Melayu, budaya ‘Ali Baba’:Siapa harus dipersalahkan?

Banyak pihak membuat desas-desus mengenai ke mana hala tuju orang Melayu selepas ini, Banyak cakap-cakap bahawa agenda ekonomi Bumiputera akan terhakis di bawah kerajaan baharu.

Slogan keadilan untuk semua bermakna tidak ada lagi keistimewaan Melayu dan Bumiputera. Adakah ini benar? Bagi saya, ini semua cakap politik yang berterusan bagi menakut-nakutkan orang Melayu.

KBN 2018 ialah iltizam politik tertinggi yang mengulangi pendirian kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahawa agenda ekonomi Melayu dan Bumiputera ialah keutamaan kerajaan PH.

Sebagai kaum majoriti di negara ini, menjadi langkah terkebelakang apabila kerajaan melaksanakan dasar yang boleh membuatkan kaum majoriti ketinggalan dari segi pembahagian kek ekonomi negara.

Natijahnya amat buruk dan akan berlaku prasangka serta tidak kepuasan hati kepada kaum lain. Kita tidak mahu Tragedi 13 Mei berulang akibat wujud kesenjangan ekonomi yang begitu meluas antara kaum.

KBN 2018 bukan hanya forum membincangkan masa depan Melayu dan Bumiputera, tetapi paling utama ialah forum untuk menilai kembali jati diri dan etika orang Melayu terhadap falsafah kekayaan dan wang ringgit.

Titik berat nilai etika

Nilai etika menjadi titik berat dalam kongres kali ini. Ini dibuktikan dalam satu resolusi penting kongres yang berbunyi: “Memartabatkan masyarakat Bumiputera berintegriti dan diyakini melalui model pendidikan negara yang menerapkan pendidikan nilai, etika dan moral dalam setiap peringkat pembelajaran dan masyarakat”.

Dalam hal ini, ahli falsafah Greek, Aristotle dalam magnum opusnya The Nicomachean Ethics menyarankan, setiap manusia menjadi magnaminous man, yakni manusia mempunyai jiwa besar yang hidupnya berpaksikan memberi manfaat kepada manusia lain dan malu dengan sikap minta meminta dan mengemis.

Sudah tiba masanya untuk orang Melayu berjiwa besar dengan menerima kontrak kerajaan, bukan untuk dijual tetapi untuk diusahakan bagi memanfaatkan orang lain.

Dengan mengusahakan sendiri kontrak itu, bukan saja meningkatkan kompetensi individu Melayu berkenaan, tetapi juga menyediakan peluang pekerjaan kepada anak bangsa yang lain.

Jika menerima permit import (AP), ia bukan untuk dijual kepada bangsa lain, tetapi kerana ingin berniaga sendiri secara serius. Ya, mungkin kita akan dapat kekayaan cepat dengan menjual AP dan kontrak, tetapi adakah sikap itu akan memberikan manfaat pada orang lain?

Sikap itu hanya mementingkan diri sendiri dan tidak menghasilkan magnaminous man, manusia berjiwa besar seperti yang diungkapkan oleh Aristotle.

Mungkin mudah untuk kita membuat kesimpulan bahawa sikap orang Melayu yang mahukan kesenangan cepat tanpa mahu berusaha keras menjadi suatu budaya yang sudah tidak dapat diperbaiki lagi. Kita menyalahkan pendidikan negara yang tidak memberikan penekanan hal ini.

Sebenarnya semua agama, pendidikan dan fitrah manusia membenci rasuah, tapi mengapa ia masih berleluasa? Setelah saya selidik, merenung dan melihat cara fikir bangsa kita dan tindakan mereka, saya membuat kesimpulan bahawa rasuah menjadi budaya kerana rosaknya nilai pemimpin Melayu itu sendiri.

Budaya Melayu masih bersikap feudal dan menjunjung tinggi pemimpin. Bagi mereka, pemimpin menjadi contoh dan pengerak utama dalam kehidupan seharian mereka.

Pemimpin menjadi petunjuk kepada nilai yang dibawa dan budaya yang akan mereka sanjung. Perubahan budaya mestilah bermula dari pemimpin Melayu itu sendiri dan mereka harus menunjukkan contoh yang baik.

Lantik pemimpin cintakan pengetahuan, bijaksana

Saya bersetuju dengan ahli falsafah Plato dalam karya besarnya The Republic yang menyarankan pemimpin sesuatu bangsa dan negara perlulah dilantik dalam kalangan mereka yang cintakan ilmu pengetahuan, bijaksana, berhikmah dan sedia untuk hidup secara sederhana.

Bagi beliau, individu yang mempunyai sifat sedemikian ialah dalam kalangan ahli falsafah. Plato berteori bahawa atas sebab itu, hanya ahli falsafah yang sesuai dan sepatutnya diangkat menjadi pemimpin.

Justeru, dalam kongres kali ini, suatu institusi negara akan diperkasa dan diamanahkan untuk menerapkan nilai dan pandangan alam yang betul kepada pemimpin dan bakal pemimpin mengenai makna kehidupan, kewujudan, ilmu dan kebahagiaan.

Untuk itu saya menyambut baik resolusi kongres yang berbunyi: “Menangani kekeliruan pemikiran (pandangan alam) dengan memperkasakan Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu (ISTAC) sebagai pusat utama jaringan pengajian ilmu dan nilai, etika dan moral.

Karya besar agama dan peradaban dunia yang terhimpun di Malaysia dan tokoh Bumiputera ditonjolkan semula dalam media dan penerbitan dokumentari kejayaan Bumiputera.

Dengan adanya institusi spesifik yang diamanahkan untuk menerapkan pandangan alam dan jati diri yang sebenar, diharapkan ia sedikit sebanyak mengukuhkan kembali nuansa pola fikir dan budaya kita mengenai jeleknya rasuah dan mengejar kekayaan tanpa berusaha keras.

Contohnya, pemberian Bantuan Rakyak 1Malaysia (BR1M) menyangkut kepada persoalan nilai, yakni memberikan wang tanpa usaha atau BR1M suatu inisiatif yang baik bagi membantu ekonomi golongan B40.

Soal sesuatu inisiatif seperti BRIM itu baik atau tidak terpulang kepada pandangan alam kita. Saya tidak berniat untuk mengatakan BR1M itu inisiatif yang baik atau tidak kerana saya mahu pembaca sendiri menilainya.

Kita boleh membuat ratusan kongres seperti ini, tetapi yang akan menentukan jayanya sesuatu itu bergantung kepada usaha bangsa itu sendiri.

Kerajaan mungkin sudah menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan tetapi jika kita tidak berusaha, malah menjual kontrak dan mengali-babakan sesuatu kontrak siapakah lagi yang harus dipersalahkan?

Tepuk dada, tanyalah usaha kita wahai bangsaku.

Oleh Mohd Jamizal Zainol

Penulis adalah Pengasas Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE)

No Comments

    Leave a reply