MEMAHAMI DIALOG ANTARA AGAMA DAN MENCARI REALITINYA DI MALAYSIA

Komunikasi merupakan suatu kemestian untuk semua manusia. Kehidupan tanpa komunikasi akan menyebabkan manusia berbalah dan berperang sesama sendiri sedangkan dalam masyarakat haiwan, pola komunikasi yang terjalin antaranya membolehkan spesies itu hidup dalam kumpulan, masing-masing berusaha untuk kehidupan yang lebih baik dan terjamin. Hal ini semakin tidak berlaku dalam masyarakat manusia, setiap orang akan terus hidup dengan budaya individualistiknya, bahkan ada ketikanya sanggup pula merobohkan norma kumpulan kerana melihat ia sebagai halangan ataupun peraturan lapuk.

Ketika dunia heboh dengan perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat, manusia sekali lagi melihat fungsi komunikasi antara mereka adalah sebagai satu bentuk perkongsian dalam kerangka yang terhad. Perkongsiannya hanya sekadar kebersamaan minat, kecenderungan dan matlamat, bukan suatu usaha menggukuhkan norma-norma kumpulan sebagaimana diertikan menerusi pendekatan dinamik kumpulan. Hari ini, sekali lagi rakyat Malaysia menerima kejutan kerana antara kaum, antara agama dan juga intrakaum atau intraagama berlaku suasana yang tidak harmoni, sama ada atas alasan politik dan perebutan pengaruh hinggalah ke persoalan menuding jari sepenuhnya kesalahan kerajaan apabila kos sara hidup meningkat.

Peter Nixon, yang berpengalaman dalam perundingan komunikasi antarabudaya melihat fenomena dunia sekarang benar-benar dalam keadaan berkrisis, ke mana sahaja kita pergi seantero dunia kita akan berhadapan dengan pertentangan, dari isu ekonomi, alam sekitar, sosial atau kesihatan, kerana kehidupan kita sebenarnya berada dalam situasi kelam-kabut. Biarpun teknologi komunikasi menjadi begitu canggih, yang sepatutnya dapat merapatkan jurang persefahaman dan menenggelamkan banyak ketidaktentuan, ia memang tidak berlaku kerana kecepatan itu membuatkan manusia berada dalam kebingungan. Trend ini sebenarnya sudah diramalkan oleh Alvin Toffler ketika melihat kejutan masa depan, dari segi teknologi ia telah berjaya melipatgandakan proses penyebaran maklumat, tetapi dari segi memproses maklumat bagi mendapatkan “kesamaan atau persefahanan” ia masih perlahan. (Alvin Toffler, Future Shock, 1970).

Atas sebab itulah Peter Nixon menjelaskan, komunikasi sebenarnya masih belum cukup. Kita memerlukan inovasi dan mencari jalan untuk melakukannya secara berbeza. Ia memerlukan dialog berkesan di pelbagai peringkat, di pejabat, di rumah dan dalam masyarakat. (Peter Nixon, Dialogue Gap: Why Communication Isn’t Enough and What We Can Do About it. Fast, 2012). Dialog merupakan satu-satunya kemahiran manusia yang tidak kita pelajari dengan baik dan berkesan, tetapi ramai di antara kita hanya belajar bagaimana untuk bernafas, tidur, makan, berjalan sama ada dalam  kurikulum akademik ataupun korporat.

Majid Tehranian (1937-2012), bekas profesor komunikasi antarabangsa Universiti Hawaii dan sebelum meninggal sebagai profesor pelawat Soka University, Amerika Syarikat dalam dialognya dengan Daisaku Ikeda berkata: In dialogue, we change through mutual appreciation, sympathy, and empathy. This is not the easiest method of human communication, but it is the most fruitful. That is why dialogue is the meaningful path to negotiating  new global civilization based on the contributions of all past human civilizations.” Ertinya, menerusi dialog terjadinya perubahan menerusi pemghayatan bersama, simpati dan empati. Bagaimanapun, dialog bukanlah kaedah yang mudah komunikasi antara manusia dan kerana itulah dialog menjadi cara perundingan terbaik dalam memahami peradaban global manusia yang baharu. (Daisaku Ikeda and Majid Tehranian, Global Civilization, 2004)

Menurut Peter Nixon, disebabkan masalah sedemikian maka berlakulah jurang dialog, sejak kemunculan peralatan komunikasi digital, kita sebenarnya semakin tidak banyak melakukan perbincangan meskipun banyak berkomunikasi. Ini kerana komunikasi hanya dilihat sebagai “pertukaran maklumat”, dan bukannya membentuk ruang perbincangan atau dialog yang berakhir dengan persefahaman atau persetujuan bersama. Ini bermakna, semakin banyak manusia bergantung kepada teknologi, semakin kuranglah manusia memahami antara satu sama lain dalam bentuk sebenarnya, mereka hanya saling bertukar maklumat dan bukannya saling mengenali. Hakikat inilah menyebabkan kita sentiasa merasa takut bahkan trauma, kerana kita semakin takut untuk berhubung antara satu sama lain walaupun kaedahnya semakin mudah dan maju.

Sebenarnya, ada kecenderungan baharu dalam masyarakat, meskipun setiap orang mempunyai telefon bimbit, ramai yang semakin berhati-hati untuk menjawab panggilan atau membuka pesanan ringkas, kecualilah nombor yang dipamerkan itu adalah orang yang kita kenal. Ini kerana, dalam perspektif digital orang akan menjadi lebih berhati-hati, semakin banyak penipuan dan tindakan buruk, semakin manusia pintar menggunakan teknologi ia turut membuka potensi negatif sehingga terpengaruh dan menjerat emosi. Untuk mengelakkan kita terjerumus dalam fenomena tersebut, kita harus mengetahui bagaimana berusaha untuk memahami konsep kebijaksanaan digital, digital wisdom. (Marc Prensky, From Digital Natives to Digital Wisdom: Hopeful Essays for 21st Century Learning, 2012 dan Brain Gain: Technology and the Quest for Digital Wisdom, 2012).

Perkataan dialog dalam bahasa Melayu adalah terjemahan langsung bahasa Inggeris dari perkataan dialogue. Perkataan dialogue berasal daripada perkataan Greek, iaitu dialectic yang bermaksud discource atau wacana. Berdasarkan etimologi, dialectic berasal dari dua perkataan, iaitu through dan logos. Through bermaksud melalui atau menembusi manakala logos bermakna pandangan mengenai sesuatu perkara. Berasaskan etimologi itu maka bolehlah dialog dimaksudkan sebagai sesuatu pandangan, idea yang dibincang bagi memperoleh sesuatu kesimpulan atau pemahaman yang bermanfaat oleh pihak-pihak yang mengambil inisiatif melakukannya.  Dengan perkataan lain, dialog turut merujuk kepada pertuturan atau percakapan oleh sekurang-kurang dua pihak, perbualan dalam lakonan, cerita atau apa-apa bentuk pertukaran pendapat, perbincangan, perundingan atau sumbang saran, brainstorming. Ia berbeza dengan monolog, kerana monolog merupakan percakapan seorang diri atau dengan diri sendiri manakala sebarang bentuk interaksi adalah oleh diri sendiri dengan cara menyoal dan kemudiannya menjawab menerusi proses penaakulan atau berfikir.

Kamus Dewan (edisi ketiga, 1997) mentakrifkan dialog sebagai (1) kata-kata yang dituturkan oleh watak-watak dalam drama atau fiksyen; (2) karya sastera dalam perbualan; (3) perbincangan atau perundingan antara dua pihak yang bertelingkah kepentingannya; manakala berdialog pula bermaksud, mengadakan dialog, bertukar-tukar pendapat mengenai sesuatu isu secara terbuka. (hal.302). Oxford Advanced Learner’s Dictionary (edisi kelapan, 2010), (1) perbualan dalam sesebuah buku, drama atau filem; (2) perbincangan rasmi di antara dua kumpulan atau negara, terutama apabila kedua berusaha untuk menyelesaikan sesuatu masalah, mengakhiri sesuatu pertelingkahan dan sebagainya. (hal.418). Ertinya, dialog adalah percakapan atau perundingan oleh dua pihak terhadap sesuatu perkara atau idea yang berbeza dengan tujuan menyelesaikan masalah ataupun menamatkan sebarang bentuk pertikaian.

Perkataan dialog dalam bahasa Arab dipanggil al-hiwar. Perkataan itu pula berasal daripada tiga suku kata, iaitu ha, wau, ra. Atas dasar itu, Ibn Manzur menjelaskan istilah al-hiwar sebagai al-ruju, iaitu merujuk semula atau kembali merujuk (Lisan al-Arab, 2005). Dari perspektif ilmu komunikasi, dialog dirujuk sebagai satu bentuk perbincangan terhadap sesuatu perkara oleh dua pihak atau orang atau lebih bagi mempelajari sesuatu yang tidak diketahui sebelumnya dengan jelas, atau berkongsi membentuk persefahaman setelah ianya didapati berbeza atau bercanggah. Ia juga dapat dikaitkan sebagai satu bentuk perbincangan secara rasmi untuk mencari kata sepakat ataupun menjernihkan sebarang bentuk kekeliruan pendapat atau salah faham. Maknanya, sesuatu dialog berlaku atau akan berlaku apabila terdapatnya perbezaan atau bercanggah di antara dua pihak. Dialog adalah bertujuan meningkatkan persefahaman dan seterusnya memungkinkan perubahan sama ada dari segi pendirian, pendapat ataupun sikap, yang kemudiannya berakhir dengan persetujuan bersama atau agree on disagree atau bersetuju sepenuhnya, obsolutely agreed. Tentunya, dialog memerlukan suatu bentuk tindak balas atau reaksi kepada sebarang bentuk perbezaan, kekeliruan pendapat atau kemelut kepentingan dan ia mestilah bersifat pragmatik. Kalaulah dialog itu berakhir dengan kekecewaan atau perbezaan yang terlalu besar, ia dipanggil jurang dialog.

Jurang itu mestilah dipersempitkan, dilakukan berulang-ulang dan berpandukan keperluan bersama atau matlamat yang dipersetujui bersama. Misalnya, ketika berlangsung dialog antara Salahudin Ayub (PAS) dan Mohd Nazri Aziz mengenai dakwaan “kerajaan menzalimi Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAN) di Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2000, Datuk A. Aziz Deraman, Ketua Pengarah DBP ketika itu bertindak sebagai pengerusi membuat peraturan dan kedua belah pihak perlu ada persetujuan mengenainya. Maknanya, dialog tersebut berjalan dengan teratur, dan kedua belah pihak boleh memahami bahawa kerajaan sebenarnya tidak pernah berusaha menghapuskan SAR dan SMAN, yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan ialah meletakkan pendidikan agama Islam itu lebih tersusun, manakala guru-gurunya lebih professional dan mempunyai peluang kerjaya yang lebih baik (seperti peluang kenaikan pangkat, latihan kepakaran dan kemahiran mengajar, dan mobiliti) kerana ia berada dalam sistem pendidikan arus perdana. Meskipun ada yang tidak bersetuju, kerana melihat bakal menghapuskan “cengkaman politik” sekurang-kurangnya khalayak memahami bahawa tanpa sistem yang baik dan peluang kerjaya yang menarik, perancangan yang jelas dan pendekatan yang berkesan, SAR dan SMAN akhirnya akan menemui kegagalan. Kegagalan itu merupakan kemunduran bagi para pelajar, yakni umat Islam sendiri kerana hampir keseluruhannya adalah kanak-kanak yang beragama Islam.

Pada tahun 2009, iaitu selepas Pilihan Raya Umum 2008, ada satu lagi dialog antara dua orang tokoh politik, iaitu Anwar Ibrahim dan Ahmad Sabri Cheek, berhubung dakwaan “malam ini memerintah, esok turun harga minyak.” Dialog itu dinamakan debat dan disiarkan secara langsung oleh RTM 1, di mana Johan Jaafar menjadi moderator. Bagaimanapun, debat atau dialog itu kurang mencapai maksud kerana khalayak lebih mengutamakan siapakah yang lebih hebat dan bukannya berusaha memahami persoalan yang dibangkitkan dan penjelasan yang diberikan. Dari satu segi, Ahmad Sabri Cheek dilihat memperoleh kemenangan politik, kerana beliau berjaya menarik minat “pemimpin besar”, iaitu Ketua Pembangkang dan Ketua Umum PKR berdebat dengan seorang ahli UMNO, yang hanya merupakan Timbalan Ketua Bahagian. Kemunculan itu seterusnya memberikan peluang kepada Ahmad Sabri Cheek untuk memenangi persaingan dalam Ahli Majlis Tertinggi UMNO selepas debat berlangsung. Meskipun Ahmad Shabery Cheek diejek dan diperli oleh kebanyakan media propembangkang, beliau sebenarnya memperlihatkan langkah berani dan sesekali gementar bila diserang, ia adalah suatu percubaan menarik.

Hingga kini, sejak sekian lama masyarakat masih menantikan bilakah akan berlangsungnya dialog antara PAS dan UMNO mengenai keperluan umat Islam, kerana ia masih bersifat retorik. Isu lama itu kembali hangat apabila PAS mengemukakan cadangan untuk bermuzakarah pada bulan November 2011, dan UMNO telah memberikan persetujuan. Hingga kini, PAS masih membisu kerana sikapnya yang hanya melihat, muzakarah atau apa pun mestilah memberikan laba politik kepada parti, jika ianya memberikan kesan yang minimum, lebih baik diam dan tidak meneruskannya. Inilah yang sering berlaku, dan PAS tetap mencari alasan untuk tidak parti itu bersalah atau tidak setuju.

Akhir-akhir ini muncul pelbagai isu berkaitan agama yang melantun emosi masyarakat Malaysia. Belum pula menampakkan akan berlakunya dialog bagi mencari persefahaman, walaupun ramai yang sedar, ia adalah suatu keperluan. Misalnya mengenai isu Syiah, penggunaan kalimah Allah, ajaran sesat, pelaksanaan hukum hudud, kebebasan beragama dan toleransi antara agama, pemerkasaan peraturan syarie dan wasatiyyah. Persoalan ini akhirnya membengkak menjadi virus yang semakin dikeronyokkan oleh kumpulan-kumpulan propembangkang, dan mendakwa kerajaan sebenarnya lebih tidak bersedia untuk berdialog. Kerajaan semakin takut dan kerana itulah semakin hilangnya rasa hormat kepada pemimpin, sehingga ada yang melabelkannya dengan pelbagai sindiran, karikatur dan persepsi negatif.

Dalam konteks Islam, dialog pertama antara Muslim dan Kristian sudah berlaku ketika umat Islam berhijrah ke Habsyah, setelah umat Islam Mekah ditindas dan ditekan di peringkat awal dakwah. Menurut Martin Lings, ketika itu rombongan Muslim disertai seramai 14 orang lelaki dan empat orang perempuan termasuk Uthman bin Affan dan isterinya Ruqaiyyah, Jaafar bin Abu Talib dan isterinya. Menurut sejarahwan Islam Ibnu Ishak, pada tahun 9 dan 10 Hijrah, seramai 60 orang Kristian dari Najran di bawah pimpinan Abdul al-Masih, al-Ahyam dan Abu Haritha al-Qama (paderi) telah menemui Rasulullah s.a.w di Madinah. Rasulullah s.a.w menerima dengan baik rombongan tersebut, dan baginda mengajar rombongan itu supaya beriman kepada Allah SWT. Mereka menolak dengan alasan mereka sebenarnya terlebih dahulu beriman kepada Allah s.w.t berbanding orang Islam, kerana agama Islam lebih awal dianuti dan Islam hanya diwahyukan lebih seribu tahun selepas Kristian. Butir-butir perbincangan merangkumi doktrin Kristian dan ketuhanan Nabi Isa a.s, yakni keajaiban kelahiran tanpa bapa dan boleh bercakap ketika masih bayi, boleh menghidupkan burung dari tanah liat dan menyembuhkan pesakit kulit serta mencelikkan orang yang buta.

Peristiwa itu dijelaskan di dalam al-Quran: “Katakanlah: Hai Ahli Kitab, marilah berpegang kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dengan kamu, bahawa kita tidak menyembah selain Allah dan kita tidak persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah, bahawa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah).” (Ali-Imran: 64)

Rasullullah s.a.w berjaya mengepis ketakjuban penganut Kristian, di mana kelahiran Nabi Adam a.s. adalah lebih luar biasa daripada Nabi Isa a.s.  Nabi Adam a.s tidak ada bapa dan juga ibu. Mendengarkan penjelasan tersebut, kesemua yang hadir akur dan kemudiannya Rasulullah s.a.w menawarkan majlis mubahalah. Abu Haritha meminta Rasulullah s.a.w terus membenarkan mereka kekal dengan agama Kristian dan berjanji akan membayar jizyah.

Menurut Ramli Awang, Islam sentiasa menyeru supaya penganutnya berfikiran bebas, tidak bertaklid membuta tuli kepada mana-mana manusia dan Muslim diseru supaya hidup bersama orang lain dengan saling menjaga keamanan satu sama lain. Atas dasar itulah “di sepanjang sejarah Islam, banyak terjadi perbahasan dan dialog antara para cendekiawan Islam dengan cendekiawan agama-agama lain. Dalam rangka yang sama, bekas Presiden Iran, Sayyed Mohammed Khatami (lahir 1943) telah mengemukakan dialog antara peradaban kepada masyarakat dunia. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu juga telah menamakan tahun 2004 sebagai tahun Dialog Antara Peradaban.” (Ramli Awang, Dialog Antara Agama dari Perspektif Al-Quran, 2008,  hal. 4).

Ramli turut membahas pandangan serong beberapa pihak terhadap Islam, termasuk  jelek dan kurang yakin untuk mengadakan dialog antara agama, tidak terkecuali tesis konflik peradaban yang dikemukakan oleh Samuel Huntington dan Francis Fukuyama. Sikap jelek dan kurang itu sebenarnya “pandangan yang cenderung kepada dendam dan bersifat monopoli yang disampaikan oleh kedua cendekiawan Amerika Syarikat itu mendapat protes meluas dari banyak pemikiran dan cendekiawan dunia, termasuk di Barat sendiri. Akhirnya, Huntington dan Fukuyama terpaksa membetulkan pandangan mereka. Huntington dalam satu ucapannya mengakui akan kemungkinan kebangkitan peradaban Islam seraya berkata, “Saya telah melakukan kesalahan tentang teori yang saya utarakan…sebagaimana juga para cendekiawan lain pada masa lalu pernah melakukan kesalahan.” (hal.5-6)

Sangkalan pihak tertentu mengenai konsep beragama, kumpulan atheis dan mereka yang hanya melihat Islam menerusi sastera sufi membuktikan adanya kejelekan terhadap teologi, kerana Islam hanya diukur berasaskan keperluan sosiologi. Mengutip rumusan Dr Mustaffa Mahmud, Ramli melanjutkan perbincangan dengan berkata: “Budi pekerti ini adalah antara kelaziman-kelaziman agama. Agama hanya mempunyai satu makna. Sedang anda mencampur-adukkan antara agama dengan budi pekerti. Agama adalah mengenal Tuhan sebagaimana semestinya, mengenal sifat-sifat dan kedudukan-Nya, di mana terjalin hubungan muamalat antara anda dengan Dia. Mengenal Dia sebagai Yang Maha Agung dan Mulia dan dekat dengan anda. Dia mendengar dan melihat serta menyambut seruan anda dalam rukuk dan sujud dengan penuh kekhusyukan hati sebagai seorang hamba sahaya menghadap pemiliknya. Sikap dan muamalat (pergaulan) anda dengan Tuhan yang khusus inilah yang dinamakan agama.” (hal. 20)

Sejak kelahiran Islam, dialog pelbagai budaya dan kepercayaan telah lama berlaku di Semenanjung Arab, Islam terpaksa berhadapan dengan penganut agama samawi yang lain, Yahudi, Nasrani (Kristian) dan masyarakat Jahiliyah. Begitu juga dengan period perkembangan Islam selanjutnya, ia berlangsung melalui kekuatan dakwah dan tidak berdasarkan paksaan. Ini menggambarkan bahawa dialog merupakan pendekatan yang telah membawa banyak kemajuan dan perkembangan dalam menegakkan agama Islam. Faktor yang menyebabkan munculnya dialog antara agama adalah kerana terdapatnya perbezaan fahaman dan amalan agama, kecurigaan kepada mereka yang berlainan agama dan didorong oleh keperluan menyebarkan dakwah, dan dialog antara agama merupakan medan “bertukar pandangan, menyelesaikan masalah dan membentuk persefahaman asas  kemanusiaan berdasarkan agama masing-masing”.

Tentunya, ia tidak akan mudah berlaku dan berlangsung begitu sahaja, ia perlu terlebih dahulu meleburkan bibit prasangka dan waspada. Ia hendaklah dilaksanakan secara ikhlas dan jujur, kerana tujuan dan kepentingan dialog, adalah mengikis rasa curiga, memahami orang lain, merapatkan hubungan kemanusiaan, membina tamadun manusia yang utuh, menjelaskan hakikat sebenar tuduhan, memupuk rasa saling menghormati, mengakhiri dendam kesumat dan permusuhan, menciptakan persatuan dan mengeratkan silaturrahim, dan membimbing manusia ke jalan yang benar.

Dialog merupakan metod baharu dalam penyebaran persefahaman, dan bukannya sebagai sesuatu yang bersifat inferioriti atau superior, suatu bentuk kekalahan dan kemenangan. Dialog adalah salah satu strategi dan pendekatan pendidikan, ia mestilah berlangsung dalam iklim yang kondusif sebagaimana yang pernah dialami oleh Nabi Adam a.s. dengan malaikat dan digambarkan dalam al-Quran. Lain-lain contoh dialog ialah antara Nabi Nuh a.s. dengan kaumnya (atas tuduhan Nabi Nuh a.s sebagai orang yang sesat);Nabi Shuib dengan kaumnya (kezaliman masyarakat dalam aktiviti ekonomi);Nabi Lut a.s dengan kaumnya (keinginan seksual manusia);Nabi Ibrahim a.s dengan kaumnya (mengajak manusia menyembah Allah SWT);Nabi Musa dengan Firaun dan ahli sihir (kekuasaan dan politik pemerintahan); Nabi Hud a.s (mengajak menyembah Allah s.w.t); dan, dialog Nabi Muhammad s.a.w (menolak pemikiran palsu oleh Yahudi, Nasrani, Musyrikin dan lain-lain kumpulan jahiliyah).

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi” Mereka berkata: ”Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah padahal kami semua sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau.” Tuhan berfirman: ”Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.

“Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada malaikat, lalu berfirman: ”Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang orang yang benar.

“Mereka menjawab:”Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (al-Baqarah: 30-32)

Dalam konteks agama Kristian, dialog merupakan satu bentuk gesaan, iaitu bercakap atau berkomunikasi, dari bentuk perbincangan hinggalah kepada keupayaan mempamerkan cara hidup sebenar dan boleh menyenangkan penganut agama lain. Dalam konteks itulah Thomas Michel mentakrifkan dialog yang diamalkan oleh Pope John Paul mempunyai pelbagai bentuk dan ekspresi, yakni sebagai usaha pertukaran idea oleh pakar-pakar agama yang menjadi wakil rasmi dalam sesebuah forum dengan hasrat membangunkan kerjasama, kepentingan bersama dan pemuliharaan nilai-nilai agama dalam konteks perkongsian pengalaman spiritual. (Thomas Michel,  Dialogue in The Context of Consecrated Life: Working With Others for Justice and Peace, 2000). Itulah sebabnya, pada peringkat awal, dialog antara agama dikenali sebagai “dialog kehidupan”, dan kecenderungan seperti itu kembali dicadangkan oleh Karen Armstrong dalam usahanya membentuk generasi “compassionate”. (Karen Armstrong, Twelve Steps to a Compassionate Life, 2010).

Dalam konteks realiti masyarakat Malaysia, yang turut dilanda kesan globalisasi, proses penyaringan maklumat bukan lagi merupakan kemestian, setiap hari kita menerima pelbagai provokasi dan percanggahan atas situasi pengaruh dan kepentingan agenda sama ada oleh orang perseorangan ataupun institusi, kehendak ideologi dan doktrin, dialog yang lebih besar dan mendekati dengan persoalan semasa amat diperlukan. Ia diperlukan untuk menjaga kepentingan nilai-nilai setempat dan mempertahankan keutuhan bermasyarakat agar tidak diceroboh secara derasnya oleh kesan globalisasi. Hari ini, persoalan kebebasan dan demokrasi sudah menerbitkan pelbagai konotasi, sehingga makna yang pelbagai itu meninggalkan impak yang besar dan menggugat formula kerukunan hidup secara harmoni. Bagaimanapun, manusia masih memerlukan agama kerana sebagai mahkluk ciptaan Allah mempunyai pelbagai fitrah dan sifat yang utama (homo religious), pengertian dan pemahaman mengenai kesejahteraan hidup wajar dirungkaikan sekali lagi dengan asas yang baharu atau penegasan semula prinsip yang lama dalam pemahaman yang baharu, yang tidak menjurus kepada tuntutan bersifat rasis, ia mestilah dilihat dalam konteks keterangkuman asal tidak melangar tembok akidah dan ketauhidan.

Keterangkuman dilihat semakin penting akibat kemajmukan masyarakat Malaysia tidak lagi boleh boleh difokuskan berdasarkan perkauman dan agama semata-mata. Ia perlu dilihat secara merentasi kaum dan kedaerahan, walaupun jumlah penduduk Islam merupakan golongan majoriti (60.4 peratus) dan bukan Islam sebagai minoriti. Jumlah penduduk bukan Islam sudah menghampiri 40 peratus (Kristian 9.1 peratus, Buddha 19.2 peratus, Hindu 6.3 peratus, Konfucius dan lain-lain 5 peratus) ia bukan lagi boleh dianggap sebagai kelompok marginal, ia hanya dengan perbezaan 2o peratus.  Beberapa tahun lagi ia bakal menerbitkan konflik yang lebih besar, sekiranya kita menangani kes-kes perhubungan kaum dan agama seperti kita menangani kes Maria Hertogh (Natrah), insiden Kampung Medan (Selangor), insiden Kampung Jawa (Pulau Pinang), kepala khinzir di masjid, menurunkan “signage” bertulisan Jawi, larangan bertudung di sekolah vernakular, perarakan kepala lembu di Selangor, serbuan JAIS ke atas Persatuan Bible Malaysia, kes paderi Katholik Lawrence Andrew, malam thanksgiving di Damansara Utama Methodist Church, penjualan alkohol di kedai serbanika, Bible versi bahasa Melayu dan Iban, dan larangan azan menggunakan pembesar suara menjelang Subuh. Ia belum melangkaui ke persoalan menangani masalah penceraian pasangan Islam yang tersiksa kerana prosesnya teramat panjang dan sikap peguam yang suka membuat penangguhan (semakin banyak ditangguhkan, semakin besar biayai guaman, kerana setiap kali hadir ke mahkamah, ia dikenakan caj) atas pelbagai alasan  dan masalah-masalah sosial yang memerlukan penyelesaian berkesan (penderaan seks, buang bayi, seks luar nikah, ajaran sesat, khutbah politik, pemesongan ayat al-Quran di media sosial, pluralisme agama dan Islam liberal).

Ia memerlukan satu bentuk dialog antara pihak berkepentingan, dan bukan lagi tertumpu dalam bentuk seminar, kolokium dan persidangan, yang hanya dihadiri khalayak secara institusi atau orang perseorangan yang telah pun cenderung bersetuju atau least resistance group, kerana selama ini terlalu mementingkan kehadiran yang besar, large volume error, akibat kerahan dan mematuhi arahan. Itulah sebabnya, belum pun selesai majlisnya, sudah tersebar apa yang tidak disenangi dan komen tajam dalam media sosial sehingga menimbulkan suasana viral, walhal kalau dilaksanakan secara interaktif, komennya akan menjadi lebih baik dan menarik. Era ini, cara kita melihat masalah hendaklah dilakukan secara berbeza dan cara kita menyelesaikan masalah tidak lagi boleh dibuat hanya menerusi kenyataan media, arahan bertulis ataupun surat pekeliling, ia perlu dilaksanakan secara demokratik, meluas dan persetujuan terbuka.

Dialog adalah satu metod komunikasi yang perlu diberikan perhatian kerana ia berupaya mencari keserasian, membangun persefahaman dan membina perhubungan secara hadir fizikal, sedangkan dengan hanya mengharapkan keajaiban media baharu atau konvensional, ia akan membangkitkan apa yang dipanggil oleh Nicholas Carr sebagai “singular intelligence”.

Pertumbuhan internet sebenarnya telah membunuh atau menghancurkan kebolehan kita untuk memberikan perhatian (diminishing our ability to pay attention), berhubung hanya berdasarkan serpihan maklumat daripada pemahaman yang koheren (connect disparate pieces of information to form a coherent understanding), dan berinteraksi dengan orang lain untuk berunding (interact to others to negotiate), menyelesaikan masalah, dan mengajukan cadangan baharu kepada masalah-masalah baharu yang kita sebenarnya sedang hadapi ketika saling berhubung (create new solutions to the new problems we are facing in our interconnected) dan dunia perlambakan (overburdened world). Ia menyebabkan kita semakin lemas dengan pertarungan sel-sel  otak bagi meneruskan kelangsungan sokongan ketenangan, berfikir selari yang sering kita lakukan ketika membentuk atau memindahkan naratif atau melibatkan penghujahan kerana internet telah membunuh budaya dan keinsanan itu sendiri. (Nicholas Carr, The Shallows: What the Internet is Doing to Our Brains, 2010  dan Andrew Keen, The Cult of the Amateur: How Today’s Internet is Killing Our Culture, 2007).

Dialog juga selari dengan apa yang diwajibkan oleh Allah s.w.t kepada makhluk yang paling baik kejadiannya, kerana perbedaan fizikal, kepintaran akal dan jarak geografi adalah fitrah kehidupan, sebagai tanggungjawab yang wajib dilaksanakan dalam rangka bermasyarakat, berorganisasi dan bernegara. Kepelbagaian itu sebenarnya suatu keindahan yang sengaja dicipta oleh Allah s.w.t untuk menjadikan manusia sebagai makhluk yang berfikir, membangunkan potensi diri dan meraih kebijaksanaan, keserasian dan kesejahteraan bersama. Ia bukan untuk menjurus pemugaran faham perkauman, jumud fikiran, buta perasaan dan kedangkalan solusi, kerana manusia selama-lamanya akan terus berfikir dan menggunakan fikiran untuk masing-masing mengumpul manfaat atas tindakannya, tetapi semuanya akan terus dinilai, dihitung dan diimbangi apakah yang telah kita lakukan sepanjang hidup sebagai bekalan untuk kehidupan seterusnya, kehidupan yang lebih panjang dan kekal, kerana kita sebenarnya sedang menabung untuk memperoleh saham di akhirat.

Oleh KAMARUN KH

No Comments

    Leave a reply