MATRIKULASI ‘PINTU BELAKANG’ DAN ‘KUBANG PERKAUMAN’

Lebih sebulan lalu (24 April 2019) bermulalah perdebatan besar mengenai Program Matrikulasi yang dikendalikan sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia mulai tahun 1999. Sebelumnya program matrikulasi dikendalikan oleh pelbagai universiti awam dengan panggilan pelbagai, saperti Asasi Sains (Universiti Malaya), pra-universiti dan sebagainya. Ia tidak mempunyai kurikulum yang sama, dan tertakluk kepada keperluan universiti yang melaksanakannya.

Pada awalnya, ia merupakan program pengukuhan untuk pelajar Bumiputera sebelum diterima memasuki ke tahun pertama universiti awam. Menerusi dasar menggalakkan kemasukan lebih ramai pelajar Bumiputera ke universiti awam dalam bidang sains dan sastera gunaan (undang-undang dan perakaunan), universiti-universiti dibenarkan memulakan program pengukuhan tersebut dengan mengambil pelajar-pelajar lepasan SPM dan juga yang kandas di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Selepas program itu berkembang, aduan ibu bapa mula terima apabila seseorang pelajar lepasan program pengukuhan tersebut tidak diterima memasuki ke universiti pilihannya disebabkan kurikulum dan orientasi pembelajaran yang berbeza. Misalnya, lulusan Asasi Sains dari Universiti Malaya tidak boleh memasuki Universiti Sains Malaysia yang menjadi pilihannya walaupun kedua-dua universiti awam berkenaan menawarkan pengajian dalam bidang perubatan, farmasi mahupun kejuruteraan.

Faktor kedua, Kementerian Pendidikan Malaysia melihat sepatutnya universiti awam memberikan fokus untuk mengambil pelajar ke kemasukan program peringkat tertiary, iaitu dari diploma hinggalah peringkat ijazah. Program pengukuhan atau dikenali sebagai Program Matrikulasi adalah menjadi tanggungjawab KPM kerana ia dilihat masih di peringkat pendidikan menengah.

Ketiga, disebabkan oleh kurikulumnya tidak seragam, ia menyebabkan sukarnya untuk membangunkan suasana pembelajaran yang sama dan menyediakan buku teks yang seragam. Dengan membangunkan Program Matrikulasi, KPM sebenarnya berjaya memberikan ruang kepada mobiliti pelajar dan mencipta peluang pekerjaan dalam bidang pendidikan dengan menambah guru-guru di peringkat matrikulasi. Ia juga sebagai satu langkah berpusat yang boleh ditentukan piawaian kelulusan para pelajar di samping membantu mencapai hasrat memperbanyakkan graduan dalam bidang sains dan ikhtisas yang diperlukan oleh negara.

Ketika Program Matrikulasi mula disatukan, Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dibenarkan untuk membuat pengambilan untuk tujuan khusus. Sokongan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo membolehkan UM menguruskan sendiri program Asasi Sains manakala UIAM atas sifatnya yang memerlukan calon ke program ijazah pertama yang mahir berbahasa Inggeris atau Arab kerana semua program pengajiannya adalah dalam dua bahasa berkenaan.

Lain-lain universiti awam tidak lagi dibenarkan mengendalikan Program Matrikulasi. Sebagai permulaan, KPM menjalin kerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) untuk melaksanakan Program Matrikulasi sebelum berjaya membangunkan Kolej Matrikulasinya sendiri. Terdapat 21 buah IPTS (2002) yang diberikan kelulusan untuk mengendalikan Program Matrikulasi KPM. Antara IPTS yang pernah menerima pelajar Program Matrikulasi KPM ialah Kolej MARA (Kuala Nerang, Kulim dan Banting), Kolej TAJ (Tronoh, Perak). Pada tahun 2013, terdapat 15 buah Kolej Matrikulasi kendalian KPM dan seterusnya kerjasama dengan IPTS ditamatkan.

Program Matrikulasi KPM memperkenalkan dua konsep pengajian, iaitu Program Satu Tahun (PST) dan Program Dua Tahun (PDT). PST adalah program pengajian yang ditambah baik daripada program 3 semester (1 tahun 6 bulan) manakala PDT mula diperkenalkan pada tahun 2008 khusus untuk pelajar Bumiputera. Ia kemudiannya (2009) diperluaskan dalam bidang teknikal saperti kejuruteraan dan undang-undang. Ia merupakan Teras 2 dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang kemudiannya dijadikan sebahagian daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Sebulan lalu, isu kouta pelajar bukan Bumiputera menjadi begitu hangat diperkatakan apabila terdapat desakan untuk menghapuskan Program Matrikulasi kerana ia dianggap tidak lagi perlu. Pelajar Bumiputera tidak wajar diterima masuk ke universiti awam menerusi ‘pintu belakang’ kerana mereka juga perlu mengikuti kaedah pengajian yang sama dengan pelajar bukan Bumiputera untuk memasuki IPTA, iaitu menggunakan kelulusan STPM.

Sejak Program Asasi Sains dan Matrikulasi diperkenalkan, jumlah pelajar Bumiputera yang mengambil STPM dalam bidang sains adalah begitu kecil berbanding pelajar bukan Bumiputera. Situasi ini menyebabkan kumpulan tertentu mendesak agar Program Matrikulasi dimansuhkan ataupun jika ingin diteruskan hendaklah membuka peluang yang sama kepada pelajar bukan Bumiputera. Kouta 90 peratus kemasukan pelajar Bumiputera dan 10 peratus bukan Bumiputera dihapuskan. Jika ini berlaku, bilangan pelajar Bumiputera yang memasuki IPTA akan menjadi semakin berkurangan, terutama dalam bidang sains, teknikal dan ikhtisas.

Masyarakat sedar, tanpa kouta pengambilan pelajar Bumiputera yang dianggap oleh Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainudin tidak lagi relevan untuk membaiki nisbah kaum di pusat pengajian tinggi. Ia menurut Tun Daim “Waktu ia dimulakan dulu ada alasan baik untuk betulkan ketidakseimbangan (kaum). Sekarang sudah tidak relevan, boleh dihapuskan. Tetapi kalau (kerajaan) hapuskan sekarang, pembangkang akan terus jadikan isu.” Nampaknya, Daim lebih bersedia menerima ‘kehilangan’ daripada melayan desakan parti pembangkang.

Kabinet, menurut Menteri Pendidikan pada 24 April 2019 bersetuju untuk menyediakan tempat dari 25,000 kepada 40,000 tetapi tetap mengekalkan kouta 90:10 antara Bumiputera dan bukan Bumiputera. Akibat daripada keputusan tersebut, Dr Mazlee terus dihumban dengan pelbagai desakan sehingga ada pihak yang membuat petisyen secara dalam talian bagi menghimpunkan persetujuan agr dilucutkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan. Gesaan itu bagaimanapun tidak mendapat persetujuan Perdana Menteri, sebaliknya Dr Mahathir terus mempertahankan Mazlee.

Dr Mahathir sedar, jika beliau mengikut kehendak kumpulan atau individu yang mendesak Dr Mazlee dipecat dan menggantikannya dengan Teo Ning Ching, Timbalan Menteri Pendidikan yang cenderung memperjuangkan pendidikan bukan Melayu, ia akan menimbulkan lebih besar ‘kemarahan’ orang Melayu.

Orang Melayu mungkin bersedia melakukan perhimpunan yang lebih bersemangat daripada isu ICERD, yang turut meresahkan kepimpinan Kerajaan Pakatan Harapan pada bulan Ogos 2018, hanya kerana sikap ‘keras kepala’ seorang menteri untuk meratifikasikan undang-undang sejajar dengan keperluan Hak Asasi Manusia yang terkandung dalam dokumen penghapusan diskriminasi kaum.

Orang Melayu mungkin akan bangkit sekali lagi mendesak Dr Mahathir memecat Waytha Moorty, yang secara jelasnya ditolak oleh lebih 300,000 petisyen. Dr Mahathir tidak melayan desakan tersebut, tetapi, jika melayan hanya sekitar 40,000 petisyen membantah Mazlee, ia akan menjelaskan sikap sebenar Perdana Menteri yang dilihat semakin kurang berusaha menjaga kedudukan Melayu-Islam selepas berjaya menumbangkan Barisan NAsional menerusi kerjasama politik dengan DAP. PKR juga pernah suatu ketika berusaha untuk menghapuskan semangat Dasar Ekonomi Baru manakala DAP tetap dilihat sebagai sebuah parti yang berusaha menjadi jaguh bukan Melayu.

Imej DAP sebagai parti bukan Melayu semakin cemerlang selepas berjaya mendapat kerjasama daripada parti-parti Melayu menerusi penubuhan Pakatan Rakyat dan seterusnya Pakatan Harapan. Ia dapat dilihat daripada kejayaannya di peringkat DUN dan juga Dewan Rakyat berbanding ketika terpaksa berjuang secara bersendirian sebagai pembangkang. Kedudukan DAP dalam PH semakin kukuh dan di atas kekukuhan itulah orang Melayu mula bimbang, kedudukan mereka akan terancam.

Beberapa perubahan yang membabitkan entiti ekonomi Bumiputera mula dikeronyokkan oleh Kerajaan PH dengan alasan untuk kembali kepada perniagaan teras. Tabung Haji terpaksa menyerahkan aset bukan teras kepada sebuah syarikat tujuan khas di bawah Khazanah. Selepas TH, Permodalan Nasional Berhad mula diberikan perhatian, manakala entitiKhazanah yang lain di’paksa’ menjual aset-asetnya dengan alasan membantu menyelesaikan masalah ‘hutang besar’ yang ditinggalkan oleh BN.

Kesemua isu ini mewarnai iklim politik Malaysia dan yang paling membimbangkan ialah penghapusan Program Matrikulasi atau menghapuskan kouta kemasukan. Dr Mahathir melihat isu ini akan menyebabkan dirinya dibenci, maka beliau beberapa hari lalu mempertahankan pendirian Dr Mazlee dengan menilai ia sebagai satu tindakan yang betul. Ertinya, dalam keadaan pemimpin politik bukan Melayu menyerang Program Matrikulasi, Dr Mahathir bersedia menjadikan dirinya ‘bertentangan’ dengan kehendak politik ‘kebersamaan’. Beliau sedar, ketika cabaran perkauman meledak, dirinya akan terus hidup dan segar untuk memperkatakan sesuatu yang mencabar PH. Mahu tidak mahu, parti komponen PH terpaksa mendengar jika tidak mahu Kerajaan PH ‘tumbang’ sebelum tiba masanya.

Imej kerajaan PH di mata rakyat begitu merudum selepas tindakan menteri-menteri kabinet saperti tidak ada semangat saling percaya. Antara menteri sentiasa ada percanggahan tafsiran sehingga rakyat melihat, budaya politik pembangkang masih kuat dalam kehidupan politik mereka, yang kadangkala bercakap tanpa melihat hubungkaitnya dengan dasar dan pendirian kerajaan yang ditunjangi oleh PH sendiri.

Selepas PH dikatakan gagal menunaikan 10 janji sehingga 100 hari pertama, Kerajaan PH turut dilihat masih ‘berkubang dengan air kencingnya’ sendiri. Sebelum menang PRU ke-14, PH melakukan propaganda mengecam dan melabelkan pembabitan China dalam pelbagai bidang pembangunan infrastruktur dan projek mega di Malaysia sebagai tindakan ‘menjual negara’.

Kemudian, selepas mengambil alih pentadbiran, mula mengubah perspektif politiknya dengan melihat China sebagai hubungan kerjasama yang menguntungkan, termasuklah meneruskan semula projek ECRL, Bandar Malaysia, Malaysia-China Industrial Park (MCIP) di Gebeng dan sebagainya. Kesemuanya itu menggambarkan bahawa Kerajaan PH sebenarnya akan terus terperangkap dengan ‘kubang air kencingnya’ sendiri.

Sebelumnya, Kerajaan PH sudah melakukan u-turn daripada ‘projek dedak’ yang dibenci kerana membuka luas mentaliti ‘malas’, punca ketirisan pengurusan ekonomi dan politik perkauman. Sekarang, isu perkauman menjadi semakin timbul dan diperkatakan sehingga sanggup menuduh penyatuan politik Melayu-Islam yang dirintis oleh PAS dan UMNO sebagai suatu langkah yang bakal menuju kepada ‘kehancuran’ sedangkan dalam PH, soal perjuangan politik perkauman terus dilukiskan dengan pelbagai bentuk dan ilustrasi, yang nyata tidak akan menguntungkan orang Melayu-Islam.

Setiap persoalan yang dikaitkan dengan Islam diterjemahkan sebagai tidak menepati kehendak masyarakat majmuk sedangkan sikap pengusaha dan pemilik syarikat bukan Melayu meletakkan syarat fasih berbahasa Mandarin sebagai kemestian tidak pula dilihat sebagai tindakan diskriminasi. Tidak mengiktiraf UEC kerana tidak menggunakan bahasa Melayu dan tidak mensyaratkan mata pelajaran bahasa Malaysia sebagai syarat mandatori untuk lulus sebagai suatu tindakan yang salah.

Selagi kerajaan PH tidak meletakkan landasan pendidikan dalam konteks kepentingan kebangsaan, masih terus memberi ruang kepada pendidikan vernakular, selagi itulah soal perkauman akan terus menjadi ‘perangkap’. Kerajaan PH sepatutnya membuat ketegasan dan mengumpulkan keberanian politiknya untuk memperkemaskan Dasar Pelajaran Kebangsaan, bukannya terus bermain dengan pelbagai isu yang meletihkan, ia akan merosakkan kontrak sosial yang dipersetujui sebelum ini.

No Comments

    Leave a reply