Hakikatnya, hidayah itu milik Allah dan hanya Allah yang berhak memberikan hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Bagi memperoleh hidayah-Nya, peliharalah hak Allah, nescaya Allah akan menjaga hak kita. Mahu menjadi manusia yang baik, perlu baca al-Quran, fahami maknanya dan seterusnya laksanakan segala perintah-Nya seperti yang disebut dalam kitab suci itu. Penjagaan kesihatan yang paling berkesan pula adalah meletakkan Allah dalam pemikiran. Sentiasa merasai Allah bersama-sama. Berfikiran baik terhadap Allah supaya tidak kecewa jika hidup tidak seperti yang diharapkan. Seterusnya, sentiasa berasa Allah mengatasi kehebatan manusia supaya seseorang itu tidak sombong dan takabbur.

Sentiasalah berdoa dengan doa ini untuk mendapat keperibadian diri yang baik: “Ya Allah, janganlah kelebihan yang kami ada itu menjadikan kami sombong, tolonglah lindungi kami daripada sombong dan takabbur. Ampuni kami jika kami riak dan menunjuk-nunjuk. Kami mohon keikhlasan dan kerendahan hati. Jadikan kami hamba yang hidup memberikan manfaat sebanyak-banyaknya. Pilihlah kami, untuk mencukupkan kepada hamba-Mu yang fakir dan miskin. Pilihlah kami untuk memberikan kebahagiaan kepada hamba-Mu yang nestapa. Pilihlah kami untuk memberikan cahaya kepada hamba-Mu yang berada dalam kegelapan. Pilihlah kami untuk menjadi jalan pelindung-Mu kepada hamba-Mu yang teraniaya. Pilihlah kami menjadi hamba-Mu yang sentiasa bermanfaat. Berikanlah kami ‘kunci’ untuk membuka pintu-pintu kebaikan dan pintu-pintu rahmat-Mu, dengan taufik dan hidayah-Mu.”

Hidayah Allah perlu dicari dan diburu melalui ilmu yang memandu kehidupan dan amal ibadah yang menentukan ketakwaan. Ia tidak boleh dinantikan. Sesungguhnya pemberian hidayah Allah adalah untuk menjadikan seseorang itu insan yang lebih baik. Bagaimanakah cara untuk berubah daripada hati yang ‘keladak’ kepada hati yang ‘jernih’?

Pertama, jaga hati. Setiap orang perlu ada `jurnal kehidupan’ untuk menjaga hati. Setiap hari perlu dicatatkan emosi, sama ada berada dalam keadaan positif atau negatif. Ubah cara melihat diri dengan menggunakan imaginasi dan mata hati.

Kedua, jaga minda. Oleh itu sentiasalah berkata kepada diri: “Hanya hal-hal berkaitan kebaikan sahaja yang akan datang kepada kita.” Bagaimanapun jika berlaku juga perkara negatif dalam hidup ini, hakikat itu perlu diterima. Perlu juga berkata kepada diri sendiri: “Tidak kira apa-apa pun yang berlaku, semuanya baik kerana takdir hidup ini dalam genggaman Allah dan kita yakin ada rahmat-Nya di sebalik kejadian itu.”

Seperkara lagi jika hendak mendapat rahmat Allah, tolong bagi rahmat kepada orang. Justeru, setiap hari perlu dilakukan empat tip ini demi untuk berubah menjadi orang baik.

Pertama, hormat semua makhluk Allah.

Kedua, fikir apa yang boleh diberi, bukan apa yang boleh didapati.

Ketiga, jangan sibuk untuk ubah orang lain tetapi sibuklah mengubah diri sendiri agar sentiasa menjadi insan lebih baik di sisi Allah.

Keempat, perlu bermurah hati. Suka menolong orang hingga mereka tidak boleh balas kebaikan yang diberikan. Apapun segala pertolongan adalah atas niat ikhlas kerana Allah.

Dalam pada itu kunci kekuasaan dan kecintaan kepada Allah adalah berzikir. Kunci kemenangan adalah ketakwaan. Kunci mendapat taufik adalah mencintai perintah Allah dan takut akan larangan-Nya. Kunci mencintai akhirat adalah zuhud terhadap dunia. Dunia di tangan bukan di hati. Kunci agar permohonan dimakbulkan adalah dengan berdoa. Berdoalah, supaya Allah tidak membolak-balikkan hati kita ini. Setelah Allah memberikan hidayah, ia akan menjadi kunci seseorang itu menjadi lebih baik untuk dunia dan akhirat. Dalam kitab Faid al-Qadir, juzuk 5 halaman 527, Abdul Rauf al-Munawi mencatatkan:“Allah mensyaratkan sesuatu (kunci) untuk memperoleh sesuatu. Maka kunci untuk melaksanakan solat adalah berwuduk, kunci haji dengan berihram, kunci kebaikan adalah bersedekah, kunci syurga adalah tauhid, kunci ilmu adalah bertanya dan memerhatikan, kunci keberuntungan adalah bersabar, kunci agar nikmat ditambah adalah bersyukur.”

Marilah bersedia untuk pulang ke kampung akhirat tempat destinasi akhir kita. Siapkan bekalan yang mencukupi. Gunakan modal umur yang Allah panjangkan hingga hari ini untuk mencari reda-Nya. Buatlah skrip kehidupan dan tulis apa dimahukan daripada sekarang hingga di saat bertemu Allah. Teruskan fokus kepada Allah. Tidak lalai, leka dan terbawa-bawa kepada perkara yang sia-sia serta tidak tumpukan kepada perkara yang remeh-temeh. Tinggalkan sikap menampakkan kehebatan diri di mana-mana dan sikap sibuk mencari penghargaan manusia serta leka mengumpul harta kekayaan yang akan ditinggalkan apabila meninggal dunia kelak. Hiduplah dengan rangka kehidupan apa yang Allah reda sahaja. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.