MASJID “ZON BEBAS POLITIK”

Masjid (dan juga surau) adalah tempat umat Islam menunaikan ibadat sembahyang. Masjid tidak sama tarafnya dengan Dewan-dewan di Hotel, Dewan Parlimen atau apa-apa sahaja dewan yang ada. Justeru memasuki masjid di sunatkan bersembahyang dua rakaat masuk masjid. Kita tidak bersembahyang seperti itu apabila memasuki Dewan Parlimen atau dewan-dewan pelbagai guna. Ini bererti , ia adalah tempat mulia, tinggi darjatnya “rumah Allah” untuk semua umat Islam beribadat. Dan ini semua telah direalisasikan sejak mula-mula Islam diturunkan lagi. Selain dari ibadat itu, ia juga turut menjadi pusat pengajian agama dalam pelbagai bidang ilmu. Dan ini juga telah diamalkan sejak kedatangan Islam lagi hingga hari ini dan akan berlanjutan hingga hingga ke hari kiamat. Amalan ini berlaku di seluruh dunia Islam, cuma aktiviti, teknik dan budayanya sahaja mungkin berlainan. Ini perkara biasa.

Masjid pertama didirikan dalam dunia ialah Masjid Al-Haram,  Mekah dan diikuti Masjid Al-Aqsa,  Palestin dan Masjid Quba serta masjid Al-Nabawi di Madinah.  Selain daripada fungsi yang telah disebutkan di atas,  masjid juga menjadi institusi pendidikan dalam makna yang luas kepada keluarga,  masyarakat dan ummah seluruhnya.  Masjid juga berperanan sebagai pusat maklumat bagi umat Islam dalam menangani isu-isu semasa melalui kegiatan-kegiatan ceramah agama,  forum,  seminar,  kursus dan lain-lain yang bersesuaian.

Sebagai bangunan yang dikuasai manusia sepanjang waktu, masjid juga turut tercemar dengan aneka kegiatan yang kalau di negara kita kini ia telah dijadikan antara pusat penyebaran ideology politik parti pembangkang. Banyak acara-acara selain sembahyang, digunakan untuk tujuan politik. Antara cara-cara itu ialah berbentuk lisan dan tulisan. Lisan bermaksud aktiviti ceramah, khutbah, baca kitab, baca Tafsir, Hadith, Sirah Rasullullah s.a.w, Fiqh dan sebagainya yang di “warnai” ideologi dan perjuangan parti politik pembangkang. Paling tidak, penerangan dan tafsiran kepada fakta-fakta ceramah itu disasarkan untuk mencapai objektif dan perjuangan parti-parti pembangkang diselit juga dengan unsur-unsur mencaci dan menghina kumpulan-kumpulan politik lain terutamanya politik arus perdana. Penceramah-penceramah yang dijemput adalah dari aktivis-aktivis parti berkenaan yang biasanya ustaz-ustaz muda separuh ilmu dan separuh dewasa. Maka bergegarlah masjid dan berderinglah telinga para pendengar apabila mikrophone diberikan kepada penceramah-penceramah emosi itu. Perkara-perkara yang diucapkan pula adalah perkara-perkara biasa yang cetek, tohor, literal dan emosional yang juga dijaja diserata masjid dan surau. “Mobile ustaz” ini menjadi popular, dihormati dan disambut bagai mahaguru di usung di serata daerah.

Secara tulisan pula ialah perletakan risalah-risalah pelbagai tajuk, cetakan-cetakan maklumat kegiatan parti, iklan-iklan buku atau kitab yang ada berkaitan dengan perjuangan parti, maklumat tentang ceramah-ceramah politik, forum pelancaran penerbitan buku baru yang asli atau terjemahan yang ada berkaitan dengan perjuangan parti, poster ceramah tokoh-tokoh parti politik dan sebagainya yang memenuhi papan iklan ruang-ruang legar masjid. Ada juga yang ditumpangkan disini jualan-jualan kopiah putih, kaset, CD, buku-buku popular politik, kain tudung, baju kurung, risalah tentang program parti pembangkang dan lain-lain lagi. Semua hal ini tidak dilakukan diluar pagar masjid atau di lain-lain tempat seperti Balai Raya. Nampak macam meriah, tetapi meriah itu didominasikan oleh cita-cita politik kepartian, digerakkan oleh penyokong parti berkenaan.

Citarasa kepartian ini ditambah lagi dengan “perangai” sebahagian AJK masjid yang selalu mengesan orang-orang yang datang berjemaah terutama masjid yang dikuasai parti pembangkang. Sebelum sembahyang dan selepasnya, aktivis-aktivis serta penyokong parti (biasanya AJK masjid) akan segera melihat muka-muka ahli jemaah yang datang merenung sambil mengenal pasti “siapa orang itu” yang datang bersembahyang. Orang itu “kumpulan kita atau bukan kumpulan kita”,  berapa kerap dia datang dengan siapa dia berkawan dan lain-lain lagi.

Selain daripada catatan di atas, dalam kontek tulisan juga, didapati ada orang lain selain daripada orang-orang yang bertanggungjawab di masjid tersebut yang mengambil kesempatan menyebarkan risalah-risalah politiknya. Biasanya diletakkan di tempat-tempat tertentu di masjid pada hari Jumaat dan hari-hari lain yang ada program dan ramai orang. Contohnya masjid tertentu di Bandar Baru Bangi, Jumaat 30 Oktober 2009 yang lalu, kumpulan Hizbur Tahrir meletakkan risalahnya Saut al-Nahdhah (katanya : Suara Kebangkitan). Risalah 1 helai A4 ini bertulisan rumi dicetak dengan menggunakan dakwat biru. Tajuk utamanya ialah BAJET SANG KAPITALIS – iaitu respon mereka terhadap pembentangan belanjawan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Kepada kumpulan ini bajet tahunan negara itu tidak perlu dibentangkan. Sesungguhnya kata risalah itu tidak ada konsep “pembentangan” bajet tahunan didalam Daulah Islam. Dalam demokrasi, hal ini menjadi suatu keperluan. Pembentangan itu, dengan segala rang undang-undangnya adalah warisan kapitalis. Berasaskan syarak, Daulah Khalifah saja sudah cukup memadai. Bajet negara juga tidak perlu dibentangkan kepada Majlis Masyarakat dan pendapat mereka pun tidak perlu diminta! Demikian sedutan sedikit isi perbincangan yang tercetak dalam risalah itu.  Risalah Hisbur Tahrir ini terus ditompangkan di masjid hampir setiap hari Jumaat dengan tajuk perbincangan yang berlainan.

Banyaklah hal-hal di atas telah dan sedang berjalan sekarang. Akhbar-akhbar harian sentiasa menyiarkan perkara ini. Contohnya Utusan Malaysia 5 Feb 2003 “Khutbah Jumaat bertukar jadi ceramah politik PAS”, Utusan Malaysia 17 September 2009 “Tazkirah Ramadhan hentam sesama Islam”,  Utusan Malaysia 30 Oktober 2009 “Bebaskan Masjid daripada unsur politik”, Utusan Malaysia 14 Sept 2009 “ Masjid perlu bebas politik”, Utusan Malaysia 27 Oktober 2009 “Jangan jadikan masjid gelanggang politik” – iaitu Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang jelas tahu bahawa banyak masjid di negeri Selangor telah dieksploit oleh parti politik pembangkang bagi menyebarkan perjuangan politik mereka.

Apakah maknanya semua ini? Di awal makalah tadi telah disebutkan bahawa masjid adalah tempat peribadatan khusus yang mulia dan tinggi martabatnya. Dengan cermat dan penuh ta’zim kita menggunakannya untuk mendekatkan diri kepada Allah swt, mencari keredhaannya, mencari rahmatnya dan sebagainya lagi. Dari sudut sosial pula, berjemaah di masjid, memberi peluang untuk berjumpa ahli qariah, beramah mesra, bertanya khabar hal-hal keluarga dan pekerjaan serta lain-lain, menghadiri majlis – majlis ilmu bagi menambah pengetahuan agama pelbagai bidang dan sebagainya. Masyarakat bersatu dan mesra sambil tolong-menolong, berpakat-pakat menyelesaikan masalah qariah, gotong-royong dan lain-lain bagi memupuk harmoni dan kasih sayang serta mengeratkan silaturahim. Maknanya fungsi agama dan sosial sangat signifikan. Perkara ini boleh juga direalisasikan dalam bentuk lain seperti sukan yang juga ramai-ramai orang datang, tetapi ia tidaklah menjunjung mesej dan falsafah agama dan sosial seperti institusi masjid itu. Kekerapannya juga tidak boleh dibandingkan dengan acara-acara di masjid.

Gabungan tulisan dari akhbar-akhbar yang di atas itu dan pemerhatian kepada kegiatan-kegiatan semasa di masjid kini, terutama dikawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang, falsafah masjid telah tercemar. Kemuliannya mulai diganggu. Misi dan visi masjid-masjid itu telah tersasar dari laluan yang telah ditentukan. Ia bukan lagi bersih seperti dahulu. Ia menjadi bangunan yang sentiasa dieksploit dan diperkuda untuk tujuan-tujuan dan kepentingan politik kepartian yang berselang-seli dengan acara-acara peribadatan khusus. Mikrophone tidak lagi digunakan untuk membaca kitab tafsir atau hadith dan lain-lain berasaskan misi dan visi tadi, sebaliknya diselit dengan caci-mencaci, sindir-menyindir dan tengking- menengking (melepas geram) bagai bergegar masjid layaknya. Inilah yang sedang berlaku kini. Apabila dekat pilihanraya, lagi ligat kegiatan kepartian ini dijalankan. Maka tercemarlah kesucian dan keindahan masjid. Ia menjadi antara gelanggang politik kepartian pelbagai pihak. Hal ini sangat mendukacitakan yang kalau dibiarkan akan terus merosakkan keharmonian masyarakat. Apa perkara pun, termasuk Universiti, jika unsur politik kepartian masuk, misi, visi dan objektif asal institusi itu akan hilang.

Sejarah dan peradaban Islam memaparkan aktiviti cemerlang umat Islam dengan menggunakan masjid. Kita ambil satu contoh sesuai dengan saiz rencana ini. Masyarakat Islam Mesir menjalankan kegiatan mempelajari al-Quran di masjid-masjid. Sistem yang diamalkan di panggil Kuttab. Dari tahun 1700 hingga 1798 umpamanya sistem Kuttab ini berjalan dengan sangat signifikan. Menurut J. Heyworth. Dunne dalam bukunya An Introduction to the History of Education in Moden Egypt (Bristol. 1938) menerangkan di bawah pengajian Kuttab di masjid-masjid ini, murid-murid dididik mengeja dan membaca huruf Arab dan seterusnya membaca al-Quran dan menghafalnya. Ada yang berlanjutan hingga dua atau tiga tahun. Kebanyakan tempat Kuttab itu disambungkan sedikit pada masjid dan ia turut sama mendapat bantuan dana seperti masjid. Imbuhan para guru adalah dari penghasilan waqaf. Sistem ini, para pelajar dan guru sama-sama duduk di atas lantai. Murid-murid atau pelajar melengkapi guru dan ditangan mereka ada al-Quran dan sepotong papan Luh iaitu tempat menulis dan mempelajari ayat-ayat al-Quran sambil memahaminya. Guru-guru al-Quran itu dihormati masyarakat justeru ia seorang yang menghafal al-Quran, ahli dalam hadith, memahami fiqh. Dan mereka ini sebahagian besarnya adalah keluaran al-Azhar. Selain mengajar, mereka juga diundang masyarakat untuk pelbagai acara agama. Titik perhatiannya ialah di masjid tadi, kemudian melimpah keluar.

Tujuan utama Kuttab itu ialah untuk memenuhi keperluan rakyat Mesir sejak zaman-berzaman iaitu menghafal al-Quran, mempelajari hukum-hakam Islam, dapat mengerjakan kewajipan-kewajipan ibadat dengan betul dan lain-lain yang turut memenuhi pakej pengajian agama. Hasilnya masjid menjadi pusat ilmu sambil menyemarakkan penggunaan masjid. Perguruan Tinggi al-Azhar itu sendiri adalah hasil dari tradisi ilmu ini. Demikianlah antara kehebatan tradisi ilmu di masjid yang telah dan sedang berlaku diserata negara Islam. Masjid di Alam Melayu juga berfungsi seperti ini. Masjid Demak di Jawa umpamanya hampir setiap hari di penuhi manusia beribadat dan majlis membaca dan menghafal al-Quran. Kaum wanita Jawa juga kelihatan aktif dalam ibadat ini. Penulis terkedu apabila melihat sendiri keseriusan kaum wanitanya berkumpul dan menghafal al-Quran di dalam masjid itu.

Kembali semula persoalan kita tadi, masjid perlu menjadi “zon bebas politik” baharulah ia boleh kembali menjunjung misi, visi dan objektif asal pembinaan masjid. Masjid perlu bebas dari kelompok-kelompok pengikut dan fanatik-fanatik politik kepartian. Masjid tidak boleh di eksploit untuk faedah politik kepartian. Aktivitinya wajib di pantau oleh pihak berkuasa agama negeri dan Negara. Penceramahnya perlu ada tauliah rasmi pemerintah. Individu-individu “keras kepala” tidak boleh menjadi AJK masjid.

Apakah bahangnya jika keadaan ini dibiarkan?  Apabila masjid menjadi alat lepas geram,  maka ia membuka minat dan motivasi bagi kumpulan lain pula nanti untuk memperalatkannya juga bagi mencapai cita-cita kepartiannya.  Satu-satu kumpulan politik tidak akan kekal selamanya.  Ia akan berubah.  Maka kumpulan lain pula akan mengambil kesempatan.  Masjid jadi gelanggang perebutan pengaruh.  Umat setempat menghadapi suasana yang tidak tenteram.  Timbul perasaan benci-membenci,  sakit-hati dan tekanan yang berpanjangan.  Masjid bukan lagi menjadi sebagai pusat memupuk keharmonian dan perpaduan ummah.  Ini sangat mengecewakan.  Berbeza sama sekali suasana Ibadat orang-orang Kristian di gereja-gereja.  Kita,  yang sering melalui jalan-jalan yang berdekatan dengannya,  tidak kedengaran gaya dakwah yang garang,  marah-marah, tengking-tengking,  menghina dan menyindir orang lain atau kumpulan lain.  Jerkah bagai nak runtuh bumbung bangunan!

Apakah tindakan yang boleh dijalankan bagi mengembalikan fungsi asal masjid sebagai pusat ibadat dan pusat ilmu-ilmu Islam? Sesuai dengan saiz penulisan ini, penulis dapat cadangkan beberapa perkara yang wajar dilihat bagi mendapatkan peranan asal di atas:

  1. Masjid dijadikan kawasan atau zon bebas politik. Dengan itu kegiatan berunsur politik boleh diadakan di tempat-tempat lain seperti pusat sukan, Dewan pelbagai guna, Hotel, padang bola atau lain-lain lokasi yang difikirkan sesuai. Jangan gunakan masjid untuk tujuan politik kepartian.
  2. AJK masjid perlu dianggotai pelbagai golongan yang sederhana dan mewakili semua golongan ahli qariah. Ini penting justeru masjid adalah pusat agama, ilmu dan kemasyarakatan dan bukan premis politik.
  • Risalah-risalah politik tidak dibenarkan disebar dalam masjid dan dalam kawasannya.
  1. Pejabat agama daerah boleh tingkatkan pemantauan perjalanan masjid dan dibantu oleh Tok Penghulu serta Imam setempat.
  2. Penceramah-penceramah agama perlulah yang mempunyai tauliah dari Raja atau Sultan
  3. Masjid perlu mengadakan wacana-wacana ilmu serta penerangan-penerangan tentang buku atau kitab-kitab terpilih dan tidak ada kaitan dengan mana-mana parti politik
  • Pengajian Tafisr al-Quran, Hadith, Fiqh dan lain-lain seperti yang sering diadakan perlu diteruskan. Biarlah golongan yang matang dan dewasa yang memberi pengajaran
  • Guru-guru agama dari sekolah atau kolej atau maktab yang terpilih dan dipercayai kesikhohannya dijemput untuk menjayakan inspirasi ahli Jama’ah muda.
  1. Pensyarah-pensyarah wanita bidang pengajian Islam, Pemikiran Islam atau Sejarah umat Islam boleh memenuhi acara-cara kaum wanita
  2. AJK masjid boleh mengadakan seminar-seminar tentang perjuangan tokoh-tokoh seperti HAMKA, Za’ba, Iqbal, Ahmad Deedat, Imam al-Ghazali, tokoh-tokoh ulamak Nusantara dan lain-lain paling tidak setahun dua kali
  3. Diadakan juga taklimat kesihatan oleh doktor-doktor perubatan yang terpilih yang mahir menerangkan tentang penyakit-penyakit barah, barah payu dara, jantung, darah tinggi, lumpuh, nyanyuk dan sebagainya lagi
  • Sebagai tambahan, ruang legar atau tepian masjid boleh diadakan kursus-kursus motivasi bagi para pelajar bagi kawasan-kawasan dimana masjid itu berada. Ini termasuk juga kursus-kursus farhdu ain, kursus menjawab jawapan peperiksaan, kursus-kursus kefahaman Islam dan lain-lain sepertinya
  • Sekali sekala boleh dianjurkan kursus-kursus perkahwinan atau keharmonian rumahtangga kepada para belia yang bakal berumahtangga
  • Kursus-kursus haji dan umrah

Rumusannya ialah apa yang perlu disedari adalah bahawa minda dan kecenderungan orang-orang Melayu sejauh yang dapat dilihat suka kepada perpecahan, pergeseran, polimik berpanjangan, emosional dan lain-lain yang diserapkan dalam arena politik. Ini yang banyak menimbulkan pelbagai masalah kemasyarakatan. Jadi apabila kita sudah faham puncanya, maka punca itu perlu dihapuskan. Penghapusan punca sudah merupakan sebahagian dari pakej penyelesaian masalah. Apa sahaja kegiatan yang boleh membawa kepada perpecahan ummah wajib di ketepikan. Ini termasuklah aktiviti-aktiviti ceramah bersifat politik dengan menggunakan masjid sebagai platform mencari atau mengekal pengaruh. Masjid perlu menjadi kawasan atau zon bebas politik. Biarlah ia berfungsi dalam semua perkara ibadat dan pusat ilmu pengetahuan demi kebaikan masyarakat dan ummah keseluruhannya.

Catatan: Prof. Dr. Idris Zakaria

No Comments

    Leave a reply