Memahami Islam Sebagai “Rahmatan li l-‘Alamin”: Mengapa Perlu Bermusuh dengan Islam dan Penganutnya?

Mutakhir ini Islam dan penganutnya menghadapi pelbagai cabaran getir sehingga ada pula yang cuba mengambarkan dunia tanpa Islam (A World Without Islam). Nampak seperti dunia memandang serong kepada Islam. Isu di sini mengapa dunia nampaknya bermusuh dengan Islam dan penganutnya. Namun begitu apa yang jelas ialah Islam banyak menyumbang kepada tamadun dan keamanan dunia berbanding dengan tren ekstrimis sekularis dan nasionalis yang merupakan penyebab utama dua perang dunia dalam sejarah moden.

Artikel ini cuba merungkai persoalan ini dengan perbincangan mengenai konsep Islam sebagai “rahmatan li l-‘alamin.” Konsep ini merupakan asas penting dalam memahami Islam dan penganutnya. Umat Islam selama kini sudah melaksanakannya dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara. Perbincangan tentangnya adalah berdasarkan enam ayat terakhir dari Surah al-Anbiya’, ayat 107 sehingga 112.

Kedatangan Islam dan Rasulullah (s.a.w.) sebagai Pembawa Rahmah

Ayat pertama ialah ayat 107 dari Surah al-Anbiya’ ini mengambarkan bahawa Islam dan Rasulullah (s.a.w.) sebagai pembawa rahmah kepada seluruh alam. Ini jelas apabila Allah berfirman dengan maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

Menurut Tafsir Pimpinan Ar-Rahman (1995: 833, n. 1001) maksud ayat ini adalah seperti berikut: Allah mengutuskan Nabi Muhammad (s.a.w.) kepada masyarakat dunia keseluruhannya. Pengutusan Baginda (s.a.w.) merupakan rahmat yang besar kepada dunia. Baginda juga merupakan sebahagian dari banyak nikmat-nikmat Allah. Manusia akan hanya mendapat rahmat besar ini apabila mereka beriman dan melaksanakan Syariat Islam. Natijah dari penerimaan Islam atau penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah dan Rasul adalah kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Bagi mereka yang yang engkar dan enggan untuk beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dengan tidak mahu menerima dan melaksanakan syariat Islam, kecelakaan bukan sahaja di dunia malah di akhirat.

Ini merupakan pegangan Islam yang kekal dan tidak dapat diubah, iaitu kebenaran, keselamatan dan kerahmatan hanya berada dalam agama Islam. Dengan kata lain, penganut Islam perlu beriman sepenuhnya dengan Islam dan melaksanakan segala apa jua perintah yang terkandung dalam al-Qur’an dan juga Sunnah Nabi Muhammad (s.a.w.). Bagi mereka yang lalai dari berusaha untuk memahami dan mengamalkan ajaran agama Islam, ia dikiranya menzalimi diri sendiri. Ia kerana ia merupakan amanah Allah dan Rasul-Nya. Natijah dari perbuatan tersebut, mereka tidak dapat mencapai kebahagiaan yang ditawarkan Islam. Akibatnya buruk di dunia dan akhirat. Usaha-usaha perlu dijalankan supaya mereka yang lalai dan zalim ini kembali ke jalan yang benar dengan cara pendidikan (Arab, ta‘lim, tarbiyyah dan ta’dib). Ia disebut juga sebagai dakwah, iaitu berdakwah supaya mereka ini memahami Islam dan mengamalkannya.

Memahami Maksud Rahmah

Secara umum maksud Islam sebagai agama rahmah dapat dibandingkan dengan identiti umum agama Yahudi dan Kristian yang datang sebelum Islam. Lebih-lebih lagi ialah asas utama ajaran Islam ini terletak di tengah-tengah antara ajaran agama tersebut. Agama Yahudi adalah agama “hukum” atau “undang-undang” kerana banyak penekanan diberi kepada undang-undang sebagaimana dalam kitab-kitab Yahudi termasuk “Oral Torah, Talmudic and rabbinic laws.” Manakala agama Kristian lebih dikenali sebagai agama “cinta dan kasih sayang” (love, latin, agape) dan mengutamakan “kebajikan” (charity). Dalam tradisi awal empayar Rum, agama Yahudi diberi pengiktirafan berbanding dengan Kristian. Ia merupakan agama yang dibenarkan (Latin, religio licita) dan Kristian sebagai tidak dibenarkan (illicita) sehingga ia berubah apabila Emperor Constantine menjadikan Kristian sebagai agama yang dibenarkan pada tahun 313. Asas rahmah ialah adanya kasih sayang dan kebajikan yang sepadan dan undang-undang yang adil berdasarkan kebenaran al-Qur’an dan kehendak zaman. Kedua-dua aspek kasih sayang dan undang-undang berada dalam ukuran kesaksamaan seperti firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan [al-ihsan], …” (Surah al-Nahl (16): 90). Adil dan ihsan merupakan ciri kepada rahmah Islam dan Allah yang dibawa Nabi Muhammad (s.a.w.).

Dari sudut bahasa, perkataan rahmah, mengikut kamus Arab al-Misbah al-Munir (t.t.: 223) berasal dari kata kerja, “rahima”, seperti ungkapan “rahima-na Allah wa anala-na rahmata-hu ’llati wasi‘at kulli shay’in,” bermaksud Allah memberi rahmat dan kami mendapat rahmatnya yang meliputi keseluruhan benda. Dan ungkapan lain ialalah “rahim-tu Zaydan ruhman, rahmatan, marhamatan” bermaksud “Aku mengasihani dan menyintai Zaid”, iaitu “apabila engkau mengasihani dan menyintai” (idha raqaq-ta la-hu wa-hanan-ta). Perkataan “Rahmah,” “ruhma” dan “marhamah” bermaksud “belas, kasihan” (Marbawi, t.t.: 230). Dengan itu perkataan Arab lain ialah “raqqah” (rasa kasih) dan “hanan” (rasa cinta) merupakan sebahagian besar pengertian kepada perkataan “rahmah” dalam bahasa Arab.

Dalam bahasa Inggeris, perkataan rahmah merangkumi perkataan seperti “mercy” (rasa belas, kasihan dan sifat sanggup mengampunkan orang yang kita mempunyai kuasa terhadapnya), “love and care” (mencintai dan penyayang), “compassion or nurturing love” (belas kasihan atau memupuk rasa sayang dan cinta). Kata rahmah juga bermaksud “immense relief and hope” (rasa teramat lega dan penuh harapan) (lihat Adnan Majid, “Rahmah – Not Just ‘Mercy’,”

https://muslimmatters.org/2012/12/03/rahmah-not-just-mercy/)

Rahmah juga boleh dihubungkan dengan sifat-sifat tuhan, al-Rahman (Yang Maha atau Amat Pemurah) dan al-Rahim (Yang Maha atau Amat Mengasihani). Ia juga boleh dihubung dengan sifat seorang ibu dengan anak yang berada dalam kandungan dan rasa sayang yang diberikan selepas itu. Ibu merupakan pengasuh anak yang terbaik. Kata “rahim” (jamak, arham) bermaksud “uncang anak di dalam perut perempuan, kandungan anak dalam perut; kerabat, kaum kerabat, daging darah atau darah daging.” (Marbawi, 230).

Tawhid sebagai Tonggak Asas Islam Sebagai Agama Rahmah

Apa yang penting dalam ajaran Islam yang dibawa Nabi ialah mengakui wujudnya Tuhan yang Maha Esa, iaitu Tuhan sekalian alam. Pengakuan ini diterjemahkan dalam amal-amal ibadah yang manusia lakukan, iaitu pengabdian kepada Tuhan yang Esa dalam semua aspek kehidupan dan pemikirannya. Tonggok asas ini yang disebut sebagai “Tawhid”, iaitu kepercayaan dalam mengesakan Allah dan menterjemahkan dalam semua hal ehwal kehidupan di dunia dalam semua peringkat diri, masyarakat dan negara. Asas ajaran ini jelas dalam ayat berikutnya, iaitu firman Allah yang bermaksud:

“Katakanlah: Sesungguhnya yang diwahikan kepadaku (mengenai ketuhanan ialah) bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang diwahikan kepadaku.” (Surah al-Anbiya’ 21: 108)

Tawhid bukan sahaja melibatkan kepercayaan malah merangkumi aspek kehidupan dan pemikiran. Setiap perbuatan dan tindakan hendaklah berasaskan ajaran tawhid.

Sikap Islam terhadap Penolakan kepada Agamanya

Walaupun manusia perlu mengakui tawhid, namun Islam lebih bersikap terbuka dengan penolakan sama ada secara baik atau tidak dari mereka yang bukan Islam. Ini kerana semasa pengutusan Nabi sudah ada agama-agama dunia dengan cara hidup mereka yang berlainan. Islam tidak menafikan kewujudan agama-agama tersebut, malah mengakui hakikatnya seperti agama Yahudi, Kristian, Sabian dan sebagainya. Kadang-kadang mereka ini disebut sebagai ahli kitab atau pengikut ajaran kitab suci. Lagi pun, Islam mendakwa kedatangannya adalah untuk menyambung tradisi-tradisi agama sebelum ini. Apa yang penting Islam mengemukakan pembaharuan (tajdid dan islah) kepada agama-agama tersebut. Bagi mereka yang menyimpang jauh dari ajaran tawhid sehingga menyekutukan Tuhan yang Esa dengan yang lain, Islam ingin mengajak mereka supaya kembali memahami keesaan Tuhan segala alam ini. Syirik kepada Allah meliputi menolak dan meragui kewujudan Allah dan mengabdikan diri kepada yang lain selain Tuhan yang esa. Islam ingin mengubahkannya kesemuanya kepada yang terbaik dan sesuai dengan keadaan dan fitrah semulajadi alam dan manusia, iaitu pengakuan kepada keesaan Allah.

Tugas manusia Islam ialah mengajak mereka atau berdakwah kepada agama Tuhan yang esa. Soal penerimaan mereka bukannya perkara utama. Yang dipentingkan ialah usaha ke arah pengesaan Tuhan sekalian alam. Apabila tugas ini dilakukan sebaik mungkin, tanggungjawab sesama insan sudah terlepas. Dengan kata lain, soal penolakan manusia kepada Islam bukan isu utama. Islam adalah satu-satu agama yang bersifat terbuka dan demokratik dalam soal ini. Ini kerana Islam mengakui kebebasan manusia yang dianugerahkan Allah. Mereka layak untuk memilih mana yang betul dan tidak akan ada paksaan dalam beragama. Dengan itu, ia dapat mengelak daripada berlaku ketegangan agama dan masyarakat. Agama merupakan asas mengukur kebebasan manusia itu sendiri. Dengan kata lain, Islam menerima kehidupan bersama (co-existence) dalam masyarakat manusia masakini yang bersifat majmuk dan pluralistik. Ini jelas apabila Allah berfirman dengan maksud:

“Sekiranya mereka berpaling ingkar katakanlah: “Aku telah memberitahu kepada kamu (apa yang diwahikan kepadaku) dengan keterangan yang jelas untuk kita bersama; dan aku tidak mengetahui samaada (balasan buruk) yang dijanjikan kerana keingkaran kamu itu, sudah dekat atau masih jauh.” (Surah al-Anbiya (21): 109)

Apa yang perlu ditegaskan di sini, mereka yang engkar kepada agama tetap menerima pembalasan Allah nanti.

Rahmah dalam Pembalasan: Balasan Setimpal Sama ada di Dunia atau Akhirat Merupakan Ketentuan Allah

Sememangnya akibat dari kesyirikan adalah kemurkaan Allah yang Maha Esa. Murkanya Allah adalah dalam bentuk seksaan. Seksaan Allah ini tidak dapat dielakkan lagi. Namun keseksaan di atas perbuatan tersebut tidak diketahui bila akan berlaku. Ia boleh jadi berlaku di dunia mahu pun di akhirat. Ia boleh jadi cepat atau lambat, dekat atau jauh. Apa yang penting bagi masyarakat Islam ialah tidak terlibat sama dalam kesyirikan tersebut. Amaran tentang akibat kesyirikan perlu disebar-luaskan supaya masyarakat manusia sedar akibat dari perbuatan sendiri. Kadang-kadang mereka ini berusaha mempengaruhi manusia yang baik seperti orang Islam untuk sama-sama melakukan amalan syirik yang bertentangan dengan Islam. Umat Islam sewajarnya berjaga-jaga supaya tidak terpengaruh secara langsung atau tidak dalam amalan tersebut sehingga asas tawhid terkeluar dari diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Sewajarnya Islam dan umatnya tidak sepatutnya dimusuhi kerana pada hakikat Islam adalah agama perdamaian dan berusaha mewujudkan perdamaian sesama manusia dan antara Tuhan yang Esa. Walaupun, ramai yang menolak Islam, ia tidak menjadi mimpi negri atau tragedi umat. Islam tidak trauma dengan penolakan masyarakat sama ada dulu, kini atau akan datang. Apa yang berlaku sekarang Islam dimusuhi walaupun Islam agama damai dan masyarakatnya suka perdamaian. Banyak provaksi dan kata nista kepada Islam dan umatnya sehingga timbul fenomena “Islamophobia”, rasa terancam dengan adanya Islam dan masyarakat Islam. Ia mula digembar gemburkan melalui media dan mereka yang beragenda jahat.

Sebenarnya kata nista dan tindakan jahat dibuat sejak zaman awal Islam lagi sehingga Rasulullah (s.a.w.) terpaksa berhijrah dari Mekkah ke Medinah untuk menyelamatkan diri dari perangcangan jahat untuk membunuh Baginda (s.a.w.). Seperti yang tersedia maklum, Islam akhir berjaya membentuk tamadun baru yang diasaskan kepada ajaran tawhid sehingga menguasai dunia selepas jatuhnya empayar Parsi dan Rum. Islam berjaya membentuk masyarakat yang adil, hidup dengan penuh ketaatan kepada Allah dan pemerintah. Segala konflik dalam masyarakat sama ada pemikiran dan cara hidup dapat diatasi dengan baik dan saksama. Dasar menghormati perbezaan pendapat (ikhitilaf al-ra’y) dapat diatasi dengan pematuhan kepada etika perbezaan pendapat (adab al-ikhtilaf). Kesemuanya ini dapat menghasilkan masyarakat dan negara berada dalam keamanan dan kesejahteraan.

Bagaimanapun, akhirnya tamadun Islam jatuh dan digantikan dengan tamadun barat. Ini mungkin berlaku apabila umat Islam dan pemerintahannya lupa dan lalai dengan kehidupan dunia sehingga Islam tidak lagi menjadi panduan, malah diengkari walaupun mereka masih lagi Islam. Itu pun mungkin tinggal nama sahaja. Dengan kata lain Islam tidak hidup dalam diri individu, masyarakat dan negara. Sememangnya umat Islam sendiri menghadapi cabaran selepas kewafatan Baginda (s.a.w.), umat Islam terpecah kepada pelbagai aliran dan tren pemikiran sehingga lahir fitnah pembunuhan dan peperangan sesama sendiri. Namun ketika ini agama masih utuh dan kepimpinan negara masih kuat sehingga negara Islam terjajah pada zaman penjajahan barat.

Sekarang ini umat Islam dan negara Islam sudah bebas dari penjajahan barat tersebut. Namun umatnya masih terbelenggu dengan pelbagai masalah dalaman dan cabaran luaran dari barat dan anasir-anasir jahat. Antaranya ejekan dan kata nista terhadap Islam dan umatnya. Kita seakan-akan diminta supaya meletakkan Islam di bawah arahan pemikiran barat. Apa yang barat mahu ialah Islam dan penganutnya mengikut mereka secara langsung atau tidak langsung. Banyak perancangan untuk menguasai umat Islam dan negaranya. Satu cara ialah dengan mempengaruhi mereka supaya meninggalkan agama Islam atau menafsirkannya mengikut tafsiran barat atau model barat.

Dalam keadaan sekarang, senjata ampuh umat Islam ialah bertindak dengan penuh kesabaran dan ketaqwaan kepada Allah. Usah dihiraukan provokasi dan perancangan jahat mereka. Sesungguhnya Allah memberi amaran kepada umat perkara tersebut sejak dahulu lagi. Ini jelas apabila Allah berfirman: “Sesungguhnya Allah mengetahui akan perkataan yang kamu sebutkan dengan terus terang, dan juga Ia mengetahui apa yang kamu sembunyikan (di dalam hati).” (Surah al-Anbiya’ (21): 110).

Perancangan jahat untuk menghancurkan Islam dan umat hanya membawa kesenggaraan kepada manusia sejagat. Ini kerana Islam dan umatnya yang banyak menyumbang kepada keamanan selama kini.

Sikap Terbaik Islam dan Umatnya

Umat Islam tidak perlu hirau dengan cabaran penolakan dan ‘paranoia’ terhadap Islam. Bukan urusan mereka untuk memberi azab sama ada cepat atau lambat. Kesemuanya ada hikmah di sebalik lambat atau cepat suatu azab. Sememangnya apabila berlaku azab Allah, masyarakat Islam boleh bergembira dengan menyatakan itulah akibat melanggar perintah Allah. Namun itu bukan tujuan Allah. Allah Maha Berkuasa dalam menentukan segala suatu. Allah berfirman dengan maksud: “Dan aku tidak mengetahui (mengapa dilambatkan balasan buruk yang dijanjikan kepada kamu itu) jangan-jangan lambatnya menjadi satu sebab yang menambahkan azab kamu, dan di samping itu memberi kamu kesenangan hidup hingga ke suatu masa yang tentu.” (Surah al-Anbiya’ (21): 111).

Bagaimanapun, umat perlu berdoa agar nasib mereka berubah. Lebih-lebih di zaman sekarang dengan fenomena paranoia terhadap Islam dan umatnya. Umat Islam semua tahu kepentingan doa, ia sebahagian dari ibadah dan permintaan tulus ikhlas hamba kepada Tuhannya. Undang-undang semulajadi ialah kemenangan untuk kebenaran. Kebatilan akan terhapus. Sekarang ini umat Islam menghadapi ujian yang getir mengenai nasib hidup mereka. Berada di bawah penguasaan bukan Islam dan ketidak-adilan yang berlaku memerlukan kesabaran yang mendalam. Buat yang terbaik, tentu Allah akan membalasnya dengan sebaiknya Pada akhirnya kita sudah mengetahui bahawa Islam pasti menang. Ini jelas apabila Allah dalam akhir ayat Surah al-Anbiya’ menyatakan:

“(Nabi Muhammad merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku, hukumkanlah (di antara kami dengan mereka) dengan yang benar; dan Tuhan kami ialah [al-Rahman] Yang Melimpah-limpah rahmatNya yang dipohon pertolonganNya terhadap apa yang kamu sifatkan itu.” (Surah al-Anbiya’ (21): 112)

Kesimpulan

Kesengsaraan yang berlaku sekarang hanya sementara. Kekejaman Zionisme, peperangan sesama sendiri perlu diatasi bersama. Umat perlu bersatu di atas asas tawhid sehingga mereka mampu menghadapi cabaran semasa. Tanpa asas tawhid, Islam dan umatnya meraba-raba dalam mencari penyelesaian masalah. Begitu juga dengan umat dunia sekarang.

Oleh Prof. Madya Dr. Abdul Salam Muhamad Shukri (IIUM)

No Comments

    Leave a reply