MEMBENTUK PERSEFAHAMAN AGAMA

 

Agama sebagai sumber utama membangkitkan kekuatan moral, kembali ditonjolkan sebagai sumber motivasi dan ejen perubahan yang semakin memberikan kesan.

Kesan dari perubahan tanggapan inilah banyak pihak mula memberikan perhatian kepada Islam. Islam semakin meluas dikaji dan diteliti. Di sebalik banyak cemuhan, bilangan yang memeluk Islam semakin bertambah berbanding dengan agama-agama lain.

Bagi beberapa pengkaji hubungan antara Islam dan Kristian sama ada dari Amerika Syarikat, Eropah dan negara-negara timur telah melibat Islam mempunyai kekuatan tersendiri dan mampu menarik transformasi pemikiran dan peradaban.

John Louis Esposito misalnya, amat tertarik dengan hasil tinjauan yang dilaksanakan oleh Gallup’s World Poll sepanjang tahun 2001 hingga 2007 ke atas 35 buah negara majoriti penduduknya beragama Islam.

Melalui tinjauan tersebut, beliau merumuskan dapatan bahawa ahli-ahli yang mengkaji mengenai terorisme selama ini sebenarnya tidak mempunyai data lengkap untuk menjelaskan sikap Islam. Tinjauan tersebut memberikan gambaran bahawa 93 peratus responden Muslim tidak pernah membenci Barat walaupun sebahagian besarnya bersikap kritis terhadap Barat.

Menurutnya lagi, walaupun Muslim kritis terhadap Barat “mereka tetap mengagumi banyak hal yang dilakukan Barat, seperti bidang teknologi dan kebebasan.” Kerana itulah beliau terus menggesa masyarakat antarabangsa supaya melihat kepada keputusan tinjauan tersebut dan “biarkanlah data yang memimpin percakapan atau pembahasan mengenai Islam. Jangan lagi biarkan para ahli mengatakan hal-hal yang mereka fikirkan.” Rumusan ini dapat dikaji melalui buku yang ditulis bersama Dalia Mogahed, Who Speaks For Islam: What A Billion Muslims Really Think, New York: Gallup Press, 2007.

Namun keperluan mengenai dialog antara agama bukanlah satu desakan baru, ia telah begitu lama bertunjang dalam pemikiran masyarakat antarabangsa, cuma yang berbeza ialah apa tujuan dialog itu diadakan.

Menurut Hans Kung, seorang pakar teologi Kristian menggambarkan bahawa adakalanya dialog antara agama terlalu berlebihan apabila cuba menggunakan aspek kemanusiaan sebagai kebenaran sesuatu agama. Setiap agama mempunyai dogmanya yang tersendiri, bagaimanapun etika dan pola perilaku agama-agama mempunyai banyak persamaan.

Melalui pandangan itulah beliau sering mengharapkan akan munculnya dialog antara agama bagi mengurangkan konflik dan persengketaan yang berpanjangan atas masalah agama.

Kepelbagaian agama merupakan sifat semula jadi manusia, kerana itulah Karen Armstrong turut menjadi tokoh akademik yang banyak berusaha meluruskan pandangan negatif terhadap Islam. Berdasarkan pengalaman awalnya beberapa tahun sebagai seorang rahib Katholik, beliau kecewa mengenai Kristian yang melihat agama-agama lain sebagai musuhnya.

Setelah keluar dari lingkungan gereja, Karen Armstrong menjadi pengkaji tegar mengenai hubungan antara agama dengan mempelajari Islam secara menyeluruh dan mendalam termasuk bahasa Arab klasik.

Pengkajiannya telah memperluaskan pandangan Barat terhadap Islam sehingga turut dianggap sebagai “dua pembesar Islam di dunia Barat” bersama-sama John L. Esposito, walaupun mereka tetap berpegang kepada fahaman akademik, tidak memilih Islam sebagai “pegangan agama.”

Berdasarkan kajiannya mengenai sejarah awal manusia mencari Tuhan dan memperkatakan sikap beragama, dalam The Great Transformation (Jakarta: Mizan Pustaka 2007), menjelaskan “zaman Aksial (zaman sebelum kewujudan Nabi Ibrahim a.s. sekitar tahun sebelum 1600 hingga 900 SM), Zoroaster, Konfucius, Buddha, Amos dan Socrates hidup dalam masa penuh kekerasan.”

Jika zaman sebelum kelahiran Nabi Ibrahim a.s agama-agama terawal sudah menunjukkan kerjasama masyarakat, saling bekerjasama maka tidak ada masalah untuk meluruskan hubungan antara Islam dan Kristian.

Berdasarkan sikap dan keyakinan itulah Karen Armstrong menjadi terkenal dan dianggap tokoh penting dalam dialog antara agama selepas peristiwa pengeboman Pusat Dagangan Dunia di New York pada 11 September 2001.

Bagi umat Islam, dialog antara agama akan memberikan peluang untuk menjernihkan salah faham terhadap Islam terutamanya mengenai pandangan terhadap pengertian Jihad.

Kegoncangan faham materialisme dan kapitalisme penghujung abad ke-20 menjadikan Islam semakin dibenci dan telah menarik minat Pope John Paul II (1920-2005) untuk menganjurkan dialog dengan umat Islam.

Sebelumnya terdapat beberapa dialog antara cendekiawan Islam dan Kristian, sebahagiannya telah dibukukan antaranya dialog antara M.H.Finlay dengan Sumali Alwi pada tahun 1979, dan Ahmad Deedat dengan seorang paderi Kristian yang dibukukan pada tahun 1986.

Menurut Alwi Shihab, bekas Menteri Luar Indonesia di dalam bukunya Islam Inklusif, perkara yang penting dalam menganjurkan dialog antara agama ialah bukan siapa yang paling benar atau salah, bukan tujuan dialog. Tujuan utama dialog adalah untuk mencari titik pertemuan atau garis persamaan antara agama, kerana bagi menentukan kebenaran dan kesalahan ia adalah urusan Allah SWT.

Hasrat mencari titik pertemuan atau persamaan antara agama adalah untuk mengelakkan sikap fanatik, ego terhadap kebenaran agama yang dianuti dan terlalu menekankan perbezaan, lalu menghukumkan sesuatu perkara berdasarkan prinsip yang saling bertentangan.

Kerukunan hidup dan bermasyarakat antara manusia menjadi asas titik pertemuan dialog antara agama. Kerana itulah menurut Leornard Swidler, penerbit Journal Ecumenical Studies, dan Profesor Pemikiran Katolik di Universiti Temple, dengan melakukan dialog akan dapat menyiapkan penganut-penganut pelbagai agama meneruskan kehidupan secara aman dan harmoni.

Berdasarkan pengertian mengenai perkataan agama, Al-Asfahani (meninggal pada tahun 503H) menjelaskan ad-Din digunakan bagi hal-hal berkaitan ketaatan dan balasan. Perkataan tersebut turut dimaksudkan dengan syariah. Walaupun ada pandangan mengatakan mencari definisi agama secara tepat adalah “sia-sia dan tidak mungkin boleh dibuat,” kerana “sehingga kini belum ada definisi agama yang benar dan dapat diterima”, menyebabkan ramai sarjana lebih berminat melihat sikap beragama itu sebagai “fenomena agama.”

Dialog antara agama yang diasaskan untuk mencari nilai-nilai positif persamaan secara adil merupakan satu keperluan yang amat mendesak pada masa ini. Melalui aktiviti ini, setiap mereka yang mengambil bahagian akan dapat meluruskan salah faham di samping menghormati setiap perbezaan yang ada.

Secara jelasnya, itulah yang diharapkan oleh Barack Obama yang hendak disampaikan kepada Malaysia, agar Islam dan Barat akan tetap dilihat saling memerlukan.

Barat akan lebih menghormati sikap umat Islam manakala percubaan menjadikan agama sebagai bentuk hegemoni baru dapat dikurangkan. Masing-masing individu menghormati kepelbagaian agama dan perbezaan asas, tidak lagi cuba mengungkit-ungkitkannya sebagai faktor utama membawa kepada persengketaan. Antara Islam dan Kristian tetap ada harapan untuk bekerjasama, berhubung dan seterusnya menyumbang kepada keamanan sejagat.

Catatan : Ibnu Majid

No Comments

    Leave a reply