Melayu dulu berani sekarang penakut: Tun Hanif Omar

SHAH ALAM, 25 Zulhijjah 1439H, Khamis – “Hak kita mesti dipertahankan. Tak ada siapa yang nak pertahankan hak kita. Ini kita segan… kita dah takut… Melayu yang begitu berani dulu dah jadi penakut.”

Demikian kenyataan tegas bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar ketika bercakap mengenai hak bangsa Melayu, termasuk Tanah Rizab Melayu dan bahasa Melayu.

Menjelas lanjut beliau yang juga Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM) berkata, siasatan terbaharu MPM menunjukkan Tanah Rizab Melayu kini hanya tinggal 12 peratus daripada 50 peratus yang diperuntukkan di seluruh negara, sebelum ini.

“Tanah Rizab Melayu tidak boleh dicagar, tapi sekarang ini dia (pemilik tanah) cagar kepada bank, buat perjanjian dengan bukan Melayu. Nama dia, tapi selama-lamanya tak berkuasa ke atas tanah itu, melainkan bayar balik hutang.

“Macam mana nak bayar hutang, (wang) habis dibelanjakan. Yang mencagar ni tuan tanah, orang Melayu sendiri,” katanya kepada wartawan selepas berucap pada Konvensyen Karamah bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.

Menjawab soalan, Hanif menolak kemungkinan ada konspirasi untuk mengurangkan Tanah Rizab Melayu, tetapi menjelaskan cara paling mudah untuk memiliki tanah ialah mengambil hak Melayu dan tidak dipulangkan semula.

Katanya, Tanah Rizab Melayu tidak boleh dicagar dan jika berbuat demikian maka sebarang perjanjian akan terbatal, manakala tanah itu boleh diambil semula.

“Bagi saya hak kita mesti dipertahankan. Tak ada siapa yang nak pertahankan hak kita. Ini kita segan… kita dah takut… Melayu yang begitu berani dulu dah jadi penakut.

“Guan Eng (Menteri Kewangan Lim Guan Eng) buat statement dalam bahasa Cina, saya kena protes… dia kata ini Malaysia baru, Tun tegur dia mengatakan ini kesilapan kecil… dia kata ini Malaysia baru… mana boleh… saya kena protes… tua-tua pun saya kena turun padang (sebab) ada dalam undang-undang

“Kalau nak guna bahasa lain selain bahasa Melayu, mesti menyatakan keperluannya menggunakan bahasa lain.. menyatakan public interest.. bercakap dengan orang Cina di sini.. orang Cina di sini bahasa dia mesti bahasa Melayu. Kita guna bahasa Melayu untuk menyatupadukan rakyat.. tapi itu (kenyataan Guan Eng) nak pecahkan rakyat… Dia orang sini… cakaplah bahasa Melayu,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Hanif mengimbas sejarah sebelum kemerdekaan iaitu pada Mei dan Jun 1957, di mana orang Melayu masih curiga terhadap rancangan untuk menerima orang Cina dan India menjadi rakyat Tanah Melayu.

Oleh itu, katanya, pada 5 Ogos 1957, raja-raja Melayu mengeluarkan tujuh wasiat untuk meyakinkan orang Melayu supaya tidak takut menerima Cina dan India, memastikan raja Melayu kekal, bahasa Melayu menjadi bahasa Kebangsaan dan agama Islam dimasukkan sebagai agama Persekutuan.

“Dan kita akan bahagikan tanah ini kepada dua. Sebahagian daripada 50 peratus sebagai Tanah Rizab Melayu, manakala sebahagian lagi terbuka kepada semua kaum.

“Dalam Perlembagaan kata, kalau sesiapa ambil Tanah Rizab Melayu ini dan menukar status, dia mesti gantikan dengan tanah sebesar itu serta-merta… bukan bulan depan atau dua tiga tahun lagi… tapi serta-merta.

“Jadi sebelum awak buat itu, awak fikir dulu, mana nak ganti. Tapi oleh kerana kerajaan telah lalai, maka Tanah Rizab Melayu sudah tinggal 12 peratus. Sebab itu kami dari Majlis Perundingan Melayu akan bertemu kerajaan,” katanya.

Beliau juga menceritakan bagaimana sikap seorang peguam Cina apabila kerajaan baharu ditubuhkan.

“Bila kerajaan baru ditubuhkan ada seorang peguam Cina kata disebabkan sekarang Malaysia baru, semua orang tidak terikat dengan kontrak sosial.

“Saya kata baguslah … bila semua orang tidak terikat dengan kontrak sosial, saya pun tak terikat dengan kontrak sosial, awak sedar tak apa saya nak minta? Balik ke pangkal,” katanya.

Sumber : Ismaweb.net

No Comments

    Leave a reply