MEMETIK IKTIBAR BENCANA

Manusia memiliki bermacam ragam dan tahap kecerdasan yang dapat kita gunakan untuk memahami diri dan keadaan sekeliling.

Kita percaya bahawa bencana yang berlaku itu menuntut kita berfikir dengan penuh kecerdasan spiritual dan emosional atau dengan mata hati.

Lihatlah dengan mata hati, kalau tidak tanda-tanda keesaan dan kekuasaan Allah s.w.t. tidak akan terjangkau, sama seperti seorang yang sedang menikmati kemerduan muzik dengan menggunakan mata sambil menutup telinganya.

Mereka hanya mengetahui yang lahir (sahaja) dan dari kehidupan dunia, sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai. (Surah Rum ayat 7)

Demikian juga dalam memerhatikan dan memahami ayat-ayat Allah, seandainya mereka melihat ayat-ayat tersebut dengan pandangan mata atau dengan pelbagai aneka fenomena, ia tetap tidak dapat meletakkan atau memanfaatkannya sebagai bukti keesaan dan kekuasaan Allah s.w.t.

Malah ia juga tidak dapat membawanya memahami makna hidup serta peranan manusia di pentas dunia ini. Boleh jadi mereka melihatnya sebagai satu perbuatan sihir atau mitos.

Barangkali juga mereka melihatnya semata-mata sebagai fenomena alam dan tidak mengaitkan sedikit pun dengan Allah s.w.t.

Firman Allah yang bermaksud; Aku akan memalingkan hati orang-orang yang sombong dan takbur di muka bumi ini dengan tiada alasan yang benar dari memahami ayat-ayat-Ku (yang menunjukkan Kekuasaan-Ku);

Dan mereka yang bersifat demikian jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui.

Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripada-Nya.” (Surah al-Araf ayat 146)

Sesungguhnya apabila kita mengabaikan tanda-tanda kehadiran Allah s.w.t., ia menjadikan hati gersang, lalai dan ini akan membawa kita lebih jauh dari rahmat-Nya dan datangnya bencana.

Jadi, apakah kaitan antara kederhakaan manusia kepada Allah seperti kekufuran dengan bencana alam?

Di dalam al-Quran banyak menyentuh hal sedemikian. Hanya manusia sering kali alpa menemukan makna antara yang makruf dengan yang mungkar.

Dosa dan pelanggaran yang dilakukan manusia mengakibatkan gangguan terhadap keseimbangan di darat, di laut dan udara.

Ketiadaan keseimbangan itu, mengakibatkan bencana bagi makhluk yang hidup termasuk manusia.

Semakin banyak pengurusan terhadap persekitarannya, semakin besar pula kesan keburukannya. Semakin banyak serta bermacam-ragam dosa manusia, semakin parah pula kerosakan persekitarannya.

Hakikat ini merupakan kenyataan yang tidak dapat ditolak, apabila kita mengaitkannya dengan fenomena yang melanda manusia akhir-akhir ini.

Demikianlah Allah s.w.t. menciptakan semua makhluk, saling kait-berkait. Dalam kaitannya yang harmonis, lahir keserasian dan keseimbangan daripada makhluk yang terkecil hingga yang terbesar, dan semuanya tunduk dalam pengaturan Allah s.w.t. Yang Maha Agung.

Apabila terjadi gangguan pada keharmonian dan keseimbangan itu, maka kerosakan tidak dapat dielak, dan ini memberi kesan kepada seluruh bahagian alam, termasuk manusia.

Alam raya dengan segala bahagiannya yang mempunyai kaitan antara satu dengan yang lain, bagaikan satu tubuh badan dalam satu ikatan, ia merasai rasa sakit atau sihatnya. Demikian juga dalam pelaksanaan kegiatan dan kewajipan.

Seluruhnya saling pengaruh-mempengaruhi, dan sebagaimana dijelaskan oleh al-Quran, pada akhirnya semua itu akan kembali kepada Allah s.w.t.

Apabila salah satu bahagian tidak berfungsi dengan baik atau menyimpang dari jalan yang seharusnya ia tempuh, maka akan tampak kesan negatifnya pada bahagian yang lain.

Hal ini berlaku terhadap alam raya dan merupakan hukum alam yang ditetapkan Allah s.w.t. yang tidak mengalami perubahan, termasuk terhadap manusia yang tidak mampu mengelakkan diri daripada mengalaminya.

Manusia yang menyimpang dari jalan lurus yang ditetapkan oleh Allah, termasuk yang berkaitan dengan alam raya akan terasa impak negatif hasil daripada penyelewengan itu. Apabila keadaan itu terjadi, maka akan lahir krisis dalam kehidupan bermasyarakat serta gangguan dalam interaksi sosial mereka seperti krisis moral, ketandusan kasih sayang dan kekejaman.

Bahkan lebih daripada itu akan bertimpa-timpa musibah dan bencana alam seperti `keengganan langit menurunkan hujan atau bumi menumbuhkan tumbuhan’, datangnya banjir atau ombak besar tsunami serta gempa bumi dan bencana alam yang lain. Semua itu adalah tanda-tanda yang diberikan Allah s.w.t. Yang Maha Kuasa.

Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah s.w.t. mahu merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali insaf dan bertaubat.

Catatan: Ibnu Baitar

No Comments

    Leave a reply