MEMPERINGATI 10 MUHARAM

Salah satu antara hari-hari yang bersejarah dalam Islam ialah hari ke-10 bulan Muharam, yang kemudian disebutkan hari asyura. Ia menjadi penting antara lain diundangkannya untuk pertama kali sebagai hari berpuasa dalam sejarah Islam. Sebenarnya ada dua peristiwa bersejarah yang berbeza pada hari tersebut. Peristiwa 10 Muharam juga dikatakan sebagai hari berkabung mengingati peristiwa Karbala di mana Hussin cucu nabi dibunuh oleh puak-puak Muawiah. Dikatakan bahawa bubur merah adalah simbol darah Hussin, sedangkan bubur putih simbol ketulusan Hasan untuk berdamai. Ia juga dikaitkan dengan pelbagai peristiwa yang dialami oleh para nabi.

Pada 10 Muharam ini banyak terjadi peristiwa penting, yang kemudian dipahatkan dalam sejarah. Imam Ghazali dalam bukunya Mukasyayafultul Qulub mencatat bahawa tidak kurang dari 13 macam peristiwa penting yang terjadi pada 10 Muharam walaupun berbeza-beza tahun kurunnya.

Di antaranya ialah hari diciptakan Nabi Adam, diciptakan langit, bumi, bulan, dan bintang, hari lahir Nabi Ibrahim dan hari lepasnya beliau dari bahaya unggun api Raja Namrud, hari kemenangan Nabi Musa dan tenggelamnya rejim Firaun, hari kelahiran Nabi Isa dan diangkat beliau ke langit, Nabi Idris diangkat ke tempat yang mulia, Nabi Nuh selamat dari taufan, Nabi Sulaiman mendapat kekuasaan luar biasa, Nabi Yunus keluar dengan selamat dari dalam perut ikan, Nabi Yakkub yang buta dapat melihat, Nabi Yusuf bebas dari penjara, Nabi Ayub sembuh dari penyakit yang mengancam jiwa dan hari pertama diturunkan hujan.

Peristiwa-peristiwa penting 10 Muharam itu, mengandungi aspek-aspek perjuangan yang menaikkan semangat kepimpinan dan kepahlawanan. Ia mengandungi nilai-nilai pendidikan dan pengaruh kejiwaan dalam kehidupan seseorang atau sesuatu bangsa.

Mengingati persamaan motif dan tujuan perjuangan Rasulullah dengan Nabi-Nabi yang terdahulu, tidak lain adalah untuk sama-sama menegakkan tauhid, maka Nabi Muhammad telah menetapkan tanggal 10 Muharam menjadi salah satu rangkaian Sunah Nabi, yang dilakukan dengan tatacara yang sesuai dengan ajaran Islam. Umat Islam digalakkan banyak beribadah, mengintrospeksi diri dan memohon keampunan di samping menperbaharui tekad melaksanakan keadilan di atas muka bumi ini. Dan berusaha untuk terus menegakkan risalah Ilahi walau apa pun rintangan yang terpaksa dihadapi.

Justeru semua itu adalah satu pertanggungjawaban yang tidak mungkin diingkari. Jangan kita jadi seperti kaum Saba yang diberi berkat yang banyak, namun kerana ingkar (tidak bertakwa-bererti melakukan kezaliman) maka Allah memberi musibah (maksud surah Saba 15-16). Kezaliman bukan setakat kepada Allah atau manusia lain tetapi kepada diri sendiri. Kezaliman itulah yang menghancurkan kebahagiaan kita sebagaimana pesan Allah dalam surah al-Hijr (78-79) bahawa kehancuran penduduk “Aikah” kerana kezaliman sendiri.

Di antara caranya ialah dengan melahirkan sikap atau jiwa dan kehidupan yang tidak dapat memisahkan aspek hubungan manusia dengan Allah; kedua, aspek hubungan sesama manusia.

Pelaksanaan ibadah kerohanian ini ialah dengan mengerjakan puasa pada hari asyura Puasa pada hari itu termasuk salah satu puasa sunat yang utama (afdal), seperti dijelaskan dalam hadis yang riwayat Muslim: “Puasa yang paling mulia sesudah puasa Ramadan ialah puasa bulan Muharam.”

Nilai puasa asyura ini pada sisi Ilahi digambarkan dalam hadis lain, yang diriwayatkan Muslim: “Puasa pada hari asyura menghapuskan dosa satu tahun lampau.”

Manakala tatacara yang kedua ialah melakukan amal soleh pada hari asyura, iaitu perbuatan kebaikan, seperti membantu mereka yang ditimpa musibah atau malapetaka alam seperti banjir yang melanda negara sekarang, membantu fakir miskin, mereka yang sengsara dan lain-lain pekerjaan yang bersifat sosial dan perikemanusiaan.

Nabi menegaskan dalam satu sabdanya yang bermaksud: “Barangsiapa melapangkan (meringankan, memberi) keluarganya dan ahlinya pada hari asyura, maka Allah akan memberikan kelapangan pula kepadanya dalam waktu tahun yang bersangkutan.”                                                                                                                             (Riwayat Baihaki).

Jadi cara membesarkan hari asyura itu ialah dengan melakukan ibadah (puasa) dan melahirkan kesyukuran atau amaliah. Bukan dengan cara atau amalan bersedih atau menangisi kematian sesiapa terutama dengan perbuatan yang menyeksa dan menyakitkan diri sendiri atau pendekatan kemeriahan yang melalaikan dan melampaui batasan agama dengan pelbagai pesta hiburan yang merugikan kerana Islam tidak pernah melarang hiburan yang terurus dan boleh membawa kebaikan dan pembangunan serta kemajuan. Demikanlah cara yang dianjurkan dan dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. yang harus dijadikan panduan umat Islam.

Jika kita perhatikan perkembangan tatacara memperingati atau membesarkan hari asyura itu sesudah zaman Rasulullah dan sahabat, kita dapati banyak telah mengalami perubahan bahkan menyimpang, dan tidak sesuai dengan ketentuan-ketentuan Sunah Nabi.

Perkembangan-perkembangan itu ada kalanya dicelup dengan kepentingan-kepentingan satu golongan atau unsur-unsur lainnya yang bersifat tradisional.

Sebagai contoh, perayaan asyura di kalangan kaum Syiah. Mereka menghubungkan 10 Muharam dengan peristiwa terbunuhnya tokoh kaum Syiah, Hussin, putera Ali bin Abi Thalib. Dalam peperangan yang terjadi antara dua dinasti iaitu Muawiah di satu pihak, di suatu medan petempuran di padang Karbala (Iraq), Hussin tewas dan jenazahnya diperlakukan dengan cara yang sangat kejam. Peristiwa itu terjadi pada 10 Muharam, 61 H. (10 Oktober 680 M).

Untuk mengembalikan kenangan-kenangan Syiah kepada peristiwa pahit yang menyedihkan itu, maka pada 10 Muharam mereka tetapkan sebagai hari berkabung yang diperingati dengan melakukan pelbagai upacara. Di dunia moden, kisah Hussin diceritakan kembali termasuk melalui kemudahan rakaman kaset atau video. Dengan cara ini, wacana tentang Karbala dapat didengar oleh jutaan orang. Kerana peristiwa Karbala dilihat sebagai paradigma penindasan orang-orang yang tidak berdosa oleh tangan-tangan zalim, kenangannya mampu menjadi sumber kekuatan politik Syiah.

Jelas di sini bahawa cara yang ditetapkan oleh Sunnah ialah merayakan atau membesarkan hari asyura dengan berpuasa dan melakukan perkara-perkara kebaikan atau amalan bersifat sosial yang diredai Allah.

Catatan: Ibnu Baitar

1 Comment
  1. Reply mohd khairi wan ali October 8, 2016 at 9:09 am

    Puasa atau asyura? Kedua-duanya boleh. Tapi tak wajar dibandingkan kerana kedua-duanya berada dalam dimensi ibadah yang berbeza. Satu, dimensi peribadi, manakala satu lagi komuniti.

    Malah majlis asyura boleh dipertingkatkan lagi dengan mengingati kembali secara berceramah atau pun tazkirah, peristiwa-peristiwa yang disebut oleh Imam Al-Ghazali tu,

    Semoga jika ada pihak yang memperlekehkan majlis asyura tu dapat memahaminya.

Leave a reply