“Pada saya apabila dilantik menjadi Perdana Menteri selalu ia untuk menghabiskan penggalnya dan kita tahu beliau (Dr. Mahathir) tidak akan ada di situ selamanya atas perjanjian yang dibuat.

“Namun begitu, mengapa kita mesti tergesa dalam mencari pengganti Tun (Dr. Mahathir) dalam pada masa beliau bersama Kabinet sedang melakukan yang terbaik,” katanya seperti yang dipetik daripada laporan portal Malaysiakini hari ini.

Sokongan agar Perdana Menteri terus menyandang jawatan selama satu penggal disuarakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengalu-alukan kenyataan sama diberikan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada minggu lalu.

Sokongan itu dibuat ketika hubungan tegang membabitkan Timbalan Presiden PKR itu dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran penyebaran video seks songsang serta spekulasi siapa yang layak menggantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Dalam laporan Malaysiakini itu juga, Maszlee turut mengulas kumpulan yang dilihat menyokong Anwar, Otai Reformis yang menggesa agar ada garis masa bagi peralihan kuasa diserahkan kepada Presiden PKR.

“Bagi reformis saya yakin agenda mereka adalah untuk perubahan.

“Saya tidak tahu sama ada motif mereka (Otai Reformis) adalah untuk mengangkat individu tertentu sahaja tetapi saya yakin bagi mereka yang laungkan reformasi sejak tahun 1998, mereka pasti ingin ia (reformasi) berlaku dalam negara,” katanya Menteri Pendidikan itu.

Otai Reformis sebelum ini tampil dengan teori mendakwa tidak mustahil Mohamed Azmin akan bergabung bersama Barisan Nasional (BN), Pas dan Bersatu untuk membolehkannya menjadi Perdana Menteri. – UTUSAN ONLINE