MATI AKAL BUANG ANAK

Isu memperkenalkan pendidikan seks timbul apabila berlaku luasnya gejala pembuangan bayi khususnya di kalangan orang Melayu yang beragama Islam.

Maka pendidikan seks yang hendak diperkenalkan ialah bagi menyedarkan remaja khususnya perempuan mengenai kemungkinan berlakunya kehamilan yang boleh mendatangkan masalah.

Timbul kontroversi mengenai pendidikan seks kerana ia membabitkan dua sudut, di satu pihak ia menjadi pencegahan, sementara di pihak satu lagi ialah penggalakan.

Ini kerana apabila remaja faham mengenai kemungkinan mereka boleh hamil, maka pengetahuan ini diharapkan akan menjadi satu pencegahan. Di pihak lain pula apabila diketahui bahawa pencegahan boleh dilakukan dengan memakai kondom, maka ia menjadi galakan untuk melakukan hubungan jenis tanpa menanggung risiko kehamilan.

Secara sejarahnya, soal kehamilan luar nikah di kalangan remaja tidak timbul di kalangan masyarakat tradisi yang secara umum kuat mengamalkan ajaran agama. Iaitu pada semua agama, bukan kalangan Islam saja.

Ini kerana secara umum semua agama melarang hubungan jenis di luar pernikahan. Namun begitu, pada hakikatnya, dalam mana-mana masyarakat, anggotanya tidaklah sepenuhnya mematuhi ajaran agama.

Dengan itu berlakulah hubungan jenis di luar nikah, yang ada kalanya membabitkan remaja. Dalam banyak-banyak kejadian, adalah berlaku kehamilan.

Dalam masyarakat Melayu, perkara yang sama berlaku juga. Maka apa yang dilakukan oleh ibu bapa mereka adalah menikahkan saja keduanya bagi menutup malu.

Masalahnya sekarang, ada remaja yang takut atau malu untuk memberitahu ibu bapa hal ini dan bertindak tanpa berfikir panjanh dengan membuang bayi itu.

Jadi di sini, bukan soal pendidikan seks dari segi mereka tidak tahu bahawa dari segi biologinya, mereka boleh hamil dan mendatangkan masalah mereka.

Begitu juga bahawa dalam hal ini, ia bukan soal agama. Sememangnya agama melarang hubungan seks di luar nikah tetapi pengetahuan mengenainya tidak menghalang banyak orang daripada melakukannya.

Gejala buang bayi ini lebih merupakan masalah psikologi di mana pelakunya tidak memiliki kebijaksanaan dalam menjalankan kehidupan mereka.

Justeru, apa yang diperlukan ialah pendidikan kebijaksanaan hidup dan bukannya mengenai seks semata-mata. Dalam menghadapi seks, seseorang itu dituntut memiliki kebijaksanaan hidup supaya dapat melayari kehidupan dengan tenang dan bahagia.

Hakikatnya gejala buang bayi itu bukan saja membabitkan seks tetapi juga biologi, psikologi, sosiologi dan agama. Maka sebarang pendidikan untuk menyedarkan remaja meliputi pelbagai disiplin.

Dalam hal ini juga perlu dijelaskan. Apakah yang hendak ditangani? Adakah gejala buang bayi, atau hamil di luar nikah, ataupun hubungan jenis di luar nikah di kalangan remaja atau kebijaksanaan remaja menjalankan kehidupan pancaroba mereka.

Maka lebih tepat lagi jika penekanan dibuat ke atas bagaimana seseorang remaja dapat diperkasakan hingga mampu menjalankan kehidupan tanpa mengharungi masalah kronik yang boleh merosakkan masa depan mereka.

Masalah buang bayi, hamil di luar nikah dan hubungan jenis luar nikah menunjukkan bahawa pendidikan remaja hari ini tidak cukup memberi kemahiran kepada mereka.

Apabila disebut pendidikan, ia tidak hanya merujuk kepada kaedah formal iaitu sekolah dan sukatan pelajaran tetapi berbentuk secara tidak langsung seperti dalam keluarga, rakan sebaya dan masyarakat kejiranan.

Secara umumnya gejala sosial yang dilihat sampai memerlukan pendidikan seks antara lain dapat ditangani melalui kegiatan cergas anak-anak muda melalui aktiviti sukan, kebudayaan, berpersatuan advencer dan intelektual.

Bagi badan-badan dakwah, apa yang mereka boleh sumbangkan ialah dengan menyokong kegiatan-kegiatan remaja dalam bidang sukan, kebudayaan dan berpersatuan.

Apa hal pun, gejala remaja bercinta, bergaul di kalangan berlainan jenis, mengadakan hubungan jenis dan hamil akan tetap berlaku dalam persekitaran masyarakat bebas dan terbuka.

Tetapi apa yang hendak dibendung ialah pembunuhan bayi oleh ibu bapanya yang mati akal dalam menghadapi keadaan keterlanjuran itu.

Oleh  Zin Mahmud

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply