Peranan Penasihat, Pemimpin dan Rakyat Dalam Negara Maslahah

melancar bukuKetika berlangsungnya majlis bedah buku Negara Maslahah Dalam Konteks Politik Malaysia di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra pada 17 April lalu, ramai yang mempersoalkan apakah model atau bentuk negara yang boleh dikaitkan dengan falsafah politik Abū Ḥāmid Muḥammad ibn Muḥammad al-Ghazālī (1058-1111M), ulama Islam terpenting yang hidup pada abad ke-12 dan mempunyai ketajaman ilmu yang begitu luas.

Pertanyaan itu muncul dalam sesi soal jawab selepas tiga orang pengulas Profesor Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz (IKIM), Profesor Dr Kassim Tukiman (UTM) dan Profesor Madya Dr Ahmad Sunawari Long (UKM) selesai mencari kesepakatan dalam memahami konsep negara maslahah yang diutarakan oleh Al-Ghazali menerusi pelbagai kitab yang dikarangnya.

Meskipun al-Ghazali lebih dikenali sebagai ‘peletak dasar’ dalam pelbagai bidang keilmuan Islam seperti tasauf, pendidikan, psikologi, teologi, etika dan falsafah, pemikiran politiknya turut menjadi asas yang kuat dalam tingkah laku politik pemimpin-pemimpin Islam Sunni sejak dari empayar Abasiyah lagi. Empayar Abasiyah bermula pada tahun 752 M dan berakhir pada tahun 1260M selepas serangan ke atas Baghdad oleh tentera Mongol pada tahun 1258M.

Ini bererti, empayar Abasiyah memerintah dengan jayanya selama lebih 500 tahun, dan merupakan sejarah yang lebih hebat daripada apa yang dicapai oleh Empayar Muawiyah selama 89 tahun (661M hingga 750M) atau Uthmaniyyah yang memerintah selama 680 tahun (1243M hingga 1923M). Di zaman Abasiyah, perkembangan ilmu dan pendidikan menjadi begitu kuat dengan sokongan pemerintah bagi mempertahankan aliran Islam sunni daripada pelbagai rempuhan pemikiran falsafah Yunani, pemikiran Syiah dan Batinniyah.

Al-Ghazali berjaya membangunkan kekuatan pemikiran ilmu berdasarkan pembinaan epistomologi Islam berdasarkan kemampuan berfikir dan kemahiran berhujah sehingga mendapat gelaran sebagai ‘hujjatul Islam’. Selain berguru dengan ulama tersohor dari mazhab Shafie, Al-Ghazali turut membina ‘kaedah belajar’ secara ‘mendekatkan diri untuk mencari kebenaran’ berdasarkan ketajaman ‘memerhati dan merasai’ kerana ilmulah yang bakal menyelamatkan manusia daripada kesesatan.

Kehebatan ini diukur daripada perspektif pengaruh pemikiran al-Ghazali dalam menasihati para pentadbir yang dilantik oleh Khalifah Abasiyah, termasuklah Nizam al-Mulk (Abu Ali Hasan ibn Ali Tusi, 1018-1092), Malik Syah I (Jalāl al-Dawla Mu’izz al-Dunyā Wa’l-Din Abu’l-Fatḥ ibn Alp Arslān, 1055-1092), Alp Arsalan (Muhammad bin Dawud Chaghri 1029-1072) dan Ahmad Sanjar (1086-1157).

Al-Ghazali sepanjang hayatnya mengabdikan dirinya dalam dunia ilmu dan kerana ketinggian intelektual serta kehebatannya berhujah telah membuka tradisi keilmuan dalam pemerintahan kesultanan Seljuk di mana majlis-majlis ilmu berlangsung dan kecintaan Perdana Menteri membuka sekolah-sekolah dengan pembiayaan kerajaan dari peringkat rendah hinggalah ke pendidikan tinggi. Antara yang terkenal ialah Universiti Nizamiyah, yang menjadi salah satu tempat Al-Ghazali melanjutkan pendidikan tinggi dan seterusnya menjadi tenaga pengajar serta pentadbirnya.

Apa yang penting, kerangka pemikiran dan falsafah politik yang dibincangkan oleh Al-Ghazali bukanlah sebuah konsep yang tertutup, ia merupakan satu konsep pengurusan negara yang dilaksanakan secara terbuka dan boleh disesuaikan dalam pelbagai situasi model negara apa pun, termasuk demokrasi, teodemokrasi mahupun  sistem monarki.

Semasa membentuk kerangka falsafah politiknya, Al-Ghazali yang hidup semasa pemerintahan Kesultanan Seljuk dalam Empayar Abasiyah menyaksikan banyak pergolakan sosial termasuklah ‘pembunuhan pemimpin.’

Empayar Abasiyah lebih cenderung berpecah kepada beberapa kumpulan sehingga menarik minat Al-Ghazali untuk memperkatakan mengenai ‘Negara Maslahah’. Pengaruh pemikiran falsafah barat , terutamanya Yunani (Plato) telah menyebabkan ramai umat Islam berusaha memperkembangkan falsafah kebatinan. Bagi Al-Ghazali, falsafah yang dibentuk berdasarkan prinsip semulajadi dan menolak campur tangan Tuhan adalah satu bentuk  penyelewengan intelektual, yang hanya berdasarkan lojik akal dan lojik itu sendiri terlalu subjektif, yang tidak akan menemui ‘kebenaran’.

Atas kecekapan intelektualnya, Al-Ghazali turut menyerang aliran falsafah yang dianuti oleh Ibnu Sina (980-1037), kelompok Syiah Ismailiyyah dan pelbagai aliran Batiniyyah. Atas percanggahan asas falsafah itu Al-Ghazali berhujah menolaknya dalam sebuah buku yang turut terkenal dalam kalangan pendokong falsafah rasionalisma, iaitu Tahafut al-Falasifah (Kekacauan Falsafah). Al-Ghazali meninggalkan banyak kerangka pengetahuan yang bukan sahaja mempengaruhi pemikiran umat Islam bahkan masyarakat Barat sehingga ada sebahagian mereka berusaha mengambil dan dijadikan asas pembinaan teori ilmiah mereka sendiri.

Timbalan Peradana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bergambar bersama buku sambil diiringi oleh Penulis Buku, Tan Sri Alies Anor Abdul pada Majlis Pelancaran Buku Negara Maslahah dalam Konteks Malaysia oleh Universiti Teknologi Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 17 APRIL 2017.

Menurut Profesor Dr Kasim Tukiman, Al-Ghazali mempunyai pengaruh yang besar dalam perkembangan pemikiran Islam, termasuklah pengaruhnya ke atas perkembangan ilmu di nusantara apabila kitab-kitab karangannya menjadi pegangan dan saduran oleh ulama tempatan. Ini kerana, Al-Ghazali merupakan intelektual Islam yang mempunyai ketinggian ilmu dan berpengaruh dalam perkembangan Islam Sunni. Al-Ghazali tetap ‘menentang’ aliran kebatinan yang dipelopori oleh kelompok Syiah yang sudahpun berkembang selepas berakhirnya zaman pemerintahan Khalifah Ar-Rasyidin dan tertegaknya Empayar Muawiyah.

Bagaimanapun, ketika bermulanya Empayar Abassiyah, pusat pemerintah Islam telah berpindah ke Baghdad dan bermulalah penggunaan bahasa Parsi dalam pelbagai urusan pentadbiran. Sebab itulah kebanyakan karya Al-Ghazali adalah dalam bahasa Parsi. Keseluruhan keintelektualan Parsi dan khazanah ilmunya telah dimusnahkan selepas kejatuhan Empayar Abassiyah oleh tentera Monggol dan terakhir, oleh penjarahan tentera Amerika Syarikat ke atas Iraq pada tahun 2003, yang membunuh Sadam Hussein.

Bagi Profesor Dr Shamrahayu, apa yang diutarakan oleh Al-Ghazali dalam kerangka ‘negara maslahah’ ialah perilaku pemerintah (pemimpin), perilaku rakyat dan pembinaan institusi serta peraturan untuk menjadikan negara yang selamat, harmoni dan sejahtera. Konsep kesejahteraan itulah yang diistilahkan sebagai ‘maslahah’ iaitu menjaga kepentingan rakyat melebihi daripada kepentingan peribadi. Sebab itulah Al-Ghazali tidak mensyaratkan bahawa seseorang yang memimpin itu sama ada dilantik atau dipilih, di mana kategori yang wajar ialah beriman, berpengetahuan, waras dan mempunyai institusi pemerintahan yang berkesan.

Dua pengulas ini nampaknya lebih mendekati ‘persoalan besar yang cuba dikupas’ oleh Tan Sri Alies Anor Abdul melalui buku ini, yang pada awalnya merupakan tesis ijazah kedoktoran falsafah dalam bidang undang-undang (Hukum) pada tahun 2015 di Universitas Islam Negeri Syarif Kuala II, Pekan Baru, Sumatera, Indonesia. Saya kira ia adalah wajar kerana Dr Shamrahayu pernah mengulas panjang mengenai buku ini semasa ia pertama kali diterbitkan pada tahun 2016. Majlis kupasan buku itu berlangsung juga di PWTC pada 22 Jun 2016 dalam suasana bulan Ramadhan .

Edisi terbaharu yang diterbitkan oleh Universiti Teknologi Malaysia dan Institut Terjemahan Buku Malaysia ini, yang dilancarkan pada 17 April 2017 ini ditambahbaik dan disunting semula oleh Profesor Dr Kasim Tukiman. Sebab itulah, kedua pembicara ini mempunyai ‘konteks perbincangan menarik dan mendekati intisari buku ini’ berbanding kupasan Profesor Madya Dr Ahmad Sunawari (UKM). Dr Ahmad lebih menjurus kepada kerangka pemikiran Al-Ghazali tanpa meyentuh secara tuntas konteksnya di Malaysia.

Pengendalian bedah buku berjalan dalam suasana yang tenang dan penuh ilmiah menerusi cuplikan petikan dan cungkilan pendapat oleh mederator, Syed Munawar yang turut disifatkan oleh Timbalan Perdana Menteri sebagai ‘mengulatkan buku’.

Sebelum majlis pelancaran dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, penulis buku ini, Tan Sri Alies Anor Abdul yang juga adalah Pengerusi PWTC menjelaskan beliau hampir ‘kecewa’ dalam ‘perjalanan akademiknya’. Atas dorongan rakan-rakan dan para pensyarah, beliau memperoleh semula semangat untuk meneruskan kajian mengenai pemikiran politik Al-Ghazali memandangkan tokoh keilmuan Islam ini hanya lebih dikenali dalam bidang pemikiran falsafah, tasauf, teologi, psikologi dan pendidikan. Beliau sebenarnya sudah lama terdedah dengan garapan bernas Al-Ghazali dan ketika umur belasan tahun, sudah membaca kitabnya yang begitu monumental, Ihya Ulumuddin.

Menurut Tan Sri Alies, “hampir kesemua buku-buku karangan al-Ghazali yang kita ketahui dan sampai kepada kita untuk dibaca, turut dibahaskan mengenai ilmu ketatanegaraan. Bagaimanapun, al-Ghazali tidak mempunyai buku khusus mengenai pemikiran politik, ia terkandung dalam beberapa pokok perbahasannya mengenai etika dan kaedah bernegara serta sifat-sifat pemimpin yang diperlukan bagi menjamin kemaslahatan rakyat.

“Faktor kedua yang mencetuskan minat saya terhadap pemikiran politik Al-Ghazali ialah kerelevanannya dengan situasi politik Malaysia. Al-Ghazali memainkan peranan penting dalam menasihati pemerintah dan dalam masa yang sama tidak menggunakan pendekatan radikal. Bagi Al-Ghazali, selagi sesebuah negara itu diperintah oleh pemimpin Islam, rakyat wajib mematuhinya walaupun ada kelemahan kerana ‘menjatuhkan’ seseorang pemimpin akan mengakibatkan situasi yang lebih buruk lagi.

“Dalam tradisi pemikiran politik Al-Ghazali, selain mempunyai kekuatan intelektual, peranan ulama sebagai penasihat kepada pemerintah adalah penting. Ulama yang mementingkan ‘keselesaan’ yang tidak berani menegur pemimpin akan membawa kepada lebih banyak kerosakan,’ tulis beliau.

Dalam ucapannya, Tan Sri Dr Alies menjelaskan ’keluasan empayar  Abasiyah telah menyebabkan peranan Al-Ghazali menjadi begitu penting untuk menasihati Perdana Menteri dan dalam hal ini, Al-Ghazali telah berjaya memainkan peranannya dengan berkesan.

Hasil pemikirannya, kekuatan empayar Abasiyah dapat dipertahankan manakala bibit-bibit perpecahan dapat diketepikan sehinggalah berjaya menjangkau period pemerintahan lebih lima ratus tahun.

Katanya, kekuatan falsafah pemikiran Al-Ghazali bukan kerana model negara yang dicadangkan, tetapi atas pemantapan keimanan dan tradisi ilmu yang diasaskan oleh Nizam al-Mulk. Tradisi ini berjaya mengekang lebih banyak perpecahan, termasukan resapan pengaruh Syiah dan terobosan falsafah Batiniyah yang mengetepikan ‘peranan Tuhan.’

Semasa melancarkan buku ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata “Pembentukan sebuah negara bangsa itu bukan saja terletak dibahu rajanya dan pemerintah. Tetapi juga pembuka politik (pemerintah) yang menerima nasihat daripada penasihatnya.

“Kebobrokkan (sesuatu pemerintahan) ini biasanya berlaku disebabkan oleh penasihat yang jadi ‘punahsihat’.

“Jika personaliti pemimpin itu yang baik tapi dirosakkan disebabkan penasihatnya, (maka) akhirnya ia menyebabkannya dia (pemimpin) menjadi bobrok,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri turut mencadangan agar buku dibaca oleh seluruh ahli politik untuk mengelakkan kecenderungan politik ‘matlamat menghalalkan cara’ yang lebih banyak menimbulkan keburukan dan menyimpang daripada kepentingan majoriti atau kemaslahatan ummah.

Beliau turut memuji Tan Sri Alies yang bukan sahaja pernah menjadi penasihat yang baik bahkan mampu menghasilkan sebuah kajian akademik luar biasa dan  sangat istimewa, kontemporari dan inklusif. Banyak kajian saya lihat tetapi pendekatan dibuat Alies lain dan beliau memfokuskan kepada sahsiah dan siasah.

Kata Dr Ahmad Zahid lagi, cabaran yang mendepani zaman imam Al-Ghazali tidak kurang hebatnya dengan apa yang dihadapi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika ini.

“Ini pendekatan (perbandingan) akademik yang dibuat oleh Tan Sri Alies sendiri. Ulama bukan saja terdiri daripada orang alim tetapi mereka yang berilmu apatah mereka tak kedekut ilmu,” katanya.

Buku yang diterbitkan oleh UTM dan ITBM setebal 266 halaman ini dijual dengan harga RM110 dan semasa pelancaran ia dijual dengan harga RM 80. Buku ini berjaya membahaskan fenomena politik Sunni dalam sistem ketatanegaraan Malaysia, dan negara maslahah adalah suatu proses yang dinamik.

Buku ini dibahagikan kepada tujuh bab yang turut membincangkan teori umum dan pandangan dalam politik Islam serta latar belakang Al-Ghazali manakala di bahagian akhirnya, penulis mencadangkan beberapa faktor untuk menambahbaik sistem politik dan kekuasaan agar menjadi lebih sempurna dan menepati kerangka negara maslahah.

Buku ini sesuai  dijadikan rujukan bagi memahami dengan lebih jelas asas falsafah pemikiran politik Islam, yang amat perlu dalam budaya politik bermoral dan menolak doktrin ‘matlamat menghalalkan cara’ .

 

Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply