MEMBANGUN KEBIJAKSANAAN  DALAM GELOMBANG DIGITAL

KETIKA segelintir rakyat Malaysia hilang kebijaksanaan dan idiosinkretik kemanusiaan yang terdedah dalam dunia siber, sebahagian besar lagi rakyat begitu marah dengan kegilaan itu dan turut memberikan cadangan agar kebebasan secara online ataupun berinternet disekat. Memang ada asas yang kuat desakan tersebut, ia bukan sahaja merombak nilai-nilai kehidupan bahkan dikhuatiri menjerumuskan kehidupan menjadi tidak tenteram kerana kebebasan tanpa had menjadikan ada yang lupa, kehidupan secara lahiriah memang dibatasi oleh pelbagai sempadan.

Dalam konsep sosiologi, kehidupan bermasyarakat menjadi kuat apabila setiap ahlinya menghormati nilai dan norma secara mutlak, dan itulah juga menelurkan konsep, biar mati anak asal jangan mati adat. Maknanya, sejak manusia mengenali dirinya sebagai “haiwan bersosial”, mesti lahir dalam kalangan ahli masyarakat ditugaskan menjaga adat dan menentukan perjalanan budaya agar komuniti yang terbina kekal, harmoni dan tidak bersengketa serta mencabar apa yang diterima secara konsensus.

Manusia membentuk komuniti atau bermasyarakat pertamanya perlu bersetuju mengenai kepentingan bersama dan menghormatinya sebaik mungkin kerana tidak mahu dirinya disisih, dipulau atau menerima hukuman, yang juga diputuskan oleh masyarakat berdasarkan prinsip, bersalah perlu dihukum dan proses mencari keadilan akan bermula menerusi pencarian bukti, termasuk menerima penjelasan daripada kedua belah pihak yang terbabit, sama ada daripada orang yang terkilan mahupun orang yang dilihat mencetuskan masalah. Prinsip ini dipegang dan dipatuhi sekian lama, tetapi akhirnya sedikit tercabar apabila humanisme dikacaukan oleh prinsip kebendaan dan ketika ini, prinsip kebebasan asasi dan liberalisme bertukar bentuk sehingga menampakkan ciri-ciri keganasan atau mencabar kesejahteraan sosial.

Mungkin sebagai sebahagian generasi yang masih berpegang kepada prinsip moral dan kehidupan bermasyarakat yang konteksnya diwarisi secara tradisi itulah menjadikan sebahagian besar rakyat Malaysia tidak boleh menerima perlakuan biadab mempersendakan agama dan kepercayaan orang lain, bercakap sinis dengan menghubungkan pertentangan budaya dan prinsip kepercayaan, mengotorkan kekudusan nilai dan keyakinan dalam taakulan paradoks, dan amat mengecewakan menegatifkan sesuatu bagi tujuan membentuk persepsi yang terbalik.

Sebelum Mark Slouka, pengkritik dan penulis novel yang mengajar penulisan kreatif di Universiti Colifornia, Amerika Syarikat menulis buku mengenai kebinasaan realiti dan kehilangan humanisme dalam kehidupan moden akibat rempuhan teknologi, masyarakat pernah menjadi gempar dengan teori “suntikan jarum” dalam bidang komunikasi. Teori “suntikan jarum” yang menjadi teori yang berpengaruh selepas media radio menyiarkan drama kononnya dunia akan hancur dan kehidupan terbelenggu diserang oleh spesies daripada planet yang lain. Teori ini turut menjadikan teknologi penyebaran maklumat berhadapan dengan kecaman, herdikan dan gesaan sebagaimana sedang dihadapi oleh kebimbangan kesan hiperealiti yang sedang berlaku dalam media sosial. (Baca, Shahrum TM Sulaiman, Kedurjanaan Siber dan Kedurjanaan Siber 2.)

Buku yang ditulis pada tahun 1995 itu bermula dengan sebuah kisah seorang wartawan New York Times sedang mengumpul maklumat mengenai seorang lelaki dituduh membunuh isterinya yang hamil. Kisah itu dikatakan berlaku pada tahun 1990, hampir setahun kemudian, kisah tersebut ditayangkan di kaca televisyen dengan Selamat Malam Isteri Tercinta: Pembunuhan Boston.Mark Slouka mengangkat kisah itu sebagai titik tolak perbincangan bagi memahami bagaimana persepsi berlaku.Ia merupakan satu beban sosial yang besar kerana manusia telah menerima “salinan” sebagai “sesuatu yang asli.” Ini adalah kecenderungan besar kebanyakan daripada kita menyerahkan kepercayaan kepada perantara, “yang menghadirkan kembali dunia” kepada kita. (Mark Slouka, Ruang Yang Hilang: Pandangan Humanis Tentang Budaya Cyberspace Yang Merisaukan, terjemahan dari War of the Worlds: Cyberspace and the High-Tech Assault on Reality.)

Dalam kata pengantar edisi terjemahan bahasa Indonesia (diterbitkan 1999), Yasraf Amir Pilliang yang menulis: Bumi memang masih bulat, tetapi ia kini tidak lebih besar dari sebuah bola kaki. Manusia memang masih berkaki dua, tetapi ia tidak perlu lagi menggunakan kaki tersebut untuk “berjalan-jalan”. Bangunan gedung memang masih berdiri megah, tetapi kita cukup menghuni “bangunan” yang ada di dalam halusinasi kita. Akuarium memang masih berbentuk kotak, tetapi ia tidak lagi memerlukan air dan ikan yang nyata. Anak-anak kita memang masih senang bermain, tetapi kini mereka cukup bermain dengan teman-teman maya mereka di dalam jagat raya video game.”

Apabila membaca perenggan pertama pengantar tersebut saya teringat kepada sebuah novel yang ditulis oleh S Othman Kelantan (Allahyarham), yang pernah membantu saya memahami dunia sastera kreatif akhir tahun 1970-an, Ruang Perjalanan (1989), yang lebih awal bercerita mengenai dunia masa depan yang berbeza antara generasi pertama dan generasi ketiga. Perhubungan antara datuk dengan cucunya, belum dikenali sebagai perhubungan maya, adalah dalam bentuk telesidang, di mana tidak banyak pergerakan fizikal berlaku.Mereka saling bertukar pendapat dan bertanya khabar menerusi telesidang, manakala generasi ketiga membina dunia pemikiran dan budaya hidupnya yang jauh berbeza dengan datuk dan neneknya. Situasi ini memungkinkan S Othman Kelantan melihat kemungkinan masa depan, berlaku evolusi bentuk dan sifat manusia, baik dari segi jenis makanan mahupun fizikalnya. Kalau zaman sebelumnya manusia memerlukan saiz fizikal yang lebih besar kerana kehidupan berasaskan banyak pergerakan dan kekuatan tenaga, kerana itu jugalah manusia memerlukan jenis makanan yang boleh menghasilkan tenaga. Manusia masa depan, hanya memerlukan makanan yang bukan lagi untuk menghasilkan tenaga, kerana manusia lebih memerlukan pil sebagai dietnya, pil yang meransang otak agar lebih cepat berfikir, sisi kehidupan berpusatkan kepada minda dan bukan lagi fizikal. Saya mentafsir berdasarkan imajinasi dalam gambaran kreatif fizikal manusia masa depan serupa dengan fizikal makhluk asing dalam filem E.TExtra Teresterial arahan Steven Spielberg (terbitan 1982), bentuk kepala bonjol seperti bola ragbi dan tidak lagi memanjang secara horizontal.

Baik Yasraf (pemikir, pengkaji budaya dan pensyarah Fakuliti Seni Rupa dan Desain Institut Teknologi Bandung, Indonesia) mahupun S Othman Kelantan (1939-2008, bekas tutor saya di USM tahun 1980 dan tahun 2003 dianugerahkan Sasterawan Negara) tetap ada kebenarannya, kerana apa yang digambarkan itu sudah menjadi kenyataan selepas internet benar-benar menerjah masuk ke dalam kehidupan manusia dan akhir Abad ke-20, ia sudah membentuk impulsnya sendiri sehingga dunia terasa amat ketinggalan dan mundur tanpanya.Yasraf benar dalam pemikiran kajian budaya, dan S Othman Kelantan juga benar dalam kreativitinya.

Ini turut mengingatkan saya mengenai culaan yang pernah dibuat oleh ahli teori media yang mempopularkan konsep “perkampungan global”, iaitu Herbert Marshall McLuhan (1911-1980) menerusi The Medium is the Messages: The Extension of Man (1964) dan laporan projek yang kemudiannya dibukukan dengan judul The Global Village: Transformations in World Life and Media in the 21st Century(1989). Kalau dalam buku pertama McLuhan melihat bahawa media atau saluran itu sendiri adalah mesej hasil peralihan komunikasi visual (cetakan buku, lukisan, ilustrasi dan sebagainya yang bersifat pegun atau statik)  kepada komunikasi elektronik (radio, televisyen, filem dan video yang bersifat bergerak atau motion) maka dalam Global Village, beliau menjangkakan perkembangan pesat teknologi akan membentuk suatu dunia yang bersifat global. Pengglobalan berlaku kerana deras dan cepatnya mengalir sesuatu perkara, peristiwa atau maklumat satu penjuru dunia ke penjuru dunia yang lain, dan akhir Abad 20, istilahnya semakin jelas diterima menerusi konsep “real time”.Apa yang berlaku di satu penjuru dunia akan dapat diketahui oleh seluruh masyarakat dalam masa yang sama, kesan kemajuan dalam teknologi satelit, dan kini disambungkan pula dengan internet sehingga membentuk masyarakat saling berhubung seperti sarang labah-labah.

Ukuran penembusan internet sesebuah negara sudah disejagatkan sebagai salah satu indeks kemajuan sesebuah negara, dan kini, setiap negara berusaha keras untuk memenuhi keperluan seperti tindakan untuk menghapuskan kadar buta huruf dalam setiap penduduk selepas Perang Dunia II. Buta huruf dapat dibasmikan menerusi kemudahan pendidikan, dari pedagogi hinggalah andragogi, dan tentunya memerlukan perancangan, usaha, kegigihan dan perbelanjaan yang besar.Ia dilakukan secara universalnya oleh semua negara, walaupun belum berjaya sepenuhnya, kini berkembang pula desakan dan tuntutan untuk memperluaskan kadar penembusan internet bagi merapatkan jurang, memudahkan perkongsian dan pertumbuhan, dan lebih diharapkan membantu meningkatkan kesejahteraan sosial.

Gesaan ini adalah hampir sama dengan konsep pembangunan yang pernah ditimbulkan dalam dekad 1960-an apabila ukuran literasi media dijadikan sebagai salah satu indikator setelah Daniel Lerner mendedahkan laporan kajiannya di Timur Tengahkesan resapan maklumat dengan berkata: “As people are more exposed to media, the greater is their capability to imagine themselves as strange persons in strange situations, places and time than did people in any previous historical epoch.”The Passing of Traditional Society: Modernizing Middle East(1958). Kerangka penelitian itu kemudiannya telah menjadi rujukan utama dalam memperkatakan sumbangan komunikasi dalam pembangunan dan membentuk teori yang dikenali sebagai “diffusion of innovation” oleh Everett M Rogers (1931-2004), untuk dekad 1960-an. Berdasarkan kenyakinan itu, masing-masing negara berlumba untuk membangunkan stesen radio, televisyen dan menggalakkan pertumbuhan industri maklumat, termasuk penyebaran akhbar, majalah dengan andaian semakin ramai rakyat terdedah dengan maklumat, maka semakin cepatlah sesebuah negara mencapai tahap pembangunan. (Baca, EverrettM Rogers, Diffusion of Innovations, 1962; Everrett M Rogers, Modernization among peasants: The impact of communication (1969); dan tulisan bersama Lawrence D Kinkaid Communications Networks, 1981).

Bagaimanapun, di tengah-tengah keghairahan merapatkan jurang komunikasi antara wilayah, timbul pula masalah ketidakseimbangan aliran maklumat dari sesebuah negara ke sesebuah negara disebabkan monopoli teknologi. Negara-negara membangun, terutamanya yang mencapai kemerdekaan selepas Perang Dunia II berhadapan pula dengan isu dan konsep penjajahan baharu, yang datang menerusi penguasaan dan kuasa media secara psikologi dan membingkaikan persepsi hodoh, segala nilai tradisi dianggap kolot, konsevatif manakalah nilai-nilai dipaparkan dan bersumberkan barat sebagai moden, perlu dicontohi dan mengubah perspektif budaya. Hari ini, budaya itu terus dikembangkan menerusi penciptaan teknologi, teknologi yang memasuki alam sedar dan tidak sedar di setiap rumah hingga ke bilik tidur, dan boleh ditonton atau dilayari sepanjang waktu. Kalau televisyen suatu ketika dianggap sebagai the plug in drug, chewing gum untuk mata dan “peti kaca syaitan”, kini kemajuan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi sebagai ancaman besar nilai-nilai kemanusiaan, kerana telah berjaya membentuk komunitinya sendiri, yang khusus dan tersendiri, kadangkala menggugah kesejahteraan sosial.

Pada mulanya, komuniti yang terhasil daripada perkembangan jaringan komputer dikenali sebagai “komuniti labah-labah – web community“ yang mengambil sempena sifat pertautan stesen kerja yang disambungkan menerusi internet. Nicholas Christakis dan James Fowler, perkembangan pesat jaringan sosial—hubungan stesen kerja atau komputer peribadi menerusi sambungan internet—membawa kesan besar perubahan perhubungan, connection dan penularan, contagion.Untuk memahami mengenai perhubungan dan penularan, harus pula memahami beberapa peraturan asas, iaitu bagaimana kita membina jaringan, bagaimana jaringan mempengaruhi kita, bagaimana kita dipengaruhi dan mempengaruhi rakan, hubungan berangkai antara rakan kita dan rakan-rakannya kepada kita,  dan jangka hayat sesuatu rangkaian yang terhasil. Akibatnya, rangkaian sosial menyebabkan kita semakin kehilangan sebahagian daripada keindahan hidup sebagai individu yang membangunkan kesejahteraan sosial, tetapi, pengaruhnya turut membangunkan kejelekitan sosial ke atas diri kita, kerana lebih mempercayai apa yang perolehi menerusi ruang maya. (Baca, Nicholas Christakis dan James Fowler, Connected: The Amazing Powerof Social Networks and How They Shape Our Lives, 2009.)

Perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat, terutamanya internet telah berjaya meransang perubahan sosial sehingga mendesak perubahan ruang komunikasi, perhubungan sosial dan kejelekitan sosial. Perkembangan itu telah membangunkan pula konsep komuniti maya, iaitu masyarakat yang berkongsikan kepentingan atau minat, idea-idea dan  perasaan menerusi internet. Ruang perkongsian dalam ruang maya dikenali sebagai “bilik bual” atau chatting room. Sifatnya, ia bukanlah sebuah bilik yang seringkali kita temui ketika seseorang itu membuat aduan secara fizikal, ia hanyalah berdasarkan perisian yang disediakan oleh pembekal perisian laman sosial untuk seseorang itu berbual, dan kini ia dikembangkan dengan pelbagai nama menerusi teknologi telefon pintar, sama ada dalam telapak android ataupun what’s app. Pertemuan dalam “bilik bual”, menjadikan ahli-ahli komuniti maya bertindak sebagai kumpulan sosial seolah-olah berada dalam dunia realiti. Situasi ini sebenarnya berbeza, kerana ahli komuniti maya lebih cenderung tidak pernah bertemu sebelumnya, berbanding dalam dunia realiti kerana kehadiran fizikal menjadi prasyarat berlakunya jalinan sosial antara invididu.

Dr Jusang Bulong telah memetik definisi komuniti maya yang diutarakan oleh Rheingold sebagai: “sebuah kumpulan manusia yang mungkin atau tidak mungkin bertemu antara satu sama lain secara bersemuka dan yang bertukar-tukar perkataan dan idea menerusi paparan buletin berperantara komputer dan rangkaian-rangkaiannya. Apabila pertukaran perkataan ini mula melibatkan jalinan sama ada teman atau musuh, maka ini boleh mewujudkan ikatan perkahwinan, kelahiran atau kematian yang mengikat manusia dalam sebarang jenis komuniti. Ini merupakan permulaan kesan terhadap kehidupan orang ramai dalam dunia yang sebenar. Seperti juga sebarang bentuk komuniti yang lain, sebuah komuniti maya juga merupakan sebuah kumpulan manusia yang patuh kepada kontrak sosial yang tertentu (longgar) dan yang berkongsi minat (secara elektik). Kebiasaannya ia memiliki fokus tempatan secara gepgrafi dan lazimnya ia memilik hubungan kepada sebuah domain yang lebih luas.” (Jusang Bulong, Minda Komuniti Maya, 2011, hal. 35).

Hal ini turut disokong oleh Jaafar Abdul Rahim dengan menyatakan bahawa budaya siber komuniti maya “sebagai amalan sosial yang dilakukan oleh kelompok masyarakat yang berkongsi sosial dan budaya yang sama.” Dan, kerana itu ahli-ahli dalam komuniti maya mungkin merupakan mereka yang saling kenal mengenali ataupun tidak pernah bersemuka, jalinan terus berlaku berdasarkan keperluan bersama di alam maya.Oleh kerana itu, jika ahlinya tidak pernah bersemuka mereka masih terus menjadi akrab dalam talian seandainya minat dan keperluan saling memenuhi, dan adakalanya melibatkan pertemuan secara fizikal. Peringkat permulaan hubungan maya turut mengakibatkan jalinan persahabatan yang berkekalan sehingga ada dalam kalangan mereka menjadi pasangan suami isteri, yang mungkin melibatkan perhubungan jarak jauh dan berbeza budaya.

Kita sering mendengar, ada pasangan yang berkahwin hasil perkenalan menerusi ruang siber. Bagaimanapun, disebabkan kehendak manusia yang tidak terbatas, nilai-nilai positif yang membawa falsafah penciptaan laman sosial semakin berubah, apabila ruang maya digunakan untuk melakukan tindakan yang tidak berbudaya, seperti menipu, mengeksploitasi, mengugut, menyemarakkan agitasi dan tidak kurang pula mempengaruhi rakan-rakan agar turut melibatkan diri dalam tindakan meruntuhkan kesejahteraan sosial. Berdasarkan perspektif itulah ramai yang menjadi skeptik dengan budaya siber sehingga ada menghubungkannya sebagai satu bentuk manipulasi, proses pengintipan dan penyiasatan. Edward Snowden, rakyat Amerika Syarikat yang pernah berkhidmat dalam firma risikan mendedahkan bahawa pihak perisikan Amerika Syarikat telah menggunakan ruang siber sebagai satu bentuk pengintipan, terutama untuk mengesan interaksi dan perhubungan yang dilakukan oleh mereka yang dikategorikan sebagai pengganas. Akibat pendedahan tersebut, Snowden terpaksa memohon perlindungan daripada beberapa buah negara bagi mengelakkan beliau diekstradisi ke negara asalnya, yang bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang kerana membocorkan rahsia negara. Sebelumnya, seorang penggodam rakyat Australia turut menjadi buruan Amerika Syarikat apabila beliau mendedahkan banyak rahsia pengintipan yang dikenali sebagai “kabel diplomatik” para diplomat Amerika Syarikat di seluruh dunia menerusi laman sosial. Julian Assange bagaimanapun masih gagal diektradisi ke Amerika Syarikat sebaliknya masih aktif mendedahkan maklumat-maklumat sulit yang berjaya dikumpulkan dari pelbagai sumber menerusi ruang maya sehingga berjaya mempopularkan konsep “whistleblower.”

Malaysia tidak terkecuali daripada menanggung kesan negatif daripada penggunaan ruang siber sejak saluran itu digunakan secara meluas oleh parti-parti pembangkang untuk menentang setiap tindakan kerajaan. Sejak internet mula mendapat perhatian pada pertengahan tahun 1990-an, kegiatan penyebaran dakyah dan menarik orang ramai untuk menyertai skim pelaburan “cepat kaya” hinggalah kepada agitasi politik, ruang maya dikatakan lebih dikuasai oleh mereka yang cenderung kepada politik pembangkang. Pilihan raya umum ke-12 (2008) menjadi bukti jelas bahawa penggunaan media sosial berjaya menguasai minda anak muda sehingga dianggap sebagai pilihan utama dalam menyatakan pendapat, melakukan penentangan dan seterusnya meraih sokongan untuk tidak mengundi parti-parti yang memerintah. Hal yang sama turut berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-13, sehingga ada pemimpin kerajaan mengakui kegagalannya untuk menarik sokongan pengundi bandar sehingga berlakunya “tsunami pengundi bandar.” Hampir semua kawasan pilihan raya bandar dikuasai oleh parti pembangkang.Dalam dua pilihan raya tersebut, PRU 12 ramai pemerhati memberikan pandangan bahawa parti kerajaan gagal menguasai media baharu manakala dalam PRU 13, parti pembangkang berjaya mengeksploitasi media sosial. PRU 13 lahir sebuah platform yang dikenali sebagai Red Beans Army, di mana setiap apa yang menjadi dasar dan keputusan kerajaan akan dipertikaikan, kerana itu adalah cara yang berkesan untuk membentuk persepsi buruk bagi menjayakan cita-cita memenangi pilihan raya kerana beranggapan media konvensional dikuasai oleh parti pemerintah. (Kajian Tan Lee Oi mengenai keberkesanan penggunaan media sosial sepanjang gerakan reformasi dan PRU-12 oleh penyokong Anwar Ibrahim dapat dibaca dalam Dinamik Ruang Siber Dalam Gerakan Reformasi di Malaysia, 2010).

Bagaimanapun, untuk berhadapan dengan pilihan raya yang akan datang, Barisan Nasional bukan sahaja wajib belajar daripada kekurangan dan kegagalannya menguasi media siber, walaupun pernah melahirkan keinginan yang sama selepas PRU 12, ia belum menampakkan kesungguhan dalam kalangan ahli-ahli politiknya sendiri. Sebahagian daripada mereka masih beranggapan bahawa media sosial adalah sesuatu yang tidak kekal dan sah, kerana ia adalah bersifat peribadi, tetapi itulah sebenarnya hakikat yang berlaku dan terpaksa dihadapi dalam dunia digital. Bagi mengimbangi kesan buruk, maka suatu bentuk pendidikan bagi membangunkan kebijaksanaan digital dalam kalangan masyarakat adalah perlu dilaksanakan sesegera mungkin.

Menurut Marc Prensky, kebijaksaan digital atau digital wisdom merujuk kepada penggunaan teknologi digital untuk tujuan yang lebih baik, iaitu tidak merosakkan nilai-nilai kehidupan dan kesejahteraan sosial. Ia penting kerana kebijaksanaan digital itu membolehkan individu membuat keputusan yang lebih baik berdasarkan pemikiran yang terbaik. Ini kerana: “Most humans value wisdom. They are attracted to it rather than scared of it. Most of us aspire to it.” (Marc Prensky, Brain Gain: Technology and the Quest for Digital Wisdom, 2012). Kini, kadar penembusan internet sudah melangkaui lebih 60 peratus penduduk manakala lebih 13.3 juta adalah pelanggan facebook.

Perkembangan ini tentunya merupakan sesuatu yang wajar selaras dengan hasrat untuk menjadikan seberapa ramai rakyat boleh berhubung secara digital. Usaha kerajaan memberikan diskaun sebanyak RM 200 setiap belia bagi membolehkan mereka membeli telefon pintar, tentunya tidak akan memberikan faedah kepada kerajaan sekiranya peralatan itu tidak mampu digunakan untuk berkomunikasi secara bijaksana. Seandainya perisian telefon pintar dan potensi yang ada terus dibiarkan dikuasai oleh kelompok yang menunjukkan sikap tidak menyokong kerajaan, maknanya, persepsi buruk dan negatif terus berkembang dalam pemikiran generasi muda. Peralatan digital yang semakin meningkat penggunaannya hendaklah turut digunakan secara bijaksana, kerana kebijaksanaan itulah akan menentukan nilai sebenar seseorang individu. Salah guna peralatan digital masih beoleh dikesan, kerana setiap interaksi dan perhubungan berlaku adalah menerusi perantaraan signal yang dikuasai oleh firma telekomunikasi atau dikenali sebagai telco.Berdasarkan undang-undang yang ada, kerajaan boleh memperolehi butirannya, maka itulah semakin ramai terdedah dengan kemungkinan dihadapkan dengan tindakan undang-undang apabila gagal menggunakan peralatan digital secara bijaksana. Ingatlah, walaupun perhubungan dalam dunia digital lebih mudah, cepat dan murah tanpa perlu menampakkan diri secara fizikal, tidak bermakna pelaku boleh melakukan sesuka hati, kerana perhubungan secara digital juga turut mempamerkan kebodohan seseorang akibat terlalu teruja dan ingin melepaskan perasaan, sebagai manusia kita masih memerlukan nilai perhubungan yang baik, bermoral dan sopan, selagi kita melihat diri kita adalah manusia.

Oleh KAMARUN KH

No Comments

    Leave a reply