Masjid tersebut yang mula dibina pada Mac tahun lalu, kini beroperasi pada 23 Mei lalu bagi kegunaan solat tarawih dan di­ikuti dengan solat Jumaat.

“Memandangkan Hari Raya Aidilfitri tahun ini akan disambut pada Jumaat, jawatankuasa masjid menjangka berlaku limpahan jemaah bagi menunaikan solat Jumaat kerana ramai penduduk pulang ke kampung.

“Sebagai persiapan, kami akan memasang tiga unit khemah di luar bangunan masjid bagi memastikan mereka yang datang dapat bersolat dengan selesa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Lamin berkata, reka bentuk masjid itu seakan-akan Masjid Sultan Mizan di Putrajaya dengan memaparkan banyak bentuk bintang sama ada di hadapan dan belakang selain di bahagian menara.

“Kampung Parit Terus mempunyai 40 rumah dengan jumlah penduduk kira-kira 2,000 orang selain mempunyai dua surau bagi kegunaan kariah berhampiran,” katanya.

Beliau mengakui masjid yang terletak di laluan utama Pontian ke Simpang Renggam bakal menjadi tempat persinggahan untuk orang ramai menunaikan solat fardu.

Menurutnya, masjid tersebut juga bertuah kerana dipimpin oleh seorang imam muda, Mohd. Khairul Zainuddin, 34, lulusan sebuah universiti di Mesir sebagai Imam 1 dan Imam 2, Abu Bakar Nasap yang berusia 65 tahun.

Beliau turut merakamkan te­rima kasih kepada Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang membantu mendapatkan peruntukan Jabatan Perdana Menteri bagi membina masjid baharu berkenaan.