MELAYU ITU ASYIK; MELECEHKAN MELAYU JUGA ASYIK!!!

Tahniah Fakhrurrazi Rashid. Rencana anda ‘Umno-PAS perlu henti ‘tunggang’ Melayu demi agenda kuasa sendiri’, Free Malaysia Today, 20.2.2019, memang cantik untuk membuka gelanggang perdebatan minda tetapi mesti ada syaratnya. Syaratnya mudah, dibukakan gelanggang perdebatan dengan gitar rancak, bukannya gendang ibu ataupun silat pulut dan di gelanggang mestilah tidak ada pengadil. Hanya di luar gelanggang ada penyokong masing-masing. Saya tidak kenal siapa penyokong, sama ada penyokong anda ataupun penyokong saya.

Kita mulakan dengan melihat asas dan sejarah negara. Kita perlu melihat dalam tempoh yang lebih lama, dan bukannya bermula ketika Empayar Melaka terbina dan seterusnya kemasukan kuasa-kuasa penjajah. Saya memulakan penjelajahan itu kerana ada usaha Fakhrurrazi  menolak kenapa Melayu itu sebagai satu entiti yang penting dan mempunyai agenda kuasanya sendiri. Saya tetap pentingkan Melayu, tetapi kepentingan itu bukan atas pemahaman politik yang diistilahkan sebagai perkauman.

Sebelum Malaysia digagaskan sebagai sebuah negara, wilayah Melayu adalah dalam kawasan benua Sunda (baca Stephen Oppenheimer, Eden in the East: The Drowned Continent of Southeast Asia, 1999). Ada istilah lain dipanggil ke atas Tanah Melayu, iaitu Semenanjung Emas atau Aurea Chersonesus oleh Ptolemy. Dalam teks Hindu kemudiannya, ada istilah Swarnabhumi, yang bermaksud bumi emas.

Jadi, berasaskan sejarah, tidak ada wilayah yang dinamakan Semenanjung Malaysia. Yang ada hanya Semenanjung Tanah Melayu dan dalam bahasa Inggeris disebut Malaya atau Malay Peninsula. Ia membawa maksud, asas wilayah Malaysia adalah Tanah Melayu, dan kuasa yang dominan ialah kuasa politik Melayu, bukan kuasa Inggeris, China mahupun India. Pengaruh-pengaruh itu datang kemudiannya. (Baca, Anthony Milner, Kerajaan: Budaya Politik Melayu di Ambang Pemerintahan Kolonial, 2016).

Akibat terpesona dengan rangka kerja akademik, menggunakan sampel kecil dan merumuskan kesimpulan yang besar, maka pengherotan sejarah mula dijadikan bahan perdebatan saperti pernah dituntut oleh Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran. Hanya berasaskan penemuan prasasti dan artifek berunsur Hindu di Lembah Bujang, maka orang Melayu dianggap sebagai pendatang. Mujurlah polemik itu tidak berpanjangan, M Kulasegaran akhirnya memohon maaf.

Begitu juga dengan dakwaan beberapa orang ahli politik yang berusaha menempatkan kedudukannya sebagai leluhur  bagi negara ini, sehingga sanggup melenyapkan hubungan sejarah leluhurnya sendiri. Mereka melihat bahawa ada orang Melayu datang dari Sumatera, maka keseluruhan leluhur Melayu dirumuskan sebagai ‘pendatang’. Mereka lupa bahawa wilayah Melayu itu adalah luas, bukan hanya Tanah Melayu. Wilayah Melayu menganjur hingga ke Lautan Hindi, memasuki Filipina dan juga boleh sampai ke perbatasan Papua New Guniea dan Irian Barat. Wajah budaya dan adat resamnya banyak menyerupai, kalaupun berbeza hanyalah daripada perspektif agama.

Fakhrurrazi mungkin belum membaca apa yang dilaporkan mengenai penemuan pandangan seorang sarjana dari Filipina bahawa nama asal negara tersebut ialah Mahandrika. Akibat penjajahan, nama asli itu ditukarkan untuk kepentingan penjajahan. Penjajah Sepanyol pernah mengkhianati Appolonaire de san Jose, seorang tokoh tempatan yang sangat bencikan penjajah.

Apolonaire dianggap sebagai ‘orang gila’ kerana membangkitkan pemberontakan Hukbalahap. Begitu juga dengan peraturan dan undang-undang di negara ini. Kalau tidak kerana pelecehan itu, JWW Birch tidak akan dibunuh oleh Datuk Maharajalela. Kalau bukan kerana keangkuhan Inggeris, tentunya Tok Janggut tidak berperang di Pasir Puteh. Bagi Inggeris, pembunuhan itu adalah jenayah tetapi pelecehan dan penindasan yang dilakukan oleh mereka bukan jenayah.

Di sini sudah terbentuk kontradiksi. Maka, di manakah sudut pandang yang kita harus akui untuk tidak memperlekehkan kebangkitan orang Melayu. Begitu juga apabila UMNO-PAS  menunggang Melayu demi agenda ‘kuasa sendiri’. Perspektif manakah yang anda pakai? Apakah perspektif anda itu betul manakala perspektif saya adalah salah? Saya melihat perkara ini saperti satu bentuk mindset.

Mindset dibentuk melalui pengalaman dan pendidikan. Juga dipengaruhi oleh prasangka atau perkiraan tertentu. Tapi, kadangkala kita terlupa bahawa mainstream lebih banyak menentukan. Sebab mainstream itu terhasil menerusi proses indoktrinasi. Itulah mainstream yang sedang anda gagahi, walhal ia bukanlah mindset sebenarnya. Anda percaya begitu kerana sudah terlalu lama fikiran diindoktrinasikan bahawa Islam dan politik adalah dua hal yang berasingan. Dua entiti yang tidak boleh disatukan. Agama lain, politik lain.

Atas kepentingan penjajahan, Inggeris memisahkan orang Melayu dengan primodialnya manakala buruh-buruh asing diberikan kebebasan mengekploitasi ekonomi asal tidak menentang kuasa penjajahan. Itulah dasar ‘pecah dan perintah’ yang hingga sekarang masih mempunyai kesannya kepada struktur sosio-politik masyarakat Malaysia walaupun konsep masyarakat majmuk diterima sebagai ‘kesatuan dalam kepelbagaian’.

Kenapa berlakunya jurang ekonomi antara kaum? Saperti diungkapkan oleh Dr Muhammed Abdul Khalid, Antara Dua Darjat: Agihan Pendapatan di Malaysia, 2018, adalah disebabkan faktor sejarah. Orang Melayu enggan bekerjasama dengan penjajah walaupun hubungan antara British dan pemerintah adalah kuat. Keengganan itu menyebabkan British membawa masuk buruh asing (China untuk sektor perlombongan bijih timah dan India untuk sektor perladangan, terutama getah). Buruh-buruh asing ini tidak berinteraksi dengan penduduk peribumi disebabkan faktor pekerjaan dan dasar pemisahan penjajah.

Dr Muhammad Abdul Khalid kini adalah penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri turut mengakui, jurang sosioekonomi berlaku meliputi banyak situasi dan bidang, termasuk pendidikan dan juga penempatan. Orang-orang China menguasai kawasan bandar manakala orang Melayu mendekati kawasan pinggir bandar dan luar bandar (bukan pedalaman) manakala orang China semakin meninggalkan perkampungan tradisi mereka di ladang-ladang. Banyak ladang-ladang sudah berubah dan dibangunkan dengan pelbagai projek perumahan dan perindustrian, menyebabkan sebahagian orang India berhijrah ke bandar dan pinggir bandar.

Corak pekerjaan juga menyebabkan terbentuknya polarisasi kaum dan hingga kini, walaupun diadakan pelbagai dasar untuk tidak memperlihatkan adanya dominasi kaum tertentu, ia masih belum berjaya sepenuhnya atas kehendak dan keinginan mempertahankan primordial serta prejudis. Fakhrurrari hanya melihat faktor ini dalam bingkai masyarakat Melayu. Maknanya, beliau sendiri sudah memprejudiskan persepsinya apabila menyalahkan UMNO dan PAS menggunakan orang Melayu untuk memperkukuhkan agenda politiknya.

Usah ditanya kenapa orang China begitu segan untuk menerima orang Melayu dalam setiap aktiviti ekonominya, kecualilah untuk melariskan produk mereka. Usah ditanya kenapa orang Melayu sukar diterima dalam mana-mana syarikat yang diasaskan oleh orang China mahupun yang didominasi oleh mereka. Cubalah membaca secara jelas, peratus kakitangan Melayu dalam syarikat bukan Melayu dan sejauhmanakah pekerja Melayu diberikan ruang dan peluang kenaikan pangkat atau promosi secara jujur dan professional.

Mungkin Fakhurrazi belum membaca laporan yang pernah menjadi viral; sikap pengurus China terhadap calon pekerja Melayu dan bukan Melayu hanya kerana keturunannya. Alasan sengaja direka-rekakan, kononnya, calon pekerja Melayu tidak fasih berbahasa Mandarin sedangkan tahap kelulusan antaranya setanding. Bukankah ini menunjukkan agenda perkauman adalah lebih besar dalam kalangan bukan Melayu, tetapi, tindak-tanduk mereka sebenarnya lebih tersorok dan sengaja disembunyikan.

Apakah Fakhurrazi pernah membawa sebuah buku yang ditulis oleh seorang usahawan China mengenai sikap sebenar peniaga berketurunan Cina di Malaysia? Sekiranya belum, saya cadangkan belia membacanya dengan tekun, kerana didalamnya ada garis-garis perkauman yang meloyakan dipraktikkan oleh sebahagian peniaga Cina warganegara Malaysia. (Baca, Ye Lin-Shing, The Chinese Dilemma, 2003).

Memang benar, orang Melayu mempunyai agenda sendiri. Tetapi, ia tidak bermakna bukan Melayu tidak mempunyai agenda perkauman mereka. Jika bukan Melayu tidak mempunyai ‘agenda perkauman’ tidak mungkin kedengaran bahawa syarikat-syarikat milik bukan Melayu tidak membantu menyalurkan peruntukan periklanan mereka dalam media kepunyaan orang Melayu.

Kita mungkin melihat kenapa akhbar-akhbar yang dimiliki oleh bukan Melayu boleh maju? Sebabnya syarikat-syarikat kepunyaan mereka bersedia mengeluarkan perbelanjaan promosi hanya dalam kalangan akhbar-akhbar yang dimonopoli oleh mereka walaupun kadar bayarannya adalah mahal.

Mungkin ada berkata, ia bergantung kepada ‘return on investment’. Ia tertakluk kepada edaran dan khalayak pembaca. Ia bukan sesuatu yang wahid, sebabnya, mereka tidak mahu berkongsi dengan orang Melayu secara adil dan saksama. Mereka hanya memohon agar kuasa politik Melayu berusaha sedaya upaya untuk bertindak secara adil dan saksama.

Bahkan ketika institusi-institusi Islam dipersoalkan kewajaran menggunakan bajet kerajaan, bukan Melayu menuduhnya sebagai langkah tidak adil. Agama lain, selain Islam didiskriminasikan kerana tidak diberikan peruntukan oleh kerajaan walaupun mereka adalah juga pembayar cukai. Apakah itu sesuatu alasan yang adil dan sakama?

Sebagaimana makna adil, ia adalah kedudukan di tempatnya. Ini bererti, kerana Islam adalah agama persekutuan, maka peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan untuk tujuan tersebut bukanlah langkah mendiskriminasikan agama-agama lain. Secara berperaturan memang jelas, agama-agama lain boleh diamalkan tetapi bukan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk dikembangkan.

Kerajaan bertanggungjawab mempertahankan agama-agama itu daripada diperlekehkan atau dimusuhi oleh sesiapa pun. Begitu juga, bila Islam diperlekehkan, kerajaan berhak mengambil tindakan dan mengadili mereka yang berusaha ‘menggugat ketenteraman awam’ atau melahirkan situasi tegang dan berkonflik. Inilah yang sepatutnya difahami; difahami oleh semua orang, termasuk orang Islam dan bukan Islam; orang awam dan pemimpin politik.

Tidak ada negara yang tidak memancing undi tanpa dikaitkan dengan agama.Fakhurrazi mungkin terlupa, ketika kempen Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama turut diseretkan dengan persoalan agama untuk membunuh peluangnya menjadi presiden. Oleh sebab namanya ada berbau Islam, iaitu Barrack Hussein Obama, beliau didakwa cenderung membela Islam. Masyarakat Amerika Syarikat juga  berlaku tidak jujur, kerana Obama bukanlah seorang penganut Islam walaupun ibu bapa memeluk Islam selepas berkahwin dengan penganut Islam. Obama kekal dengan agama Kristiannya.

Seharusnya Fakhurrazi tidak mudah membuat kesimpulan bahawa UMNO-PAS menunggang agama hanya kerana beliau tidak memahami bahawa ada perbezaan yang ketara makna politik menurut Islam dan pandangan sekular. Bahkan, dalam politik sekular sekali pun, agama seseorang turut menjadi bahan serangan politik yang menakutkan sebagaimana berlaku ke atas sebuah parti politik yang diasaskan oleh Geert Wilder di Belanda. Beliau memang anti Islam, tetapi kenapa Fakarrurazi tidak membingkaikan perjuangan politik itu mengatasnamakan agama dengan menyerang Islam?

Islam tidak berpisah daripada politik dan kerana itulah Imam al-Ghazali tetap mengesyorkan agar politik digunakan secara jernih dan beretika, agar tidak menjadi suatu malapetaka. Apa yang direncanakan oleh Fakhurrazi sebagai ‘agenda kuasa sendiri’ adalah mirip malapetaka sedangkan politik Islam ialah untuk kemaslahatan ummah. (Baca, Alier Anor Abdul, Negara Maslahah Dalam Konteks Malaysia, ITM-UTM, 2017; Azman Tamimi, Rachid Ghannouchi: Seorang Demokrat Dalam Wacana Islamisme, IRF, 2018; dan Muhammad Assad, The Principles of State and Government in Islam, 1961).

Fakhurrazi jangan tergesa-gesa membuat kesimpulan sebagaimana dilakukan oleh Robert B Railey apabila melihat keenganan ilmuan Islam saperti al-Ghazali untuk memekarkan falsafah sebagai kemenangan yang malang sehingga menyebabkan Tertutupnya Pemikiran Kaum Muslimin (2017).

Al-Ghazali menolak pendekatan falsafah adalah sejalan dengan keputusan beberapa ulama sebelumnya kerana bidang terlalu memerdekakan pandangan rasional sehingga melihat bahawa Tuhan tidak mempunyai ‘campur tangan’ dalam setiap kehidupan manusia sedangkan dalam konsep tauhid, manusia adalah makhluk yang diciptakan oleh Dia, seluruh hidup dan mati adalah ketententuan. Hanya dalam beberapa perkara sahaja Allah memberikan kebebasan kepada manusia untuk berfikir, dan menyelesaikan kemelut hidupnya, bukan rasional mutlak.

Apakah Fakhurrazi terlupa bahawa politik adalah satu daripada aspek kehidupan manusia? Maka politik itu tidak boleh dipisahkan daripada mengajak manusia untuk ‘kebaikan’ dan menolak ‘kemungkaran’? Maka, apabila UMNO-PAS bergerak atas landasan untuk menyatukan Melayu-Islam di Malaysia adalah suatu kesalahan fatal da nada ‘agenda kuasa sendiri’? Usahlah berfikir seluas langit yang terbentang kerana langit itu tidak dapat dikejar oleh manusia dan Allah SWT telah memberikan ingatan, ikan di sungai tidak boleh hidup kalau dilepaskan di lautan berair masin.

Begitulah juga dengan telor ayam. Walaupun tidak ditembusi udara dan dimasuki air, proses penetasannya tetap memerlukan kepanasan matahari; bukannya kelembaban hujan. Setiap sesuatu ada hakikat dan natijahnya, ia perlu dilihat dalam perspektif apa ‘UMNO-PAS’ menunggang Melayu agar Melayu tidak menjadi ‘dungu dan beku’.

Jika ada pemimpin UMNO dan PAS yang melakukan kesalahan, kita terimanya sebagai suatu kesalahan dan perlu dihukum. Tetapi, kita jangan pula mempertahankan PPBM, PKR, DAP mahupun PAN yang melakukan kesalahan, kerana orang politik memang sentiasa diuji kejujurannya, keran orang politik ada kuasa dan boleh sahaja menyalahgunakan kuasa. Kita tidak perlu berbohong hanya UMNO dan PAS ada agendanya, semua parti politik ada agendanya masing-masing. Bacalah dengan mata hati dan akal yang jernih, bukannya lurus telunjuk kelingking berkait.

Salah boleh berlaku kepada sesiapa pun, baik orang perseorangan mahupun organisasi politik. Sebab utamanya ialah kerana kuasa dan kesilapan menggunakan kuasa saperti huraikan secara menarik oleh Michael Korda dalam Power! How to Get It, How to Use It,1975.

Jangan-jangan Fakhurrazi sudah terjangkit wabak menyerang Melayu itu asyik sebagaimana Dr Mahathir yang sentiasa mengutuk orang Melayu; bukan itu caranya untuk mengubah psikologi orang Melayu. Orang Melayu boleh mengamuk jika dirinya diperlekehkan, dan dalam masa yang sama, orang Melayu boleh menunduk jika teguran dan caranya tepat. Itulah yang disarankan, ada adat dan hemahnya.

Seharusnya dapat kita pisahkan: mindset dan mainstream. Jika perbezaannya belum berlaku, ertinya seluruh pandangan kita berpihak kepada mainstream. Tidak semua mainstream betul dan perlu dipertahankan. Tetapi, mindset itu sebenarnya yang dapat menentukan bentuk dan rupa ‘tunggangan’ untuk agenda Melayu-Islam di Malaysia, bukan hanya untuk survivalnya bahkan untuk kebangkitan sebuah peradaban politik yang berteraskan Islam, bukannya Islamisme. Sebuah jihad intelektual yang dituntut dan diperjuangkan, bukan untuk diperlekehkan.

 

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply