Masyarakat majmuk punca kekuatan ekonomi Tanah Melayu

Kemakmuran dan pembangunan luar biasa yang terhasil daripada pengorbanan, inovasi dan bakat mereka ini sepetutnya member ilham kepada generasi semasa rakyat Malaysia dan generasi akan datang serta dijadikan iktibar oleh masyarakat pelbagai budaya lain”, Sultan Nazrin Shah, 17 Januri 2017.

Petikan itu menggambarkan bahawa masyarakat majmuk bukanlah penghalang kepada kemajuan ekonomi Malaysia, sebaliknya ia adalah gambaran kekuatan yang bukan sahaja perlu dipertahankan malah digalakkan untuk menjana pelbagai transformasi negara pada masa hadapan.

Malaysia, dari sudut pensejarahannya mewarisi budaya majmuk yang tidak bercanggah dengan keperluan agama, walaupun sebelum kedatangan penjajah (Portugis 1511- 1624, Belanda 1624-1824, Inggeris 1824-1945, Jepun dan Inggeris (1945-1511), Melaka telah muncul sebagai pelabuhan perdagangan yang penting sehingga dianggap sebagai pelabuhan entreport yang termaju pada abad 15 dan 16.

Perbezaan yang ketara ialah ketika Melaka muncul sebagai pusat perdagangan terpenting di timur, yang mempertemukan para pedagang dari timur dan barat, ia berkembang sebagai pusat ‘pertukaran barangan’ dan bukannya sebuah koloni kuasa-kuasa asing. Apabila berkembangnya fahaman ‘penaklukan’ kuasa-kuasa barat berusaha untuk memperluaskan kuasanya dengan menumpukan proses penjelajahan ke pelosok dunia berasaskan doktrin agama dan ekonomi.

Kedatangan penjajah ke Tanah Melayu dimulai dengan penaklukan Portugis ke atas Melaka dan kemudiannya diikuti oleh Belanda. Dua kuasa penjajah Eropah ini tidak berusaha untuk meneroka ke kawasan yang lebih luas di Tanah Melayu, hanya sekadar mengawal, mengurus dan mempertahankan Melaka sebagai pusat perdagangan di samping pengembangan agama Kristian.

Berbeza dengan Inggeris, selepas berjaya mendapatkan Pulau Pinang dari Kedah pada tahun 1786, Inggeris bukan sahaja berusaha mengeksploitasi kekayaan sumber alam di Tanah Melayu, bahkan turut berusaha untuk menempatkan sistem pentadbirannya dan menukarkan dasar yang sedia dilaksanakan oleh pemerintah setempat. Hasrat untuk menguasai dan menyekat pengaruh kuasa penjajah yang lain (terutama Belanda dan Perancis), Inggeris mulakan langkah untuk ‘membahagikan kawasan takluk’ dengan Belanda sehingga melahirkan Perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824. Perjanjian ini membolehkan Inggeris menguasai keseluruhan Tanah Melayu dan Borneo manakala Belanda diberikan kebebasan untuk menjajah Indonesia.

Permulaan itu menyebabkan ekonomi Malaysia bertukar corak secara drastiknya. Kalau sebelumnya, kegiatan ekonomi utama ialah ‘sara diri’ dan ‘perturan barangan’, perubahan dasar di Britain kepada dasar merkantilisma menyebabkan kebanjiran kemasukan kapitalis untuk menerokai sumber alam yang banyak kedapatan.

Sejak tahun 1750, berlakunya perubahan pesat dalam peningkatan keluaran makanan di Britain dan perubahan ini membawa kepada peningkatan penduduk. Tahun 1701, England dan Wales mempunyai jumlah penduduk seramai 5.5 juta orang dan dalam tempoh 50 tahun kemudian ia meningkat kepada 6.2 juta orang. Teknologi mula memainkan peranan dan ia mempengaruhi proses pengeluaran secara besar-besaran menyebabkan Britain amat memerlukan bahan mentah dan pasaran baharu.

Perusahaan tekstil menjadi kemuncak kepada Revolusi Industri di mana hasil perdagangan kapas menyebabkan telah muncul kelompok kapitalis yang kaya raya. Hasil kekayaan itu menyebabkan para kapitalis berusaha untuk mengembangkan perniagaan mereka kepada bidang-bidang baharu yang terbuka luas, termasuklah meneroka sektor perlombongan dan pertanian di kawasan baharu.

Percubaan Inggeris membawa benih getah ke Kuala Kangsar pada tahun 1877 telah mendorong kepada pembangunan ladang getah pertama di Melaka pada tahun 1902. HN Ridley yang dilantik sebagai Pengarah Taman Botani Singapura pada tahun 1888 dianggap sebagai Bapa Perusahaan Getah Asli kerana berjaya memperkenalkan sistem torehan bagi mendapatkan hasil susu getah untuk dijadikan latek.

Latek merupakan bahan yang amat diperlukan dalam pembuatan kasut dan tayar. Kasut getah pertama mula dicipta pada tahun 1768 manakala pada tahun 1770, seorang ahli kimia, Priestly berjaya menghasilkan getah pemadam. Tahun 1823, Solomon Mcintosh berjaya menghasilkan kain kalis air dengan campuran getah dan diikuti oleh kejayaan Charles Goodyear yang merintis kepada penciptaan tayar oleh Thomas Hancook (1846) dan John Dunlop pada tahun 1888.

Perkembangan ini menyebabkan Inggeris semakin terdesak untuk menanam lebih banyak pokok getah untuk membolehkan Revolusi Industri di England berkembang maju. Berikutan dengan perkembangan dan penciptaan teknologi turut menyebabkan permintaan terhadap logam bertambah, termasuklah penggunaan timah.

Dua komoditi ini merupakan asas ekonomi yang penting bagi Tanah Melayu yang berjaya dikembangkan oleh British. Sorotan kepada perkembangan ekonomi pada permulaan abad ke-20 telah membuka minat kepada Sultan Nazrin Shah untuk menulis buku terbaharunya, Charting the Economy: Early 2oth Century Malaya and Contemporary Malaysian Contrasts. Buku tersebut dilancarkan oleh baginda sendiri pada 17 Januari 2017 di sebuah hotel ternama dan baharu dibuka di Kuala Lumpur (Mei 2016).

Menurut baginda, minatnya untuk menulis buku ini bermula ketika melanjutkan pengajian ijazah kedoktoran (lulus tahun 1984) di Universiti Harvard, Amerika Syarikat (dalam bidang Ekonomi Politik dan Kerajaan). Buku ini diterbitkan oleh Oxford University Press tahun lalu menyorot perkembangan ekonomi dalam tempoh 40 tahun (1930-1939) yang menjadi asas perkembangan model ekonomi selepasnya sehinggalah Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang amat bergantung kepada hasil eksport komoditi.

Pemahaman baginda tentang sejarah perkembangan ekonomi negara itu membabitkan perbincangan yang mendalam dan pengumpulan angka menjadikan buku ini tidak sukar difahami oleh pembaca walaupun pada awalnya saya melihat ia sebagai sesuatu yang sukar, disebabkan saya tidak mempunyai latar belakang pendidikan ekonomi. Sudah tentu kekurangan itu juga membuka minat saya untuk ‘menambah pengetahuan’ dalam keadaan isu-isu ekonomi menjadi bahan eksploitasi politik sejak adanya pandangan bahawa ekonomi Malaysia sedang ‘merudum’ dan ‘diramalkan muflis pada bulan September 2016’.

Ekonomi Malaysia terus berkembang walaupun ada ramalan ‘bangkrap pada bulan September 2016’ di mana perangkaan perdagangan negara telah mencatatkan peningkatan jumlah dagangan 1.5 peratus kepada RM 1.49 trilion berbanding sebelumnya RM 1.46 trilion. Lebihan eksport (RM 785.93 bilion) berbanding import (RM 698.66 bilion) ialah RM 87.27 bilion menjadikan Malaysia ‘bukanlah negara bangkrap’ dan tidak terperangkap dengan ‘kegagalan ekonomi.’

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, peningkatan jumlah dagangan pada 2016 disumbangkan oleh dagangan lebih tinggi dengan China (RM10.09 bilion), Amerika Syarikat (RM6.87 bilion), Korea Selatan (RM3.56 bilion), Taiwan (RM3.29 bilion) dan Arab Saudi (RM3.04 bilion). Peningkatan juga dicapai dengan Turki (RM2.81 bilion), Hong Kong (RM1.93 bilion), India (RM1.85 bilion), Mexico (RM1.64 bilion), Brazil (RM1.52 bilion), Bangladesh (RM1.48 bilion), ASEAN (RM1.41 bilion) dan Kesatuan Eropah (EU) (RM549.6 juta). Peyumbang utama pertumbuhan eksport ialah barangan pembuatan (3.2 peratus) dan pertanian (4.7 peratus). Kedua bidang itu telah berjaya mengimbangi eksport barangan perlombongan.(Rujuk: https://www.utusanborneo.com.my/2017/02/09/dagangan-malaysia-meningkat-kepada-rm149-trilion )

Ertinya, ekonomi Malaysia yang awalnya bergantung kepada eksport komoditi telah bertukar kepada sektor lain, terutamanya pembuatan dan hasil-hasil pertanian. Bijih Timah, yang suatu ketika merupakan hasil eksport utama tidak lagi menjadi komoditi utama sejak kejatuhan harganya pada tahun 1970-an, pengeluaran bijih timah semakin tidak aktif dan mula digantikan dengan eksport bahan perkilangan (1990-an). (Rujuk: http://www.treasury.gov.my/pdf/ekonomi/le/9495/bab7.pdf).

Walaupun pengeluaran bijih timah telah merosot dengan ketara, getah masih merupakan komoditi eksport Malaysia yang penting. Malaysia pernah menjadi pengalur getah terbesar di dunia sehingga 1990 dengan mengeksport sebanyak 1.5 juta tan metrik setahun. Selepas tahun 1990, Thailand dan Indonesia menerajui dalam pengeluaran getah dan pada tahun 2014, Vietnam dijangka mengambil alih kedudukan Malaysia sebagai pengeluar ketiga terbesar getah antarabangsa. (Rujuk: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140107/ek_03/Vietnam-rampas-kedudukan-Malaysia)

Sejarah kegemilangan awal ekonomi berasaskan komoditi menurut Sultan Nazrin Shah adalah era yang mempunyai kaitan dengan struktur masyarakat majmuk di mana kemasukan buruh asing dari China dan India telah mencerminkan arah aliran ekonomi sehingga kini. Era 40 tahun pertama pada awal Abad ke-20 telah mempengaruhi ruang lingkup ekonomi dan nilai-nilai sejarah itu menjadikan berlakunya ketidakseimbangan kepemilikan ekonomi (dari kaum dan wilayah) walaupun ianya dilihat pesat berkembang.

Bagaimanapun, buku setebal 234 halaman ini tidak memfokuskan perbincangan mengenai ‘ketidakseimbangan kaum dalam kek ekonomi’, hanya sekadar memberikan tumpuan mengenai asas dan nilai-nilai sejarah yang terbina daripada dasar kolonial itu. Ia membuka ruang pemikiran dan kajian yang lebih besar mengenai kapitalisme, yang hingga kini terus dipersoalkan sebagai kelangsungan kebijaksanaan politik orang Melayu sendiri.

Buku ini mengandungi lima fokus utama iaitu permulaan ekonomi Malaya dan kaitannya dengan penduduk, sejarah jumlah pendapatan negara, peralihan kolonialisme dan pengurusan ekonomi moden selepas merdeka. Tidak banyak dibincangkan mengenai permasalahan ekonomi yang dialami Malaysia selepas merdeka, tetapi sekurang-kurangnya buku ini berjaya memberikan kita suatu gambaran menarik mengenai asas ekonomi yang telah dibina oleh zaman kolonial yang boleh dijadikan iktibar kepada seluruh warganegara Malaysia, yang sedang berusaha melepasi sentiment ekonomi berpendapatan sederhana kepada ekonomi yang berpendapatan tinggi.

Salah seorang yang terbabit menyelia pengajian Sultan Nazrin di Universiti Harvard ialah Profesor Dwight H Perkins yang turut hadir dan menulis kata pengantar kepada buku ini. Menurut beliau, buku ini merupakan rujukan sejarah yang penting tahap pencapaian ekonomi Malaysia.

Menurut Prof H Perkins, “Malaysia adalah antara negara yang ekonominy berkembang pesat pada hari ini untuk mencapai status berpendapatan tinggi. Proses ke arah itu telah bermula seabad yang lalu. Buku ini merupakan peneraju bagi menerangkan secara mendalam daripada aspek asas ekonominya yang asal, berasaskan eksport getah dan bijih timah kepada produk pembuatan.”

Buku ini menarik pembacaan saya sepanjang perjalanan pergi dan balik ke Pulau Pinang sempena cuti Thaipusam minggu lalu. Walaupun saya tidak sempat menghabiskan pembacaan dalam tempoh lapan jam (ETS KL Sentral ke Butterworth pada 9 Januari dan pulang dari Butterworth ke KL Sentral pada 11 Januari 2017), dan dihabiskan pada hari minggu (12 Januari 2017) ternyata sepanjang perjalanan itu tidak menyebabkan saya tertidur dalam kenyamanan hawa dingin.

Saya seharusnya menyampaikan terima kasih kepada Sultan Nazrin kerana berjaya membangunkan minat terhadap nilai-nilai sejarah dalam pembentukan asas ekonomi Malaysia, suatu pembacaan yang bukanlah  mudah untuk memancing minat kerana sebelumnya terasa begitu sukar, banyak mengandungi perangkaan dan geraf. Disebabkan kaedah penulisan dan bahasa yang mudah menyebabkan saya memahami bahawa anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah input penting dalam pengukuran pertumbuhan atau kejayaan ekonomi sesebuah negara dalam tempoh masa tertentu.

Empat dekad pertama Abad ke-20 bukan sahaja melambangkan kejayaan ekonomi Tanah Melayu dari segi pertumbuhan bahkan telah menunjukkan bahawa integrasi antara kaum adalah ramuan terbaik yang wajar dijadikan ‘falsafah bertindak dan kenegaraan’. Mahu tidak mahu kita tidak boleh menolak kepentingan itu kerana Malaysia mewariskan legasi itu walaupun pada awalnya adalah untuk kepentingan penjajah, kini, mereka (bukan Melayu) adalah sebahagian daripada kita dan mereka telah memberikan sumbangan yang besar kepada ekonomi negara.

Tentunya, selepas ini mungkin ada perbincangan lain yang boleh dikembangkang. Dan, tentunya, Transformasi Nasional 2050 boleh mengambil sedikit iktibar daripada perjalanan sejarah ekonomi Malaysia empat dekad awal Abad ke-20 ini untuk mencari formula yang lebih baik dan berkesan, bukannya ‘menebang pokok perpaduan’ yang sudah ‘ditanam dan hidup’ .

Diulas oleh Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply