’. Heboh itu kemudiannya menyebabkan Allahyarham bertindak keras dan memberikan amaran untuk menyemak semula mana-mana calon yang bakal bertanding atas tiket PAS di Kelantan. Nasharudin Mat Isa juga diberitakan tidak lagi diberikan peluang bertanding di Kelantan, maka ia turut mengakibatkan Dr Hatta Ramli, Salehudin Ayub tidak berpeluang mewakili di Kelantan.

Salehudin Ayub diberikan tanggungjawab besar bagi menguruskan ‘jiwa kacau’ yang sedang melanda PAS sehingga salah seorang penyokong parti itu mengharapkan pemimpinnya tidak berlibido (Allahyraham Azizi Haji Abdullah). Cis! Tahi Kucing lebih wangi, tulis penulis yang terkenal dengan novel Orang Tua di Kaki Bukit itu dalam entrinya di http://aziziabdullah.blogspot.com/2009/06/semoga-pemimpin-pas-tidak-berlibido.html.

Wujud pula pelbagai kenyataan yang bersangkutan hubungan PAS dengan BN yang berlaku sebelum disingkirkan pada tahun 1977. Krisis tahun 1977 menyebabkan PAS kehilangan kuasanya di Kelantan, maka penubuhan BN telah dianggap sebagai ‘jerat’ yang memang dipasang untuk membunuh PAS. Beberapa analisis mula dikembangkan, ada yang mengatakan penyingkiran PAS kerana ‘tidak setia’ dan ‘rakus’ memperluaskan pengaruh hingga ke kawasan tanah rancangan, manakala bagi PAS, penyingkiran itu adalah disebabkan ‘ketamakan’ UMNO di Kelantan, yang sengaja ‘memasang niat jahat’.

Mulai tahun 1978, BN kembali berkuasa di Kelantan selepas kecewa kalah seja tahun 1959. Ertinya, ketika gabungan PAS dalam BN, yang diinspirasikan oleh Tragedi 13 Mei 1969, ia berjaya melumpuhkan sebahagai ‘kepercayaan rakyat’ untuk menyokong UMNO/BN. Bagaimanapun, BN tidak kekal lama kerana sengketa dalam menyebabkan UMNO berpecah menerima takdir yang sama dengan perpecahan dalam PAS (HAMIM, Berjasa, AKIN dan kini lahir PAN). UMNO terbelah dua (1988), UMNO (B) dan Parti Melayu Semangat ’46. Angkatan Perpaduan Ummah (APU) berjaya melumpuhkan UMNO/BN pada tahun 1990.

Selepas Semangat ’46 dibubarkan, PAS terus gagah menguasai Kelantan sehinggalah muncul Mustapha Mohamed sebagai pemimpin pelapis yang diharapkan mengembalikan negeri itu kepada BN. Mustapha juga dikecewakan, kerana ketokohannya tidak cukup kuat walaupun dilabelkan sebagai ‘ahli politik birokrat’. Mustapha walaupun dilihat jujur dan kerja kuat, idealisme politiknya kurang menyengat. Sebab itulah beliau gagal menyatukan perjuangan UMNO Kelantan walaupun beberapa kali dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan.

Kini, Mustapha kembali membontot Daim Zainudin yang dianggap sebagai ‘godfather’. Mustapha menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia selepas dipilih semula sebagai Ahli MAjlis Tertinggi. Mustapha dikatakan terpaksa berbuat demikian untuk ‘bergayut di dahan yang lebih selamat’. Namanya turut tersenarai sebagai salah seorang penerima dana 1MDB yang dipertikaikan dan sedang dalam proses perundangan.

Penyatuan UMNO-PAS bukanlah sesuatu yang muncul selepas BN tewas. Ia telah muncul sejak beberapa lama, tetapi ketika itu, Datuk Nik Aziz Nik Mat merupakan antagonis, tetap menentang kerana dirinyalah yang ‘menabur baja, menyiram dan menyuburkan’ semula PAS selepas tertancap sembilu sebaik sahaja disingkirkan daripada BN.

Video yang dirakamkan ketika hayatnya, terus disebarkan secara meluas untuk mengingatkan pendokong setia parti tersebut. Pesannya jelas, PAS tidak sepatutnya bergabung dengan UMNO kerana tidak mahu peristiwa pahit kembali menyiksa.

KAMI sudah masuk BN (Barisan Nasional), rapat dengan UMNO tetapi UMNO tendang kami. Semasa UMNO cemas dalam 13 Mei (1969), dia (UMNO) cari PAS. Bila gemuk sikit, dia gigit betis PAS.

“Kalau nak berunding dengan UMNO, saya tak setuju, terang-terang saya tak setuju, kalau nak berunding dengan individu UMNO, tak apa.” Itu adalah rakaman yang dibuat selepas hebohnya cerita ‘kerajaan perpaduan’, iaitu pada tahun 2008.

Setelah ketiadaan beliau (Nik Aziz), PAS banyak dipandu arah oleh Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang. Hadi juga pernah dihadapkan dengan gerakan ‘Rempuh Hadi’ dan dengan sinis beliau memberitahu, sedia kembali menjadi nelayan dan tidak bertanding lagi. Sinikal itu mendapat simpati meluas, Haji Hadi terus diberikan mandat  mengepalai PAS.

Beberapa orang bekas tokoh PAS cuba menyembunyikan ‘gerun’nya apabila UMNO dan PAS boleh bekerjasama turut berkempen untuk melemahkan idea penyatuan itu kerana khuatir PAN akan mengalami masa depan yang amat gerhana. PAN hanya mempunyai 11 kerusi Parlimen, dan merupakan anggota paling kerdil dalam Pakatan Harapan bukan sahaja gagal dengan perjuangan ideologi politik Islam, bahkan dinilai terlalu mengikut telunjuk dan kemahuan DAP.

Pendirian liberalnya (Mujahid, Mat Sabu, Salehudin Ayub, Zulkifly Ahmad dan Nik Omar yang memimpin YADIM) menyebabkan ‘kegelinciran’ tekad, di mana terbinanya lowongan untuk mengkritik Islam dan institusi yang ada hubungan dengan agama Islam. Liberalisme pemikiran itu menjadi katalis kepada merebaknya penghinaan, sehingga ada di antaranya giat mempersoalkan tentang kemuliaan Nabi Muhammad SAW.

Pendekatan Rahmatal Lil’alamin yang bakal dijadikan garis panduan politik nampaknya tidak banyak menguntungkan umat Islam, bahkan ada pemimpin dalam PH mempersoalkan tentang agihan kutipan zakat, kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam, pemberian peruntukan kerajaan untuk institusi Islam, sekolah-sekolah Tahfiz dan Sekolah Agama, pembangunan masjid dan kini melebar kepada sentimen  Buy Muslim First (BMF), yang kemudiannya diselewengkan maknanya sebagai ‘memboikot produk bukan Islam’.

Salah faham itu ikut memberikan promosi istimewa kepada BMF. Dari hanya berupa seruan beberapa orang, berkembang menjadi sebuah gerakan pengguna yang semakin menampakkan kesan dan implikasinya. Bahkan, kabinet turut ‘terpengaruh dengan salah faham itu’ sehingga membuat suatu kenyataan akhbar berdasarkan prasangka dan debaran peniaga-peniaga bukan Islam. BMF bukan bersifat perkauman, dan bukannya bakal menjadi ancaman ke atas keharmonian kaum. BMF adalah hak seorang Muslim untuk menggunakan kuasanya bagi mencari produk dan perkhidmatan yang tidak bertentangan dengan kehendak syariat. Itu sahaja.

Asasnya mudah. Mekanisme adalah jelas. Muslim mengutamakan produk halal. Halal bermaksud, dibuat daripada bahan-bahan yang tidak diharamkan oleh syariat. Kedua, ialah cara memprosesnya tidak mengikut piawaian syariat. Ketiga, ada jaminan halal daripada badan yang menentusahkan Sijil Halal, manakala pengeluarnya tidak melanggar keakurannya. Keempat, sijil halal itu adalah tulen dan sah, bukan tiruan atau ditipu terutama mengenai makanan yang diimport dan menggunakan logo halal luar negara.

Komen Mujahid, Islam tidak mengajar umatnya memboikot barangan keluaran mengikut kaum, dilihat terlalu ‘membela bukan Islam’. Mujahid nampaknya sudah terkesima dengan ‘kemilau kerusi’ sebagai Menteri Agama dan boleh menyokong penipuan oleh pengusaha-pengusaha bukan Islam yang bukan sahaja menipu Sijil Halal, bahkan seperti terpaksa  kerana survival politiknya. Imejnya sebagai ‘tokoh pejuang Islam’ sudah tercalar sejak menyertai PAN, kerana parti itu ditelunjukkan oleh kepentingan DAP. Banyak perkara yang Mujahid dilihat begitu kabur tindakannya, termasuklah lambat menyatakan pendirian apabila Islam dicabar dan disindir oleh bukan Islam.

Komen Mujahid sentiasa mengundang kontroversi, termasuklah apabila beliau menyatakan bahawa pemeteraian Piagam Penyatuan Ummah yang bakal dilaksanakan oleh PAS dan UMNO sebagai ‘Piagam Yang Meragam’. Rasional Mujahid juga bersifat politik, meragamnya piagam itu kerana ia dianjurkan oleh PAS dan UMNO. Sayang sekali, Mujahid seolah-olah terlupa, persetujuan yang dimeterai dalam Pakatan Harapan juga bersifat politik, maka kelemahan dan kecenderungan yang dilihat daripada piagam tersebut telah dinilai tidak membawa kepada penyatuan ummah, bahkan sebahagian besar ‘keterujaan’nya telah bertukar kepada ‘kekecewaan’.

Sebab itulah suara-suara lantang semakin berdesing kedengaran, termasuklah seruan rahmah yang didendangkan menerusi Rahmatal Lil’alamin yang bakal dijadikan kerangka pembinaan ideologi politik Malaysia Baru. Berapa ramaikah bukan Islam dalam PH yang bersedia mempraktikkan ‘pendekatan rahmah’? Apakah pendekatan ‘rahmah’ itu hanya wajar dilaksanakan oleh orang Islam semata-mata, manakala bukan Islam dikecualikan ?. Apakah tindakan tegas yang akan dilaksanakan dalam konteks ‘rahmah’ jika bukan Islam menghina, membuli dan sengaja menimbulkan prasangka buruk terhadap Islam?

Sebenarnya, penyatuan atas nama ummah yang bakal dilaksanakan pada 14 September 2019 di PWTC merupakan ‘mimpin ngeri’ bagi dua parti terkecil dalam PH, iaitu PAN dan PPBM. Dua parti berkenaan tetap memerlukan sokongan orang Melayu jika mahu kekal menjadi sebahagian daripada pemegang kuasa politik di Tanah Melayu. PPBM dan PAN tidak ada tempat di Sabah dan Sarawak. Bahkan percubaan PPBM untuk mengembangkan sayapnya di Sabah mendapat kritikan tajam daripada aktivis politik di sana. Begitu juga dengan PAN. Kedua-duanya hanya boleh merancang ‘check mate’nya di Tanah Melayu, bukan di Sabah dan Sarawak.

Ertinya, PPBM dan PAN perlu menyediakan ‘kemuafakatan politik’ yang jauh lebih sukar berbanding PAS dan UMNO. PAS dan UMNO mempunyai kekuatannya yang tersendiri, walaupun berlaku kemerosotan sokongan dalam PRU ke-14. Beberapa kerusi yang dimenangi oleh PAN dan PPBM dalam PRU ke-14 dilihat tidak dapat dikekalkan seandainya PAS dan UMNO benar-benar membentuk kerjasama yang baik. Mujahid juga dianggap ‘tidak selamat’ jika diambil kira penyatuan undi UMNO dan PAS di Parit Buntar.

Biarpun ramai yang sangsi dan cuba memperlekehkan penyatuan PAS dan UMNO, menghasut seolah-olah penyatuan itu hanya tidak melibatkan bukan Islam, ternyata resah tersebut adalah suatu ‘petunjuk’ yang bakal mencabar PH, dan yang paling menakutkan ialah PAN dan PPBM.  Juga sedikit tempias akan dihadapi oleh PKR, kerana parti itu sedang berhadapan dengan krisis dalaman atas pelbagai isu dan persoalan. Azmin Ali mempunyai kelompoknya, manakala kelompok yang setia dengan Anwar sedang ‘merempuh’ Azmin dan video semburit menjadi faktor yang terbesar.

Azmin tetap dengan pendiriannya. Beliau tidak mempedulikan ‘gelora jiwa Anwar’ untuk segera dilantik sebagai Perdana Menteri. Bagi Azmin, tidak persetujuan yang memaksa Dr Mahathir menyerahkan kuasa kepada Anwar, ia hanyalah ‘cakap-cakap’. Dr Mahathir mempunyai hak untuk mengakhiri tempoh jawatannya sehingga akhir penggal. Anwar tidak perlu ‘gelojoh’ kerana ‘kegelojohan’ itu akan memanjangkan kisah penantiannya benar-benar ‘suatu penyiksaan’.

Sejak gagalnya 10 Janji 100 Hari pertama PH, ada desakan agar Dr Mahathir membubarkan Dewan Rakyat dan mencadangkan Pilihan Raya Umum ke-15. Ada juga desakan agar menteri-menteri lantikan Dr Mahathir dipecat dan digantikan, bukan sahaja datang daripada kelompok parti pembangkang, bahkan dari ‘dalam PH’ sendiri. Ia sudah menunjukkan kerajaan ‘PH’ memang bergolak dan sukar untuk diselamatkan atas matlamat dan kepentingan yang berbeza.

PPBM dikritik kerana membawa masuk bekas wakil rakyat UMN0/BN. PAN dikondem kerana prestasi pemimpinnya mengecewakan, bercakap seperti ‘kanak-kanak prasekolah’ dan saling bercanggah. Khalid Samad telah ditegur oleh Sultan Selangor. Mujahid semakin ‘galau’ kerana tidak dapat meredakan kemarahan DAP terhadap Dr Zakir Naik. Zulkifly Ahmad sedang diperhatikan oleh orang ramai atas ‘restu’nya untuk memecahkan monopoli Pharmaniaga terhada[ bekalan ubat kepada Kementerian Kesihatan yang sedang dikeronyokkan oleh Menteri Kewangan.

Mat Sabu dileluconkan dengan ‘solekan imej’ oleh perunding imej bukan Melayu setelah isu ‘land swap’ Kementerian Pertahanan yang dijangka dapat ‘melemahkan Najib dan Hishamudin’ turut melakarkan watak-watak yang lain dalam PH, termasuk Dr Mahathir, Anwar Ibrahim, Syed Hamid Albar, mahupun Daim Zainudin kerana ia berlaku sejak tahun 1997. Tahun itu adalah salah satu tahun paling aktif dengan proses penswastaan dan pensyarikatan Malaysia selepas diperkenalkan pada tahun 1983. Jika benar ‘land swap’ itu merugikan kerajaan sehingga RM 500 juta, kenapa Mat Sabu tidak bersungguh-sungguh mengambil tindakan untuk ‘mengembalikan kerugian’ itu?

Bahkan kisah AES yang membabitkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) semakin sepi walaupun Menteri Pengangkutan (DAP) bertegas akan membayar pelaburan tersebut. Kisah AES seperti ‘suam-suam kuku’, yang akhirnya melakarkan wajah jelek PH setelah gagal menghapuskannya. AES terus ditambah, tetapi setakat tidak kedengaran apakah AES masih berfungsi atau tidak. Tidak ada laporan saman dikeluarkan. Mungkin Menterinya risau, saman AES tiada kompromi diskaun, ia boleh menjerat sokongannya. Anthony Loke tentunya sedang mengkaji potensi sendiri dalam PRU ke-15, sebab tokoh besar DAP juga pernah kalah mempertahankan kerusi tersebut pada suatu ketika.

Pemadu Grab dan pemandu teksi sedang mencari peluang untuk ‘menghukum’ beliau. Sebelum PRU ke-14, PH berjanji akan menghapuskan perkhidmatan Grab, dan ia tidak berlaku selepas menang. Grab dibenarkan dan ditambah dengan syarat yang membebankan, bukan sahaja kepada pemandu Grab bahkan pengguna. Tambang akan menjadi lebih mahal.

Pemandu teksi sudah lama tidak percayakan Anthony Loke, maka bersedialah untuk ‘dikafankan’ di Seremban sebagaimana Hu Sepang pernah dikalahkan di Rasah (1990) dan Dr Chan Man Hin di Seremban (1999). Pencapaian DAP pada tahun 1990 begitu mengecewakan dan digelar ‘catastropic’ oleh Lim Kit Siang, yang kemudiannya mengambil alih kepimpinan daripada Chan Man Hin. Tahun 1999, ramai pemimpin DAP tewas, termasuk Karpal Singh (Jelutong) dan Lim Kit Siang (Bukit Bendera) sendiri.

(bersambung)

MONOSIN SOBRI

No Comments

    Leave a reply