MB: Sebat buktikan T’ganu tegas tolak LGBT

Hukuman sebatan terhadap pasangan lesbian di Mahkamah Tinggi Syariah di Terengganu semalam membuktikan kerajaan negeri tegas menolak amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang berlaku di negeri itu.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sebagai pentadbir sebuah kerajaan, beliau mendukung prinsip undang-undang, iaitu kesalahan dalam enakmen, undang-undang dan peraturan, harus dikenakan tindakan, lapor Sinar Harian.

“Hubungan songsang ini perlu dibendung dan ini merupakan satu mesej bahawa perbuatan salah (LGBT) sebegini sama sekali tidak wajar dilakukan terutamanya di Terengganu.

“Soal mereka cari tempat lain itu di luar bidang kuasa kita (kerana) kita bercakap rule of law (kedaulatan undang-undang) yang ada di Terengganu,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Ahmad Samsuri turut berharap semua pihak termasuk penyokong kumpulan LGBT menghormati keputusan mahkamah.

Semalam Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu mengenakan hukuman masing-masing enam sebatan terhadap dua pesalah wanita berusia 22 dan 32 tahun setelah didapati bersalah cuba melakukan hubungan sejenis di dalam sebuah kereta, April lalu.

Hukuman itu adalah yang pertama kali berlaku di negara ini membabitkan kesalahan seumpamanya dan disaksikan oleh lebih 100 orang termasuk pengamal media, keluarga dan peguam syarie.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, hukuman itu merupakan amaran keras agar masyarakat menjauhi perbuatan tidak bermoral.

“Hukuman yang dilaksanakan bukan untuk mencederakan mahupun menzalimi sesiapa kerana lebih penting masyarakat boleh mengambil iktibar.

“Diharap selepas ini 1.1 juta rakyat Terengganu khususnya dan seluruh rakyat Malaysia boleh mengambil pengajaran dan iktibar supaya kesalahan itu tidak berulang,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Sumber:Malaysiakini

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply