MELUPUS BEBAN BUDAYA

Jerman merupakan negara Eropah terbesar mempunyai rakyat keturunan Turki. Sejarah kemasukan warga negara Turki bermula selepas Perang Dunia II, khususnya pada tahun 1960-an. Selepas kuasa Hitler ditamatkan, Jerman memulakan revolusi industrinya dengan mengadakan perjanjian ‘dwi kerakyatan’ dengan Turki, di mana rakyat Turki yang dibawa masuk sebagai pekerja dibenarkan mempunyai kerakyatan Jerman dan Turki.

Sehingga kini, dianggarkan terdapat sejumlah 4 juta penduduk Islam di Jerman di mana lebih separuh adalah keturunan Turki. Selebihnya adalah dari Arab Saudi, Afrika, Pakistan , Palestin, India, Bosnia, Aljeria, Lebanon, Moroko dan yang terbaharu ialah pengambilan sejumlah pelarian Syria. Islam menjadi agama kedua terbesar di Jerman selepas Kristian.

Akibat pertembungan dua ideologi, Jerman terbahagi kepada dua negara, iaitu Jerman Barat dan Jerman Timur. Jerman Timur dibentuk pada tahun 1949 dibawah pengaruh Soviet Union, manakala Jerman Timur dengan sistem politik demokrasi-kapitalis.

Semasa diperintah oleh Parti Perpaduan Sosialis, yang berkuasa penuh ke atas ekonomi dan media, regim yang memerintah Jerman Timur turut mengawal kehidupan rakyatnya termasuk soal pekerjaan, individu bagi setiap keluarga, sehingga menimbulkan rasa tidak gembira sebilangan besar rakyat.

Dua belas tahun pertama, seperempat daripada populasi Jerman Timur dilaporkan berpindah ke Jerman Barat dan atas sebab itulah Tembok Berlin mula dibina. Tembok Berlin selesai pembinaannya pada tahun 1961. Akibatnya, rakyat Jerman Timur mula memikirkan bagaimana kaedahnya untuk melenyapkan penguasaan Parti Perpaduan Sosialis agar kehidupan mereka menjadi lebih baik.

Beberapa siri pemberontakan telah muncul dan pada musim luruh 1989, pemberontakan aman selama beberapa bulan akhirnya berjaya memaksa pemerintah untuk mengadakan satu pilihan raya bebas pertama selepas 40 tahun. Pilihan raya yang diadakan pada 8 Mac 1990 dan pada 3 Oktober 1990, keputusan diambil untuk membentuk Republik Persekutuan Jerman, yang kemudiannya membawa kepada penyatuan kepada dua negara, Jerman Barat dan Jerman Timur.

Proses penyatuan itu bukanlah hasrat sebenar penduduk Jerman Timur, apa yang mereka inginkan reformasi politik dan diberikan kebebasan.

Akibat penyatuan ini telah membawa ‘kekecewaan bagi kebanyakan warga Jerman Timur kerana proses ini menyebabkan pertubuhan-pertubuhan, bandar, universiti dan akhirnya pekerjaan mereka diambil alih oleh Jerman Barat. Lebih buruk lagi, mereka mendapati bahawa kini mereka merupakan rakyat kelas kedua, dipandang rendah, dituduh sebagai mempunyai status yang lebih rendah, ketinggalan dan malas.’

Itu adalah kesimpulan yang dibuat oleh Dephane Berdahl (1924-2007) seorang ahli antropologi selepas penyatuan Jerman yang berminat dalam kajian Jerman Timur dan Pasca Industri Eropah. Gambaran tersebut turut melengkapkan kajian seorang lagi ahli etnografi keturunan Turki, Dr Esra Ozyurek dalam kajiannya selama tiga setengah tahun ke atas masyarakat Islam di Jerman.

Esra Ozyurek merupakan profesor madya di Institut Eropah, London Schools of Economin dan sebelumnya mengajar di University California, San Diego (2003-2013). Setahun seelepas memperoleh ijazah kedoktoran dari University of Michigan, Ezra memulakan kajiannya untuk memahami perilaku masyarakat Islam di Jerman atas dorongan persekitaran etnik yang diwarisinya, iaitu keturunan Turki.

Hasil kajian yang bersifat verseteheen, sebagaimana dilakukan oleh Max Weber ke atas masyarakat Kristian Protestan, Esra membuat kajian kaedah yang sama ke atas masyarakat Islam di Jerman, yang kemudiannya diterbitkan oleh Princeton University Press pada tahun 2014 dengan judul Being German, Becoming Muslim: Race, Religion, and Conversion in the New Europe. Buku ini kemudiannya diterjemahkan oleh Yusmalia Yusof dan diterbitkan oleh ZI Publications Sdn. Bhd., Petaling Jaya (2017) dengan tajuk Kekal Jerman, Menjadi Muslim: Bangsa, Agama dan Penukaran Agama di Eropah Baru.

Dr Esra Ozyurek mengakui bahawa dirinya adalah kelahiran Turki beragama Islam, tetapi tidak ‘taat mengamalkan Islam’ telah cuba untuk menjalankan temu bual separa berstruktur bersama enam puluh mualaf dan empat belas peribumi kelahiran Muslim yang aktif dalam konteks Muslim berbahasa Jerman. Tujuannya ialah ‘membuat tinjauan penting mengenai tren dan ketegangan di dalam komuniti Muslim Jerman yang kecil tetapi erat’ bagi memahami ‘kehidupan Muslim Jerman yang mempunyai integriti yang kompleks dan kepelbagaian yang begitu besar’ (hal. 45).

Sepanjang penyelidikannya selama tiga setengah tahun, Dr Esra tidak mengalami banyak masalah kerana ‘sebagai Muslim’ ia memudahkan perhubungan walaupun penduduk Muslim Jerman berhadapan dengan pelbagai ketegangan dan cabaran besar dalam kehidupan hariannya.

Secara jujurnya, Dr Esra mengakui bahawa Muslim Jerman terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu mualaf dan keturunan imigran yang dipelawa sebagai pekerja untuk memenuhi industri di Jerman sebagai ‘pekerja undangan’ yang membolehkan mereka memiliki ‘dwi kenegaraan’.

Kumpulan mualaf merupakan keturunan Jerman, yang sebahagian besar adalah dalam kalangan penduduk Jerman Timur yang mengalami ‘kesan psikologi’ akibat penyatuan Jerman, manakala sebahagiannya merasakan hidup dalam ‘jiwa kosong’ kerana keyakinan dan kehadiran Tuhan adalah sesuatu yang dianggap bertentangan dengan ideologi politik.

Sebahagian besar mualaf wanita tempatan berkahwin dengan ‘kaum imigran’ termasuklah kisah Zehra, yang membesar dalam keluarga ateis. Keluarga ateis amat mementingkan material dan hanya percaya kepada apa yang dilihat. Jika ada pun sekelumit kepercayaan beragama, menurut Zehra, “Kami ke gereja untuk menonton konsert ataupun pada Hari Krismas. Tetapi kami tidak pernah ke sana untuk beribadah ataupun beribadah di rumah.” (hal. 119).

Bagi masyarakat Jerman Timur, ornag yang mendekati gereja dilihat sebagai sesuatu yang mencurigakan dan sebab itulah ramai melakukan ritual agama di rumah. Bagaimanapun, keluarga Zehra merupakan ‘penentang rejim penindas’ termasuk ajaran Marx-Lenin. Sebagai penentang, bapa Zehra melarikan diri ke Jerman Barat awal tahun 1960-an manakala bapa saudaranya dipenjara.

Sedikitpun tidak mengementarkan perjuangan Zehra dan sejak dibangku sekolah, beliau menolak mengenakan pakaian seragam sekolah. Meskipun mempunyai keputusan cemerlang, beliau tidak diberikan sebarang diploma dan pernah dihukum sosial. Sewaktu berusi tiga belas tahun, Zehra menyertai gerakan keamaan Mahatma Ghandi, dan ketika kajian dilakukan oleh Dr Esra, Zehra masih ‘aktif sebagai pembangkang di atas sebab politik’. (hal.121).

Zehra pernah diluluskan visa untuk melawat bapanya walaupun ketika itu sedang berlangsung pergolakan politik di Jerman Timur, di mana beliau adalah salah seorang yang berjuang untuk menjatuhkan rejim. Ketika melangkah kaki ke Jerman Barat buat pertama kalinya, Zehra mengalami kejutan budaya yang besar apabila ‘di mana-mana sahaja terdapat iklan yang menunjukkan wanita separa berpakaian’.

Beliau sedih dan kecewa dengan apa yang dilihat itu dan meluahkannya kepada bapanya. Bagaimanapun, bapanya memberitahu “Ini bukanlah Golden West (Barat yang hebat) seperti yang kamu dengar di Jerman Timur.” (hal. 122)

Imbasan itu menurut Dr Esra ‘mungkin dipengaruhi oleh kesedaran Muslimnya sekarang, terutamanya terhadap ekspoloitasi wanita di papan iklan’ walaupun semasa membesar di Jerman Timur, ‘Zehra sudah terdedah kepada mereka yang mendedahkan tubuh badan di pantai awam, tetapi tidak pernah sebagai satu komoditi.’

Zehra bukanlah satu-satunya yang wanita yang mengalami kejutan budaya sedemikian dan berdasarkan kajian John Borneman (1991), mereka yang berhadapan dengan situasi itu apabila pulang ke Jerman Timur, “biasanya pulang dengan perasaan nilai diri yang menurun, ragu-ragu dan ketakutan, seolah-olah telah disakiti oleh kuasa besar’.

Zehra diminta oleh bapanya agar meneruskan pengajian di Jerman Barat, tetapi beliau enggan kerana ‘mahu jadi pembangkang’ dan ‘Barat bukanlah untuk saya.” Sekembalinya ke Jerman Timur, Zehra terus membabitkan diri dalam gerakan menentang regim, walau bagaimanapun, setelah regim itu tumbang, rakyat Jerman Timur terus merasakan kecewa kerana kehidupan sebenar tidak seindah yang difikirkan sebelumnya, segala-galanya telah berubah dan perasaan gembira menjadi ‘putus asa, kemenangan kepada kekalahan’ kerana tidak mampu melawan ‘kemewahan Barat’. (hal.123).

Akibat runtuhnya Tembok Berlin (1989) penduduk Jerman Timur walaupun dibebaskan daripada ‘pemenjaraan yang panjang’ masih belum terhapus sepenuhnya ‘perasaan terjerat’. Penduduk Jerman Timur semakin kehilangan ‘kawalan terhadap hidupnya’ di mana ‘struktur politik yang menggariskan kehidupan rakyat kepada asas kehidupan –harga barangan, sewa dan pekerjaan yang terjamin, semuanya hilang dibawa angin.

Zehra juga buntu dengan apa yang perlu dilakukan. Ketika itu beliau berusia 2o tahun, di mana beliau sepatutnya berharap untuk memulakan kerjaya, semuanya kelihat gelap, menurutnya, ‘saya mula melihat segalanya melalui kaca mata hitam…Saya jatuh sakit dan tidak mampu pulih. Ramai kenalan saya yang mengalami kemurungan yang dahsyat.” (hal.124). Akhirnya telah membuka mata kepada realiti dunia, termasuk mengembara untuk mencari realiti baharu dan mengetahui orang yang berbeza dan agama yang berbeza.

Akibat ingin tahu semuanya, Zehra mempelajari Buddhisme dan cuba bermeditasi, ia juga gagal sehinggalah pada suatu hari, seorang lelaki Turki duduk di sebelahnya ketika hadir dalam satu gerakan yang dipanggil Agama Dunia Untuk Keamanan Dunia. Apabila ditanya oleh lelaki Turki tersebut, Zehra memberitahu “saya percaya kepada satu Tuhan, tetapi saya tidak boleh percaya tidak boleh percaya bahawa Nabi Isa memikul dosa kita. Ia tidak masuk akal kepada saya.”

Lelaki Turki itu merupakan pengajar mengenai Islam di sebuah pusat pendidikan dewasa dan suatu hari, jelas Zehra, “dia memberitahu saya Anda sudahpun seorang Muslim.Anda percaya kepada satu Tuhan dan anda percaya kesemua Nabi adalah setaraf. Pergilah mencubanya.”

Selepas itu, Zehra melakukan apa yang termampu, belajar berdoa dan mengambil serius cadangan lelaki Turki tersebut. Zehra merasakan pengalaman berdoa dan bayangan malaikat telah mengubah hidupnya. Ia telah memberikan ‘pembukaan mental yang hebat’ dan ‘memberikan ketenangan yang mendalam’. Zehra tidak ‘menjadi Muslim serta merta’ sebaliknya ikut mempelajari Kristian.

Bagaimanapun, Zehra ikut menyesali apa yang dialaminya sehinggalah beliau berkata “saya dilahirkan pada waktu yang salah. Saya sepatutnya lahir di Jerman dua ratus tahun dahulu. Saya tidak faham mengapa saya di bumi pada waktu ini, ini bukan untuk saya.”

Lelaki tersebut memberitahu “ Tuhan menghantar kamu ke dunia ini untuk masa ini, bukan untuk kurun ke lapan belas. Sekarang tahun 1990, Tembok telah runtuh. Masyarakat kamu berpecah. Kamu telah banyak kehilangan. Kamu harus menerimanya.” (hal.129).

Kesedaran itu telah melembutkan hati Zehra walaupun telah kehilangan Jerman Timur, dan telah memberikan kekuatan ‘untuk menerima keadaan dan meneruskan hidup, bukan terus menafikan dan berharap kehidupannya adalah kehidupan yang berbeza’ . Beliau akhirnya menerima ‘diri sendiri, iaitu warga Jerman Timur yang mana masyarakatnya telah hancur, beliau telah bersedia menerima sepenuhnya Islam dan Tuhan.”

Ketika itu, pengetahuan sepenuhnya mengenai Islam dalam bahasa Jerman terlalu sukar kerana kebanyakan ‘kaum imigran’ hanya mementingkan kelompok dan keetnikan mereka. Kaum imigran tidak bergaul dengan masyarakat setempat dan tidak juga mempelajari bahasa Jerman untuk berkomunikasi, mereka masih berusaha mengekalkan budaya dan tradisi yang dibawa daripada leluhurnya.

Suasana itu menyebabkan penduduk Islam di Jerman tidak menunjukkan penyatuan yang jelas sehinggalah peranan untuk mengembangkan dakwah Islam secara meluas diambilalih oleh mualaf yang sebahagian besarnya berasal dari Jerman Timur. Akibat penyatuan dua Jerman yang terpisah, penduduk Jerman Timur yang serba kekurangan dari aspek pendidikan dan kekuatan ekonomi, terus dilihat sebagai warganegara kelas kedua.

Akibatnya, ramai mualaf mula merasakan kehidupan mereka tidak begitu menarik dalam perubahan sistem sehinggalah sebahagiannya mencari jalan penyelesaian yang terbaik, iaitu mendekatkan diri dengan Islam. Permulaan itu menyebabkan sebahagian mualaf berkahwin dengan kaum imigran, atas ‘keperluan agama’ dan berusaha membaiki corak hidup mereka supaya menjadi lebih teratur dan terisi dengan kemahuan spiritual.

Generasi yang lahir dalam kelompok Muslim berhadapan dengan pelbagai kesukaran, termasuklah penerimaan dalam kalangan penganut Islam sendiri yang mementingkan leluhur dan pengiktirafan oleh pihak pemerintah. Walaupun asalnya mereka adalah warganegara yang sah, dilahirkan di Jerman oleh keluarga asal berbangsa Jerman, disebabkan pilihan agama adalah Islam, menyebabkan kehidupan mereka turut menjadi sukar.

Gambaran inilah yang membuatkan buku tulisan Dr Esra Ozyurek begitu menarik bagi kita memahami persekitaran hidup masyarakat Muslim di Jerman, negara kedua terbesar mempunyai komuniti Muslim selepas Perancis. Memahami keadaan ini juga dapat membantu kita melihat, apakah Muslim di Jerman akan terus menjadi bahan politik dan propaganda oleh sekumpulan radikal bukan Islam, kerana pembabitan masyarakat Islam dalam aktiviti radikal adalah terlalu kecil dan secara sukarela, bukan mewakili komuniti Islam seluruhnya.

Apa yang diteliti oleh wanita keturunan Turki dalam buku ini boleh memberikan gambaran jelas, sebagai warga dunia dan yang mempunyai kerakyatan Jerman, hak mereka tidak wajar diruntuhkan. Mungkin boleh dipersoalkan ialah sikap ‘kaum imigran Muslim’ yang sukar untuk mempelajari dan memahami keperluan hidup sebagai seorang Jerman Muslim, mesti fasih berbahasa Jerman dan menghormati nilai-nilai Jerman, bukan berusaha mengturkikan Jerman atau mengarabkan Jerman.

Inilah yang dipanggil sebagai ‘beban budaya’ oleh Dr Esra dalam kajiannya, maka, ‘beban budaya’ itu mestilah dilupuskan. Islam adalah sebuah cara hidup yang tidak disempadankan oleh ‘beban budaya’ kerana Islam telah lengkap dengan nilai-nilai hidup yang luhur. Budaya tidak mempengaruhi ‘kerangka Islam’ tetapi Islam menentukan bentuk budaya kerana Islam adalah cara hidup, bukan hanya sekadar ritual dan tradisi yang menjerat.

Ulasan Kamarun KH.

No Comments

    Leave a reply