MEMILIKI KAKI KEBENARAN

“Syria dan Dunia Islam telah kehilangan seorang alim dari kalangan ulamanya, seorang mujahid daripada para mujahidinnya, ustaz dari kalangan asatizahnya, pendakwah dari kalangan para pendakwahnya. Saya sungguh mengenali beliau dan mengetahui kebenaran, kejujuran dan keikhlasannya. Beliau berterus terang, kuat keazaman dan mempertahankan akidah dan prinsip. Beliau memiliki kaki kebenaran dan tangan yang putih terang dalam menyumbang kepada isu-isu Islam dan Arab, terutamanya Syria dan Palestin. Beliau mengetuai ketenteraan mujahideen Ikhwan Muslimin dalam mempertahankan Baitul Maqdis pada tahun 1948.”- Asy-Syeikh Amin Al-Husaini

“Sesungguhnya aku belum pernah melihat di Bilad Asy-Syam (negara Syria, Lubnan, Jordan dan Palestin) seorang yang lebih tinggi hemah dan jiwanya selain Mustafa Sibaie, belum pernah melihat seorang yang lebih pedih jiwa terhadap apa yang menimpa Islam dan umat Islam selain beliau.” – Asy-Syeikh Muhammad Abu Zahrah

Sejak kecil lagi  beliau  telah menghafal al Quran dan mempelajari asas-asas ilmu agama daripada bapanya. Setelah tamat sekolah rendah dengan cemerlang,  beliau kemudiannya dimasukkan ke Maahad Syarie di Homs, pada tahun 1930.

Keturunannya turun temurun mewarisi imam dan khatib di masjid besar Homs. Bapanya Syeikh Husaini Al-Sibaie adalah tokoh agama, seorang pembaharu (reformis) yang disegani.

Beliau ialah Mustafa bin Husni as Sibaie. Dilahirkan pada tahun 1915 di bandar Homs di Syria dan dibesarkan di dalam sebuah keluarga yang mulia dan beragama.

Semasa belianya, beliau menunjukkan bakat kepimpinan di medan dakwah. Beliau menubuhkan Ikatan Agama Homs, dan sewaktu di Damsyik beliau  telah menubuhkan Pemuda Islam Damsyik. Belum 18 tahun, beliau telah diberi kepercayaan untuk berkhutbah menggantikan ayahnya.

Pada waktu itu, usahanya tertumpu kepada menentang penjajahan Perancis. Beliau menubuhkan satu gerakan untuk menentang sekolah-sekolah yang ditaja oleh penjajah. Beliau menulis dan menyediakan makalah-makalah bertujuan menimbulkan kesedaran rakyat supaya menolak penjajah dan membongkar niat buruk penjajah melalui penubuhan sekolah-sekolah ini.

Tidak cukup dengan gerakan itu, beliau berani membuat perhimpunan rakyat berpidato di atas pentas dan seterusnya memimpin demonstrasi menentang penjajah. Akibatnya, beliau dipenjarakan pada tahun 1931.

Pada tahun 1949, dalam kesibukan berjihad ,Syeikh Mustafa As Sibaie berjaya menyiapkan tesis Ph.D bertajuk “As Sunnah dan Kedudukannya dalam Perundangan Islam”. Satu tesis yang cukup bermutu membela Islam di medan sunnah dan menolak hujah-hujah orientalis yang mengelirukan. Lujnah Ulama Besar Al-Azhar bersepakat memberikan pangkat imtiyaz.

Setelah pulang ke Syria pada tahun 1950 dan diberikan jawatan pensyarah undang-undang di Universiti Damsyik. Dr Mustafa melaksanakan tugasnya dengan cemerlang. Berkat kegigihan usahanya pada tahun 1955, beliau berjaya menubuhkan Fakulti Syariah dan dilantik menjadi Dekan pertama. Antara usaha pertamanya ialah ingin mewujudkan Ensiklopedia Fiqh Islam yang menjadi rujukan utama kepada alim ulama masa kini.

Dalam bidang politik pula,  beliau adalah ahli Parlimen Damsyik (1949-1954) yang banyak bersuara menyampaikan hasrat rakyat dari membuat cadangan-cadangan yang membina. Dalam bidang kewartawanan, beliau berjaya melancarkan akhbar Al-Syihab pada tahun 1955, setelah diberi sedikit kebebasan bersuara di Syria.

Pada tahun 1985 majalah Al-Muslimun dikeluarkan di Mesir, tetapi diharamkan. Beliau kemudiannya mengambil alih untuk dicetak dan diedarkan di Syria. Pada tahun 1985 majalah Al-Muslimun, ditukar namanya kepada Hadhorah Islam. Ini adalah kerana  Dr Mustafa As Sibaie adalah seorang tokoh Islam yang mempunyai banyak idea yang bernilai untuk Islam.

Antara khazanah ilmu yang ditinggalkan adalah  As Sunnah wa Makanatuha fi Tasyri’ al Islami, Al-Mar’ah Baina al Fiqh wa al Qanum, Istirakiyah al Islam, Hakadza ‘Allamtani al Hayah, Akhlaquna al Ijtima’iyyah, Ahkam As Shiyam wa Falsafatuhu, Al-Qalaid min Faraid al Faraid, Syarh al Ahwal As Syakhsiyah, Al Washaya wa al Faraid, Ahkam al Mawarith.

Pada hari Sabtu, 27 Jamadilawal 1384H di bandar Hims, bersamaan 3 Oktober 1964, Mustafa As-Sibaie kembali ke rahmatullah setelah memenuhi hidupnya dengan jihad yang berterusan. Jenazahnya diiringi ribuan manusia dan disolatkan di Masjid Umawi, Damsyik.

No Comments

    Leave a reply