MEMBERI MAAF BUKAN BERERTI TAKUT DAN LEMAH

Setiap insan yang berakal waras mengimpikan suasana harmoni, aman dan tenteram, jauh daripada permusuhan dan pergaduhan. Bagi menikmati kehidupan yang harmoni, aman dan penuh kedamaian itu, setiap insan haruslah sentiasa mengamalkan sikap berlapang dada dan memberi maaf kepada sesiapa sahaja yang berbuat salah terhadapnya.

Sikap berlapang dada dan memberi kemaafan itu merupakan salah satu daripada amalan mahmudah dan unggul yang dianjurkan oleh Islam. Melalui amalan ini, keharmonian dan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat, terutamanya sesama umat Islam dapat diwujudkan.

Sebenarnya memberi maaf adalah salah satu daripada sifat-sifat Allah SWT yang yang suka mengampunkan dosa para hamba-Nya. Namun begitu, ada pula syarat-syarat yang perlu dipenuhi bagi membolehkan Allah SWT mengampunkan dosa para hamba-Nya, iaitu para hamba hendaklah sentiasa berada dalam keadaan kepatuhan dan ketaatan serta sentiasa bertaubat kepada-Nya.

Islam memang menganjurkan umatnya agar berlapang dada dan suka memberi maaf kepada sesama manusia. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang” (Surah al-Nur ayat 22).

Menurut ahli-ahli tafsir, ayat 22 daripada Surah al-Nur ini diturunkan berhubung perbuatan Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. yang terlalu marah terhadap Mistah yang turut menyebarkan cerita fitnah (Kisah Ifki) terhadap anaknya, Sayyidatina Aisyah r.a., maka beliau telah bersumpah tidak akan memaafkan Mistah dan akan menghentikan bantuan yang diberikan kepadanya. Namun ternyata tindakan Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. itu dilarang oleh Allah SWT kerana sebaik-baik orang ialah yang berlapang dada dan suka memberi maaf.

Hal ini jelas mempamerkan bahawa manusia yang sedang marah disebabkan oleh perbuatan orang lain yang menyebarkan berita fitnah dan tuduhan palsu seperti yang dihadapi oleh Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. dan ahli keluarganya diminta oleh Allah SWT supaya mengambil memberi maaf dan berlapang dada.

Dalam hal ini, sikap Nabi Yusuf a.s. boleh juga dicontohi. Baginda pernah dianiaya oleh abang-abang kandungnya sendiri dengan dicampakkan ke dalam perigi yang gelap-gelita. Kemudian baginda ditinggalkan di dalam sebuah perigi di tengah-tengah hutan belantara seorang diri. Dengan pertolongan Allah SWT, Nabi Yusuf a.s. akhirnya diselamatkan oleh sekumpulan pedagang yang melalui di kawasan itu (Surah Yusuf, ayat 8-20). Walau bagaimanapun, kumpulan pedagang itu bertindak menjual Nabi Yusuf a.h. dengan beberapa dirham di Mesir. Akhirnya Nabi Yusuf a.h. menjadi keluarga wazir di negeri Mesir. Dalam keluarga wazir Mesir, baginda difitnah pula oleh Zulaikha. Akibatnya baginda dipenjarakan tanpa pengadilan (Surah Yusuf ayat 23-33).

Namun demikian, Nabi Yusuf a.s. tidak pernah berdendam dengan abang-abangnya dan juga Zulaikha. Semua perbuatan mereka telah dilupakan oleh baginda. Bahkan ketika baginda menjawat jawatan sebagai menteri perekonomian Mesir, ia amat rindu kepada abang-abangnya itu dan ingin bertemu dengan mereka. Akhirnya keinginan Nabi Yusuf a.s. telah dikabulkan oleh Allah SWT.

Jika disoroti pula sirah kehidupan Rasulullah SAW pula, baginda tidak pernah berdendam dengan orang-orang yang suka menyakitinya. Segala perbuatan yang menyakitkan hatinya dan para pengikutnya hilang begitu sahaja.

Misalnya, ketika peristiwa Fath Makkah (pembukaan Kota Mekah), Abu Sufyan, berserta pengikut-pengikutnya seperti Muawiyah bin Abu Sufyan, Ikrimah bin Abu Jahal dan Hakim bin Hizam tidak henti-henti menyakiti Rasulullah SAW dan para pengikut baginda. Namun, setelah kota Mekah dapat dibebaskan baginda tidak melakukan pembalasan kepada mereka. Bahkan baginda memberikan suatu penghormatan kepada Abu Sufyan dengan menyeru orang-orang Quraisy pada waktu itu, “Sesiapa yang masuk ke dalam rumah Abu Sufyan pasti ia akan selamat”.

Rasulullah SAW juga pernah memaafkan seorang Arab kampung (Badwi) yang melakukan kesalahan kencing di dalam masjid. Baginda menegah orang ramai daripada mengerumuni dan menghalanginya. Menurut Anas bin Malik r.a., sebaik sahaja orang tersebut pergi, Rasulullah SAW meminta sebaldi air, lalu mencurah ke atasnya iaitu membasuhnya.

Sikap mulia Rasullullah SAW yang sentiasa berlapang dada dan suka memaafkan musuh-musuh Islam seperti Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Sufyan dan beberapa pemimpin masyarakat musyrikin Mekah ketika itu, menyebabkan suasana hidup aman damai dapat dipertahankan.

Apabila sifat maaf-memaafi antara satu sama lain itu diamalkan oleh baginda, hasil dakwah Rasulullah SAW adalah positif. Dengan mengamalkan sikap mulia ini, Islam dapat disebarkan dengan meluas.

Semua kisah di atas sepatutnya diteladani oleh semua umat Islam agar suka memberi maaf kepada setiap orang bila mana terdapat kesalahan dalam pergaulan. Hal ini bukan bererti memberi maaf itu termasuk dalam golongan yang lemah dan penakut, sebaliknya cara itu dapat memberi kesan baik kepada orang yang diberi maaf.

Hal ini sudah pasti perasaan dendam tidak akan timbul, malahan membuahkan perasaan kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain. Akhirnya suasana harmoni dan sejahtera dalam kehidupan sesebuah masyarakat dapat diwujudkan.

Di negara kita ini, amalan bermaaf-maafan sudah menjadi suatu kebiasaan yang sangat terpuji, terutamanya ketika di bulan Syawal. Ia bagaikan sudah menjadi sebati dalam jiwa masyarakat Islam di Malaysia.

Mereka sedar bahawa pergaulan dalam tempoh setahun itu sudah tentu tidak dapat lari dari kesalahan, baik yang disengajakan atau tidak. Oleh itu, untuk mengelak daripada saling dendam-mendemdami lalu mereka bersalam-salaman memohon maaf antara satu sama lain.

Secara tidak langsung, dengan wujudnya amalan ini dalam masyarakat Islam, bermakna konsep kembali kepada fitrah dan kebersihan, suci dari pencemaran dosa dan kesilapan dengan Allah SWT dan sesama insan yang ada pada Aidilfitri telahpun terlaksana.

Perlu ditegaskan bahawa berlapang dada dan suka memberi maaf ini merupakan satu sikap yang mulia yang diajarkan oleh agama Islam. Keunggulan dan kemuliaan sikap kemaafan itu telah meletakkan kemaafan sebagai salah satu sikap penting yang wajar diamalkan dalam kehidupan seharian umat Islam.

Misalnya, dalam kehidupan sesebuah rumahtangga sekiranya berlaku perselisihan faham antara suami dan isteri, maka si suami hendaklah sentiasa memaafkan si isteri, manakala si isteri pula memaafkan si suami. Jika sikap saling maaf-memaafi ini dapat diamalkan dalam kehidupan rumah tangga nescaya masalah keruntuhan rumah tangga dapat dihindari.

Begitulah juga antara kita dengan sahabat handai, jiran tetangga dan sesiapa sahaja, apabila berlakunya perselisihan faham, maka hendaklah segera bermaafan antara satu sama lain supaya tidak berlaku perkara yang lebih buruk seperti pergaduhan.

Sekiranya konsep kemaafaan ini dapat diamalkan, nescaya keadaan masyarakat khususnya di Malaysia akan menjadi aman damai, harmoni, hormat-menghormati  serta dapat mempereratkan lagi hubungan silaturrahim.  Lupakanlah segala persengketaan akibat daripada perbezaan pandangan dan politik.

Dengan itu, dapatlah dikatakan bahawa bermaaf-maafan mempunyai nilai keutuhan dan kewibaan dalam membentuk kehidupan yang harmoni. Ia menjadi aset yang sangat bernilai dan penting dalam kehidupan seharian manusia.

Jika konsep kemaafan ini tidak diamalkan dengan baik, bahkan sifat dendam pula dijadikan ‘pemimpin’ dalam kehidupan seharian, maka sudah pasti membawa kepada keadaan huru-hara dan ketidaktentuan dalam kehidupan. Dengan bersemaraknya sifat dendam, seseorang manusia sanggup melakukan pembunuhan, malah kerana dendam juga manusia sanggup melakukan perkara keji dan terkutuk.

Kesan daripada tidak mengamalkan konsep kemaafan dalam kehidupan amatlah buruk. Ia boleh  membawa kepada permusuhan yang berpanjangan. Jadi tidaklah mustahil negara yang maju akan menjadi mundur akibat rakyatnya yang suka dendam-mendendami antara satu sama lain.

Kesimpulannya, kita perlu mengamalkan sikap bermaaf-maafan antara satu sama lain kerana hikmah di sebalik amalan itu akan melahirkan insan yang berperibadi mulia dan sentiasa berpegang kepada ajaran Islam. Konsep maaf itu juga seharusnya dihidupkan dan diamalkan tanpa mengira tempat dan masa. Ia bukannya sikap yang hanya diamalkan pada hari-hari perayaan sahaja, sama ada Aidilfitri atau Aidiladha.

Islam itu lengkap dan mulia. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sikap bermaaf-maafan antara satu sama lain itu salah satu daripada amalan untuk mendapatkan kebahagian hidup di dunia dan akhirat.

Dr. Mohd Shukri Hanapi, Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, 11800 Pulau Pinang.

No Comments

    Leave a reply